“TERIMA kasihlah Noah hantarkan mak balik,” ucap Maimun. Tadi dia keluar ke kedai serbaneka sekejap. Sewaktu ingin pulang, dia berselisih dengan Noah. Lelaki itu menawarkan diri ingin menghantarnya pulang.
“Sama-sama. Lepas ni mak janganlah jalan kaki malam-malam. Bahaya. Kalau nak pergi mana-mana, tunggu Hanan balik.” Biarpun Noah bukan lagi menantu wanita itu. Dia tetap memanggil Maimun dengan panggilan ‘mak’.
Maimun tersenyum kecil mendengar nasihat Noah. Dia mengangguk perlahan. “Mak jarang keluar. Tapi tadi teringin nak makan roti. Tu yang jalan kaki je pergi kedai serbaneka tu. Hanan cakap dia lambat balik hari ni.”
“Hanan ada beritahu mak dia pergi mana?” soal Noah ingin tahu. Ingatkan Hanan terus pulang ke rumah tadi. Rupanya wanita itu ada tempat persinggahan yang lain.
“Katanya keluar dengan kawan-kawan kerja juga. Noah tak join ke?”
“Oh... Err... Tak. Dia orang tak ajak saya.” Noah tertawa kecil.
“Ya lah. Noah kan bos dia orang. Mungkin takut nak ajak Noah.”
“Tak adalah mak. Noah ni pun kuli yang makan gaji juga.”
“Noah, mak minta maaf ya. Lepas kamu berdua berpisah, mak tak sempat lagi nak minta maaf pada Noah.” Suara Maimun kedengaran sebak.
“Mak... Mak tak ada salah apa pun dengan Noah. Mak tak perlu minta maaf.”
“Salah mak sebab tak dapat nak tolong kau orang berdua pertahankan rumah tangga kau orang.”
Noah jeda seketika. Lengan Maimun diusap perlahan. “Mak, mungkin jodoh kami sampai situ je. Bukan salah mak.”
“Kalau Hanan tak minta cerai dulu mesti kau orang dah lama hidup bahagia.”
Noah tersenyum nipis. “Noah tak boleh nak paksa Hanan hidup dengan Noah. Hanan berhak pilih jalan dia sendiri.”
Maimun mengesat air mata yang mengalir dengan hujung lengan baju yang dipakai. Sebak menghurung hati. Noah, baik orangnya. Terlalu baik. Hanan benar-benar beruntung kerana dipertemukan lelaki sebaik Noah. Tapi sayang, Hanan tak pandai nak menghargai.
“Walaupun Noah bukan suami Hanan lagi, mak masih anggap Noah macam anak mak sendiri kan? Mak masih sayangkan Noah kan?”
Maimun mengangguk mengiakannya. Sampai bila-bila pun Noah tetap akan jadi menantunya.
“Bila mak dah ada menantu baru nanti, jangan lupakan Noah ya,” seloroh Noah. Sekadar mahu menceriakan suasana. Sejujurnya hatinya juga dihurung sebak. Cuma dia tidak mahu terus larut dalam perasaan.
Maimun turut ketawa mendengar usikan Noah. “Ada ke lelaki yang boleh terima semua kekurangan Hanan macam Noah terima Hanan?”
“Insya-Allah ada.”
Perbualan mereka terhenti di situ apabila kereta yang dipandu Hanan berhenti di hadapan rumah.
Terkocoh-kocoh Hanan keluar daripada perut kereta apabila melihat Noah ada di depan rumahnya. Apa lelaki itu buat di sini?
“Mak, kenapa ni?” soal Hanan risau. Wajah Noah dan Maimun dipandang silih berganti.
“Mak pergi kedai serbaneka tadi. Waktu nak balik, Noah tumpangkan mak.”
“Oh...” Hanan tarik nafas lega. Ingatkan ada sesuatu yang berlaku pada Maimun.
“Mak masuk dulu ya Noah. Hati-hati memandu. Jaga diri.” Maimun terus beredar masuk ke dalam rumah. Sengaja ingin memberi ruang buat mereka berdua sebenarnya.
Noah ingin beredar tetapi langkahnya terhenti apabila Hanan menyeru namanya.
“Abang...”
Noah menoleh.
“Terima kasih. Terima kasih sebab masih ambil berat tentang mak walaupun kita dah tak ada apa-apa.” Suara Hanan kedengaran bergetar seperti sedang menahan tangis.
“Hmm.” Noah mengangguk perlahan.
“Terima kasih sebab masih ingat hal-hal kecil tentang Hanan.”
“Pergilah masuk. Dah lewat ni,” ujar Noah mendatar.
Hanan ketap bibir. Dia mengangguk perlahan. Sedikit kecewa dengan balasan Noah. Bukan itu yang dia nak dengar. Lambat-lambat Hanan melangkah masuk ke dalam rumah.
Noah pula terus bergerak masuk ke dalam keretanya. Usai Hanan menutup pintu rumah barulah keretanya bergerak meninggalkan kawasan perumahan itu.
‘Abang tak pernah lupa. Abang masih ingat semua tentang Hanan.’
***
Ralit memerhatikan keindahan laut, Hanan hampir terjatuh kerana tersadung pada ranting kayu di hadapan jalannya.
“Ah!” Mujur ada tangan yang menyambut tubuhnya daripada belakang.
Sebaik Hanan menoleh ke belakang, dia terkejut melihat figura lelaki itu. Hanan kembali berdiri tegak. Wajah lelaki itu dipandang tidak percaya.
“Abang...”
“Buat apa dekat luar lewat malam macam ni?” soal suara garau itu.
“Err... Hanan ambil angin. Terima kasih tolong Hanan,” ucap Hanan. Dia menundukkan kepalanya sedikit. Kalau Noah tak ada tadi, agaknya dia dah jatuh macam nangka busuk dekat sini.
Noah merenung wajah Hanan. Pada awalnya tadi dia ingin kembali ke biliknya tetapi dia ternampak kelibat Hanan yang baru keluar daripada biliknya. Disebabkan risau Hanan berjalan seorang diri di tengah malam begini, diam-diam dia mengikut langkah wanita itu daripada belakang.
Jaket yang tersarung di tubuhnya dibuka lalu disarungkan ke tubuh Hanan. Dia nampak Hanan menggigil kesejukan. Bibir Hanan pun dah mula pucat.
Hanan terkesima dengan tindakan Noah. Dalam masa yang sama hatinya berbunga-bunga dengan keprihatinan lelaki itu. Noah masih ambil berat tentangnya.
“Pergi balik bilik. Dah lewat. Dekat luar ni bahaya.”
“Boleh tak kalau kita cakap sekejap?” pinta Hanan. Waktu ini saja peluang untuk dia bercakap dengan Noah. Jadi dia tidak mahu sia-siakan waktu yang ada.
Noah diam. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Tapi dia masih berdiri tegak di situ.
“Hanan minta maaf. Sejujurnya memang Hanan kerja dekat ofis sebab Hanan nak jumpa dengan abang. Hanan rindukan abang. Hanan cintakan abang. Hanan ingat hidup Hanan akan okay tanpa abang. Tapi Hanan silap. Hanan masih perlukan abang dalam hidup Hanan,” luah Hanan jujur. Suaranya kedengaran bergetar. Dia luahkan semua yang terbuku di hatinya selama ini. Dah tak mampu nak simpan semuanya lagi.
Noah masih diam. Reaksi wajahnya masih beriak seperti tadi. Menyukarkan Hanan untuk meneka apa yang bermain di fikiran lelaki itu sekarang ni.
“Hanan betul-betul minta maaf sebab tinggalkan abang. Hanan tak fikir panjang waktu tu. Sepanjang kita berpisah, Hanan tak pernah lupakan abang walau sekali.” Air mata Hanan mengalir perlahan.
Tubir mata Noah bertukar sayu. Rahangnya bergerak-gerak menahan rasa.
“Bila saya cakap saya dah lupakan semuanya, saya betul-betul maksudkannya.”
Jiwa Hanan patah mendengar jawapan Noah. Hatinya bagai direntap.
“Saya tak bersedia untuk terluka lagi. Cukuplah sekali awak hancurkan semuanya. Tak mudah untuk saya bangkit semula lepas awak tinggalkan saya dulu.”
Air mata Hanan makin lebat mengalir. Teringat kembali cerita Kamsiah tentang Noah. Lelaki itu sampai perlu berjumpa dengan doktor. Dan semua itu kerananya!
“Boleh tak abang bagi peluang untuk Hanan perbaiki semuanya? Hanan janji Hanan tak akan sia-siakan abang lagi.” Pandangan dipasakkan ke dalam mata Noah. Mencari sebuah jawapan.
“Saya rasa awak dah tahu jawapannya.”
Esakan Hanan kedengaran. Tahulah dia yang Noah sudah tidak sudi untuk bersamanya lagi. Tak. Dia tak marahkan Noah. Jauh sekali berdendam pada lelaki itu. Noah berhak membuat keputusannya. Dan dia perlu menghormati keputusan lelaki itu.
“Dah lewat ni, pergi masuk bilik.” Kaki Noah mula bergerak meninggalkan Hanan.
“Abang!”
Langkah Noah terhenti.
“Maafkan Hanan sebab buat abang rasa tak selesa selama ni dengan perasaan Hanan. Kalau abang tak nak bagi Hanan peluang, boleh tak abang izinkan Hanan untuk terus cintakan abang?”
Nafas dihela perlahan. Noah memusingkan tubuh menghadap Hanan. “Terpulang pada awak. Tapi jangan salahkan saya kalau awak terluka. Awak sendiri yang memilih untuk menggenggam duri. Jadi jangan terkejut kalau tangan awak berdarah.” Usai menghabiskan bicaranya, Noah terus melangkah meninggalkan Hanan.
Tubuh Hanan terjelepok jatuh. Bahunya terhinggut-hinggut melepaskan tangisan. Jaket milik Noah yang tersarung di tubuhnya itu digenggam kuat. Rasa kecewa, sakit dan pilu menjadi satu. Meranapkan sekeping hati miliknya. Sekarang dia sudah menemui jawapannya.
***
Happy reading!
Orked share teaser dulu. Nak baca sambungan boleh follow/add orked dekat ig dan fb. Thank you.
ig - orkedungu_14
fb - Orked Ungu
Happy reading! Orked share teaser dulu. Nak baca sambungan boleh follow/add orked dekat ig dan fb. Thank you. ig - orkedungu_14 fb - Orked Ungu
Share this novel