prolog

Romance Series 6447

London, United Kingdom

SUASANA di sekitar Sungai Thames agak lengang dan sunyi. Salji yang turun juga sudah hampir menyelimuti seluruh Kota London. Suhu ketika itu hampir mencecah -15°c. Marissa memeluk tubuh lalu mengusap bahunya berkali-kali dan berharap ada haba panas yang mampu memanaskan tubuh. Jaket tebal yang tersarung pada tubuhnya langsung tidak menghilangkan rasa sejuk. Jarum jam di tangan sudah menunjukkan hampir pukul 3:00 petang. Sekejap lagi pasti matahari akan terbenam kerana waktu siang akan menjadi lebih pendek apabila tiba musim sejuk. Marissa menyeluk tangan ke dalam beg sandang mencari sesuatu. Dia terus mengeluarkan telefon bimbit lalu mendail nombor telefon seseorang. Berkali-kali juga dia cuba menghubungi, tapi langsung tidak dijawab.

"Mana awak pergi pula ni Ikhwan?" Marissa merungut.

Sudah dua jam dia menunggu Syed Ikhwan di situ. Mereka sudah berjanji hendak bertemu pada jam 1:00 petang. Tapi, kelibat Syed Ikhwan langsung tidak kelihatan di situ. Marissa sudah mula resah. Belum pernah lagi Syed Ikhwan memungkiri janji sepanjang mereka kenal. Dia akan menunggu selama 30 minit lagi. Jika Syed Ikhwan tidak muncul juga, dia sendiri akan pergi mencari lelaki itu. Tapi hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang telah berlaku pada lelaki itu.

"Kau buat apa di sini Marissa?" tegur seorang lelaki bernama Haizar.

"Aku tunggu Ikhwan. Dia cakap nak jumpa aku di sini. Kau ada nampak dia tak? Aku telefon langsung tak jawab."

Haizar melepaskan keluhan. Dia terus duduk di sebelah Marissa. Niatnya hendak terus pulang dimatikan.

"Ikhwan dah balik ke Malaysia dua hari lepas. Dia tak akan kembali ke sini lagi. Dia akan berkahwin dengan pilihan keluarganya," ujar Haizar satu persatu.

Kata-kata Haizar umpama renjatan elektrik yang menyedarkan Marissa daripada mimpinya. Tak mungkin Syed Ikhwan bertindak begitu. Marissa mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghubungi Syed Ikhwan. Berkali-kali dia mendail nombor telefon lelaki itu. Hampir sahaja dia menghempas telefon bimbit ke atas lantai apabila dia sedar dirinya sedang diperbodohkan. Air mata Marissa sudah laju mengalir.

"Kau tipu aku kan? Ikhwan takkan tinggalkan aku begini. Dia dah janji nak hidup bersama dengan aku setelah tamat belajar. Dia tak pernah mungkir janji." Marissa menumbuk dada Haizar berkali-kali. Semakin lama, tumbukan itu menjadi semakin perlahan.

Haizar memegang tangan Marissa. Kasihan juga dia melihat gadis itu. Sudah hampir empat tahun Syed Ikhwan dan Marissa berkasih. Dia juga terkejut sewaktu Syed Ikhwan memberitahunya tentang perkahwinan itu. Tak sangka pula Syed Ikhwan nekad menurut sahaja rancangan keluarganya.

"Aku harap kau kuat untuk lalui semua ini. Aku minta diri dulu." Haizar melepaskan tangan Marissa.

Pemuda itu terus melangkah pergi meninggalkan Marissa sendirian. Fikiran Marissa berserabut dan hatinya hancur. Tiada kata yang dapat diungkapkan untuk menjelaskan apa yang dia rasa. Mungkin inilah rasanya bila cinta dikhianati. Sungguh dia tidak percaya semua ini sangat sakit untuk diterima.

Marissa mengesat kasar air mata yang degil mengalir. Dia membawa langkahnya melintasi jambatan Westminster. Dari atas jambatan itu, dia dapat melihat menara Big Ben dengan jelas. Air matanya mengalir lagi. Semua yang dilihat akan mengingatkannya kepada Syed Ikhwan. Tempat ini selalu menjadi tempat pertemuan mereka.

"Kenapa kau khianati aku Ikhwan? Apa salah aku pada kau? Kenapa kau tinggalkan aku tanpa sebab?" Pelbagai persoalan mula keluar dari bibir Marissa.

Tiba-tiba telefon bimbit Marissa berdering. Dia segera mengesat air matanya lalu mengeluarkan telefon bimbit dari beg tangan. Senyuman terukir di bibirnya apabila melihat nama Syed Ikhwan tertera pada skrin telefon.

"Ikhwan, kenapa buat saya begini? Awak tak sayangkan saya ke?" tanya Marissa bertubi-tubi.

Syed Ikhwan melepaskan keluhan di hujung talian. Keluhan yang sangat berat dan penuh dengan rasa bersalah.

"Hubungan kita sampai di sini saja. Saya harap kita tak akan berhubung lagi. Selepas ini saya akan mulakan hidup baru. Saya harap awak tak akan ganggu saya lagi."

"Apa yang awak cakap ni? Awak ingat perasaan saya terhadap awak selama ini hanya barang yang tidak ada nilai. Saya sayangkan awak Ikhwan. Apa salah saya pada awak?" rayu Marissa dalam tangisannya. Dia sudah tidak kesah orang ramai yang melihatnya.

"Sudahlah Marissa. Aku memang tak sayangkan kau. Aku cuma main-main sahaja selama ini. Aku harap kau boleh terima. Cinta kau pada aku terlalu murah. Tersangat murah."

Marissa terus menamatkan panggilan telefon. Dia sudah tidak sanggup mendengar kata-kata lelaki itu. Kenapa dia terlalu bodoh kerana mudah percaya pada lelaki itu? Marissa juga seperti tidak mengenali Syed Ikhwan yang bercakap dengannya melalui panggilan telefon sebentar tadi. Syed Ikhwan yang dikenalinya penuh dengan perasaan rendah diri dan sangat hormat pada orang. Bicaranya juga tidak pernah kasar.

??????????

Kuala Lumpur, Malaysia

SYED IKHWAN melepaskan keluhan berat setelah Marissa menamatkan panggilan telefon. Berat hatinya hendak meluahkan kata-kata tersebut. Tapi dia terpaksa melakukan itu semua. Dia sangat yakin bahawa Marissa pasti sudah benci padanya. Mudah sahaja untuk hilangkan kepercayaan gadis itu memandangkan bertahun sudah dia mengenali Marissa.

"Ikhwan sudah siap?" soal Puan Dahlia.

Syed Ikhwan mengangguk. Pantulan tubuhya yang lengkap berbaju Melayu di dalam cermin dipandang lama. Hari ini dia akan menamatkan zaman bujangnya. Keputusan ini sangat berat sebenarnya. Tapi dia perlu lakukan demi maruah keluarganya.

"Terima kasih kerana sanggup lakukan semua ini. Mummy sangat terhutang budi pada Ikhwan." Puan Dahlia memeluk bahu anak terunanya itu.

Bibir Syed Ikhwan mengukir senyuman pahit sambil membalas kembali pelukan Puan Dahlia. Puan Dahlia menghamburkan tangisan dalam pelukan anak terunanya. Hatinya terlalu sedih apabila fikirkan nasib Syed Ikhwan. Semua ini tak akan berlaku jika anak sulungnya tidak larikan diri daripada pernikahan ini. Dia terpaksa merayu pada Syed Ikhwan untuk menggantikan tempat abangnya.

"Kalau Ikhwan nak batalkan pernikahan ini, cakaplah pada ibu. Masih sempat lagi. Ibu rela dimalukan daripada korbankan perasaan anak ibu," pujuk Puan Dahlia.

Syed Ikhwan menggeleng.

"Ikhwan akan teruskan pernikahan ini. Ikhwan ikhlas lakukan semua ini."

Pihak pengantin perempuan enggan membatalkan pernikahan ini kerana perkara ini akan memalukan mereka. Akhirnya mereka meminta Syed Ikhwan untuk menggantikan tempat abangnya. Pada awalnya Syed Fadhil dan Puan Dahlia enggan menerima cadangan pihak pengantin perempuan. Tapi apabila difikirkan mengenai persiapan yang sudah dilakukan, mereka terpaksa. Puan Dahlia juga tidak sangka bahawa Syed Ikhwan akan bersetuju semudah itu.

Tokk! Tokk! Tokk!

Kedengaran pintu bilik hotel Syed Ikhwan diketuk. Syed Ikhwan segera mengesat air matanya ibunya yang galak mengalir. Dia tidak mahu orang lain melihat kesedihan pada raut wajah ibunya. Biarlah dia yang berkorban untuk keluarga pula pada kali ini.

"Papa minta abang Ikhwan dan ibu turun ke dewan akad nikah. Sekejap lagi pengantin perempuan pula akan turun." Malaeka menghampiri ibu dan abangnya.

"Malaeka temankan abang Ikhwan ya. Ibu turun bawah dahulu," pesan Puan Dahlia lalu keluar dari bilik tersebut.

Syed Ikhwan memandang cermin untuk kesekian kalinya. Dia membetulkan sampin songket yang terikat pada pinggangnya. Setelah puas dengan kekemasan sampin itu, Syed Ikhwan mencapai songkok lalu disarungkan pada kepalanya.

"Abang Ikhwan okay ke?" tanya Malaeka sambil menggenggam tangan abangnya itu.

"Abang okay sayang. Malaeka janganlah risau. Abang terima semua ini dengan hati yang terbuka."

"Abang tak sayangkan kakak Marissa?"

Soalan Malaeka menyentap hati Syed Ikhwan. Mestilah dia sayangkan gadis itu. Tapi biarlah rasa sayang itu hilang dengan sendirinya. Sayang pada keluarga lebih penting buat masa sekarang.

"Sudahlah. Jom kita turun ke bawah." Syed Ikhwan menarik tangan adiknya lalu digenggam. Mereka sama-sama melangkah meninggalkan bilik tersebut menuju ke arah lif.

Syed Ikhwan sudah mula rasa gementar apabila melangkah masuk ke dalam lif. Inikah rasanya bila seorang lelaki itu bakal menerima satu tanggungjawab baru. Matanya dipejam rapat buat seketika. Tiba-tiba terasa ada tangan sedang menepuk dadanya perlahan. Bibirnya mengukir senyuman melihat Malaeka. Adiknya sedang cuba menenangkan dirinya.

"You can do it abang," bisik Malaeka.

Wajah Syed Fadhil dan Puan Dahlia menyapa sebaik sahaja pintu lif terbuka. Syed Fadhil terus memeluk tubuh anak terunanya. Ucapan terima kasih dibisik pada pada telinga Syed Ikhwan. Air mata jantannya juga hampir gugur melihat senyuman pahit Syed Ikhwan. Kenapa Syed Ikhwan mahu berkorban demi keluarga lagi?

Pintu dewan akad nikah dibuka. Hiasan di dalam dewan itu dipenuhi bunga berwarna putih dan biru lembut. Tetamu juga memenuhi ruang dewan tersebut dan hanya menunggu pasangan pengantin sahaja. Syed Ikhwan menarik nafas sedalam-dalamnya lalu dihembus perlahan. Langkahnya terus diatur ke dalam dewan. Bibirnya merekah dengan senyuman. Cahaya dari lensa kamera terus berkerlipan sebaik sahaja Syed Ikhwan melangkah.

Pentas akad nikah dipandang kosong. Terdapat beberapa orang lelaki berjubah sudah menantinya. Syed Ikhwan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan lelaki-lelaki berjubah tersebut.

"It's okay Ikhwan. Papa ada di sini untuk temankan Ikhwan." Syed Fadhil melabuhkan duduk di belakang anaknya. Bahu Syed Ikhwan diusap perlahan.

Tidak lama selepas itu, pengantin perempuan diarak masuk ke dewan akad nikah. Syed Ikhwan sudah tidak senang duduk. Rasa gemuruh mula menerpa dalam dirinya. Ini kali pertama dia meihat wajah bakal isterinya. Tok kadi dan juga bapa kepada pengantin perempuan turut masuk ke dalam dewan dan menghampiri pentas akad nikad.

Tok kadi memulakan upacara akad nikah dengan membacakan khutbah nikah yang ringkas. Tangan Syed Ikhwan sudah mula berpeluh. Sebaik sahaja tamat bacaan khutbah nikah, tok kadi menghulurkan tangannya pada Syed Ikhwan.

"Sudah bersedia?" tanya tok kadi.

Syed Ikhwan mengangguk lalu menyambut tangan tok kadi. Dia hanya menanti saat-saat untuk melafazkan akad nikah sahaja. Fikirannya sangat kosong ketika itu. Hatinya juga sedikit berdebar.

"Aku terima nikahnya Khayla Adelia Binti Tan Sri Mokhtar dengan mas kahwinnya RM 1 500 tunai." Lancar sahaja lafaz akad nikah yang keluar dari bibir Syed Ikhwan.

Akhirnya dua orang saksi yang berada di sini Syed Ikhwan mengesahkan pernikahan tersebut. Tok kadi membacakan sedikit doa menandakan upacara berkenaan selamat dijalankan.

"Tahniah Ikhwan." Syed Fadhil memeluk bahu anaknya.

Syed Ikhwan bersalaman dengan bapa mertuanya iaitu Tan Sri Mokhtar. Setelah itu dia menghampiri pelamin yang berada di sebelah pentas akad nikah. Pandangannya jatuh pada wajah manis Khayla. Rambut isterinya yang panjang dibiarkan mengurai melepasi bahu. Perlahan-lahan Syed Ikhwan mengangkat tangannya lalu diletakkan di atas ubun-ubun Khayla.

"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikannya yang Engkau ciptakan padanya. Dan aku berlindung pada-Mu daripada keburukannya dan dari keburukannya yang Engkau ciptakan pada dirinya."

Khayla mencium tangan Syed Ikhwan sebaik sahaja suaminya menurunkan tangan daripada ubun-ubunnya. Perasaannya juga tidak keruan ketika itu. Bersyukurkah dia apabila dikurniakan suami sebaik Syed Ikhwan untuk menggantikan lelaki yang melarikan diri itu.

"Terima kasih," ucap Kayla pada Syed Ikhwan. Air matanya terus mengalir laju sejurus selepas itu.

"It's okay." Syed Ikhwan mengesat air mata isterinya.

Setelah itu, Syed Ikhwan meminta diri untuk menunaikan solat sunat selepas nikah. Tersentuh hati Kayla melihat keikhlasan Syed Ikhwan. Hatinya diterpa rasa bersalah kerana pentingkan diri sendiri untuk teruskan juga pernikahan ini. Tapi dia terpaksa untuk teruskan semua ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience