Bab 3

Romance Series 80861

TENGAHARI itu Hanan mengikut Linda dan beberapa orang rakan kerjanya makan di restoran berhampiran dengan pejabat mereka.

Pelanggan di restoran ketika ini boleh tahan ramai. Maklum sajalah sekarang ini waktu makan tengahari. Jadi ramai pekerja yang berhampiran kawasan sini singgah makan.

Selesai mengambil makanan, Hanan kembali duduk ke tempatnya. Mereka mula makan. Hanan hanya menjadi pendengar Linda dan rakan-rakannya yang lain berbual. Cuma sesekali saja dia mencelah.

“Eh Linda, kau tahu tak yang Encik Noah tu sekarang dah mula rapat dengan seorang perempuan.” Amy membuka cerita.

Masing-masing mula berminat dengan topik yang Amy utarakan. Semua buka telinga luas-luas. Bab gosip ni diorang memang laju.

Kunyahan Hanan terhenti saat nama Noah disebut. Namun riak wajahnya sedaya-upaya dikawal supaya tiada yang perasan. Kalau mereka perasan nanti, ah sudah. Satu hal pula dia nak menjawab. Kalau boleh dia tidak mahu mereka tahu tentang kisah silamnya bersama dengan Noah. Dan Hanan juga yakin Noah tidak akan senang jika rakan kerjanya tahu tentang hal peribadinya.

“Perempuan yang mana? Setahu aku Encik Noah tu susah sangat nak dekat dengan perempuan,” soal Linda pelik. Bukannya dia baru berkenalan dengan Noah. Kenal sangat dah dengan perangai pengurusnya yang seorang itu. Noah memang dingin sedikit dengan perempuan. Bercakap pun bila perlu je.

“Manalah aku kenal. Tapi perempuan tu ada dah anak. Mungkin ibu tunggal. Sesuailah dengan Encik Noah yang duda tu,” balas Amy bersahaja.

Hanan menunduk merenung nasi di dalam pinggannya. Hilang terus selera makan. Betul ke Noah sudah bertemu penggantinya? Jika benar, patutlah lelaki itu langsung tidak memandangnya lagi? Ternyata tempatnya dahulu sudah digantikan.

“Ish tak padanlah kalau dengan ibu tunggal. Kalau dengan anak dara lagi sesuai. Encik Noah tu walaupun duda, helok betul. Tak nampak langsung macam duda. Kalau dengan anak dara macam aku, lagi sesuai,” celah Najwa disambut dengan gelak ketawa mereka.

Hanan hanya tersenyum kecil.

“Awak macam mana Hanan? Dah ada boyfriend? Ke dah bertunang?” soal Linda tiba-tiba.

“Err... Tak ada.” Hanan menggeleng. Ini kalau dia beritahu mereka Noah itu bekas suaminya mahu terkejut masing-masing nanti.

“Awak lambatlah Hanan. Encik Noah dah berpunya. Kalau tak, bolehlah awak try masuk jarum,” ujar Amy selamba.

“Baru berpunya. Belum sah lagi. Masih ada peluang,” tambah Linda pula. Seakan memberi kata-kata semangat buat Hanan memikat Noah.

Hanan hanya tersenyum sumbing. Memang! Memang itu tujuannya bekerja di sini. Mahu memikat kembali hati bekas dudanya itu. Tapi kalau tengok gayanya, macam payah je dia nak tawan hati Noah kembali. Nak-nak pula bila Noah mula rapat dengan seseorang.

“Haa tengok ni!” Amy terus menghulurkan telefon bimbitnya pada Linda.

Mata Linda terbuka luas. Kemudian telefon bimbit itu dihulurkan pada Najwa pula. Entah apa yang mereka lihat pun Hanan tak pasti.

“Hmm... Memang sah lah Encik Noah tu dah berpunya. Patah hatilah para gadis dekat ofis kita tu nanti,” ujar Linda.

Tiba-tiba Najwa menghulurkan telefon bimbit Amy pada Hanan. “Tengok ni Hanan,” ujarnya.

Anak mata Hanan melatari skrin telefon bimbit Amy. Terpapar gambar Noah bersama dengan seorang wanita dan budak kecil sedang berjalan masuk ke dalam restoran. Sekali pandang nampak seperti sebuah keluarga lengkap yang bahagia.

Kesakitan di hatinya mencengkam sampai ke tulang. Pedih tak terkata. Hanan tak rela melihat Noah bahagia bersama dengan wanita lain. Hanan tak sanggup menerima kenyataan yang ada perempuan lain boleh membahagiakan bekas suaminya itu.

Tak sanggup nak tengok lama-lama gambar itu, Hanan terus pulangkan telefon bimbit itu kepada Amy semula.

“Eh, Amy mana kau dapat gambar tu?” soal Linda hairan.

Amy tayang sengih. “Ada mata-mata yang bagi aku gambar tu. Diorang terserempak dengan Encik Noah tadi,” jelasnya.

Hanan hanya diam membisu. Tubir matanya terasa hangat. Nasi yang masih penuh dalam pinggan hanya dipandang sepi.

“Kenapa tak makan Hanan? Tak sedap ke?” soal Linda yang perasan Hanan hanya menunduk merenung pinggan nasinya.

Hanan menggeleng. “Saya dah kenyang,”, balasnya memberi alasan. Fikirannya jauh melayang memikirkan Noah. Benar ke Noah ada hubungan dengan wanita itu?

“SEDAP?” soal Noah. Senang hatinya melihat Aurora makan dengan begitu selera sekali. Balqis cakap sejak dua menjak ini Aurora hilang selera makan.

Aurora yang berusia tiga tahun itu mengangguk. Penuh mulutnya dengan nasi. Selera benar dia makan.

“Selalunya dekat rumah, susah sangat nak makan,” adu Balqis. Rambut anaknya itu diusap perlahan.

“Oya nak makan dengan abah,” balas Aurora dengan mulutnya penuh nasi.

“Mulut penuh tak elok bercakap Oya. Habiskan nasi dalam mulut tu dulu,” tegur Balqis.

Noah ketawa kecil. Terhibur dengan keletah Aurora. “Sorry Oya. Abah sibuk sikit. Tak sempat nak jumpa Oya.”

“Nanti abah bawa Oya jalan-jalan boleh tak?” pinta Aurora.

“Mestilah boleh.

“Noah, awak tak payahlah ikutkan sangat permintaan Oya ni. Susah-susah je.” Balqis jadi serba-salah dengan Noah. Anaknya itu selalu sangat mengajak Noah berjumpa. Dia takut mereka akan mengganggu waktu Noah.

“Tak ada apalah Bal. Awak jangan risau. Biasalah budak-budak. Nanti hujung minggu ni kita keluar jalan-jalan ya.”

Balqis mengangguk perlahan. Andai saja bekas suaminya itu sama seperti Noah. Tapi hakikatnya terlalu jauh kalau nak dibandingkan dengan Noah. Macam langit dengan bumi. Sudahlah nafkah anaknya tak diberi, luangkan masa dengan anak pun tidak.

Oleh kerana itu Aurora sudah menganggap Noah seperti ayah kandungnya sendiri. Panggil Noah pun dengan panggilan ‘abah'.

ENJIN kereta dimatikan. Hanan keluar daripada perut kereta. Lemah saja langkahnya. Wajahnya sugul.

“Assalammualaikum...” Hanan melangkah masuk ke dalam rumah.

“Haa balik dah. Waalaikumsalam,” balas Maimun yang sedang duduk di atas sofa sambil menonton televisyen.

“Macam mana kerja? Okay tak?” soal Maimun.

Hanan datang mendekati Maimun. Dia terus memeluk tubuh tua wanita itu.

“Mak... Abang Noah dah benci Hanan...” Tangisan Hanan terus pecah. Teresak-esak dia menangis.

“Eh apahal kau ni?” Maimun tersentak. Tak pernah-pernah dia tengok Hanan menangis seteruk ini.

“Di-di-dia... Dah tak suka Hanan lagi...” Makin kuat esakan Hanan kedengaran.

Maimun terdiam. Belakang tubuh Hanan diusap perlahan. Timbul rasa simpati melihat keadaan anaknya itu. Tapi dia tak salahkan Noah andai hati lelaki itu sudah berubah. Bukan Noah yang tinggalkan Hanan dulu. Hanan yang tekad mahu berpisah dengan Noah.

“Sudahlah Hanan. Kau lupa ke kau yang tinggalkan dia dulu? Lepas tu kau nak kembali dengan dia? Kau nak dia sayang kau macam dulu?”

“Serupa macam kau patahkan sayap burung lepas tu kau suruh dia terbang semula. Memang tak bolehlah jawabnya,” tambah Maimun lagi.

Tersedu-sedan Hanan menangis. Wajahnya basah dengan air mata. Kata-kata Maimun buatkan hatinya bertambah sebak.

“Hanan nak buat apa lagi mak?” soal Hanan dengan suara yang bergetar.

“Kau tak perlu buat apa-apa Hanan. Kau kena ikhlaskan apa yang jadi. Yang berlalu, biarkan berlalu.”

Hanan memejam matanya. Makin erat dia memeluk tubuh Maimun. Kepala disandarkan pada bahu wanita itu.

“Hanan, berhenti berdiri dekat depan pintu yang dah tertutup.”

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience