BINGKAI gambar yang terletak di atas meja soleknya itu dicapai. Bibir menguntum senyum. Perlahan dibawa bingkai gambar itu ke dalam pelukannya. Hanan terbuai-buai perasaan sendiri.
“Hanan!”
Panggilan itu buatkan Hanan tersedar daripada lamunannya. Diletak kembali bingkai gambar itu ke tempat asalnya. Sempat dia mengerling cermin untuk melihat penampilannya pagi ini. Hari ini hari yang cukup istimewa buatnya. Sebab tu dia bersiap extra sikit pagi ni.
Sebelum meninggalkan bilik, Hanan sempat mencapai tas tangan berjenama LV miliknya. Laju saja dia melangkah keluar. Kalau lambat nanti, mahu satu taman perumahan ni dengar suara Maimun memanggil namanya.
“Mak.” Hanan menghampiri Maimun yang sudah pun duduk di meja makan.
“Lamanya kau bersiap Hanan. Nak pergi kerja je pun. Bukannya nak pergi fashion show,” sindir Maimun.
Hubungan mereka memang begini. Selalu saja dingin. Ada saja kelakuan Hanan yang tidak kena di matanya. Tapi jauh di sudut hatinya dia sangat sayangkan Hanan. Itulah saja anak yang dia ada. Satu-satunya harta paling berharga.
“Mak ni, memang lah Hanan nak pergi kerja je. Tapi mak pun tahu kan sekejap lagi Hanan nak jumpa siapa. Mestilah nak kena nampak extra cantik.” Laju je Hanan menjawab.
Maimun mencebikkan bibirnya. “Itu pun kalau dia masih sudi nak pandang kau lagi Hanan. Kalau mak jadi dia, tak hingin dah mak tengok muka kau.”
Hanan terdiam. Roman wajahnya terus berubah. Betul ke lelaki itu sudah tidak sudi memandangnya lagi? Ah, belum cuba belum tahu Hanan. Tak akan lah belum usaha dia sudah mahu mengalah. Tak. Itu bukan Hanan.
“Mak ni... Tak baik tau cakap macam tu.”
“Habis tu apa yang kau buat dekat dia dulu tu baik sangat lah? Ha?”
Hanan hilang diksi lagi. Kalau dengan Maimun, memang dia akan kalah.
“Mak ni bukannya apa Hanan, apa yang berlaku antara korang berdua dulu tu pun berpunca daripada kesilapan kau sendiri. Mak tak nak kau berharap lebih-lebih. Belum tentu dia masih sama macam dulu.”
Hanan mengangguk faham. Dia terima nasihat maknya itu. Dia juga tidak meletakkan harapan yang tinggi. Jika masih ada cinta di hati lelaki itu, adalah. Jika tidak, dia sendiri perlu mengundur diri.
“Kau faham kan maksud mak?” soal Maimun. Waktu Hanan buat keputusan tiga tahun lepas, dia lah orang yang membangkang keras keputusan Hanan. Tapi dia tak boleh nak halang lagi bila anaknya itu tekad membuat keputusan. Dah beri nasihat pun tetap tak jalan. Hanan bukan budak kecil lagi. Dia boleh buat keputusan sendiri.
Dan Hanan juga kena terima akibat daripada keputusan yang diambilnya itu.
“Hanan faham mak,” jawab Hanan perlahan. Antara dengar dengan tidak saja suaranya.
“Kau betul-betul nak kerja dekat sana?” soal Maimun meminta kepastian.
“Ya mak. Hanan dah tekad.”
“Takpalah kalau macam tu. Mak tak halang kau nak kerja kat mana kau nak. Tapi, betulkan niat tu dulu. Bekerja sebab nak cari rezeki. Bukan sebab dia.”
Hanan mengangguk lagi. Fuh, pagi-pagi lagi maknya itu dah buka nasihat. Tadah je lah telinga Hanan oi!
“Makanlah cepat. Lambat pula sampai ofis nanti,” gesa Maimun. Mi goreng yang dimasaknya tadi dicedokkan ke dalam pinggan Hanan. Saja masak makanan kegemaran Hanan pagi ini. Biar bertambah semangat Hanan untuk bekerja.
HANAN mendongak memandang bangunan lima tingkat itu. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. Debar jantung memukul dada. Hanan tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini tapi dia berharap semoga dia diberikan peluang sekali lagi. Peluang sekali lagi untuk memulakan semuanya daripada awal.
Lama Hanan berfikir sebelum dia buat keputusan untuk bekerja di sini. Banyak perkara yang dia pertimbangkan sebelum dia membuat keputusan. Tak mahu menyesal lagi seperti keputusan yang diambil tiga tahun lalu.
Dan Hanan berharap moga ada sinar bahagia menantinya di hadapan sana...
Dengan lafaz bismillah, Hanan memulakan langkah masuk ke dalam bangunan.
Sebaik masuk ke dalam, seorang wanita membawa Hanan terus ke pejabat Dato’ Jamil. Dato’ Jamil ialah pemilik syarikat Jamil’s Food.
Jalil’s Food adalah pengeluar makanan segera yang mudah untuk dimasak dan dibawa ke mana-mana. Ada pelbagai jenis makanan yang mereka keluarkan. Antaranya ialah makanan dalam tin, bihun dan mi segera dan produk terbaru mereka ialah makanan self-heating iaitu makanan yang boleh panas sendiri dengan hanya menggunakan apa saja jenis air. Sangat sesuai untuk dibawa melancong atau berkhemah.
“Selamat datang ke keluarga Jamil’s Food, Hanan,” ucap Dato’ Jamil.
Hanan tersenyum kecil sambil mengangguk perlahan. “Terima kasih Dato’ sudi terima saya bekerja di sini. Saya akan cuba berikan yang terbaik.”
“Sekejap lagi saya nak kenalkan awak dengan pengurus besar kita.”
Hanan tersenyum kelat menutupi rasa hati. Segugus debaran menggoncang dadanya. Sebentar saja lagi dia akan bertemu dengan lelaki itu. Entah bagaimana reaksi lelaki itu jika melihatnya nanti.
TELEFON bimbit milik Noah berbunyi menandakan ada pesanan masuk. Tangannya terus mencapai telefon bimbit yang diletakkan di sisi meja. Pesanan yang diterima itu terus dibuka. Pesanan daripada Balqis. Hujung bibir Noah ternaik sedikit saat membaca mesej yang dihantar oleh wanita itu.
Baru Noah ingin menaip membalas pesanan itu, tiba-tiba interkom miliknya berbunyi.
“Noah, masuk bilik saya sekejap. Saya nak kenalkan dengan staf baru kita,” minta Dato’ Jamil.
“Baik Dato’.”
Tanpa menunggu lama, Noah terus bangun dan berlalu meninggalkan pejabatnya. Dia sudah sedia maklum yang hari ini ada staf baru lapor diri.
Sedar tak sedar sudah hampir dua tahun Noah berkhidmat di sini. Daripada staf biasa sampailah diangkat menjadi pengurus besar. Noah benar-benar bersyukur dengan apa yang dia miliki sekarang ini. Walaupun dulu dia hampir hilang harapan untuk meneruskan hidup tapi akhirnya dia berjaya bangkit kembali mulakan hidup baru.
Tiba di hadapan bilik Dato’ Jamil, tangannya dihayunkan mengetuk pintu bilik majikannya itu.
“Masuk!” laung Dato’ Jamil daripada dalam.
Tombol pintu dipulas, Noah terus melangkah masuk. Sebaik dia masuk, dia ternampak batang tubuh seorang perempuan yang duduk berhadapan dengan Dato’ Jamil. Figura perempuan itu mengingatkan dia pada seseorang. Seseorang yang kini sudah jauh daripada hidupnya.
“Haa Noah, kenalkan ini staf baru kita. Hanan Qayra namanya.”
Noah terpaku di situ saat sebaris nama itu menyapa gegendang telinganya. Roman wajahnya berubah sekelip mata. Getar di dada mula terasa. Tak mungkin dia...
Saat Hanan bangun dan berpaling ke arahnya, Noah tergamam. Sah! Itu memang Hanan. Bekas isterinya. Apa yang Hanan buat di sini?
Alamak jumpa semula dengan ex wife!
Share this novel