BAB 7

Romance Completed 27504

Wajah aku sembam ke bantal. Teresak-esak menangis mengenangkan apa yang terjadi. Rasa sedih, geram, dan kecewa berkumpul menjadi satu. Sungguh, aku langsung tidak menjangka kejutan ini walhal terang lagi bersuluh dia telah memaklumkan kepadaku tentang perkara ini. Tetapi, mengapa harus gadis itu? Kenapa harus gadis yang pernah memusuhiku gara-gara aku terlebih dahulu berjaya menawan hati Dayyan?

Kata-kata sinis Batrisya, senyuman bahagia yang terukir di bibir Dayyan, dan renungan pelik rakan-rakan kepadaku masih jelas bermain di minda. Sungguh aku malu kepada mereka, bahkan jua kepada diri sendiri yang mengharap kasih pada dia yang sudah melupakan kenangan kami sejak dulu lagi!

Malam itu, aku tidur bersama linangan air mata yang masih bersisa kesannya hingga aku bangkit pagi tadi. Mata yang membengkak, tubuh yang lemah, dan jiwa yang kosong tidak aku peduli. Sungguh, kejadian semalam masih bersisa dalam mindaku. Terasa diri ini amat bodoh kerana mempercayai kata-kata dan janji yang pernah ditaburkan oleh Dayyan dulu!

“ Anis, Raudhah datang ni, nak.. Kamu buat apa terkurung dalam bilik tu dari pagi?” suara ibu kedengaran di sebalik pintu. Aku melepaskan keluhan. Cermin mata aku capai demi menutup bengkak di mata walau aku tahu itu cuma sia-sia. Raudhah yang menanti di luar rumah aku tuju.

“ Aku tahu kau sedih, Nis. Aku tahu kau kecewa dengan apa yang dah berlaku. Tapi, sungguh, aku berharap sangat kau kuat. Anggap ini satu ujian Allah untuk kau. Aku tahu kau kuat, dan aku tahu kau mesti mampu hadapi semua ni, kan?” soalan Raudhah aku biarkan sepi. Pandanganku masih tertumpu ke arah laut yang terbentang luas. Sedikit rasa ketenangan mengulit diri saat ini.

“ Anis.. Dayyan masa silam. Kau izinkan dia pergi dari hidup kau, kan?”

“ Entahlah, Raudhah. Aku sendiri tak pasti. Kau bayangkan, bertahun aku hidup dengan janji yang kami ikat dulu. Lima tahun bukan masa yang singkat. Lima tahun tu aku tolak cinta dari orang lain semata-mata tak mahu dianggap tak setia. Tapi apa yang aku dapat untuk penantian tu? Aku diperbodohkan, ditinggalkan macam tu aje,”

Sekali lagi aku jadi lemah. Menangis dalam pelukan Raudhah. Aku mahu melepaskan ini semua, namun aku tidak tahu bagaimana caranya. Seakan hati ini sudah digam dengan cinta yang kuat kepada lelaki itu. Ya Allah, bantu aku keluar dari kepedihan ini!

“ Menangislah, Nis. Kalau itu mampu buat kau tenang, aku sentiasa ada untuk kau. Tapi, aku mohon, kau jangan menangis sorang-sorang. Jangan pendamkan kesedihan kau sendirian. Aku ada, dan aku nak kau kongsikan kesedihan tu bersama aku. Biar kita sama-sama share kesakitan tu.. Boleh, kan?”

Aku angguk. Seakan ada kekuatan yang menjalar di dalam diri saat ini. Ya, hilang Dayyan tidak bererti hidupku sudah berakhir. Aku masih punya mereka yang mengasihi aku. Ada ibu, ayah, adik-adik dan Raudhah sendiri yang sentiasa setia menenangkan aku di kala duka menanti. Ya, Dayyan bukan sesiapa!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience