Bab 5

Romance Series 80861

DARIPADA kejauhan, Noah memerhati figura yang sedang berjalan menuju ke kawasan parkir kereta. Langkahnya terhenti di situ namun matanya masih tidak lepas daripada memandang wanita berbaju kurung itu.

Baju kurung itu... Noah masih ingat. Dia yang belikan untuk Hanan. Dia suka sangat tengok Hanan pakai baju kurung cotton. Nampak begitu ayu di mata Noah. Dan itu kelemahannya.

Tak sangka Hanan masih simpan. Baju kurung itu masih cantik terletak di tubuhnya. Masih sama seperti tiga tahun lalu.

Noah lihat Hanan masuk ke dalam keretanya. Nampaknya sekarang ni Hanan sudah boleh memandu sendiri. Tiga tahun yang lalu wanita itu masih belum ada lesen. Jika nak kemana-mana, Noahlah yang membawanya.

“Abang, Hanan nak ambil lesen kereta boleh tak?” pinta Hanan. Siap tayang muka comel lagi. Harap-haraplah Noah izinkan.

“Nope.” Noah menggeleng.

Keluhan berat terlepas daripada celahan bibir Hanan. “Ala... Kenapa pula? Kan senang kalau Hanan ada lesen. Tak perlulah Hanan nak susahkan abang lagi kalau nak pergi mana-mana.”

“Abang kan ada. Abang boleh bawa Hanan kemana saja Hanan nak pergi. Cakap je. Abang akan bawa.”

“Abang ni... Memanglah abang ada. Tapi kalau ada apa-apa berlaku antara kita, senanglah Hanan nak lari kalau Hanan ada lesen kereta.”

Jawapan Hanan buatkan Noah terus berpaling memandangnya dengan pandangan yang tidak puas hati. “Hanan cakap apa ni? Abang tarik bibir tu baru tahu.” Dia tak suka Hanan cakap hal yang bukan-bukan.

Hanan terus tekup mulutnya dengan tapak tangan. “Bolehlah eh abang?” Dia masih mencuba memujuk.

“Hanan, abang bukan tak nak bagi Hanan ambil lesen memandu. Tapi buat masa sekarang ni abang boleh bawa kemana saja Hanan nak pergi. Abang boleh hantar dan jemput Hanan pergi kerja. Abang lebih suka macam ni. Abang rasa diperlukan oleh Hanan.” Tangan Hanan ditarik lalu dielus perlahan.

Masam mencuka wajah Hanan. Tak puas hati. Kan lebih bagus kalau dia boleh memandu. Tak adalah dia menyusahkan Noah.

“Hanan tak nak susahkan abang.”

“Abang tak pernah rasa macam tu. Abang akan lagi susah hati kalau Hanan yang memandu sendiri.”

“Encik Noah!” Panggilan itu buatkan Noah kembali ke alam realiti. Sedar-sedar saja kereta yang dipandu Hanan juga sudah hilang daripada pandangan mata.

Dia menoleh ke arah suara yang memanggil namanya tadi. Zeti. Gadis itu berlari anak menuju ke arahnya dengan kasut setinggi 5 inci. Ini kalau jatuh depan Noah, mahu sebulan dia menyorok dalam gua.

“Ya Zeti?” soal Noah. Agak-agak Zeti nampak ke dia perhatikan Hanan tadi? Dia mula risau.

“Encik Noah tak balik lagi ke?” soal Zeti.

“Nak baliklah ni,” balas Noah.

“Oh... Malam ni Encik Noah free tak?”

Noah diam. Ni tak lain tak bukan mesti Zeti nak ajak dia keluar makan.

“Saya nak pergi ceramah dekat masjid malam ni.” Untuk sekian kalinya, Noah menolak ajakan gadis yang tidak pernah kenal putus asa itu.

Riak wajah Zeti terus berubah mendung. Pelawaannya ditolak lagi. Ish, kenapalah susah sangat nak memenangi hati si duda ni?

“Saya minta diri dulu.” Noah terus berlalu ke keretanya. Bukannya dia tak nampak yang Zeti itu cuba memikat hatinya namun dia memang betul-betul tidak berminat dengan gadis itu.

Zeti bukannya tak cantik. Cantik. Pandai bergaya. Ramai juga staf lelaki di ofis yang cuba menguratnya. Tak pula dia layan. Nak buat macam mana, dah matanya tertarik pada Noah je.

PAGI itu semua staf Jamil’s Food berkumpul di bilik mesyuarat. Mereka ada mesyuarat bersama dengan Dato’ Jamil sendiri. Hanan ambil kesempatan itu untuk mencuri lihat wajah Noah. Jarang dapat peluang begini.

Walaupun mereka bekerja di bawah bumbung yang sama, Noah banyak habiskan masa di dalam pejabatnya saja. Kadang-kadang waktu makan tengahari pun lelaki itu tak keluar. Kuat betul bekerja. Sebab tu agaknya Dato’ Jamil menaikkan pangkatnya sebagai pengurus besar di sini.

“Sales kita agak kurang berbanding bulan lepas. Ada apa-apa cadangan untuk penambahbaikan?” soal Dato’ Jamil.

“Saya.” Hanan memberanikan diri mengangkat tangan. Tak tahulah ideanya ini relevan atau tidak. Tapi harap-harapnya mereka terimalah.

“Ya Hanan. Silakan,” balas Dato’ Jamil.

Kini semua mata yang berada di bilik mesyuarat itu tertumpu pada Hanan. Termasuk Noah.

“Macam mana kalau kita perbaharui packaging produk kita? Mungkin dengan cara ni dapat tarik lebih ramai pelanggan untuk membeli produk kita,” usul Hanan.

Dato’ Jamil diam. Gayanya seperti sedang berfikir dengan cadangan yang Hanan berikan.

“I tak rasa dengan cara tu sales kita boleh naik. Orang nak makan, bukannya nak tengok packaging. Lagipun packaging lama kita tu menarik juga,” bangkang Zeti. Dia pandang Hanan dengan pandangan tak puas hati. Hanan tak tahu ke packaging produk mereka itu dia yang buat? Berani Hanan nak tukar!

“Saya setuju dengan Hanan. Kalau packaging kita menarik, pelanggan pun akan tertarik untuk mencuba produk kita. Mungkin packaging kita yang sekarang kurang menarik perhatian pelanggan,” giliran Noah memberi pendapat.

Zeti mengetap kuat bibirnya apabila Noah sendiri bersetuju dengan cadangan yang Hanan berikan.

“Saya pun setuju dengan Hanan,” ujar Linda pula.

Yang lain ikut setuju dengan cadangan yang Hanan berikan. Begitu juga dengan Dato’ Jamil.

“Baiklah. Kalau macam tu, bulan depan kita tukar semua packaging produk kita.” Dato’ Jamil memberi kata putus.

Hanan tersenyum nipis. Sempat dia menjeling ke arah Noah. Yang lain dia tak kisah. Tapi apabila Noah bersetuju dengan cadangannya, hatinya rasa berbunga-bunga.

“Terima kasih Hanan untuk cadangan ni,” ucap Dato’ Jamil.

Hanan mengangguk perlahan. Mata masih mencuri pandang ke arah Noah. Tak puas-puas dia tatap wajah itu.

“Produk menawan, pelanggan tertawan!” ujar Amy penuh bersemangat disambut dengan gelak tawa mereka semua. Riuh seketika bilik mesyuarat itu.

“Noah, awak nak pergi melawat kilang kan sekejap lagi?” soal Dato’ Jamil.

“Ya, Dato’.” Noah mengangguk.

“Bawa Hanan sekali. Hanan, awak tak pernah lagi tengok kilang kita kan? Jadi awak boleh ikut Noah sekejap lagi,” arah Dato’ Jamil.

Semua mata memandang ke arah Noah dan Hanan bersilih ganti. Makin bengang Zeti dibuatnya. Dia sendiri tidak pernah melawat kilang berdua saja dengan Noah. Ini tak adil!

“Baik Dato’,” balas Noah.

Hanan pula sekadar mengangguk. Dalam hati sudah berbunga-bunga. Dapatlah dia meluangkan masa dengan Noah. Apa orang cakap, sambil menyelam minum air haa! Tapi kalau Hanan, sambil bekerja sambil dating. Eh?

HANAN berlari anak mengejar langkah Noah yang jauh ke hadapan. Fuh, laju betul lelaki itu berjalan. Tak terkejar di buatnya. Sampai di kawasan parkir kereta, barulah Noah memperlahankan langkahnya.

“Nak pergi mana?” soalnya pada Hanan yang ingin bergerak ke arah keretanya.

“Masuk kereta,” balas Hanan.

“Kita naik satu kereta,” putus Noah.

Hanan terkebil-kebil di situ memandangnya. Apa? Dia tak salah dengar kan? Memang Noah ajak dia naik kereta Noah. Ah, rasa nak menjerit kuat-kuat sekarang ni!

“Jalan ke kawasan kilang tu selalu sesak. Kalau naik satu kereta senang sikit.”

Ujaran Noah itu buatkan roman wajah Hanan berubah sekelip mata. Erk, sebab tu rupanya Noah ajak dia naik satu kereta. Tu lah Hanan, berangan je tak sudah.

Hanan mengangguk kecil seraya mengikut Noah menuju ke arah keretanya. Noah dah beli kereta baru. Kereta yang dia guna sekarang bukan kereta yang dia guna tiga tahun lalu. Kereta yang sekarang lebih besar. Lebih mewah. Sesuailah dengan Noah. Lagipun Noah mampu. Hanan berfikir mungkin Noah sudah menjual kereta lamanya.

“Masuklah,” pelawa Noah. Dia terus masuk ke tempat duduk pemandu.

Hanan terus buka pintu di tempat duduk hadapan. Masuk saja ke dalam kereta suasana hening terus mengusai mereka. Masing-masing hanya diam. Hanya suara DJ radio yang kedengaran.

Sesekali Hanan menjeling sekilas ke arah Noah yang sedang memandu itu. Hujung bibirnya ternaik sedikit. Lelaki itu cuma memegang stereng dengan sebelah tangannya saja. Sebelah lagi tangannya diletakkan di atas pahanya.

Hanan tunduk memandang tangan kiri Noah. Kalau dulu, tangan itu akan menggenggam erat tangannya. Tiba-tiba rasa sayu menyapa hatinya.

Hari ini dia menjadi penumpang Noah lagi. Sama seperti tiga tahun lepas. Cuma keadaan mereka yang sudah berubah sekarang ini. Tak mampu lagi dia nak menggenggam tangan lelaki itu.

Mungkinkah selepas ini Noah akan menggenggam tangan wanita lain pula? Memikirkan hakikat itu buatkan Hanan semakin takut. Takut tidak mampu menerima kenyataan yang Noah sudah mempunyai penggantinya.

Tubir mata terasa hangat. Terus Hanan palingkan wajah ke luar tingkap. Tak sedar air matanya mengalir perlahan. Dia menangis tanpa suara.

Noah menjeling sekilas ke arah Hanan sebelum kembali fokus kepada pemanduannya. Nampak. Dia nampak pipi Hanan basah.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience