Sedang dia leka mencari makanan ringan yang lain, mata Hanan terpandangkan seorang budak perempuan yang duduk bersila di hadapan rak gula-gula. Bibir Hanan melengkung senyum. Comel betul. Budak perempuan itu nampak keliru. Mungkin keliru mahu memilih gula-gula yang ingin dibeli.
Hanan menolak trolinya menghampiri budak perempuan itu.
“Hai adik,” sapanya ceria.
Budak perempuan itu terus angkat wajah memandang Hanan. “Abah cakap kalau ada orang tak kenal tegur jangan layan,” balasnya petah.
Hanan ketawa. Alahai... Bagus betul budak ni. Tapi, kejap! Mana mak ayah dia? Mata Hanan meliar memerhati sekeliling. Dekat kawasan ini cuma ada dia dan budak perempuan tu je.
“Mana abah adik?” soal Hanan.
Budak perempuan itu terdiam. Kepalanya tertoleh-toleh kiri dan kanan seperti sedang mencari seseorang.
“Oya!”
“Abah!” Budak perempuan itu terus bangun dan berlari ke arah pemilik suara itu.
Hanan turut memandang ke arah yang sama. Namun riak wajahnya serta-merta berubah saat melihat lelaki yang dipanggil ‘abah’ itu.
“Oya pergi mana? Puas mama dengan abah cari tau.” Datang pula seorang wanita menghampiri dua beranak itu.
Hanan berdiri kaku di situ. Bibir rapat mengetap menahan rasa nyeri tak terkata.
Noah.
Tak sangka mereka akan dipertemukan di sini.
“Kakak tu tegur Oya tadi. Tapi Oya tak layan pun.”
Dua pasang mata itu terus memandang ke arah Hanan. Hanan hanya mampu tersenyum kelat menutupi rasa hatinya saat ini. Pandangan mata sudah kabur dek air mata yang bertakung. Bila-bila masa saja empangannya boleh pecah. Sedaya-upaya Hanan tahan. Tak. Dia tak boleh menangis dekat sini.
Tanpa sepatah kata, Hanan terus menolak trolinya beredar daripada situ. Lebih baik dia pergi sebelum hatinya lebih parah berdarah.
***
Noah melangkah masuk ke dalam warung. Pagi ini pelanggan tidak begitu ramai lagi. Mungkin juga kerana masih awal pagi.
“Noah,” sapa pemilik warung itu, Kak Nah. Dia masih kenal Noah walaupun sudah bertahun dia tidak melihat lelaki itu.
“Kak Nah masih ingat saya?” Noah tersenyum nipis.
“Mestilah kenal. Takkanlah tak kenal. Kamu tu pelanggan tetap warung akak. Kenapa dah lama tak datang? Akak ingat kamu dah tak duduk dekat kawasan ni.”
“Saya ada je kak. Tak pindah mana-mana pun. Maaflah sebab dah lama tak singgah makan dekat sini.”
“Eh, tak apalah. Tak payah nak minta maaf. Ini bukan hari raya.”
Noah ketawa kecil. Kak Nah masih ramah seperti dulu.
“Datang seorang je ke? Mana isteri kamu? Hanan sihat?”
Noah terdiam saat soalan itu ajukan. Dia tak salahkan Kak Nah. Bukannya Kak Nah tahu yang dia dan Hanan dah berpisah.
“Kami... Kami dah berpisah.”
Kak Nah tergamam seketika mendengar jawapan Noah. Rasa macam tak percaya pasangan romantik itu sudah berpisah. Benarlah kata orang. Luaran semuanya nampak bahagia. Tapi sebaliknya hanya mereka yang tahu.
“Maaf Noah. Akak tak tahu.” Kak Nah dibelit rasa bersalah. Kalau tahu tadi, tak adanya dia nak tanya soalan tu dekat Noah.
“Tak apalah akak. Saya okay je.” Noah tersenyum kecil. Tak mahu Kak Nah merasa bersalah dengannya.
***
“Waiter.” Noah memanggil seorang pelayan datang ke meja.
“Ya encik?”
“Chicken chop satu,” pesan Noah.
Hanan dan staf yang lain hanya memandang ke arah Noah. Semua tertanya-tanya mengapa Noah memesan makanan lain. Makanan yang ada depan mata ni pun belum tentu habis.
“Kenapa tak makan Hanan?” soal Amy.
Belum sempat Hanan nak menjawab, Noah terlebih dahulu menjawab bagi pihak Hanan.
“Dia alergik seafood. Saya dah orderkan makanan lain untuk dia.”
Kini semua mata beralih pada Hanan. Macam mana Noah boleh tahu yang Hanan alergik seafood?
Hana gigit hujung bibirnya. Ah, sudah! Mereka semua memandangnya dan Noah meminta jawapan.
***
Happy reading!
Orked share teaser dulu. Nak baca sambungan boleh follow/add orked dekat ig dan fb. Thank you.
ig - orkedungu_14
fb - Orked Ungu
Happy reading! Orked share teaser dulu. Nak baca sambungan boleh follow/add orked dekat ig dan fb. Thank you. ig - orkedungu_14 fb - Orked Ungu
Share this novel