Bab 6

Romance Series 80861

HANAN melawat kawasan kilang Jamil’s Food. Tadi Noah memintanya masuk dahulu sementara lelaki itu mencari parking. Boleh tahan ramai juga pekerja di sini. Sempat juga Hanan berkenalan dan berbual dengan beberapa orang staf di kilang itu.

Sewaktu Hanan berjalan ingin ke warehouse, beberapa mata staf lelaki di situ tak lepas memandangnya mungkin juga hairan kerana ini pertama kali mereka melihat Hanan. Hanan pula cuba  tidak menghiraukan pandangan mereka walaupun dada sudah dihimpit debaran. Seram pula bila kena tenung lama-lama macam tu. Cepat-cepat dia melangkah. Batang hidung Noah masih tidak kelihatan. Lama betul cari parking.

“Siapa tu?” soal lelaki berusia lingkungan 20-an itu.

“Entah. Budak baru agaknya. Tak pernah nampak pun,” balas Ahmad.

“Cun,” puji Nazmi pula.

“Memang cun. Tu korang tengoklah tu badan dia, fuh ini kalau aku da...” Tak sempat Ayie nak habiskan ayatnya, tiba-tiba...

Buk!

Penumbuk melayang tepat ke wajahnya. Masing-masing yang berada di situ terkejut.

“Encik Noah?” Ahmad terpempan. Macam nak terkeluar biji matanya melihat figura lelaki itu.

Ayie pula sudah jatuh tersembam gara-gara penumbuk Noah tadi. Cecair merah mengalir di hujung bibirnya.

“Kau cakap apa tadi? Kau nak mati ke?” Tajam tatapan Noah pada Ayie. Bergerak-gerak rahangnya menahan marah. Ikutkan rasa hatinya, dikerjakan lelaki itu cukup-cukup. Kurang ajar! Langsung tidak menghormati wanita.

Beraninya dia cakap benda yang bukan-bukan tentang seorang wanita. Dan yang buatkan Noah makin marah, orang yang dimaksudkan itu ialah Hanan. Noah dengar semuanya. Noah nampak bagaimana pandangan mata mereka terhadap Hanan. Sungguh jijik!

“Ma-ma-maaf Encik Noah.” Tergagap-gagap Ayie dibuatnya. Yang lain turut menikus. Tahu mereka memang bersalah.

“Sekali lagi kau buat macam ni, aku tak akan teragak-agak untuk pecat kau. Belajar hormati wanita.”

Terangguk-angguk kepala mereka semua. Suara langsung tak keluar. Huh, pengecut! Dengan perempuan beranilah.

Noah terus berjalan meninggalkan mereka. Mahu mencari Hanan. Hatinya masih panas dengan perbuatan lelaki itu tadi. Terngiang-ngiang kata-kata kotor lelaki itu tentang Hanan di telinganya.

HAMPIR sejam mereka berada di kilang, akhirnya mereka berdua bergerak pulang ke pejabat semula. Seperti tadi, masing-masing hanya diam. Sepi menguasai mereka.

Hanan cuba memberanikan diri untuk bersuara walaupun dada dihempas debaran.

“Abang, Hanan minta maaf.”

Noah yang sedang memandu itu terus mengerling sekilas ke arah Hanan.

“Kan saya dah cakap, jangan ungkit kisah lama kita...”

“Tapi sekarang ni kita bukan dekat pejabat kan. Kita dekat luar,” laju Hanan memintas bicara Noah.

Noah tiba-tiba memusingkan strengnya ke kanan. Kereta yang dipandunya berhenti di tepi jalan. Tanpa sepatah kata, Noah terus keluar daripada perut kereta. Dia bersandar di hadapan keretanya.

Hanan mengetap bibirnya kuat. Lambat-lambat dia juga keluar daripada kereta.

“Hanan minta maaf sebab pernah tinggalkan abang. Hanan tahu Hanan salah. Hanan menyesal dan mungkin abang pun menyesal dengan apa yang berlaku antara kita dulu.”

Noah terdiam. Jeda beberapa minit sebelum membalas.

“Saya tak pernah menyesal dengan apa yang berlaku sebab saya dah berikan sehabis baik tapi orang masih tak menghargai.”

Kali ini Hanan yang terdiam. Matanya berkaca memandang wajah redup Noah. Tak ada yang salah dengan kata-kata lelaki itu. Sungguh, Noah sudah memberikan sehabis baik pada hubungan mereka. Cuma dia yang tidak pandai menghargai.

“Hanan kembali dalam hidup abang sebab Hanan mahukan abang semula. Hanan minta maaf kalau abang rasa Hanan pentingkan diri, tapi Hanan betul-betul mahukan abang kembali dalam hidup Hanan. Hanan masih sayangkan abang.”

Noah tersenyum sinis. Kepala digeleng perlahan. Tak percaya. “Semudah tu?”

“Hanan tak akan paksa abang bagi jawapan sekarang. Abang boleh ambil berapa banyak masa abang nak, Hanan akan tunggu.”

“Stop it Hanan.”

“Hanan minta maaf abang...”

“Saya dah lama maafkan awak. Tapi memaafkan tak bermaksud saya boleh terima awak kembali.”

Air hangat laju menuruni lekuk pipi Hanan. Hatinya dihambat lara.

“Tak boleh ke abang beri peluang kedua untuk Hanan?” pinta Hanan. Sungguh dia tidak sanggup kehilangan Noah. Dia terlalu mencintai lelaki itu.

“Waktu saya merayu dekat awak supaya kita tak berpisah dulu, ada awak dengar rayuan saya?”

Esakan Hanan semakin kuat kedengaran buatkan Noah diulit rasa bersalah. Bukan niatnya mahu membuat wanita itu menangis. Namun apabila mengingati apa yang Hanan lakukan dahulu buatkan Noah membuang rasa bersalahnya itu jauh-jauh. Dia pernah dihancurkan sehingga dia hampir hilang harapan untuk meneruskan hidup.

Tak. Dia tak boleh kalah dengan air mata Hanan.

“Cukuplah Hanan. Kita dah jumpa kehidupan kita yang baru. Tak perlu kembali ke tempat yang menyakitkan kita.”

“Abang dah ada pengganti Hanan ke?” soal Hanan dengan suara yang cukup rapuh. Dia kumpul segala kekuatan yang dia ada untuk bertanyakan soalan itu.

Diam. Noah tidak memberi sebarang jawapan. Jam di pergelangan tangannya dipandang sekilas.

“Kita dah lambat nak balik ofis.” Noah terus berlalu masuk ke dalam kereta kembali.

Hanan mengesat air mata yang membasahi pipinya dengan belakang tangan. Namun sia-sia. Air matanya tetap saja mengalir tanpa dipinta. Dadanya terasa cukup sesak seperti mahu pecah menahan rasa yang terbuku.

TIBA di pejabat, Hanan terus keluar daripada kereta tanpa sepatah kata. Tak. Dia tak terasa hati pun dengan kata-kata Noah. Noah berhak berkata apa saja yang dia rasakan.

Seperti Hanan, Noah juga hanya diam. Dia berjalan di belakang Hanan. Gayanya seperti tiada apa-apa yang berlaku antara mereka tadi.

Hanan menekan butang lif. Sebaik pintu lif terbuka, dia terus masuk ke dalam. Begitu juga dengan Noah. Dia sudah tiada masa untuk menunggu lif yang lain. Suasana hening menguasai mereka.

Tiba-tiba lif bergegar kuat. Lampu di dalam lif itu juga terus terpadam. Hanan terjerit kecil kerana terkejut.

“Encik Noah!” panggilnya dengan suara yang kedengaran resah.

“Lif rosak ni,” ujar Noah tenang. Ini bukan kali pertama dia tersangkut dalam lif. Sebab tu dia kelihatan tenang saja.

Apa? Rosak? Hanan mula panik. Jantungnya mula berdegup kencang. Dadanya mengetat. Nafasnya jadi tercungap-cungap.

“Hanan?” panggil Noah. Suaranya kedengaran risau.

Hanan terduduk di lantai lif sambil sebelah tangannya mencengkam dada. Panggilan Noah tak mampu untuk dia sahut. Nak bercakap pun dah tak boleh sekarang ni.

“Hanan, awak okay tak?” Noah terus keluarkan telefon bimbitnya daripada poket. Lampu suluh dibuka. Dalam kesamaran cahaya dia dapat lihat wajah panik Hanan. Dia nampak Hanan tercungap-cungap seperti kehilangan nafas.

Kali terakhir dia lihat keadaan Hanan begini adalah ketika Hanan terkunci di dalam stor rumah mereka. Ketika itu kunci pintu stor rosak. Membuatkan Hanan terperangkap di dalam bilik yang sempit dan gelap itu. Ya, ketika itulah Hanan diserang panic attack.

“Hanan. Hanan awak dengar tak suara saya?” Noah duduk di hadapan Hanan. Bahu wanita dipegang.

Hanan tak mampu untuk menjawab. Dia hanya mampu mengangguk. Nafasnya masih tersangkut-sangkut. Tangannya menggigil.

“Hanan... Pandang saya... Tarik nafas. Tarik nafas awak perlahan-lahan... Lepas... Ya, bagus. Tarik... Lepas...”

Hanan hanya menurut arahan yang Noah berikan. Nafasnya kini lebih teratur dan tidak lagi tersangkut-sangkut seperti tadi. Air matanya mengalir bisu. Matanya menatap dalam mata Noah.

“Saya ada. Awak jangan takut. Saya tak akan tinggalkan awak. Sekejap lagi kita akan keluar daripada sini,” pujuk Noah.

“Ta-ta-takut...”

Tubuh itu perlahan-lahan dibawa masuk ke dalam pelukan. Belakang tubuh Hanan diusap perlahan.

“Shh... It’s okay. I’m here. I’m not going to leave you.”

Hanan mencengkam kuat lengan Noah. “Jangan. Tinggalkan. Hanan.” Mata dipejam rapat.

Happy reading! Sesiapa yang ada Instagram tu boleh follow orked dekat instagram. Dekat situ orked akan share juga teaser novel. Thank you! Instagram - orkedungu_14

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience