lima

Romance Series 6447

HARI INI Marissa masuk lambat ke pejabat. Bukannya dia sengaja berbuat demikian, tapi dia terpaksa menggantikan Darren bermesyuarat di syarikat pihak pembekal bahan binaan. Tiba-tiba sahaja dia menerima mesej pagi tadi mengatakan Darren terpaksa mengambil cuti kerana ada hal kecemasan yang tak dapat dielakkan. Mahu tak mahu, memang Marissa perlu menggantikan tempat Darren untuk mesyuarat itu.

"Lambat awak masuk hari ni Marissa," tegur Ziyaad Uwais yang juga menunggu lif untuk ke atas.

Marissa menundukkan sedikit wajahnya sebagai tanda hormat. Dia langsung tidak perasan akan kehadiran lelaki itu.

"Saya ada meeting dekat luar pagi tadi. So, memang terpaksa masuk lambat. Eh, Tuan pun lambat masuk ke?" tanya Marissa kembali.

"Ada hal sikit. Tapi saya tak curi tulang tahu," balas Ziyaad Uwais

Marissa mencebik mendengar jawapan Ziyaad Uwais lalu kepalanya diangguk perlahan. Tidak lama selepas itu, pintu lif terbuka. Aurora memberi peluang kepada Ziyaad Uwais untuk masuk dahulu sebagai tanda hormat. Wajah Ziyaad Uwais kelihatan dingin sahaja sepanjang berada di dalam lif. Entah apa yang baru dilalui oleh lelaki itu. Takut pula Marissa hendak bertanya. Nanti dikatakan suka menjaga tepi kain orang pula.

Sebaik sahaja tiba di tingkat dua, Ziyaad Uwais terus meloloskan diri dari lif. Dia menuju ke arah Jabatan Kewangan. Marissa pula terus ke tingkat tiga dan kembali ke kubikel kerjanya. Sempat lagi Marissa menegur Tania yang sibuk membawang dengan pekerja lain di meja hadapan penyambut tetamu. Marissa meletakkan briefcase miliknya di atas meja. Dia perasan akan sekeping kad yang diselit di bawah laptop.

"Kad apa pula ni?" Marissa terus membuka kad itu. Mulutnya terlopong melihat isi kad tetsebut.

Seutas rantai bersama loket terukir namanya jatuh dari kad itu. Dia sangat kenal akan pemiliknya. Tapi dah lama dia buang rantai itu ketika di London. Bait-bait tulisan di kad itu juga sangat dikenalinya. Semua ini mesti kerja Syed Ikhwan. Entah apa lagi yang lelaki itu mahu.

'Marissa Aurora,
Nama yang pernah meniti di bibir ini saban hari beberapa tahun yang lalu. Andai aku mampu undurkan masa, pasti akan aku berbuat demikian. Maafkan aku Marissa kerana membuang dirimu.'

Marissa ketawa sinis selepas membaca apa yang tertera pada kad itu. Semudah ini sahaja Syed Ikhwan meminta maaf. Apa yang dilakukan oleh lelaki itu sangatlah jahat. Hati Marissa telah tertutup rapat setelah itu. Semua kepercayaan yang diberi pada Syed Ikhwan hancur lebur begitu sahaja. Hanya Tuhan yang tahu betapa susahnya untuk Aurora mengorak langkah dari kenangannya. Kad dan rantai itu terus dibawa ke arah Jabatan Sumber Manusia. Marissa harus berdepan dengan Syed Ikhwan kali ini.

"Syed Ikhwan ada?" tanya Marissa pada kerani yang bertugas di hadapan pintu masuk bilik kerja Syed Ikhwan.

"Ada. Cik Aurora ada urusan apa ya?" tanya kerani itu kembali.

Marissa terus merempuh masuk ke dalam bilik kerja Syed Ikhwan. Kerani itu sangat terkejut dengan tindakan Marissa. Dia terus cuba menghalang Marissa dari berbuat demikian. Syed Ikhwan juga kelihatan agak terkejut. Ketika itu, dia sedang berbual dengan dua orang pekerjanya mengenai beberapa perkara.

"Maaf Tuan, saya dah cuba halang Cik Marissa. Tapi Cik Marissa terus masuk." Kerani itu memohon maaf.

Syed Ikhwan mengangkat tangan memberi isyarat kepada keraninya untuk keluar. Setelah itu, Syed Ikhwan meminta dua orang pekerjanya pula untuk keluar. Wajah Marissa sangat kemerahan. Menahan marah.

"Apa semua ni Ikhwan? Apa lagi awak nak dari saya?" tanya Marissa bertubi-tubi.

Syed Ikhwan bangun dari kerusi menuju ke arah pintu lalu menguncinya. Pandangan matanya jatuh melorot pada tangan Marissayang sedang memegang seutas rantai. Tahulah dia bahawa apa yang membuatkan Marissa sangat marah.

"Saya hanya mahu mengingatkan awak pada kenangan kita. Adakah awak langsung tak rindukan saya?" Syed Ikhwan cuba mengumpan perhatian Marissa dengan bermain kata.

"Rindu? Awak cakap apa ni. Benda nak rindu-rindu antara kita dan berakhir. Awak yang hancurkan semua itu. Awak sedar tak?Awak tinggalkan saya lepas apa yang saya dah beri pada awak. Awak ingat semudah itu saya nak maafkan awak," jerkah Marissa sekuat hati.

Syed Ikhwan menghampiri Marissa. Rantai di dalam tangan gadis itu diambil. Sebenarnya rantai ini dijumpai oleh Haizar. Lelaki itu yang mengutip rantai ini ketika Marissanekad membuangnya. Selama beberapa tahun ini, Syed Ikhwan ada mengikuti perkembangan Marissa. Cuma dia tak tahu status sebenar gadis itu sahaja. Ya, Syed Ikhwan sedar bahawa semua ini salahnya. Tapi dia juga mangsa keadaan. Sukar untuknya memulakan hidup baru. Tambahan lagi, dia terpaksa menutup kesalahan orang lain.

"Saya terpaksa Marissa. Bukan niat saya nak sakitkan hati awak. Saya sayang awak sangat-sangat. Tak pernah sedetik pun rasa salah itu tak muncul dalam hati saya. Kalaulah awak boleh rasa apa yang saya rasa." Syed Ikhwan menundukkan wajahnya.

"Sudahlah Ikhwan. Kadang-kadang saya terfikir, kenapa Tuhan temukan saya dengan awak setelah bertahun? Adakah untuk sakitkan hati saya lagi?" Marissa mula ketawa dalam tangisan.

"Jangan cakap begitu. Pasti ada sebab kenapa Tuhan temukan kita," pujuk Syed Ikhwan.

Marissa mengesat air matanya kasar. Rantai yang berada di dalam genggaman diserahkan kembali pada Syed Ikhwan. Setelah itu, dia terus melangkah pergi meninggalkan Syed Ikhwan.

Marissa sangat terkejut apabila melihat Ziyaad Uwais sedang berdiri di hadapan pintu masuk bilik kerja Syed Ikhwan. Lelaki itu sedang memeluk tubuh sambil memandang ke arahnya. Marissa cepat-cepat menyembunyikan wajahnya yang kemerahan lalu melangkah pergi. Dia takut jika Ziyaad Uwais tahu apa yang berlaku di antaranya dan juga Syed Ikhwan. Ziyaad Uwais memerhati Syed Ikhwan. Lelaki itu hanya menundukkan wajah apabila pandangan mata Ziyaad Uwais menusuk matanya. Ziyaad Uwais menghampiri Syed Ikhwan lalu menarik kolar baju lelaki itu.

"Jangan ganggu dia. Teruskan hidup kau dengan Kayla." Ziyaad Uwais memberi amaran.

Syed Ikhwan menolak tangan Ziyaad Uwais.

"Kau yang hancurkan hidup aku begini. Kau jangan lupa ke Ziyaad," balas Syed Ikhwan.

"Bukan aku yang hancurkan hidup kau. Tapi kau sendiri yang bodoh sebab serahkan diri untuk dihancurkan. Aku harap kau tak menyesal kerana berlagak jadi hero." Ziyaad Uwais tersenyum sinis.

Ziyaad Uwais mendengus geram. Dia terus melangkah pergi meninggalkan Syed Ikhwan. Makin lama dia berada di situ, makin besar pula masalah nanti. Memang dia yang menyebabkan hidup Syed Ikhwan hancur. Dia yang larikan diri dari perkahwinan bersama Kayla. Tapi ada sebab kenapa dia berbuat demikian. Tapi Syed Ikhwan yang bodoh kerana menerima tawaran untuk menggantikan dirinya. Syed Ikhwan menumbuk meja kerjanya. Sakit hatinya mendengar kata-kata Ziyaad Uwais. Dia akan pastikan Ziyaad Uwais menyesal dengan kata-katanya.

Ziyaad Uwais mencari Marissa di dalam pejabat. Tapi wanita itu tiada di meja kerjanya. Ziyaad Uwais terus menghampiri Tania yang sibuk berbual dengan rakan kerjanya.

"Tania," panggil Ziyaad Uwais.

Terjegil mata Tania apabila Ziyaad Uwais memanggil namanya. Cepat-cepat dia menyuruh rakan sekerjanya kembali ke tempat kerja. Alamak! Dah kantoi pula berbual waktu kerja. Tania cepat-cepat menghampiri majikannya itu.

"Awak nampak Marissa?" tanya Ziyaad Uwais.

"Tak nampak pula Tuan Ziyaad. Tapi selalunya dia dekat rooftop kalau tak ada dekat sini. Kenapa Tuan?"

Ziyaad Uwais terus melangkah ke arah lobi lif lalu meloloskan diri ke dalam lif. Terkebil-kebil Tania apabila dia ditinggalkan begitu saja. Setibanya di atas, Ziyaad Uwais menarik nafas lega apabila ternampak Marissa sedang duduk berhampiran tembok. Pandangan matanya dihalakan ke arah langit yang terbentang luas di hadapan.

"Marissa, awak okay ke?" tanya Ziyaad Uwais sambil menghampiri Marissa.

Marissa cepat-cepat mengesat air matanya yang degil mengalir. Bibirnya mengukir senyuman terpaksa pada Ziyaad Uwais.

"Tuan Ziyaad buat apa di sini?" tanya Marissa.

"Saya cari awak. Saya dengar semuanya tadi," jawab Ziyaad Uwais.

Tercengang Marissa mendengar kata-kata Ziyaad Uwais. Pasti sudah lama Ziyaad Uwais berdiri di hadapan pintu bilik kerja Syed Ikhwan. Ah! Malunya. Pasti Ziyaad Uwais akan salah sangka dengan Marissa.

"Marissa, saya tak nak masuk campur hal peribadi awak. Tapi saya harap awak tak akan terganggu dengan Syed Ikhwan. Awak boleh bagitahu saya kalau dia ganggu awak lagi. Saya ni ketua awak. Saya tak nak semua kerja terganggu sebab dia," pesan Ziyaad Uwais.

"Baik Tuan Ziyaad. Tak ada apalah. Saya yang terlalu ikutkan perasaan tadi," ujar Marissa.

Ziyaad Uwais tersenyum pada Marissa. Dia akan pastikan Syed Ikhwan tak akan ganggu Marissa lagi. Lelaki itu sepatutnya fokus saja pada isteri dan anak-anaknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience