tiga

Romance Series 6447

MARISSA AURORA membuang pandang ke luar tingkap kereta. Hatinya tidak senang apabila bertemu dengan Syed Ikhwan sebentar tadi. Sesekali dia mengeluh apabila mengingati kata-kata Syed Ikhwan. Ah! Syed Ikhwan yang berubah dahulu. Bukannya dia. Kenapa pula dia yang disalahkan. Perkara seperti inilah yang sangat ditakuti oleh dirinya. Sejauh manapun dia berlari, pasti takdir akan menemukan mereka juga.

"Awak okay ke Cik Marissa?" tanya Ziyaad Uwais yang sedang memandu di sebelah.

Sejak masuk ke dalam kereta tadi, Marissa hanya mendiamkan diri sahaja hinggakan Ziyaad Uwais merasakan dirinya tak wujud. Perjalanan ke tapak pembinaan mengambil masa selama satu jam. Tak mungkin mereka akan berdiam sahaja. Sekurang-kurangnya, Marissa perlu menerangkan mengenai tapak projek yang bakal dilawati sebentar tadi.

"Maafkan saya Encik Ziyaad. Saya rasa kurang sihat pula," tipu Marissa.

"Kenapa awak tak cakap awal-awal? Kalau saya tahu awak tak sihat, tak perlu kita turun site hari ini." Ziyaad Uwais melepaskan keluhan.

Keluhan Ziyaad Uwais jelas kedengaran pada telinga Marissa. Pasti lelaki itu rasa bersalah sekarang. Tidak patut dia memberi alasan itu. Dia juga tidak sepatutnya mencampur aduk hal peribadi dan juga hal kerja.

"Eh tak apa Encik. Saya dah makan ubat tadi. Sekejap lagi hilanglah. Lagipun saya selalu saja begini. Mungkin tak cukup rehat."

"Kita balik ke office. Saya tak rasa keadaan awak membolehkan kita pergi site. Lain kali saja kita pergi." Ziyaad Uwais memandu ke arah lampu isyarat berhampiran untuk membuat pusingan U.

Marissa menampar mulutnya perlahan. Itulah kau, nak cakap fikir dulu. Tak pasal-pasal hal kerja dibatalkan pula.

"Maafkan saya Encik Ziyaad," ucap Marissa perlahan.

"Awak tak salahpun. Lagipun hal mengenai kesihatan tak boleh dibuat main. Saya tak nak pula pekerja-pekerja saya dibebani hal pekerjaan hingga beri kesan pada kesihatan. Lagi satu, kaki awak okay ke? Kenapa awak jalan macam tu tadi?" Ziyaad Uwais mencuri pandang ke arah Aurora di sebelah.

"Eh! Dia nampak aku jatuh ke tadi. Takkanlah. Aduh, aku dah cukup cover jalan tadi." Marissa memandang kakinya yang semakin membengkak.

Sebenarnya, kakinya juga sudah mula bengkak selepas jatuh tadi. Mungkin disebabkan dia masih terus memakai heels. Manalah dia bawa kasut lain dalam pejabat tu. Lagipun hari ini memang tak ada dalam perancangan untuk Marissa turun ke tapak pembinaan. Jadi dia hanya mengenakan heels saja untuk kerja di dalam pejabat.

"Saya bawa awak ke klinik dulu." Ziyaad Uwais menggeleng-geleng kepalanya.

"By the way Marissa, kalau awak nak cakap sesuatu pada saya. Cakap ja. Tak perlulah awak terkumat-kamit macam baca jampi. Saya di sebelah awak ja." Kali ini Ziyaad Uwais benar-benar mengenakan Marissa.

Ziyaad Uwais tersenyum sinis apabila melihat Marissa mengalihkan pandangan ke luar tingkap buat kesekian kalinya. Kereta yang dipandu oleh Ziyaad Uwais kini menghampiri sebuah klinik swasta.

"Awak tunggu sini. Saya ambil wheelchair." Ziyaad berura-ura untuk pergi. Tapi langkahnya dihentikan apabila Marissa memanggil.

"Encik Ziyaad, saya boleh jalan sendiri." Marissa berpaut pada pintu kereta lalu bangun berdiri. Malangnya kakinya terlalu sakit untuk berdiri lebih lama.

Ziyaad Uwais mengeluh. Kenapalah degil sangat pekerjanya ini. Ah lupa, perempuan memang begini. Tak mahu tunjuk lemah depan lelaki. Ziyaad Uwais sudah masak benar dengan perempuan yang bersikap begini.

"Awak pilihlah. Nak naik wheelchair atau nak saya sendiri angkat awak masuk ke dalam," ugut Ziyaad Uwais sambil mengangkat tangannya dan berpura-pura hendak mengangkat Marissa.

"Okay... Okay... Encik ambilkan wheelchair." Akhirnya Marissa mengalah.

Ziyaad Uwais tersenyum kemenangan. Dia terus melangkah masuk ke dalam klinik. Tidak lama selepas itu dia keluar bersama dengan seorang jururawat yang membawa kerusi roda. Ziyaad Uwais menghulurkan pertolongan pada Marissa untuk duduk di atas kerusi roda.

"Awak masuk dalam dulu. Jangan risau, doktor di dalam tu kawan saya. Awak bernasib baik tak perlu tunggu lama-lama. Saya dah request untuk rawat awak terus." Ziyaad Uwais memeluk tubuh.

Sudah hampir 15 minit setelah Aurora masuk ke dalam bilik rawatan. Ziyaad Uwais memerhati saja jam di pergelangan tangan. Kenapa lama sangat ni? Ziyaad Uwais berjalan mundar-mandir di hadapan pintu bilik rawatan. Tidak lama selepas itu, pintu bilik rawatan dibuka. Kelihatan Marissa dipapah keluar oleh seorang jururawat. Dia meminta untuk berjalan dan tidak mahu duduk di atas kerusi roda.

"Long time no see bro. Ini baru ada masa nak borak dengan kau. By the way, pekerja kau ni degil sangat. Aku periksa BP dia tadi. Boleh tahan tak stabil. Work overload rasanya ni. So, aku suruh dia rehat di dalam tadi. Mujurlah bacaan stabil selepas dia rehat sekejap. Kalau tidak memang aku refer dia ke hospital," ujar Dr Ammar.

"Fuh! First day start kerja pun aku dah berhadapan dengan pekerja yang rajin terlampau ni. Nampaknya, aku kena pantau setiap pekerja aku. Nanti terlebih rajin macam Cik Marissa kita ni. Tak pasal-pasal syarikat kena saman sebab pekerja terlebih rajin," sindir Ziyaad Uwais.

Marissa hanya mendiamkan diri sahaja. Matanya tertumpu pada kaki yang berbalut. Baguslah Marissa, kau dah main drama dengan boss baru kau. Hari pertama berjumpa, dah macam-macam hal kau buat.

Ziyaad Uwais mengambil masa berbual dengan rakannya sementara menunggu ubat. Mujurlah tiada pesakit, bolehlah mereka berbual lama sedikit.

"Jom balik." Ziyaad Uwais terus melangkah keluar dari klinik tanpa menunggu Marissa.

Tak guna punya boss. Sekurangnya tolonglah aku. Ini tidak, terus saja jalan keluar. Marissa mengatur langkah perlahan-lahan. Kedua-dua belah kakinya terpaksa berkaki ayam.

"Boleh ke tidak Cik Marissa?" tanya Ziyaad Uwais sambil menyandarkan tubuh pada kereta.

Marissa mengangguk lalu mencebik. Ziyaad Uwais yang perasan akan reaksi wanita itu hanya ketawa perlahan. Itulah, siapa suruh degil sangat. Tadi berlakon sangat tak sihat, kan dah tak sihat betul.

"Saya terus hantar awak balik. Esok tak perlu datang kerja. Lagipun saya tak nak jadi majikan yang tak ada hati perut ni."

"Tapi, kerja saya banyak lagi. Banyak lagi pelan yang belum diperiksa. Saya tak nak curi tulang." Marissa mula gelisah.

Ziyaad Uwais menjegilkan matanya pada Marissa. Tak habis-habis dengan kerja.

"Awak patut bersyukur dapat majikan baik seperti saya. First day saya kerja pun dah baik hati hantarkan pekerja ke klinik siap bagi cuti lagi. Untung awak ada majikan macam saya ni. Hmmm." Ziyaad Uwais kalau bab puji diri sendiri memang suka melebih.

Marissa sempat lagi mengutuk lelaki itu dalam hati. Kuat perasan rupanya. Alang-alang orang dah bagi cuti tu ambil sajalah. Ini memang kesempatan yang baik untuk Marissa. Tak perlulah dia bertemu dengan Syed Ikhwan esok. Ziyaad Uwais memboloskan dirinya ke dalam kereta lalu mula memandu.

"Kenapa Encik Ziyaad mengaku sebagai pekerja baru temph hari?" tanya Marissa tiba-tiba.

"Saja." Hanya itu sahaja balasan Ziyaad Uwais.

Marissa memeluk tubuh. Tak puas hati betul dengan jawapan Ziyaad Uwais.

"Saya saja nak check ada pekerja curi tulang tak. Mujurlah awak makan tu memang time rehat kan." Ziyaad Uwais sengaja mengenakan Marissa.

"Encik jangan macam-macam. Saya tak pernah curi tulang tahu," balas Marissa.

Tawa Ziyaad Uwais terus meletus. Tiba-tiba emotional pula nak Marissa ni.

"Ya Marissa. Saya tahu awak tak pernah curi tulang. Tan Sri Afzam selalu puji awak. Nampaknya awak adalah salah seorang pekerja kepercayaan dia. Jarang uncle saya nak puji orang begitu."

Dalam diam Marissa tersenyum mendengar kata-kata Ziyaad Uwais. Sebenarnya, Marissa memang agak rapat dengan Tan Sri Afzam sejak mereka sama-sama menguruskan beberapa projek. Darren juga menjadi antara orang terpenting apabila Tan Sri Afzam ingin menguruskan projek baru. Selalunya Marissa dan Darren akan berada dalam kumpulan yang sama untuk menguruskan sesuatu projek.

"Marissa, tolong masukkan nombor telefon awak. Senang sikit saya nak whatsapp awak kalau ada apa-apa urusan." Ziyaad Uwais menyerahkan telefon bimbitnya.

"Taktik lama la nak minta nombor telefon," sindir Marissa sambil memasukkan nombor telefonnya ke dalam telefon bimbit Ziyaad Uwais.

Ziyaad Uwais menjegilkan matanya pada Marissa. Wah! Boleh tahan juga Marissa ini. Marissa membuang pandang ke arah luar tingkap kereta. Sebenarnya dia berasa sedikit lega kerana tidak perlu masuk kerja esok. Dapatlah dia elakkan diri daripada berjumpa dengan Syed Ikhwan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience