BAB 8

Romance Completed 27504

“ Kenapa perlu mengelak dari Dayyan? Apa yang dah Dayyan lakukan? Anis dah tak macam dulu. Dah tak macam Anis yang Dayyan kenal. Dayyan ada buat salah ke?” aku melajukan langkah. Enggan melayan pertanyaan Dayyan yang entah bila akan berakhir itu. Langsung aku tidak menduga akan bersua dengannya lagi setelah peristiwa itu. Berminggu-minggu masa aku ambil untuk melupakan semua itu, dan kini ia hancur dek pertemuan yang tak ku jangka ini!

“ Anis Syahadah! Apa yang tak kena dengan Anis ni? Dayyan bukan bercakap dengan tunggul! I’m talking to you!” pintu kereta yang aku buka kembali tertutup rapat dek penangan Dayyan. Aku merengus. Geram dengan desakan lelaki tersebut.

“ Apa lagi yang awak nak, Abdul Dayyan? Saya tak ganggu hidup awak, kan? So, jangan ganggu hidup saya jugak! Awak tak buat salah apa-apa! Yang salahnya saya! Yang bodoh tu saya! Dah, saya masih ada banyak kerja dari melayan karenah awak. Tepi!” Dayyan ku lihat masih mengeraskan tubuh. Bersandar di pintu kereta abah yang ku pinjam untuk ke pasar raya. Hatiku sakit. Sakit melihat wajah tidak bersalahnya. Apa dia langsung lupa dengan semua yang pernah terjadi antara kami dulu?

“ Selagi Anis tak berterus-terang tentang apa yang dah jadi, Dayyan takkan biarkan Anis pergi. I need an answer, and I know you have it. Anis menjauh dari Dayyan, call dan sms Dayyan pun langsung tak berbalas. Kalaupun Dayyan ada buat salah, beritahu. Jangan bersikap kebudak-budakan macam ni. Atau Anis kecil hati sebab Dayyan tak beritahu pasal Risya?”

Aku lepaskan keluhan berat. Untuk apa aku berterus-terang andai keadaan tetap tidak akan sama seperti dulu? Adakah engkau kira wajar jika aku meluahkan kekesalanku terhadap engkau yang melupakan janji kita, Dayyan? Adakah engkau akan percaya bahawa yang berdiri di hadapanmu ini adalah wanita yang telah dilukai hatinya dek cinta terhadap dirimu? Yang terusan dipandang serong dek meraih cinta yang tak sudi?

“ Ya, Anis tak matang. Anis kebudak-budakan. Sedarlah Dayan, antara kita, ada jurang yang memisahkan. Anis mengaku, Anis bukan Anis yang dulu. Anis yang ini bangkit dari kegagalan semalam. Bangkit dari kekecewaan. Untuk Anis teruskan hidup setelah kepahitan tu tak mudah, dan Anis amat berharap yang Dayyan takkan rosakkan kekuatan yang baru Anis bina,” aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Kekusutan ini perlu dirungkaikan juga!

“Dari dulu hingga sekarang, kebahagiaan Dayyan, akan tetap jadi kebahagiaan Anis. Anis sentiasa nakkan yang terbaik untuk Dayyan. Dan kalau masih ada sisa-sisa sayang untuk diri ini, Anis mohon, Dayyan izinkan Anis pergi. Tempat Anis bukan lagi di sini. Bukan lagi di hati orang yang Anis kenal lima tahun dulu. Terima kasih untuk kenangan itu. Terima kasih untuk rasa bahagia yang pernah jadi milik Anis sejak lima tahun dulu. Maafkan Anis,”

Tubuh itu aku tolak kasar sebelum menerobos masuk ke dalam kereta. Aku tidak mahu air mata menjadi saksi akan perpisahan kami. Enjin kereta dihidupkan, dan aku memandu keluar dari parkir pasar raya. Meninggalkan Dayyan yang masih berdiri di tempatnya. Biarlah semua ini berakhir. Aku relakan semua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience