BAB 10

Romance Completed 27504

Rutin harianku kembali seperti biasa. Bergelar seorang pelajar tahun ketiga benar-benar menguji minda. Sekurang-kurangnya, kesibukan yang melanda buat aku lupa akan apa yang pernah berlaku dulu. Dan aku juga sedar, Dayyan juga sedang meniti hari-hari terakhir bergelar bujang sebelum mengikat tali perkahwinan dengan Batrisya. Ya, aku sudah mampu menerima hakikat. Hakikat bahawa cinta tak semestinya bersatu. Cinta tak semestinya memiliki. Dan kerana itu aku juga mahu memulakan hidup baru, jauh daripada Dayyan.

“ Kau tahu, dah berapa kali dia tanya aku pasal kau. Agaknya dia dah sedar tak salah dia? Kau tak nak jumpa dia ke, Nis? Bagi dia peluang untuk minta maaf,” bicara Raudhah membuat aku mengeluh perlahan. Perlukah ada pertemuan lagi antara kami sedangkan aku sudah nekad untuk melupakan semuanya?

“ Aku dah tak peduli tentang tu, Raudhah. Kalau aku jumpa dia, aku bimbang, aku akan tewas lagi. Kau pun tahu aku sedang bina kekuatan aku. Aku perlukan masa. Bahkan, dia sendiri tahu, aku dah lama maafkan dia..” tegas aku berkata. Terdengar pula keluhan Raudhah di sebelah sana.

“ Kau dan Dayyan, dua-dua kawan baik aku. Bila korang macam ni, aku pula yang rasa tersepit. Kau sahabat paling rapat aku, dah tentu aku nak yang terbaik untuk kau, tapi untuk menolak permintaan Dayyan, aku rasa tak sampai hati..”

“ Apa maksud kau, Raudhah?” soalanku terbiar sepi. Sangkaku, talian sudah terputus, tetapi mendengar suara seorang lelaki, lututku lemah sendiri.

“ Dayyan tahu, Dayyan silap pada Anis. Dayyan lupakan janji kita. Dayyan lupa yang Dayyan pernah mengikat janji dengan seorang gadis lima tahun dulu. Dia setia dengan Dayyan sedangkan Dayyan pula dah ada pengganti. Maafkan Dayyan, Anis.. Dayyan sedar, Dayyan tak layak terima kemaafan daripada Anis, tapi Dayyan betul-betul nak pulihkan kembali hubungan kita. Terima Dayyan balik ya, Anis?”

Kata-kata Dayyan buat aku keliru sendiri. Menerima dia kembali? Tetapi, untuk apa? Bukankah dia sedang melalui hari-hari bahagianya bersama Batrisya yang bakal menjadi isterinya nanti? Maka untuk apa dia merayu kepadaku lagi?

“ Dayyan dah putus tunang dengan Risya.. Dayyan tak sangka Risya sanggup duakan Dayyan dengan orang lain.. Dan Dayyan sedar, Dayyan buta menilai antara permata dan kaca. Anis permata yang sukar dicari ganti.. Maafkan Dayyan, dan terimalah Dayyan kembali, Anis. Dayyan tahu, hati Anis masih ada Dayyan kan?”

Terkedu aku saat bicara itu terlahir dari bibir Abdul Dayyan. Dia diduakan oleh tunang sendiri? Maka, aku dijadikan pengganti untuk mengubat hatinya yang terluka itu? Siapa pula yang mahu merawat luka yang pernah ditinggalkannya dulu di dalam hati ini?

“ Maaf, Abdul Dayyan. Saat saya minta awak lepaskan saya, itu bermakna saya dah lupakan semuanya tentang kita. Dah berkali-kali peluang saya berikan pada awak, tapi tak pernah awak sedar, kan? Hati saya dah tawar, Dayyan. Dah tawar untuk mencintai lelaki yang tak pernah peduli akan hati saya. Yang tak pernah sedar akan pengorbanan saya selama ni. Awak carilah orang lain,”

“ Tapi Anis cuma satu.. Dan Dayyan tahu, hanya Anis yang terbaik untuk diri ini,” aku senyum sinis mendengar bicaranya itu. Kalau aku hanya satu, tak mungkin hati ini akan kau sakiti, Dayyan. Hakikatnya, cuma rasa bersalah yang menghantui dirimu. Membawa kau kembali mencariku dengan menggunakan teman baik kita.

“ Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita, Dayyan. Dan Allah dah tunjukkan pada Anis yang Dayyan bukanlah orang yang telah diciptakan untuk Anis. Jodoh Anis dengan orang lain, terimalah hakikat itu, Dayyan. Seperti mana Anis lepaskan Dayyan dulu, Anis minta, Dayyan lepaskan juga Anis..”

“ Maafkan Dayyan, Anis. Tak pernah terfikir untuk diri ini sakitkan hati orang yang Dayyan sayang. Tapi Risya hadir waktu kita berjauhan. Dan Dayyan sendiri tak tahu hati Anis macam mana..”

“ Tak perlu Dayyan guna alasan tu. Kalau betul Dayyan ingat janji kita, Dayyan takkan buat macam ni, kan? Dahlah, Anis dah tak ada apa-apa nak dibicarakan. Kalau Dayyan hormatkan pendirian Anis, Dayyan tahu apa yang Dayyan perlu dibuat, kan? Assalamualaikum,”

Talian telefon aku matikan. Ya, aku berharap agar itulah kali terakhir aku mendengar suaranya. Berharap tiada lagi berita yang akan ku terima mengenai dia. Biarlah aku ubati luka ini sendiri. Bukan membenci, tetapi aku juga perlukan ruang untuk memperbaiki diri sendiri. Yang utama bagi diri ini adalah cinta Allah yang hakiki. Andai aku masih belum mampu mencintai Allah dan Rasul sepenuh hati, adakah aku layak untuk mendapatkan cinta manusia yang belum tentu sejati?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience