lapan

Romance Series 6451

Lima tahun yang lalu...

"SAYA minta maaf Ziyaad. Saya tak dapat kawal diri saya. Tolonglah jangan batalkan perkahwinan ini. Tolonglah terima saya." Kayla menangis semahu-mahunya di hadapan Ziyaad Uwais.

Wajah lelaki itu kemerahan menahan marah. Mungkin juga menahan rasa kecewa di hati. Siapa sangka, kekasih hati yang sangat dipercayai mampu bertindak begitu di belakangnya. Sungguh dia kecewa. Hanya tinggal seminggu sahaja majlis pernikahan mereka akan berlangsung. Semuanya sudah diuruskan oleh kedua-dua keluarga. Hati Ziyaad Uwais sangat kecewa sekarang.

"Let's cancel everything. Saya tak nak teruskan semua ini," ujar Ziyaad Uwais.

Kayla menggeleng kepalanya. Dia terus menarik tangan Ziyaad Uwais. Lelaki itu langsung tidak memandang wajahnya. Inilah kali pertama dia melihat Ziyaad Uwais begitu dingin melayannya.

"Tolonglah saya Ziyaad. Saya minta maaf."

Akhirnya air mata Ziyaad Uwais mengalir juga. Hatinya terlalu sedih dengan apa yang berlaku. Semua yang diimpikan telah hancur.

"Saya tak sudi jadi pak sanggup. Awak dah curang belakang saya. Sekarang awak nak saya yang bertanggungjawab atas kandungan itu. Tak mungkin Kayla. Saya tak bodoh begitu. Patutlah hati saya berat saja dua tiga hari ini. Rupanya Tuhan nak tunjukkan perkara ini pada saya." Ziyaad Uwais meraup wajahnya kasar.

Aidil telah menceritakan segalanya kepada Ziyaad Uwais. Sudah beberapa kali Aidil terserempak dengan Kayla dengan seorang lelaki di hotel. Pada awalnya memang Ziyaad Uwais tidak percaya. Setelah melihat semuanya dengan sendiri, barulah dia sedar bahawa dirinya telah diperbodoh. Hampir saja dia mengorbankan dirinya untuk Kayla.

"Awak tak boleh buat saya begini Ziyaad. Awak cintakan saya kan. Saya janji akan gugurkan kandungan ini demi awak," ujar Kayla dengan nada terdesak.

"Jangan gugurkan kandungan awak. Dia tak bersalah. Teruskan hidup awak seperti biasa. Saya akan batalkan perkahwinan ini."

Kayla melutut sambil memeluk kaki Ziyaad Uwais. Dia sudah buntu sekarang. Lelaki yang membuatnya mengandung teah melarikan diri. Hanya perkahwinan bersama dengan Ziyaad Uwais sahaja dapat membantunya.

"Lima tahun saya cintakan awak seikhlas hati saya. Tak pernah terdetik sedikit pun untuk saya menduakan awak. Saya hanya nak bina impian saya dengan awak. Tapi awak hancurkan semuanya sekelip mata saja. Terima kasih buat saya jadi bodoh untuk lima tahun ini. Tak sangka saya boleh jadi bodoh sebab menunggu cinta awak Kayla." Ziyaad Uwais terus melangkah pergi.

Kayla tercengang mendengar kata-kata Ziyaad Uwais. Air matanya yang mengalir laju dibiarkan. Dia sayangkan Ziyaad Uwais. Tapi disebabkan nafsu, dia telah hancurkan segalanya. Memang tak patut dia berbuat begitu di belakang Ziyaad Uwais. Lelaki itu sudah cukup sempurna untuknya. Kini semuanya telah hancur. Kayla memandang Ziyaad Uwais yang melangkah pergi. Dia harus buat sesuatu.

Ziyaad Uwais memandu keretanya tanpa arah tujuan. Pertemuan dengan Kayla sebentar tadi sangat menganggu jiwanya. Keputusan telah dibuat, dia akan batalkan pernikahan itu. Semuanya pasti akan kacau bilau kerana pernikahan itu bakal berlangsung tiga hari saja lagi. Dia perlu bertemu dengan keluarganya untuk memberitahu akan hal ini. Dia tahu perkara ini tak mudah. Tapi dia akan menerima semua risiko yang akan berlaku.

"Aku harus beritahu hal ini pada ibu dan papa sebelum terlambat." Ziyaad Uwais memandu keretanya pulang ke rumah.

Hatinya agak berdebar hendak memberitahu keputusannya kepada Syed Fadhil dan Puan Dahlia. Bibir Ziyaad Uwais mengukir senyuman pahit apabila ternampak Puan Dahlia dan Malaeka sedang menguruskan hantaran di ruang tamu. Syed Fadhil pula sedang membaca surat khabar. Ziyaad Uwais menghampiri perlahan lalu mengambil tempat berhampiran Syed Fadhil.

"Ibu... Papa, Ziyaad ada perkara nak cakap sikit." Takut-takut Ziyaad Uwais bersuara.

"Ada apa Ziyaad. Ibu busy siapkan hantaran kamu ni. Esok nak pergi check venue untuk kali terakhir pula," ujar Puan Dahlia.

Ziyaad menarik nafas panjang.

"Ziyaad nak batalkan pernikahan dengan Kayla," luah Ziyaad Uwais dalam satu nafas.

Bunga di tangan Puan Dahlia terlepas. Syed Fadhil juga terkejut mendengar kata-kata Ziyaad Uwais. Puan Dahlia terus bangun menghampiri Ziyaad Uwais. Kepala Ziyaad Uwais ditarik memandang wajahnya.

"Kamu dah gila ke Ziyaad. Majlis itu minggu depan. Semuanya dah diuruskan. Kamu nak malukan ibu dan papa ke?," jerkah Puan Dahlia.

"Maafkan Ziyaad. Tapi Ziyaad memang tak nak teruskan pernikahan ini."

"Ya Allah! Abang tengoklah anak abang ni. Dia ingat pernikahan ni main-main agaknya. Apa masalah Ziyaad sebenarnya ni." Puan Dahlia mengetap bibir geram.

Ziyaad Uwais menggeleng kepalanya. Dia tak dapat menyatakan sebab untuk soalan ibunya.

"Ziyaad, cakap dengan papa. Kenapa kamu nak batalkan pernikahan ini." Suara Syed Fadhil sudah bergetar.

"Ziyaad tak ready lagi nak kahwin." Hanya jawapan itu sahaja yang kelaur dari mulut Ziyaad Uwais.

Tangan Syed Fadhil laju sahaja menampar pipi Ziyaad Uwais. Dia sangat kecewa dengan anak sulungnya.

"Maafkan Ziyaad." Ziyaad mengusap pipinya yang terasa pedih. Inilah kali pertama Syed Fadhil menamparnya.

Ziyaad Uwais terus melangkah ke dalam bilik. Dia tak nak nampak lemah di hadapan keluarganya. Dari luar kedengaran suara Puan Dahlia menjerit-jerit memanggil Ziyaad Uwais. Telefon bimbit di dalam kocek seluar dikeluarkan, Ziyaad Uwais terus menghubungi Aidil. Hanya rakannya itu dapat membantu sekarang.

"Aidil, tolong aku. Kau dapatkan tiket flight paling awal ke London esok." Ziyaad Uwais menamatkan panggilan telefon.

Mata Ziyaad Uwais terpandang baju nikah yang tergantung di dinding. Baru semalam dia pergi ke butik bersama Puan Dahlia untuk mengambil baju itu. Tak sangka semuanya berakhir hari ini. Mungkin Tuhan masih sayangkannya. Dia dapat lepaskan diri dari semua perkara ini.

??????????

PUAN DAHLIA jatuh terduduk mendengar kata-kata Tan Sri Mokhtar. Dia bagaikan tak percaya dengan apa yang telah Ziyaad Uwais lakukan pada Kayla. Kenapa semua ini berlaku dalam keluarganya? Tak pernah dia mendidik anak-anaknya untuk berbuat demikian. Di manakah salahnya dalam mendidik anaknya, Ziyaad Uwais. Air mata Puan Dahlia mengalir laju membasahi pipi. Sesak dadanya melihat wajah Kayla di hadapannya. Ziyaad Uwais juga telah pergi meninggalkan rumah setelah bergaduh besar Puan Dahlia.

"Saya nak Ziyaad bertanggungjawab. Berani dia nak batalkan perkahwinan ini setelah buntingkan anak saya." Sinis sekali kata-kata Tan Sri Mokhtar.

Syed Fadhil juga tak mampu berkata apa-apa. Semua ini bagaikan mimpi sahaja. Tak mungkin Ziyaad Uwais seperti itu. Wajah Puan Dahlia yang redup dipandang sekilas. Semua ini melibatkan maruah keluarga. Tak mungkin dia membatalkan majlis pernikahan itu. Puan Dahlia menghampiri Kayla. Tangan bakal menantunya itu ditarik lalu diusap perlahan.

"Kayla, cakap jujur dengan ibu. Betul ke Ziyaad yang lakukan ini semua?" tanya Puan Dahlia perlahan.

"Betul ibu. Ziyaad nak batalkan perkahwinan ini setelah tahu tentang kandungan Kayla. Kami kerap bersama sejak di Chicago lagi. Tapi kali ini, kami tersilap langkah. Maafkan Kayla ibu," ujar Kayla dalam tangisan palsunya.

Puan Dahlia mengusap dadanya.

"Kenapa Ziyaad buat ibu begini." Air mata Puan Dahlia mengalir laju.

"Sudahlah Kayla. Jom balik. Ingat Syed Fadhil, saya nak benda ini settle. Maruah anak saya harus dijaga." Tan Sri Mokhtar menarik tangan Kayla keluar dari rumah Syed Fadhil.

Syed Fadhil menghampiri isterinya yang sedang menangis. Bahu Puan Dahlia diusap perlahan. Dia juga buntu hendak buat apa sekarang. Di mana dia hendak mencari Ziyaad Uwais? Ah! Tak mungkin dia akan menemui anak sulungnya itu.

"Abang ada jalan penyelesaian untuk semua ini," ujar Syed Fadhil tiba-tiba.

Mata Puan Dahlia terus tertumpu pada suaminya.

"Bagaimana abang? Tak mungkin kita dapat cari Ziyaad."

Mata Syed Fadhil hinggap pada gambar keluarga di dinding. Wajah Syed Ikhwan ditenung lama. Hanya itulah satu-satunya penyelesaian yang ada. Dia tahu Syed Ikhwan tak akan pernah menentangnya. Anak keduanya itu selalu sahaja menurut apa yang dikatakan.

"Kita suruh Ikhwan kahwin dengan Kayla."

"Tapi abang. Ikhwan masih belajar lagi. Tak mungkin kita gunakan dia untuk tutup kesalahan Ziyaad." Puan Dahlia tidak bersetuju dengan cadangan suaminya.

"Kita terpaksa. Tak ada pilihan lain lagi." Syed Fadhil melepaskan keluhan.

Syed Ikhwan yang menjadi mangsa di dalam permainan Kayla Adelia. Ziyaad Uwais pula terlepas dari cengkaman Kayla. Malangnya dia pula terpalit dengan fitnah yang sengaja dibuat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience