enam

Romance Series 6447

SYED IKHWAN tersenyum pada Kayla yang sedang melangkah keluar dari balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tangan Darwish diangkat lalu dilambai-lambai ke arah Kayla. Syed Ikhwan menghulurkan anaknya pada Kayla. Sudah hampir dua minggu mereka tidak bertemu kerana Kayla ada penerbangan ke luar negara. Kayla mencium pipi Darwish berkali-kali. Rindu betul pada anak kecilnya itu.

"Abang sihat?" tanya Kayla sambil bersalam dengan suaminya itu.

Syed Ikhwan mengangguk. Dia terus mencapai bagasi Kayla lalu mereka sama-sama melangkah ke arah kereta. Hari ini mereka akan pulang ke rumah ibu bapa Syed Ikhwan. Syed Fadhil dan Puan Dahlia ingin mengadakan sedikit jamuan sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

"Darwin tak ganggu papa dengan ibu ke? Kayla rasa malu plak selalu sangat tinggalkan Darwin dekat rumah ibu dengan papa." Kayla memandang Syed Ikhwan yang sibuk memasukkan bagasi ke dalam kereta.

"Jangan risaulah. Darwin okay ja dengan ibu dan papa. Lagipun ibu yang nak sangat abang tinggalkan Darwin dekat sana. Sunyi katanya kalau Darwin tak ada." Syed Fadhil mengambil Darwish lalu diletakkan di dalam baby carseat.

Setelah selesai semuanya, Syed Fadhil memandu menuju ke rumah ibu bapanya.

"Kerja abang okay ke? Maaf Kayla tak ada untuk uruskan abang dua tiga hari ini. Boleh pula Kayla tinggalkan Darwish dengan Darwin dekat abang," ujar Kayla lalu menarik tangan kiri Syed Ikhwan lalu digenggam perlahan.

Syed Ikhwan tersenyum lalu membalas genggaman tangan Kayla.

"Kayla jangan risaulah. Abang okay sahaja. Kayla tumpu sahaja pada kerja. Lagipun ibu dan papa ada untuk bantu abang."

"Kayla okay ke nak pergi rumah ibu dan papa ni? Ziyaad ada di sana. Abang tak nak Kayla rasa tak selesa pula nanti," tanya Syed Ikhwan.

Kayla melepaskan keluhan. Dia malas nak mengenangkan perkara yang lepas. Baginya, perkara yang lepas memang tak mahu dikenang lagi. Sekarang, Ziyaad Uwais sudahpun bergelar abang iparnya.

"Abang jangan risau. Kayla okay saja." Kayla tersenyum riang.

Kereta yang dipandu oleh Syed Ikhwan kini memasuki perkarangan villa milik Syed Fadhil. Dari jauh kelihatan Puan Dahlia sedang menemani Darwin bermain di laman villa tersebut. Sebaik sahaja kereta diberhentikan, Darwin segera berlari ke arah ibu bapanya. Si kecil Darwin kelihatan sangat gembira apabila melihat wajah Kayla. Mungkin dia rindukan ibunya itu.

"Mama ada bawa toys untuk Darwin tak?" tanya Darwin dengan pelatnya.

Terjegil mata Kayla mendengar soalan Darwin. Itu sajalah yang akan ditanya setiap kali Kayla meninggalkannya untuk tempoh masa yang lama.

"Mama lupa la sayang. Tapi mama janji akan bawa Darwin pergi Toy R Us. Darwin boleh pilih apa yang Darwin nak," ujar Kayla.

Darwin memuncungkan bibirnya tanda merajuk. Dia terus memeluk tubuh lalu berlari ke arah Syed Ikhwan pula. Darwin masih lagi berharap papanya tak akan lupa bawa mainan untuknya.

"Papa tak lupa mainan Darwin." Syed Ikhwan menghulurkan mainan yang sempat dibelinya ketika dalam perjalanan menjemput Kayla tadi.

"Yes! Papa is the best." Darwin terus menarik tangan Syed Ikhwan dan memaksa papanya itu untuk tunduk. Sebuah ciuman terus dihadiahkan pada pipi Syed Ikhwan.

Puan Dahlia menghampiri anak menantunya. Syed Ikhwan dan Kayla terus bersalam dengan Puan Dahlia.

"Jom masuk. Papa dan Malaeka dah tunggu untuk minum petang," ujar Puan Dahlia sambil tersenyum.

"Eh! Malaeka pun ada. Bila dia balik?" tanya Kayla sambil berjalan seiring dengan ibu mertuanya.

"Dia baru saja sampai semalam. Ibu pun terkejut dia balik. Haritu dia cakap dengan ibu tak nak balik sebab nak pergi Ireland. Entah kenapa ubah fikiran pula."

Kayla mengangguk kepalanya. Sempat lagi dia mencuri pandang ke arah Syed Ikhwan yang sibuk melayan Darwin sambil mendukung Darwish. Si kecil itu tak habis-habis berborak dengan Syed Ikhwan. Entah apalah yang diceritakan agaknya. Mereka semua melangkah ke arah meja makan untuk minum petang bersama. Syed Fadhil dan Malaeka sedang berbual di meja makan sambil menunggu yang lain.

"Finally, dapat juga jumpa dengan Darwish," jerit Malaeka lalu mendapatkan Darwish.

Malaeka tidak pernah bertemu dengan Darwish lagi kerana dia menetap di Jepun. Malaeka memilih negara matahari terbit itu untuk melanjutkan pelajarannya. Maleka memicit pipi tempat Darwish. Kulitnya kemerahan sahaja. Mungkin tidak tahan dengan panas di luar tadi.

"Lama Malaeka cuti?" tanya Syed Ikhwan sambil mengambil tempat di meja makan.

"Lama juga. Sebulan lebih. Malaeka tengah cuti semester ni. Dapatlah balik rumah lama sikit," jawab Malaeka.

Kayla melangkah ke arah dapur untuk membantu Puan Dahlia menyediakan minuman petang. Keluarga Syed Fadhil hanya menggunakan pembantu rumah untuk mengemas rumah dan kerja-kerja lain sahaja. Bab memasak memang diserahkan kepada Puan Dahlia. Lagipun Syed Fadhil lebih gemarkan masakan isterinya. Waktu makan tengah hari di pejabat pun dia akan pulang ke rumah untuk makan.

"Macam mana dengan syarikat pakngah kamu?" tanya Syed Fadhil pada Syed Ikhwan.

"Alhamdulillah. Semuanya okay saja buat masa sekarang," jawab Syed Ikhwan.

Syed Fadhil melepaskan keluhan. Sepatutnya Syed Ikhwan uruskan syarikatnya sahaja. Entah kenapa anak sulungnya itu sibuk juga nak uruskan Panglima Holding. Disebabkan itu dia terpaksa uruskan syarikatnya bersendirian. Sedang leka mereka berbual, kelihatan kelibat Ziyaad Uwais melangkah masuk ke dalam rumah sambil melonggarkan tali lehernya.

"Ziyaad, mari duduk sini sebentar," panggil Syed Fadhil.

Ziyaad Uwais terpandang akan wajah Syed Ikhwan. Hatinya menjadi panas tiba-tiba.

"Maaf papa. Ziyaad penat. Ziyaad naik atas dulu." Ziyaad Uwais terus mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas.

Ziyaad Uwais terus menghempaskan tubuhnya di atas katil. Tubuhnya sanagt melekit disebabkan peluh yang mengalir. Sebenarnya dia baru sahaja pulang dari melawat tapak pembinaan. Tiba-tiba sahaja ada kemalangan yang berlaku di sana. Terpaksalah dia bergegas menguruskan apa yang patut. Matanya terus dipejamkan. Ikut hati nak saja terus tidur tanpa mencuci tubuhnya terlebih dahulu.

Tiba-tiba pintu biliknya ditolak perlahan. Ziyaad Uwais mengalihkan pandangannya ke arah pintu itu. Siapa pula yang menggangunya petang-petang begini? Tidak lama selepas itu, kelihat tubuh montel Darwin meghampiri lalu terus memanjat katil.

"Uncle Ziyaad penat?" tanya Darwin.

Ziyaad Uwais mendengus. Dia tak sukakan budak itu. Tapi kenapa Darwin selalu saja cuba menghampirinya. Pelbagai perkara yang sudah dilakukan agar Darwin menjauhinya. Tapi budak itu masih saja degil dan tetap menghampirinya.

"Kau pergi keluar sana. Sibuk saja nak ganggu orang," marah Ziyaad Uwais.

"Tapi Darwin nak duduk dengan Uncle Ziyaad. Darwin nak teman Uncle Ziyaad. Boleh kan?" Bibir kecil itu mula berkata-kata.

Ziyaad Uwais menolak Darwin sehingga ke hujung katil. Setiap hari mesti Darwin dengan beraninya akan masuk ke dalam biliknya. Sejak awal lagi dia tak suka apabila Puan Dahlia bersetuju untuk jagakan Darwin apabila Syed Ikhwan dan Kayla pergi kerja. Mereka boleh saja carikan pengasuh untuk jagakan Darwin seperti Darwish.

"Uncle Ziyaad nak air? Darwin boleh ambilkan."

Darwin melompat turun dari katil. Malangnya dia tersalah mendarat. Tubuh montelnya itu terus jatuh tertiarap di atas lantai. Darwin terus menangis sekuat hati kerana sakit. Ziyaad Uwais yang terkejut dengan apa yang berlaku terus mendapatkan Darwin. Setiap tubuh si kecil itu diperiksa.

"Kepala Darwin sakit." Darwin menggosok kepalanya sambil menangis.

Ziyaad Uwais menggosok dahi Darwin yang kebiruan. Tiba-tiba ada tangan menarik tubuh Darwin kuat. Terkejut Ziyaad Uwais dengan tindakan itu. Rupanya Kayla yang menarik tangan anaknya. Wanita itu memandangnya dengan pandangan tidak puas hati.

"Kalau tak suka anak saya sekalipun. Tak perlu awak nak sakitkan dia. Kalau benci sangat, awak boleh sakitkan saya," luah Kayla dengan penuh rasa geram.

"Eh! Kau ni dah kenapa. Aku tak sentuh pun anak kau. Dia yang jatuh sendiri," balas Ziyaad Uwais.

Kayla malas hendak bertekak dengan Ziyaad Uwais. Dia terus membawa anaknya kelaur dari bilik itu. Ziyaad Uwais tak sepatutnya melayan Darwin dengan kasar. Sebenarnya dah banyak kali dia melihat Ziyaad Uwais melayan Darwin dengan kasar. Tapi kali ini sudah keterlaluan.

"Eloklah kahwin dengan si Ikhwan yang berlagak hero tu. Dua-dua gila." Ziyaad Uwais menghamburkan kemarahannya.

Hubungannya dengan Kayla tidak pernah baik selepas peristiwa beberapa tahun lepas. Sebenarnya Ziyaad Uwais tidak mahu pulang ke Malaysia buat selama-lamanya. Dia ingin elakkan diri dari bertemu dengan Syed Ikhwan dan Kayla. Tapi atas permintaan Tan Sri Afham, dia kembali juga ke Malaysia. Ada perkara yang perlu dia selesaikan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience