tujuh

Romance Series 6447

HUJUNG MINGGU adalah hari yang sangat ditunggu oleh Marissa. Dia boleh lakukan apa sahaja yang dia inginkan tanpa perlu fikirkan tentang kerja. Marissa membawa langkahnya ke arah dapur. Bibirnya merekah dengan senyuman apabila ternampak ibunya sedang menyediakan sarapan di dapur. Hari minggu begini saja dia dapat makan bersama keluarganya.

"Ibu masak apa tu?" tanya Marissa sambil mengeluarkan sekotak susu segar daripada peti sejuk.

"Ibu masak simple saja. Ibu masak nasi goreng saja." Puan Hana tersenyum pada anak daranya itu.

Marissa mengangguk kepalanya. Dia melangkah ke arah kolam renang yang berada di luar rumah. Sunyi pula rumah hujung minggu ini. Ayahnya mesti dah keluar pergi main golf. Itu sajalah yang dilakukan oleh Encik Rahman pada hujung minggu begini. Baru saja Marissa hendak duduk di tepi kolam, ada orang menarik rambutnya dari belakang. Marissa terus memusingkan tubuhnya ke belakang.

"Emir!" jerit Marissa apabila melihat adiknya sedang tersenyum lebar kerana berjaya mengenakannya.

"Sorry kakak. Jarang Emir nampak kakak dekat rumah. Hari ini ada pula masa nak duduk rumah laa-lama," sindir Emir.

Laju saja tangan Marissa menampar peha adiknya itu.

"Emir tu yang jarang balik. Selalu balik rumah hari kakak kerja. Entah apa yang seronok sangat hari minggu duduk kolej. Rumah dengan kampus bukannya jauh pun."

Emir hanya tersengih mendengar bebelan kakaknya. Emir adalah mahasiswa tahun kedua di sebuah institut pengajian tinggi. Sebenarnya Emir memang lebih suka tinggal di kolej berbanding di rumah. Semua itu dapat memudahkan urusannya untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah. Lagipun hidup Emir agak bebas sedikit jika menetap di kolej. Di rumah asyik kena bebel dengan Puan Hana saja. Maklumlah, Emir suka buat hal sendiri.

"Kakak, Emir nak minta tolong sikit boleh?"

"Hmm... Apa lagi yang kamu nak? Duit?" tanya Marissa sambil memandang adik lelakinya itu.

"Bukan duit. Emir nak pergi travel dengan kawan-kawan cuti semester nanti. Tapi mesti ayah dengan ibu tak benarkan. Kakak tolonglah pujukkan. Emir janji guna duit sendiri. Tak minta duit sesiapa."

"Susahlah Emir. Kamu pun tahu kan ibu dengan ayah tu macam mana. Kakak yang dah kerja ni pun tak bebas lagi nak pergi mana-mana." Marissa memeluk tubuh.

Bibir Emir terus dimuncungkan. Memang benar apa yang Marissa cakap. Ibu bapa mereka tak seperti orang lain. Encik Rahman dan Puan Hana sangat menjaga pergaulan anak-anak mereka. Sejak peristiwa Marissa ditinggalkan oleh Syed Ikhwan, Encik Rahman sangat menjaga Marissa. Dia tak mahu hati Marissa disakiti lagi. Dia tahu apa yang dilalui oleh Marissa untuk terus bertahan. Sebenarnya, Marissa hampir saja berhenti belajar ketika di London dahulu.

"Tak apalah. Nanti kakak cuba pujuk ayah dengan ibu."

Emir terus memeluk kakaknya. Harap-harap pujukan Marissa berjayalah. Dia teringin sangat ikut kawan-kawannya pergi bercuti. Lagipun tak lama lagi dia akan tamat belajar. Mungkin tak akan bertemu dengan rakan-rakannya lagi. Masing-masing akan membawa haluan masing-masing.

"Kakak, malam ni kita keluar lepak nak? Dah lama kita tak keluar sekali kan."

"Boleh. Emir belanja okay," ujar Marissa sambil tersengih.

"Iyalah. Nasib badanlah dapat kakak kedekut," balas Emir sambil mencebik.

Marissa membulatkan matanya pada Emir. Sedap betul adiknya berkata-kata. Ada juga nanti makan penampar percuma.

"Emir, kakak nak cerita sesuatu ni."

Kepala Emir diangguk. Dia terus duduk di sebelah Marissa lalu merendam kakinya ke dalam kolam. Emir memang selalu menjadi pendengar setia kakaknya. Maklumlah, mereka hanya dua beradik sahaja. Sebab itulah mereka sangat rapat dan selalu berkongsi masalah.

"Syed Ikhwan dah kembali."

"Apa!" jerit Emir tidak percaya.

Marissa terus menutup mulut adiknya. Bising betul. Emir terus mengangkat kedua belah tangannya lalu meminta maaf pada Marissa.

"Dia salah seorang calon CEO tempat kerja kakak. So, setiap hari kakak jumpa dia. Memang tak dapat nak elak," tambah Marissa lagi.

"Kalau ayah tahu macam mana ni kakak. Mesti ayah suruh kakak berhenti kerja. Tak guna betul si Ikhwan tu."

Kepala Marissa digeleng perlahan. Dia juga tak dapat bayangkan jika Encik Rahman tahu akan perkara ini.

"Kakak harap sangat Emir dapat rahsiakan perkara ini. Kakak sayangkan kerja kakak." Marissa melepaskan keluhan

Emir tersenyum mendengar kata-kata Marissa. Perkara ini pasti sangat berat untuk kakaknya. Siapa sangka, Marissa akan bertemu kembali dengan Syed Ikhwan setelah bertahun lamanya.

"Malam ini Emir akan temankan kakak untuk tenangkan fikiran." Emir menarik tangan Marissa lalu digenggam perlahan.

??????????

BUNYI alunan gitar yang dipetik menarik perhatian Ziyaad Uwais. Pandangannya dihalakan ke arah tempat orang ramai berkumpul. Malam minggu begini memang ramai orang akan keluar. Dia terus membawa langkahnya ke arah kumpulan buskers yang sedang membuat persembahan. Suara penyanyi kumpulan itu sangat menarik perhatian. Tambahan lagu yang didendangkan pula sangat kena dengan diri Ziyaad Uwais.

"Kau termenung apa Ziyaad. Teringat kekasih hati ke?" tegur seseorang.

Ziyaad Uwais tersenyum melihat pemilik suara yang menegur.

"Kau ni memang tahu saja mana nak cari aku kan," balas Ziyaad Uwais pada rakannya, Aidil.

Aidil mendabik dada. Senang sangatlah nak cari Ziyaad Uwais malam minggu begini. Selalunya Ziyaad Uwais memang menghabiskan masa di Bukit Bintang pada malam minggu begini. Lelaki itu suka sangat duduk menghadap kumpulan buskers hingga berjam-jam lamanya.

"Aku rasa nak tarik dirilah. Aku penat nak gaduh dengan Ikhwan hari-hari. Aku penat berlakon kuat depan keluarga aku. Tak ada sesiapapun yang tanya aku okay ke tak lepas aku balik dari London. Paling aku sakit bila terpaksa hadap muka Kayla dan anak dia. Aku tak kuat Aidil," luah Ziyaad Uwais perlahan.

Aidil menepuk bahu rakannya perlahan lalu dia mengambil tempat di sebelah Ziyaad Uwais. Pandangan mereka dihalakan ke arah kumpulan buskers di hadapan. Aidil adalah salah seorang yang bersama dengan Ziyaad Uwais ketika lelaki itu membawa diri ke London. Ada sebab yang sangat kuat mengapa Ziyaad Uwais melarikan diri dari perkahwinannya dan Kayla.

Mana mungkin Ziyaad Uwais sengaja meninggalkan Kayla. Sudah hampir lima tahun mereka berkasih ketika sama-sama belajar di Chicago. Setelah tamat belajar, Ziyaad Uwais terus menyatakan niatnya untuk mengahwini Kayla. Tapi semua impian itu hancur begitu sahaja atas satu kesilapan.

"Kau kena kuat Ziyaad. Kau kena buktikan pada semua yang kau kuat. Aku pelik dengan kau. Kenapa kau tak ceritakan hal sebenar saja pada keluarga kau tentang Kayla?"

"Aku malas nak panjangkan cerita. Lagipun benda ini berkaitan dengan maruah semua orang."

Dalam diam Ziyaad Uwais memang ada memendam sesuatu. Tapi siapa sangka lelaki berhati keras ini masih fikirkan semua orang. Ada perkara yang tak perlu dikongsikan untuk kebaikan semua orang.

"Eh, kau tunggu sini kejap. Aku rasa aku nampak someone."

Ziyaad Uwais terpandang seseorang yang sangat dikenali. Bibirnya terus mengukir senyuman. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah Marissa yang sedang duduk termenung betul-betul di hadapan kumpulan buskers.

"Awak pun suka lepak sini?" tanya Ziyaad Uwais.

Marissa sangat terkejut apabila melihat Ziyaad Uwais di situ. Matanya terus melilau mencari Emir. Mana pula adiknya pergi? Mesti Emir terjumpa rakannya. Selalu sangat Marissa ditinggalkan bersendirian seperti ini.

"Err... Tuan Ziyaad buat apa di sini?" tanya Marissa pula.

"Tak perlulah awak nak bertuan dengan saya. Bukannya di office pun. Panggil saya Ziyaad saja."

Kepala Marissa diangguk perlahan. Kekok pula rasanya apabila bertemu dengan Ziyaad Uwais di luar waktu kerja. Marissa menggosok telapak tangannya yang mula berpeluh.

"Saya boleh pergi kalau awak tak selesa. Sorry." Ziyaad Uwais berura-ura ingin pergi. Dia tahu bahawa Marissa tidak selesa dengan kehadirannya.

"Ziyaad, duduklah," panggil Marissa.

Bibir Ziyaad Uwais merekah dengan senyuman. Dia kembali duduk di sebelah Marissa.

"Bagaimana caranya nak lupakan sesuatu yang bukan hak kita?" tanya Marissa tiba-tiba.

Ziyaad Uwais mengalihkan pandangannya ke arah Marissa.

"Kadang-kadang kita tak perlu lupakan perkara itu. Mungkin kita kena belajar menerima perkara baru untuk bina hidup yang lebih bagus. Biar saja memori indah itu jadi kenangan dalam diri kita." Ziyaad Uwais tersenyum.

"Tapi, semua tu menyakitkan." Marissa tersenyum pahit.

Ziyaad Uwais kehilangan kata. Dia tahu apa yang berlaku di antara Syed Ikhwan dan Marissa. Sebenarnya Ziyaad Uwais dan Syed Ikhwan sangat rapat dahulu. Semua perkara akan dikongsi bersama. Ziyaad Uwais sangat tak sangka Syed Ikhwan sanggup tinggalkan Marissa kerana mahu menggantikan tempatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience