BAB 5

Romance Completed 27504

Hari yang dinantikan tiba jua. Debaran itu jelas terasa. Walau hati mengatakan tidak, namun demi Raudhah yang setia memaksa, aku gagahkan jua diri untuk menapak ke sana. Bersedia menghadap segala persoalan yang bakal terzahir di bibir mereka. Sampai bila harus aku pendamkan segala duka yang bertapak dek cinta yang tiada noktahnya?

Bunyi hon dari luar rumah mengembalikan aku ke dunia nyata. Tahu Raudhah sudah tiba bersama tunangnya untuk mengambil aku. Sempat aku menilik diri di dalam cermin. Melihat pantulan diri sendiri sambil mencari secebis kekuatan untuk berdepan dengan semua ini. Selesai semuanya, tangan ibu dan abah aku salami sebelum menapak ke arah Raudhah yang sedia menanti di tepi kereta.

Kami tiba di Hotel Mutiara setelah setengah jam perjalanan. Dewan sudah dipenuhi orang ramai, pastinya dari kalangan batch kami sendiri. Raudhah dan Shahril meminta diri untuk bertemu rakan-rakan yang lain, meninggalkan aku termangu sendiri di situ. Aku pandang wajah seorang demi seorang yang ada di situ, cuba mencari seraut wajah yang aku kenali, dan akhirnya, mataku tertumpu pada seseorang yang berdiri tidak jauh dari tempatku. Dan saat mata saling bertentangan, gelabahku datang dengan sendirinya. Segera aku atur langkah menuju ke deretan makanan, memikirkan itulah jalan terbaik yang aku ada untuk mengelakkan diri daripadanya.

“ Assalamualaikum. Anis Syahadah.. Lama tak jumpa, apa khabar sekarang?” suara itu! Suara yang sudah sebati dalam diri. Mana mungkin aku melupakan suara itu! Aku terus kaku di situ. Tidak terfikir untuk berpusing menghadapnya. Lebih rela memandang makanan yang terhidang walau hakikatnya, aku sudah tidak berselera!

“ Makanan tu lebih menarik daripada Dayyan ke, Anis? Terasanya hati..” aku mengeluh kecil. Berbekalkan kekuatan yang masih bersisa, aku memalingkan tubuh perlahan, membiarkan tubuh berdepan dengan lelaki yang sudah bermain dengan perasaan ini.

“ Wa.. waalaikumussalam. Abdul Dayyan! Hai, lama juga tak jumpa!” aku membuat suara ceria. Teruja kononnya melihat dia di hadapan mata, sedangkan di dalam hati, mahu saja aku sembunyikan wajah di bawah meja! Dayyan ku lihat tersenyum. Kacak seperti dia yang ku kenal lima tahun dahulu.

“ Macam pelik je, Anis ni? Kenapa, tak seronok jumpa Dayyan ke?”

“ Eh, mana ada! Memandai je Dayyan ni! Seronoklah ni!” aku kira, sesiapa sahaja bisa menyatakan pembohongan yang lahir di bibirku saat menuturkan ayat itu. Nampak sangat plastiknya, bukan? Dalam hati, tak putus-putus aku berdoa agar sesiapa datang dan menyelamatkan aku dari kemelut jiwa ini!

“ Anis nampak makin cantik. Berseri-seri dari dulu. Dah ada someone special ek? Tak bawa ke hari ni?” aku gigit bibir. Cuba mencerna otak untuk mencari alasan yang logik.

“ Er.. er.. tak adalah! Anis punya pasangan busy hari ni. Hehehe. Dayyan pula? Mana makwe? Cakap nak kenalkan pada Anis hari tu?” sengaja aku berbasa-basi sedangkan di dalam hati, aku tidak mahu diperkenalkan dengan kekasih hatinya itu. Lebih rela membiarkan semua jadi tanda tanya daripada menyakitkan diri.

“ Ada! Tapi tak tahu pula ke mana dia pergi. Anis mesti terkejut gila bila tahu siapa dia nanti. Anis pun kenal dia tau! Kejap eh…”

“ Anis, Dayyan!” bicara Dayyan terhenti di situ. Aku mengalihkan pandangan pada suara yang memanggil. Raudhah dan beberapa orang teman lain menghampiri kami. Seakan mengerti kekalutan yang aku hadapi, Raudhah sudah setia berada di sisi. Menggenggam erat jemari. Menghulurkan kekuatan buat diri.

“ Korang sembang dulu ya? Dayyan nak cari someone jap,” aku dan yang lain mengangguk. Aku menghulurkan tangan bersalam dengan yang lain. Leka bersembang dengan hati yang masih terluka dengan cinta hati..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience