empat

Romance Series 6447

SYED IKHWAN terjaga dari tidurnya apabila terdengar suara tangisan anaknya yang berusia satu tahun. Terpisat-pisat dia bangun sambil menggosok mata. Botol susu kosong di sebelah katil dicapai lalu dia membawa langkahnya turun ke dapur. Sesekali Syed Ikhwan menguap menahan rasa mengantuk. Beginilah rutinnya sejak dua bulan yang lalu. Ada isteri pun macam tak ada isteri. Kadang-kadang timbul juga rasa menyesal di hati kerana membenarkan Kayla bekerja semula sebagai pramugari. Tapi dia sedar bahawa isterinya itu juga mempunyai impian untuk dicapai.

Usai membancuh susu, Syed Ikhwan kembali ke bilik tidur. Anak kecilnya yang menangis di dalam baby cot diangkat ke pangkuan. Botol susu dihulurkan pada si kecil itu lalu Syed Ikhwan menepuk peha anaknya perlahan. Jadual penerbangan Kayla sangat padat untuk bulan ini. Terpaksalah dia mengambil alih tugas menjaga anaknya. Susah juga untuk Syed Ikhwan menjaga anaknya disebabkan dia sudah masuk kerja di Panglima Holdings.

"Sayang rindu mama ya. Kesian anak papa. Esok mama balik jumpa Awish ya."

Habis saja meminum susu, Darwish terus tertidur dalam dakapan Syed Ikhwan. Bibir Ikhwan mengukir senyuman melihat wajah bersih Darwish. Wajah anaknya itu persis wajah Kayla. Jika dahulu perkahwinan mereka bukan atas dasar cinta. Tapi kini, dia mengakui bahawa dia semakin sayangkan isterinya itu. Mungkin terlalu lama masa yang diambil untuk memupuk rasa cinta itu. Sekurangnya luka dihatinya dapat dirawat dengan tempoh masa yang tertentu.

Tiba-tiba dia teringatkan pertemuannya dengan Marissa di Panglima Holdings siang tadi. Dalam diam dia mengakui kecantikan wanita itu. Marissa kelihatan sangat matang. Mungkin matang disebabkan kenangan silam di antara mereka berdua. Sudah berkahwinkah dia? Soalan itu yang bermain di fikiran Syed Ikhwan sejak siang tadi.

Jarum jam sudah menunjukkan hampir pukul 5:00 pagi. Syed Ikhwan meletakkan kembali anaknya di dalam baby cot. Dia harus memeriksa beberapa buah fail dari jabatannya. Lagipun esok Syed Ikhwan akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Sumber Manusia. Semua perkara harus diteliti dengan sebaiknya. Syed Ikhwan membawa langkah ke arah meja kerja di sudut bilik. Lampu kecil dinyalakan pada ruang kerjanya sahaja. Dia tak mahu tidur Darwish terganggu apabila dia menghidupkan lampu seluruh bilik.

Syed Ikhwan membuka laci meja untuk mengambil kaca mata. Tapi, dia terpandang sekeping polaroid yang berada di dalam laci itu. Semua kenangan ketika di London kembali menerjah fikirannya. Bibirnya mengukir senyuman apabila melihat polaroid itu. Saat-saat yang agak bahagia untuk dirinya dan juga Marissa. Polaroid ini diambil beberapa hari sebelum dia pulang ke Malaysia untuk bernikah dengan Kayla.

"Marah betul awak dengan saya kan. Saya minta maaf. Saya tak sengaja untuk lukakan hati awak Marissa. Saya dah rampas kebahagiaan awak yang telah kita bina bersama. Saya memang layak dapat semua layanan dingin awak," bisik Syed Ikhwan.

Syed Ikhwan melepaskan keluhan. Satu persatu kenangan ketika di London diingati. Di sana, dia banyak menghabiskan masa dengan Marissa. Mereka juga selalu saja bekerjasama dalam pelajaran. Ya, mereka sangat bahagia ketika itu hinggalah Syed Ikhwan menghancurkan segalanya.

??????????

Hyde Park London, United Kingdom

Beberapa tahun lepas...

MARISSA AURORA melemparkan pandangan ke arah tasik yang luas di hadapannya. Fikirannya sangat berserabut dengan banyak tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Kenapalah pensyarah di universiti ini suka sangat bagi tugasan pada minggu-minggu akhir kelas. Memang tak menang tangan nak siapkan semuanya. Tapi itulah tanggungjawab sebagai pelajar. Hendak merungut pun tiada guna. Marissa mengeluarkan sebuah buku dari beg sandangnya. Buku itu baru sahaja dipinjam dari perpustakaan sebentar tadi untuk dijadikan rujukan.

Beginilah rutin Marissa sebagai pelajar. Kadang-kadang dia akan menghabiskan masa di taman ini untuk membaca bahan-bahan yang akan dijadikan rujukan untuk tugasannya. Lagipun Marissa bukanlah seseorang yang gemar menghabiskan masa di perpustakaan. Baginya, perpustakaan agak padat dengan pelajar. Tumpuannya akan hilang juga nanti. Sedang leka membaca buku itu, Marissa terdengar bunyi kucing. Dia terus menutup buku itu lalu mencari dari mana arah bunyi kucing itu.

"Itu pun kau. Macam mana kau boleh naik atas situ?" Marissa mendongak kepalanya ke atas pokok.

Kelihatan seekor kucing berwarna putih sedang berteriak dari atas pohon itu. Pasti dia tidak tahu hendak turun ke bawah. Marissa menggaru kepalanya yang tidak gatal. Aduh! Macam mana nak ambil kucing tu. Takkanlah nak kena panjat pokok pula. Kalau dekat negara sendiri memang dah lama dia panjat.

"Lain kali kalau tak pandai turun jangan gatal nak panjat. Kan dah susahkan diri sendiri. Sekarang kau dah susahkan aku pula. Muka tu comel sangat. Kalau tak tolong, aku pula rasa bersalah. Alah, susahlah macam ni," bebel Marissa sendirian.

Mata Marissa melilau ke kiri dan ke kanan. Dia perlu pastikan orang tidak berada di kawasan tersebut. Malulah kalau ada yang nampak dia panjat pokok. Setelah memastikan keadaan terkawal, Marissa terus menanggalkan kasutnya lalu memanjat pokok tersebut. Mujurlah dia jaguh memanjat pokok ketika di kampung dahulu. Dahan demi dahan dipijak oleh Marissa hinggalah dia sampai betul-betul pada dahan di mana kucing itu berada. Perlahan-lahan Marissa mengambil kucing itu lalu dipeluk dengan sebelah tangan.

Tiba-tiba sahaja kucing itu mencakar lengan Marissa hingga membuatkan tangan yang berpaut pada pokok terlepas. Marissa memang sudah tidak dapat mengawal tubuhnya lagi. Nak jatuh pun jatuh sajalah. Memang tak ada peluang nak selamatkan diri dah. Marissa memejamkan matanya serapat mungkin.

"I got you," jerit seseorang sambil menangkap tubuh Marissa.

Mata Marissa masih lagi terpejam rapat.

"Aku dah mati ke? Kenapa aku tak rasa sakit pun jatuh? Mesti aku dah mati ni. Banyak lagi perkara yang aku tak buat dalam hidup ni," bibir Marissa mengomel lagi dengan mata yang terpejam rapat.

Marissa membuka sebelah matanya lalu menutup semula. Sebenarnya dia terkejut dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi.

"Aku nampak malaikat ke tadi?" Bibir Marissa kembali berkata-berkata.

Terdengar bunyi ketawa kuat yang membuatkan Marissa terus membuka matanya. Terkebil-kebil dia melihat wajah seorang lelaki yang sangat dekat dengannya. Lelaki itu masih lagi dengan tawanya. Sedar akan sesuatu, Marissa terus melompat turun dari dukungan lelaki tersebut. Malunya. Apa yang kau dah buat Marissa. Boleh pula kau berangan dengan malaikat tadi. Perlahan-lahan Marissa menutup wajahnya yang kemerahan.

"Untung betul kalau ada malaikat yang handsome macam saya kan. Mesti awak rasa untung betul," sindir lelaki itu.

Marissa mencebik. Geram pula dia tengok lelaki itu. Marissa terus melangkah pergi.

"Apa kau buat tadi Marissa? Malunya aku. Mana nak letak muka ni. Kalau mat salleh yang sambut tadi cun juga. Ini boleh cakap Melayu lagi. Jangan sampai aku jumpa dia sudah lepas ni. Jangan-jangan dia pun belajar sama tempat dengan aku. Habislah."

Syed Ikhwan menghabiskan sisa tawanya. Geli betul hatinya melihat wajah gadis itu. Mesti dia malu betul sebab wajahnya sangat kemerahan tadi. Syed Ikhwan memandang ke arah kaki pohon itu. Terdapat sepasang kasut yang ditinggalkan di situ. Pasti ia milik gadis itu. Syed Ikhwan terus mendapatkannya lalu mengejar gadis tersebut.

"Awak... Awak... Ini kasut awak kan." Syed Ikhwan mengejar gadis itu.

Marissa yang sedar akan dirinya dikejar terus berlari sekuat hati. Lupakah dia pada dirinya yang berkaki ayam. Syed Ikhwan melajukan lariannya lalu menyekat gadis itu dari arah depan.

"Eh! Janganlah kejar saya," jerit Marissa.

Syed Ikhwan mengangkat kedua belah tangannya. Dia hanya mampu tersenyum apabila Marissa memandangnya dengan pandangan tidak puas hati. Mujurlah tak ramai sanagt orang di sekeliling ketika itu. Kalau tidak mesti mereka dah tertanya-tanya apa yang dia buat pada Marissa hingga gadih itu menjerit begitu.

"Ini kasut awak. Saya minta maaf sebab ketawakan awak tadi. By the way, nama saya Ikhwan. Syed Ikhwan."

Marissa mengambil kasutnya lalu disarungkan pada kaki. Macam mana dia boleh lupa soal kasut pula. Macam-macam hal betul kau ni Marissa. Entah apa lagi perkara yang lupa nanti. Marissa meraup wajahnya.

"Saya Marissa. Terima kasih sebab selamatkan saya tadi," ujar Marissa sambil tersengih.

Syed Ikhwan menghulurkan salam perkenalan bermula dari situ. Di situlah di mana bermulanya perkenalan mereka hingga ke tahap yang lebih serius.

"By the way, awak belajar di sini ke?" tanya Syed Ikhwan.

"Ya, saya study dekat London Business School," jawab Marissa.

Syed Ikhwan tersenyum penuh makna mendengar kata-kata Marissa. Nampaknya dia ada peluang untuk mengenali gadis itu lebih lanjut.

"Saya pun study dekat sana. Boleh kita jumpa lagi lepas ni?" tanya Syed Ikhwan penuh berharap.

Lambat-lambat Marissa mengangguk. Gadis itu terus meminta diri. Lagipun ada banyak kerja lagi yang perlu diselesaikan. Syed Ikhwan menghantar langkah Marissa dengan sorotan matanya. Dia perlu berjumpa lagi dengan Marissa selepas ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience