DERETAN bangunan pencakar langit menjadi paparan kornea matanya. Noah berdiri tegak tak berkutik di balkoni biliknya. Fikirannya mula teringatkan si dia. Agaknya apa tujuan Hanan kembali ke Malaysia?
Sungguh kehadiran Hanan buatkan hidupnya jadi tak tenteram. Kenangan lama mula datang menerpa. Semakin Noah cuba lupakan, semakin kuat ingatannya terhadap kenangan lama mereka.
“Kenapa awak kembali Hanan?” soal Noah sendiri. Cuma Hanan yang mampu menjawab soalannya itu.
Tekak yang terasa kering memaksa Noah untuk turun ke dapur. Dia masuk kembali ke dalam kamar. Sempat dia menutup kembali pintu gelongsor sebelum dia turun ke tingkat bawah.
Sebaik membasahkan tekak, Noah naik kembali ke tingkat atas. Sunyi saja keadaan rumahnya. Sunyi seperti selalu. Noah sudah terbiasa dengan keadaan ini. Memang dia tinggal sendiri. Kadang-kadang bila dia terlalu sunyi, barulah dia pulang ke rumah keluarganya. Tak jauh pun daripada rumahnya. Setengah jam saja.
Sebenarnya Noah baru saja pindah ke sini semula tahun lepas. Dia baru dapat kekuatan untuk tinggal di sini semula. Sebelum ini dia tak kuat untuk tinggal di sini. Terlalu banyak kenangan lama antara dia dan Hanan.
Sewaktu berjalan melalui bilik utama, langkah kaki Noah terhenti. Lama dia pandang pintu bilik itu. Tangannya perlahan-lahan naik menyentuh tombol pintu. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembus perlahan.
Belum sempat Noah memulas tombol pintu itu, dia cepat-cepat batalkan niatnya. Langkah terus diatur ke biliknya.
AWAL pagi lagi Hanan sudah tiba di pejabat. Apa yang berlaku semalam cuba dilupakan. Hari ini Hanan bawa semangat yang baru. Semangat yang tak akan mudah pudar. Dia tidak mahu mengalah. Takkan baru sehari dia sudah mahu mengangkat bendera putih kut?
Mata Hanan sedikit bengkak pagi ini gara-gara dia menangis teruk semalam. Bila dikenangkan semula, malu rasanya. Teruk sangat dia menangis. Puas juga Maimun nak pujuk dia. Sampai tersedu-sedan dibuatnya.
Selepas parking kereta, Hanan berjalan masuk ke dalam syarikat. Hari ini dia pakai baju kurung cotton berbunga kecil. Rambutnya yang panjang separas bahu dibiarkan lepas. Sedikit solekan ditambah pada wajah.
Kalau tanya kenapa dia pakai baju kurung, jawapannya adalah kerana Noah! Noah selalu puji dia bila dia pakai baju kurung. Noah cakap dia nampak ayu. Macam perempuan melayu terakhir. Dan... Yang paling penting sekarang ni, baju kurung cotton yang tersarung di tubuhnya ini adalah baju yang dihadiahkan oleh Noah sendiri. Dia masih simpan pemberian lelaki itu. Nasib baik juga masih muat.
Hanan yakin jika dia terus berusaha untuk memenangi hati Noah, suatu hari nanti pasti hati lelaki itu akan terbuka juga untuk menerimanya kembali. Yang penting dia akan usaha sehabis baik!
Tiba di lobi, Hanan terus menuju ke arah lif. Sewaktu menunggu pintu lif terbuka, Hanan terpandangkan Noah yang sedang berjalan ke arahnya. Bibirnya terus menguntum senyum. Noah masih tidak perasan lagi kehadirannya di situ.
Mata Hanan tak lepas daripada memandang lelaki itu. Alahai... Kacaknya! Tak lama kemudian ada beberapa orang staf datang menghampiri Noah. Mereka berbual sambil berjalan beriringan menuju ke arah lif.
Hanan tersenyum lebar melihat Noah yang ketawa bahagia itu. Sungguh dia rindu melihat Noah ketawa begitu. Tiba saja ke arahnya, senyuman Noah langsung mati saat terlihat Hanan. Cepat-cepat dia larikan matanya daripada bertembung dengan mata Hanan.
Bahu Hanan mengendur. Bibir diketap kuat menahan rasa. Jika dulu, Hanan menjadi penyebabnya mengapa Noah tersenyum. Berbeza pula dengan sekarang. Dia punca senyuman lelaki itu hilang.
Ting! Pintu lif terbuka. Mereka semua bergegas masuk ke dalam lif termasuk Hanan. Noah pula hanya berdiri di luar lif.
“Encik Noah tak nak masuk ke?” soal salah seorang staf di situ.
“Tak apa. Dah penuh tu. Saya tunggu lif yang lain,” balas Noah memberi alasan. Muat saja lagi kalau dia nak masuk ke dalam perut lif tu. Tapi disebabkan dia nak mengelak daripada satu lif dengan Hanan, sengaja dia mencipta alasan.
Akhirnya pintu lif tertutup. Noah menarik nafas perlahan. Dadanya diurut perlahan. Jantungnya berdegup kencang tika ini. Degup jantungnya ini masih sama. Masih sama seperti dulu.
Cepat-cepat Noah membuang rasa hatinya jauh-jauh. Tak mahu lagi terbuai dengan cinta yang sementara itu. Cukuplah sekali...
HANAN melangkah ke pantri untuk membancuh air. Pagi ini dia tidak sempat bersarapan di rumah. Sempat menjamah sekeping biskut oat je tadi. Ketika itu Linda dan Amy juga berada di pantri sedang bersarapan.
“Hai Hanan,” sapa Linda.
Hanan tersenyum kecil. “Hai,” sapanya kembali.
“Marilah makan sekali,” pelawa Amy.
“Saya nak bancuh air sekejap,” ujar Hanan.
Amy mengangguk kecil. Linda pula hanya memerhatikan saja gerak-geri Hanan. Dahinya berkerut halus. Pelik melihat mata Hanan yang kelihatan bengkak itu.
Amy jungkit kening sambil menepuk perlahan lengan Linda. Linda pula menjuihkan bibirnya ke arah Hanan. Amy angkat bahu. Ah, susah betul bila terpaksa berbual guna gerak tubuh je. Kalau nak bercakap, takut Hanan dengar pula nanti.
“Eh Amy, mengikut sumber yang dipercayai kau tu, perempuan yang rapat dengan Encik Noah tu dah lama ke bercerai dengan suaminya?” soal Linda. Pagi-pagi lagi dia dah buka cerita tentang Noah.
Terhenti terus pergerakan Hanan saat sebaris nama itu menyapa gegendang telinganya. Bibir diketap kuat. Tak sanggup nak dengar apa-apa lagi tentang perempuan yang sedang berhubungan dengan Noah sekarang ni. Lebih baik dia tak tahu apa-apa daripada tahu. Sekurang-kurangnya jika dia tidak tahu, tak adalah hatinya sakit.
“Entahlah.” Amy angkat bahu. Dia tak kaji habis lagi tentang wanita itu.
“Mesti Cik Zeti tu meroyan kalau tahu Encik Noah tu dah berpunya.” Linda ketawa. Dapat dia bayangkan kekecewaan gadis itu jika tahu Noah sudah berpunya.
Mana tidaknya, daripada dulu lagi Zeti menaruh perasaan pada Noah. Tapi Noah pula langsung tak layan. Pandang sebelah mata pun tidak.
Amy juga ketawa. “Padanlah muka si nenek kebayan tu. Tu lah, berlagak sangat. Macamlah Encik Noah tu nak dekat dia.” Mereka memang anti sikit dengan Zeti. Eh bukan sikit, banyak!
Hanan hanya menjadi pendengar dua sekawan itu berbual sambil dia membancuh air coklat panas.
“Lamanya bancuh air Hanan. Marilah sini makan cepat,” gesa Linda.
“Haa sekejap.” Hanan angkat mug yang berisi air coklat panas itu.
“Dah habis berbual?”
Prang! Terlepas terus mug yang berada di tangan Hanan. Terkejut apabila Noah tiba-tiba muncul di pantri.
Linda dan Amy pula jangan cakaplah. Macam nak terkeluar dah biji mata diorang bila figura Noah menyapa pandangan. Rasa nak tercekik pun ada. Tu lah, sebelum bercakap tak tengok kiri kanan dulu.
“Encik Noah.” Senyuman kelat dilayangkan untuk lelaki itu. Dengan pantas Linda dan Amy bergerak meninggalkan pantri. Tak sempat habis makan pun.
Hanan pula cepat-cepat mencangkung mengutip kembali serpihan kaca yang bertaburan di lantai. Nasib baiklah air coklat panas yang dia buat ini tidak terlalu panas. Jika tidak, mahu melecur tangannya. Ini pun dah sedikit merah gara-gara terkena air itu.
Sekarang ni tinggal dia dan Noah berdua je di pantri. Hanan dapat rasakan Noah sedang merenungnya tajam sekarang ni. Mesti Noah ingat dia pun turut sama bergosip tentang lelaki tu. Sumpah! Dia tak masuk campur langsung. Buka mulut pun tak. Cuma jadi pendengar saja.
“Auw!” Darah merah mengalir di jari Hanan gara-gara terkena serpihan kaca daripada mug tadi.
“Tinggalkan semua dekat situ. Pergi basuh luka awak tu. Nanti saya minta Kak Kiah kemaskan,” arah Noah.
“Takpa sa...”
“Pergi.” Kali ini suara Noah lebih keras daripada tadi.
Lambat-lambat Hanan bangun dan terus berlalu meninggalkan pantri.
Noah menggelengkan kepalanya perlahan. Nasib baik cuma sedikit lukanya. Noah tahu Hanan langsung tidak ada kena mengena dengan staf yang bergosip tentangnya tadi. Dia sudah berada di situ daripada awal lagi. Dia dengar semuanya dan dia sudah terbiasa dengan keadaan ini. Bukannya ini kali pertama dia mendengar staf di pejabat ini bergosip tentangnya. Entah apa yang menarik tentang hidupnya sampai begitu sekali mereka mahu ambil tahu.
Sudahnya Noah yang membersihkan serpihan kaca dan air yang tertumpah itu.
HANAN duduk di mejanya sambil menyiapkan kerja. Boleh tahan banyak juga kerja yang perlu dia buat. Semua ini arahan daripada Cik Zeti. Hanan hanya turutkan saja. Dah ini pekerjaannya. Buat sajalah.
Tiba-tiba Noah berhenti di hadapan meja kerjanya. Hanan tersentak dengan kehadiran mengejut lelaki itu. Mujur semua staf tengah sibuk buat kerja. Jadi tak ada siapa yang perasan kehadiran Noah.
Tanpa bicara, Noah meletakkan sekeping hansaplast bercorak disney princess di atas meja Hanan. Kemudian dia terus berlalu masuk ke biliknya.
Hanan terpinga-pinga. Dia ambil juga hansaplast itu lalu dibalut pada jarinya yang terluka tadi. Bibirnya menguntum senyum sambil membelek-belek jari yang berbalut hansaplast itu. Comel betul corak hansaplast ni!
‘Terima kasih abang...’ Hanan mampu ucap dalam hati saja.
Share this novel