BAB 9

Romance Completed 27504

Tiga bulan berlalu. Dan ia juga bermakna cuti semesterku jua sudah berakhir. Esok, aku bakal pulang ke pangkuan Ibu Kandung Suluh Budiman. Meneruskan sisa pengajian sebelum aku bakal berpraktikal. Dan ia juga bermakna sudah sebulan sejak aku secara rasminya menamatkan hubungan antara aku dan Dayyan. Meleraikan ikatan yang pernah tersimpul antara kami. Selama sebulan itu jugalah aku bangkit dengan azam yang baru. Mula mendekatkan diri kepada Penciptaku. Terlampau mengejar cinta manusia hingga aku alpa pada cinta yang hakiki itu. Mujur Allah masih memberikan aku peluang untuk menebus dosaku.

“ Dah siap kemas, Nis? Ada lagi tak barang yang tertinggal?” ibu menyoal sebelum melabuhkan duduk di atas katil yang masih bersisa dengan pakaian yang akan ku bawa ke universiti.

“ Ada sikit lagi, bu. Insha Allah, malam ni siaplah Anis kemaskan,” wajah tua ibu aku pandang.

“ Ibu tahu anak ibu kuat. Tabah orangnya. Anak ibu ni takkan mengalah walau apa pun dugaan yang menimpa dirinya. Anis diduga hari ini bukan bermakna Anis takkan bahagia nanti. Percayalah nak, Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Mungkin kita rasa itu yang terbaik buat kita, sedangkan ia bawa keburukan untuk kita. Anis faham, kan?”

Aku angguk perlahan. Ya, ibu memang tahu akan kisah cintaku yang tidak kesampaian. Pada hari aku memutuskan hubungan dengan Dayyan, kepada ibulah aku tuju untuk melampiaskan kesedihan. Ibu yang memujuk. Meminta aku kuat. Dan ibu jugalah yang membawa aku pulang ke jalan yang benar. Kembali kepada Tuhan.

“ Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang,” kata ibu setelah tangisanku berhenti. Dan di saat itu juga aku tersedar bahawa aku sebenarnya sudah jauh dari landasan. Aku terusan berharap pada cinta manusia sehingga terlupa yang aku seakan menolak takdir yang telah Allah tetapkan kepada diri ini. Sedangkan DIA Maha Tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

“ Anis sedar, bu. Dulu Anis tersilap arah. Anis terlampau yakin yang Dayyan akan jadi pasangan Anis. Terlampau yakin yang cinta dia takkan berubah arah. Anis leka tanpa sedar yang Allah Maha Berkuasa atas sesuatu. Kalau bukan sekarang, masa akan datang pun belum tentu Anis dan Dayyan akan bersama. Hidup Anis dah berubah, bu. Anis sedar khilaf Anis, dan Anis tak nak kembali pada kenangan tu. Biarkan kenangan tu jadi sempadan supaya Anis tak terusan buat kesilapan,”

Ibu genggam jemariku. Senyuman terukir di bibirnya. Perlahan-lahan tubuhku dibawa ke dalam pelukannya. Damai terasa menjalar di seluruh jiwa.

“ Ibu sentiasa doakan yang terbaik buat anak ibu. Moga nanti ada yang lebih baik untuk Anis di luar sana. Bersabarlah hingga tiba saat itu,”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience