“ABANG sihat?” soal Hanan. Ketika ini mereka berdua berada di pantri pejabat. Hanya mereka berdua yang berada di sini.
Terubat rindu di hati Hanan saat memandang wajah Noah. Wajah ini yang dirindukan selama ini. Penampilan terbaru Noah menggetarkan hati Hanan. Noah memang kacak. Tapi penampilan terbarunya ini nampak lebih kacak. Lebih maskulin. Nampak seperti lelaki berkarier yang hebat.
“Tolong jangan bawa kisah lama kita dekat sini. Tak elok rasanya awak panggil saya dengan panggilan tu dekat pejabat.”
Raut wajah Hanan terus berubah saat mendengar jawapan dingin yang keluar daripada bibir Noah. Ini bukan Noah Zidan yang dia kenal dulu.
“Ma-maaf...” ucap Hanan lemah.
“Apa tujuan awak bekerja di sini Cik Hanan Qayra?” Noah tak sangka setelah tiga tahun, wanita itu muncul kembali di hadapannya.
Dia tidak pasti adakah ini kebetulan atau memang Hanan tahu yang dia bekerja di sini. Dia sendiri tidak tahu yang Hanan sudah kembali ke Malaysia. Lepas saja mereka berpisah, Noah langsung tidak mendengar khabar lagi tentang bekas isterinya itu.
Wajah yang pernah mendapat tempat di hatinya itu ditatap kosong. Hanan masih sama. Cuma penampilannya sekarang ini nampak lebih matang daripada tiga tahun lalu.
Hanan rasa lidahnya bagai tergulung di lelangit saat ini. Tak tahu nak jawab apa. Takkan dia nak cakap dia bekerja di sini sebab nak rebut hati Noah kembali kut.
Silap-silap lelaki itu minta Dato’ Jamil pecat dia nanti.
“Takpalah. Saya anggap awak datang ke sini sebab nak bekerja. Jadi awak buat kerja awak dan saya buat kerja saya. Be professional.”
Layu terus wajah Hanan saat mendengar bicara tajam Noah. Pedihnya sampai ke hati.
“Since kita pun dah tak boleh nak mengelak daripada terus berjumpa, anggap sajalah yang antara kita tak ada apa-apa yang pernah terjadi sebelum ni.”
Hanan ketap bibir seraya mengangguk. Makin pedih hatinya mendengar bicara Noah. Sakit sangat. “Hanan tak akan ganggu Encik Noah. Hanan tak akan buat Encik Noah rasa tak selesa bekerja dekat sini.”
“Sejujurnya saya tak rasa macam tu pun. Kisah kita dah lama tamat. Saya dah lupakan semuanya.”
Tubir mata Hanan terasa hangat. Dah lupakan semuanya? Adakah ini bermakna dia tiada peluang lagi untuk miliki hati lelaki itu kembali?
“Saya tak akan halang awak untuk bekerja di sini dan saya pun tak ada masalah untuk bekerja sebumbung dengan awak. Cuma saya tak nak awak bawa semua kisah lama kita. Saya harap awak faham.” Noah melarikan anak matanya daripada terus ditatap Hanan. Dia tak kuat dengan tatapan itu. Bukannya dia tak nampak kolam mata wanita itu sudah bertakung. Bila-bila masa saja empangannya akan pecah.
Hanan mengangguk tanpa bicara. Pandangan matanya sudah kabur dek air mata yang bertakung di tubir mata. Sedaya-upaya dia tahan supaya air mata itu tidak tumpah di hadapan Noah. Tidak mahu dikatakan mencari simpati pula nanti.
Noah terus angkat kaki meninggalkannya tanpa bicara. Dia hanya mampu memandang sepi belakang tubuh lelaki itu berlalu.
“Hanan rindukan abang...” gumam Hanan dengan esakannya. Basah wajahnya dengan air mata yang sedari tadi ditahan.
MATA Hanan meliar memerhatikan ruang kerjanya. Ruang kerja di sini dibahagikan kepada dua bahagian. Ada empat kubikel kerja yang diletakkan di sini. Meja kerja Hanan pula betul-betul berhadapan dengan bilik pejabat Noah.
Hanan tak tahu adakah ini satu benda yang perlu dia syukuri atau sebaliknya. Kalau ikutkan dia, memang dia dia seronok. Dekat dengan bilik Noah. Sambil buat kerja, boleh cuci mata tengok Noah. Tapi bagaimana pula dengan Noah? Buka je pintu pejabat nanti, nampak muka dia. Risau Noah tidak senang dengan keadaan ini.
Sudahlah dia pentingkan diri dengan memilih untuk bekerja di sini. Hanan yakin ini pasti berat buat Noah. Dia sangkakan masih ada harapan untuk mereka bersama kembali, tapi Hanan silap.
Kenangan lama mereka sungguh terlalu jauh untuk digapai kembali...
“Hanan.” Panggilan itu buatkan Hanan tersentak daripada lamunan panjangnya.
“Ya.” Hanan kalih ke kiri. Ada seorang wanita berdiri di tepi mejanya.
“Nama saya Linda.” Tangan dihulurkan pada Hanan.
Hanan tersenyum nipis. Dia menyambut huluran tangan Linda. “Saya Hanan.”
”I know.” Linda tayang sengih.
“Dengar cerita awak ni dulu bekerja dekat UK, betul ke?” soal Linda meminta kepastian.
Hanan terdiam seketika. Baru je beberapa jam masuk kerja, latar belakangnya sudah tersebar. Rasanya tak ada pula dia cerita pada sesiapa. Hebat sungguh staf syarikat ini. Pandai mengorek rahsia.
“Ya.” Hanan mengangguk.
“Kenapa balik Malaysia? Dah tak seronok kerja dekat sana?” soal Linda lagi. Dia memang ramah. Setiap kali ada staf baru masuk, Linda lah yang menyapa mereka terlebih dahulu.
“Saya nak jaga mak saya.” Hanan memberi alasan. Selain daripada Noah, Maimun juga adalah salah satu sebab kenapa Hanan ingin kembali ke Malaysia. Risau tinggalkan Maimun sendirian. Dia pun bukannya ada adik beradik yang lain. Ayahnya pula sudah meninggal sejak dia berumur lapan tahun lagi.
Terangguk-angguk kepala Linda. Sambil itu matanya memandang kiri kanan. Risau kalau tiba-tiba Noah muncul sekejap lagi. Habislah dia. Orang suruh kerja, dia sibuk menemu ramah orang.
“Okaylah Hanan. Saya nak pergi sambung buat kerja. Nanti kita sambung borak lagi.” Usai itu Linda terus kembali ke meja kerjanya.
Hanan pula terus menyambung kerjanya. Banyak benda yang perlu dia pelajari tentang syarikat. Selain itu dia juga perlu menghafal nama-nama produk yang syarikat hasilkan.
Sempat Hanan menjeling ke pintu bilik Noah yang tertutup rapat itu. Kata-kata Noah tadi masih terngiang-ngiang jelas di telinganya.
Hanan tak salahkan Noah yang sudah jauh berubah. Kadang-kadang kita tak sedar, kesilapan lalu kitalah punca seseorang itu berubah. Dan kita tiada hak langsung untuk mempertikaikannya.
FOKUS Noah terganggu. Dia tak dapat menumpukan perhatian kepada kerja-kerjanya seperti selalu. Fikirannya asyik teringatkan Hanan.
Kenapa Hanan perlu muncul kembali di saat dia sudah memadam semua tentang mereka?
Sekarang ini dia perlu bertemu dengan Hanan setiap hari pula tu. Sungguh Noah tak pernah terfikir Hanan akan kembali semula ke dalam hidupnya.
Perbualannya dengan Hanan tadi terimbas kembali. Noah mula rasa bersalah. Kasar sangat ke dia cakap dengan Hanan tadi? Dia nampak mata Hanan merah seperti menahan tangis. Sebab tu dia cepat-cepat pergi tadi.
Salah ke kalau Noah jadi orang yang pentingkan diri? Kerana segala usahanya selama ini langsung tak dihargai. Pengorbanannya langsung tidak dipandang. Malah disia-siakan. Ditinggalkan.
Peritnya hanya Noah yang mengerti. Luka memang boleh sembuh. Tapi parut pada lukanya tak semudah itu untuk dihapus.
Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari. Waktu untuk lunch. Noah segera mengemas meja kerjanya. Dia sudah berjanji untuk bertemu dengan Balqis sebentar lagi.
Usai mengemas meja kerjanya, Noah cepat-cepat berlalu. Tak mahu buat Balqis tertunggu-tunggu.
Sewaktu keluar daripada biliknya, matanya terpandangkan Hanan yang masih berada di meja kerjanya. Dan saat itu juga mata mereka saling beradu.
Hanan mengukir senyum pada Noah tapi Noah cepat-cepat melarikan wajahnya dan terus berlalu.
Hanan ketap bibir. Tangannya menggenggam kuat hujung baju yang dipakai.
Pain makes people change.
Share this novel