BAB 12

Romance Completed 27504

Aku pandang lelaki yang sedang berdiri di hadapanku. Ada senyuman yang terukir di wajahnya, dan saat itu juga, perasaan cinta menjalar di segenap hati ini. Wajah tenang yang dahulu pernah aku benci, kini menjadi penguat diri untuk menghadapi hari-hari sebagai seorang isteri buat si suami.

“ Kenapa pandang abang macam tu? Abang terlampau hensem sangat ke, sayang?” aku tunduk malu saat panggilan ‘sayang’ terlahir dari bibirnya. Bibir yang pernah satu ketika mematikan bicara sinisku. Bicara yang membuat hati ini kembali terbuka untuk menerima lelaki lain untuk menjadi pendampingku.

“ Awak, boleh saya tanya sesuatu?”

“ Tanyalah. Untuk isteri abang ni, apa-apa pun boleh..” ucapnya, sambil membetulkan duduk. Aku yang masih bertelekung selepas sudah menunaikan solat Isyak berjemaah sebentar tadi dipandang. Atau lebih tepat lagi, aku yang segan untuk membuka aurat di hadapannya sedangkan dia sudah sah menjadi suamiku.

“ Kenapa awak pilih saya untuk jadi isteri awak sedangkan ramai lagi perempuan kat luar sana yang lebih baik dari saya? Saya ni kurang macam-macam. Ilmu agama tak lah setinggi mana, tapi bila awak cakap awak pilih saya kerana agama saya, saya rasa saya langsung tak layak..” Jemariku sudah berada dalam genggamannya. Dibawa jemari itu ke bibirnya sebelum dia mengucupnya lembut. Sah, sengaja buat aku makin jatuh cinta dengan dia!

“ Abang bukan mencari seseorang yang sempurna, sayang.. Kalau dikira kekurangan, abang pun masih banyak kekurangannya. Biarlah kita saling melengkapi antara satu sama lain. Abang tahu, sayang sedang berusaha menjadi muslimah sejati untuk Pencipta kita, maka izinkan abang untuk jadi pembimbing sayang ke jalan keredhaanNya.. Biar kita sama-sama meraih cinta hakiki, cinta Allah yang Esa. Sayang tak sudi ke jadi peneman abang?” Aku eleng kepala sebagai jawapan kepada soalannya. Masakan aku tidak sudi menjadi isteri kepada lelaki yang aku yakin mampu membawa aku meraih cinta Ilahi!

“ Abang pilih sayang sebab kata walid, kalau kamu sudah temui seseorang yang pada pandangan pertama sudah buat hati kamu terpaut padanya, maka segeralah merisik tentang dia. Dan kali pertama abang terpandang sayang, waktu sayang tengah pilih buku dekat library, hati abang tahu, abang dah jatuh hati. Sebab itu jugalah abang suruh ummi dan walid merisik, dan akhirnya, here we are..”

Kali pertama berjumpa di perpustakaan? Ya, memang aku langsung tidak menyedari akan kehadiran lelaki yang berdiri di hadapanku ini. Sememangnya juga aku tidak menduga dia yang tinggi ilmu agamanya, berbudi pekerti orangnya, akan memilih aku untuk menjadi yang halal buatnya. Nyata, percaturan Allah Maha Hebat untuk kami berdua. Dipertemukan diri ini dengan lelaki yang memilih aku pada pandangan pertama lantas membuat aku lupa akan perihal hati yang pernah terluka.

“ Tapi saya langsung tak ada ciri-ciri isteri mithali.. Saya tak pandai masak, uruskan rumah pun masih kena kritik dengan ibu, tak pandai berhias, tak pandai…”

“ Syyh..” buntang mataku tatkala jari telunjuknya sudah berada di bibirku.

“ Ya, abang tahu semua tu. Ibu dah beritahu abang semuanya. Kalau sayang tak pandai masak, tak pandai urus rumah, itu sayang boleh belajar dengan ibu. Ummi pun sedia bantu menantu baru dia ni. Kalau sayang tak pandai berhias, abang tak kisah. Sebab apa yang ada pada sayang hanya untuk tatapan abang seorang. Cukup sayang berhias untuk abang aje..”

Telekung di kepalaku sudah ditanggalkannya. Rambut yang aku ikat dengan getah sudah diuraikan oleh dia. Jemarinya bermain dengan rambutku. Menghadirkan getar di jiwa ini. Terasa darah hangat menyerbu ke muka.

“ Abang cintakan sayang apa adanya, dan abang harap sayang pun sama. Biar kita sama-sama melayari bahtera cinta menuju cinta Allah yang hakiki. Biarlah hanya abang yang menjadi pemilik cinta sayang selepas Allah dan Rasul. Biar hanya ada lelaki bernama Azhad Wafiy di hati sayang. Boleh?”

Aku tunduk menyalami tangan suamiku. Saat istikharah pertamaku menemukan dia sebagai pemilik hati ini, di saat itu jugalah kenanganku buat lelaki yang bernama Abdul Dayyan pergi dari hidup ini. Dan di saat ijabkabul terlafaz antara aku dan Azhad Wafiy, di saat itu jugalah hati ini berbisik kata cinta, hanya buat dirinya yang ikhlas menerima diri ini apa adanya. Terima kasih, Allah. Terima kasih atas cinta yang tak pernah berbelah bahagi. Terima kasih atas cinta yang Kau hadirkan buat diri ini, yang Kau kurniakan untuk menjadi pembimbing diri ini ke syurgaMu.

Hati yang pernah terluka dek cinta pertama sememangnya bukan mudah untuk dilupakan, namun tidak bermakna kita perlu menutup hati kita dan menyekat kebahagiaan diri sendiri walhal insan yang menyakiti sedang menari bahagia bersama insan baru. Adilkah itu? Itu sudah menzalimi diri sendiri namanya. Percayalah, Allah sudah siap-siap mengatur tulisan takdir hambanNYA dengan terbaik, maka percaya dan serahkan pada maha Esa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience