satu

Romance Series 6447

MARISSA AURORA menongkat dagu dengan kedua-dua belah tangan. Sesekali dia menguap kerana terpaksa menahan rasa mengantuk. Pelan-pelan lukisan binaan dibiarkan berterabur di atas meja kerja. Setiap hari beginilah kerjanya. Dia terpaksa menghadap begitu banyak pelan binan untuk diperbetulkan.

"Sudah-sudahlah tu Marissa. Jom pergi lunch dulu. Nanti kau sambunglah buat kerja kau," ajak Tania sambil sibuk membetulkan solekan pada wajahnya.

Marissa memusingkan tubuhnya ke arah Tania yang berada di sebelah. Sekeping wang tunai berjumlah RM20 dihulurkan pada Tania sambil tersengih. Tania mengecilkan matanya ke arah Marissa lalu mendengus. Setiap hari asyik nak kirim belikan nasi goreng cili padi saja. Kena buang apendiks baru tahu. Susah betul nak ajak keluar makan tengah hari.

"Macam biasa ya Tania. Aku tak ada mood nak keluar. Lagipun banyak lagi kerja yang aku belum siapkan."

"Alasan. Kau tu memang ada saja alasan bila aku ajak lunch." Terherot-herot bibir Tania yang kemerahan mengutuk Marissa.

Marissa hanya tersenyum sahaja melihat Tania melangkah pergi. Gayanya sudah seperti model sahaja dengan cara pemakaian begitu. Sedangkan Marissa yang menjawat jawatan sebagai arkitek pun berpakaian biasa sahaja. Sebuah pelan binaan dibentangkan di atas meja. Ada memo kecil yang dilekatkan di atas pelan tersebut.

'Kurangkan kos projek sebanyak RM 100 000'

Keluhan terus terlepas dari bibir Marissa. Ingat senang ke nak fikir cara untuk kurangkan kos. Memanglah bagus untuk syarikat apabila dapat kurangkan kos. Tapi yang nak fikirkan cara nak kurangkan adalah pekerja sepertinya. Pelan tersebut digulung semula lalu Marissa membawa langkah ke arah bilik penyelia, Darren Lee.

Dari jauh mata kecilnya dapat menangkap susuk tubuh Darren yang sedang berdiri di hadapan meja kerani. Nampaknya Darren tak keluar makan tengah hari. Cepat-cepat Marissa menghampiri Darren.

"Encik Darren, saya ada sesuatu nak dibincangkan. Harap-harap encik ada sedikit masa untuk saya."

Darren memandang ke arah Marissa lalu melangkah masuk ke dalam biliknya. Marissa mengeluh lalu mengikut langkah lelaki itu. Pelan binaan yang dibawanya diletakkan di atas meja. Darren hanya menyandarkan tubuh pada kerusi.

"Saya nak tanya tentang pelan binaan ini. Mereka suruh saya kurangkan kos lagi." Pelan tersebut dibentangkan.

"Come on Marissa. Janganlah formal sangat. Kita ni dah kenal dari zaman universiti. Geli pula bila kau berencik dengan aku." Darren menggeleng kepalanya.

Bibir Marissa dimuncungkan.

"Inikan di office. Lagipun kau adalah supervisor aku di sini. Mestilah kena formal. Lagipun aku kena hormatkan kau."

"Yelah Cik Marissa. Kau tinggalkan saja lukisan pelan ini. Nanti aku jumpa sendiri mereka semua tu. Kadang-kadang melampau juga sampai minta pengurangan. Takkan nak guna bahan yang murah. Kalau retak bangunan tu, syarikat juga tanggung masalah kemudian hari."

Darren mengeluarkan sekeping gambar polaroid lalu diletakkan di hadapan Marissa.

"Aku jumpa Ikhwan dua hari lepas. Ini gambar yang diambil oleh pekerja Ikhwan. Kau tengoklah dia. Dah banyak sangat berubah. Aku pun rasa aku dah tak kenal Ikhwan yang aku kenal beberapa tahun lepas."

Marissa memerhati polaroid itu. Benarlah kata Darren. Wajah Syed Ikhwan kelihatan lebih berusia ditumbuhi kumis halus di sekitar pipinya. Gaya lelaki itu juga kelihatan lebih matang. Dalam diam, Marissa memuji penampilan Syed Ikhwan. Mungkin lelaki ini sudah berubah matang setelah mendirikan rumah tangga.

"Kau masih simpan perasaan pada dia ke? Aku tengok kau tak buka langsung hati pada mana-mana lelaki," ujar Darren.

Marissa mengeluh.

"Tolonglah jangan tanya soalan begitu. Aku dah tawar hati sangat. Bagi aku, kesan yang Ikhwan tinggalkan pada aku sangat perit. Tak mungkin aku akan lukakan hati ini lagi."

Darrren tersenyum pahit. Sudah bertahun dia mengenali Marissa. Dahulu gadis ini seorang yang sangat periang. Setelah hatinya disakiti, perilakunya juga berubah hingga dia merasakan dia sudah tidak mengenali gadis ini.

"Yelah. Maaf kalau aku ungkit kisah lama. By the way, kau ikut ke dinner dengan Tan Sri Afzam tak? Kau jangan lupa pula. Dato' nak sangat jumpa kau sebelum dia berangkat ke Qatar. Aku dengar cerita, dia akan stay sana terus. Syarikat pula diambil alih oleh anak buahnya." Darren menjungkit kening.

"Anak buah? Tan Sri tak ada pewaris tetap ke? Kenapa pula dia nak bagi syarikat yang dia sendiri bangunkan pada orang lain pula?" Marissa mula berteka-teki.

"Takkan kau tak tahu. Tan Sri tak ada anak lelaki. Dia cuma ada seorang anak perempuan. Anak dia yang tu pula dah further study dalam bidang perubatan. Memang tak ada minat dengan bisnes dah."

Marissa mengangguk. Lupa pula dia dengan anak tunggal Tan Sri Afzam itu. Tak apalah jika Tan Sri memang mahu serahkan syarikat ini pada anak buahnya. Yang penting adalah syarikat ini akan terus dibangunkan dan maju seperti biasa.

"Esok kau pergi dengan aku sajalah rumah Tan Sri. Malas pula nak pergi sorang. Lagipun Tan Sri jemput keluarga terdekat dan beberapa orang pekerja sahaja. Esok malam aku ambil kau di rumah. Jangan banyak alasan pula tak nak pergi."

Marissa mengangkat bahu. Dia terus melangkah keluar dari bilik Darren menuju ke meja kerjanya. Pelan-pelan yang berselerak di atas meja dipandang kosong. Fikirannya masih lagi terimbas wajah Syed Ikhwan pada polaroid yang ditunjuk oleh Darren. Pasti lelaki itu sangat bahagia sekarang dengan perkahwinannya. Tanpa disedari, air mata Marissa mengalir. Tapi cepat-cepat dikesat.

"Ah! Kau dah move on Marissa. Tak payah ingat lelaki itu lagi. Dia dah hancurkan hati kau dahulu. Ingat, Marissa Aurora yang sekarang tidak selemah dahulu." Marissa mengurut dadanya yang berombak.

Telefon bimbit di atas meja dicapai lalu dia membuka private folder di dalam telefon itu. Terdapat begitu banyak gambar ketika dia masih berada di London. Kebanyakan gambar itu adalah gambar dirinya bersama dengan Syed Ikhwan.

Benarlah kata orang bahawa agak sukar untuk melupakan cinta yang pertama. Ah! Kenapalah dia perlu ingat akan lelaki ini. Lelaki yang telah menyebabkan hatinya telah tertutup rapat dan enggan menerima mana-mana lelaki lagi. Marissa telah menjadi seorang wanita yang sangat keras hatinya dan langsung tidak mahu bergantung pada orang lain.

"Hoi, kau tengok apa tu?" Tania meletak bungkusan makanan yang dipesan oleh Marissa sebentar tadi di atas meja.

"Eh kau ni, lain kali bagi salam dulu. Mujur tak terpelanting telefon bimbit aku ni," marah Aurora.

Tania mencebik. Bukannya dia tidak nampak apa yang sedang dilakukan oleh rakannya itu. Tania pun naik hairan, siapa lelaki yang selalu dilihat oleh Marissa Aurora melalui telefon bimbit. Kadang-kadang terdetik juga di hati hendak bertanya, tapi malaslah. Nanti dikata penyibuk pula.

"Tadi dekat bawah, aku nampak Tan Sri Afzam dengan seorang mamat ni. Handsome pula mamat tu. Harap-harap mamat tu pengganti Tan Sri Afzam nanti." Tania tersengih.

"Kalau muka saja handsome, tak reti buat kerja tak guna juga kan." Selamba sahaja Marissa memerli.

Tania memuncungkan bibirnya. Kalau bab lelaki, mesti ada sahaja yang rakannya itu nak mengata.

"Bersemangatlah aku nak kerja lepas ini kalau dapat bos macam itu." Tania tersengih.

Marissa menggeleng kepalanya. Bukan boleh dilayan sikap gatal rakannya itu. Pantang nampak lelaki muka licin, pasti ada modal dia nak cuci mata.

"Sudahlah. Aku nak pergi makan sekejap. Kalau aku layan kau, sampai habis waktu kerja pun aku tak dapat makan," sindir Marissa.

Tania mencebik. Bungkusan di atas meja makan terus dicapai oleh Marissa lalu dibawa ke arah pantri. Waktu rehat akan berakhir dalam 15 minit lagi. Marissa perlu cepat menjamu selera. Bungkusan makanan dibuka. Bau nasi goreng cili padi kegemarannya sangat membangkitkan selera. Baru sahaja hendak menyuapkan nasi ke mulutnya, Marissa dikejutkan dengan kehadiran seseorang.

"Eh, awak ni siapa?" tanya Marissa apabila melihat seorang lelaki yang tidak pernah dia nampak dalam pejabatnya.

Lelaki itu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia terus meminta maaf kerana terus sahaja masuk ke pantri tanpa memeriksa terlebih dahulu.

"Maaf cik. Saya pekerja baru. Saya tengah cari bilik simpanan fail tadi," ujar lelaki itu.

Marissa menggumam. Dia terus memberitahu arah ke bilik simpanan fail. Dahinya berkerut. Bilik simpanan fail berada di tingkat lima iaitu tempat di mana kerja-kerja pengurusan pejabat dijalankan. Macam mana pula lelaki itu boleh sesat hingga ke tingkat tiga iaitu bahagian pengurusan projek pembinaan.

"Terima kasih cik. Maaf saya mengganggu masa rehat cik." Lelaki itu segera meminta diri.

Lelaki itu mengusap dadannya apabila melangkah pergi meninggalkan bilik pantri itu. Mujurlah dia ada alasan untuk diberikan pada Marissa setelah dia tersalah langkah masuk ke dalam bilik pantri itu. Bibirnya mengukir senyuman penuh makna. Akhirnya dia jumpa juga wanita itu. Sudah lama dia mencari siapakah gerangan yang berada di dalam gambar yang dijumpai olehnya beberapa tahun lepas.

"Ziyaad, kamu buat apa di situ? Dah tengok bahagian pengurusan projek ke?" tegur Tan Sri Afzam apabila melihat Ziyaad Uwais sedang tersengih-sengih di hadapan pintu masuk bahagian pengurusan projek.

Ziyaad mengangguk. Dia terus membawa langkahnya ke arah Tan Sri Afzam. Mereka sama-sama meninggalkan bahagian pengurusan projek dengan menaiki lif untuk ke bahagian pengurusan pejabat pula di tingkat lima.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience