SEPULUH

Fantasy Series 877

Samiri berasa pelik sebaik memasuki rumah yang sunyi sepi. Nurseha tidak menunggunya di dapur atau ruang tamu seperti biasa. Begitu juga Anding yang tengahari tadi katanya mahu keluar sebentar ke pekan. Sekarang sudah jam 6 petang, namun Anding masih belum pulang membuat Samiri tertanya-tanya. Tadi dia sudah berpesan agar Anding pulang awal sebelum hari gelap. Makan malamnya juga masih belum disediakan, bererti Bani juga masih belum tiba.

Samiri melangkah menaiki tangga rumah. Sebaik sampai di tingkat 2, dia menuju ke kamar Nurseha. Namun tidak jadi mengetuk pintu apabila terasa bahang yang panas. Samiri segera berlalu naik ke kamarnya, panas begini sering dia rasakan ketika Nurseha sedang bersolat.

Dia baru pulang dari melihat kawasan yang telah dikhaskan sebagai kabin kecil untuk Nurseha. Kawasan itu boleh terus dilihat dari jendela kamarnya agar senang dia memerhatikan Nurseha nanti. Dia sudah lakarkan pelan binaan, kabin itu akan dibina dengan hasil tangannya sendiri sebagai ruang privasi Nurseha. Dia tidak boleh menghalang Nurseha menunaikan ibadahnya demi kebaikan Nurseha sendiri, jalan yang terbaik ialah mengasingkan Nurseha dari rumah utamanya. Selagi Nurseha tidak diasingkan, maka Bani akan lebih kepanasan di rumah itu.

Selesai mandi, Samiri turun ke bawah semula untuk memasak makan malam. Ketika makanan sudah siap dihidang, Nurseha masih belum turun ke bawah. Lalu dia naik ke atas untuk menjemput Nurseha.

“Nurseha...” Panggil Samiri sambil mengetuk pintu kamar.

“Nurseha... mari makan. Aku sudah siapkan makan malam.” Panggilnya lagi.

“Nurseha...” Samiri kehairanan. Selalu Nurseha akan pantas membuka pintu apabila dipanggil, setidaknya akan menyahut. Telinga Samiri bergerak-gerak cuba mendengar sebarang bunyi di dalam.

“Mungkin Nurseha sedang berada di bilik mandi... tapi tiada bunyi air yang kedengaran.” Fikir Samiri.

“Nurseha, jika kau tidak menyahut panggilanku, aku akan masuk ke dalam kamarmu. Nurseha...”

Senyap. Samiri mula bimbang jika Nurseha sakit atau pengsan di dalam kamarnya. Lalu dia bergegas mencari kunci pendua di dalam bilik bacaan. Dia kembali bersama segugus anak kunci dan mula mencuba memasukkan satu persatu ke dalam lubang kunci.

“Kreekkk...” Nurseha membuka pintu kamar dari dalam. Samiri kelegaan, kerana tadi dia hampir merempuh pintu bilik dengan bahunya kerana sudah tidak dapat menahan sabar.

“Mengapa kau tidak menyahut sewaktu aku panggil berkali-kali dari tadi?” Samiri bertanya sambil tangannya mencari suis lampu berhampiran pintu.

“Tap!” Samiri kaget melihat keadaan Nurseha. Wajahnya pucat dengan bawah mata yang bengkak kerana menangis.

“Kenapa?” Tanya Samiri namun Nurseha hanya mendiamkan diri.

“Kau sakit?” Nurseha menggeleng kepala. Hanya sedu sedannya yang kedengaran.

“Mari turun bawah, kita makan.” Nurseha mengangguk lesu dan membiarkan tangannya dipimpin Samiri sewaktu menuruni anak tangga menuju ke ruang makan.

“Duduk di sini...” Samiri membantu menyorong kerusi buat Nurseha dan menghidang makanan.

“Makan.” Arahnya kepada Nurseha yang berwajah duka.

Nurseha tidak lalu makan, dia menunduk membuka cincin belah rotan di jari manisnya lalu meletakkan di atas meja.

“Tuan Samiri ceraikan saya...” Nurseha bersuara perlahan.

Samiri meneruskan suapannya seperti tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh Nurseha. Wajahnya bersahaja.

“Tuan...” Panggil Nurseha apabila dilihat Samiri seperti tidak mengendahkan permintaannya tadi.

“Makan hidanganmu sehingga habis.” Arahan Samiri membuatkan Nurseha menunduk akur. Perlahan-lahan dia menyuap sayuran ke mulutnya. Matanya mencuri pandang ke arah Samiri yang hanya menghadap piring hidangan.

“Makan ikanmu...” Samiri yang sudah selesai makan, meletakkan napkin di atas meja dan memerhati Nurseha yang menggeleng. Tanda tidak sukakan ikan. Nurseha hanya memandang kepingan ikan sebesar tapak tangan di piringnya. Melihat Nurseha hanya tunduk merenung hidangan, membuat Samiri bertindak menyuapkan isi ikan ke mulut Nurseha yang sudah tidak boleh menolak lagi.

“Kau bukan tidak boleh makan ikan, hanya lidahmu yang tidak dibiasakan. Ini protein. Tubuhmu memerlukan protein dari haiwan. Ikan salmon ini bagus untuk meningkatkan fungsi otak dan memori selain menjaga kecantikan kulitmu.” Nurseha berasa resah, dia ada perkara yang lebih penting untuk dibincangkan selain mendengar kebaikan makan ikan. Matanya berkaca, tidak suka dipaksa makan. Tetapi takut hendak melawan.

Samiri berpuas hati, setelah dipaksa akhirnya Nurseha dapat juga menghabiskan makanan di piring. Mata Nurseha yang bengkak ditatap lama.

“Aku mahu tahu apa perancanganmu 5 hingga 10 tahun dari sekarang?” Pertanyaan Samiri tidak dijawab oleh Nurseha. Soalan apa yang Samiri tanyakan? Perancangan apa? Nurseha tertanya di dalam hati.

“Kau tidak ada sebarang perancangan hidup? Kau mahu aku ceraikan kau tapi kau tidak ada sebarang persediaan untuk masa depanmu?” Nurseha menggenggam jemarinya sendiri, resah.

“Kenapa harus dirancang? Bukankah tuhan sudah menentukan segala takdir hidup hambaNya?” Nurseha hanya berani bertanya sendiri di dalam hati. Lagipun itu yang sering diperkatakan oleh ibunya selama ini.

“Seha...Seha nak kerja di Johor Bahru...”

“Kerja apa? Siapa ada di Johor Bahru sana?” Tanya Samiri, melihat tepat ke mata Nurseha yang takut-takut.

“Kawan Seha. Namanya Mala. Kerja kilang.” Nurseha menjawab sepatah-sepatah.

“Berapa bayaran gajinya?”

“Mala beritahu gajinya RM1200. Ada asrama, ada pengangkutan, ada bayaran kerja lebih masa. Makan tengahari juga diberi oleh majikan.” Samiri memandang wajah Nurseha yang naif.

“Jika begitu, aku akan beri kepadamu sebanyak itu setiap bulan. Tempat tinggalmu aku tanggung. Bukan saja makan tengahari, kau bebas untuk makan beberapa kali sehari yang kau mahu, aku boleh menghantarmu ke mana-mana tempat yang kau mahu pergi, malah aku akan tanggung yuran pendidikanmu sekiranya kau mahu sambung belajar. Bagaimana?” Tanya Samiri melihat terus ke mata Nurseha yang terkebil-kebil.

“Jadi Seha perlu buat kerja apa?” Soalan Nurseha dijawab dengan senyuman Samiri. Ahh... Fikiran Nurseha memang masih keanak-anakan.

“Kau boleh menolong pekerjaku di kebun.” Gurau Samiri. Nurseha dengan serius menganggukkan kepala. Dia memang ada pengalaman bekerja di kebun sayur Ah Tong.

“Jadi kau bersetuju?” Tanya Samiri. Nurseha mengangguk lagi bersungguh-sungguh.

“Gaji dibayar setiap berapa haribulan? Kalau gaji hari bolehkah?” Samiri tersenyum lagi. Dia mahu ketawa apabila melihat wajah Nurseha yang semakin serius.

“Boleh. Aku akan letak wang untukmu setiap hari di laci dapur. Ada apa-apa lagi yang kau mahu tahu?” Tanya Samiri. Nurseha menggelengkan kepala, matanya bersinar. Kini dia sudah ada pekerjaan baru. Dia boleh membantu ibunya membayar hutang Tok Ghani.

“Nah. Pakai semula cincinmu. Jangan tanggalkan dan jangan sebut lagi soal cerai. Sekarang jawab soalanku mengapa kau menangis?” Nurseha menunduk kembali. Dia hanya memerhati Samiri menyarungkan kembali cincin ke jari manisnya yang kecil.

“Seha rindu emak... Esok 1 haribulan, selalunya setiap bulan Seha akan bayarkan hutang emak kepada Tok Ghani. Tapi sekarang Seha tak bekerja, duit gaji mak mesti tak cukup untuk bayar hutang. Sebab tu Seha bercadang hendak bekerja di Johor Bahru.”

“Kalau kau mahu bekerja di Johor Bahru, kenapa mesti minta cerai?” Samiri cuba menduga Nurseha, mahu tahu apa yang akan dijawabnya.

“Er...sebab... kerana... Encik Anding...” Air mata Nurseha mengalir lagi.

“Anding? Kenapa dengan Anding?” Soal Samiri. Nurseha merenung jari-jari kakinya, risau jika tersalah cakap.

“Encik Anding sudah salah sangka, dia kata Seha sengaja menggoda Tuan Samiri dan bernikah dengan tuan untuk hidup senang. Encik Anding tak suka Tuan Samiri menikahi Seha. Kenapa tuan tak ceritakan kepadanya hal yang sebenar?” Nurseha berusaha membesarkan matanya yang kian berasa tegang.

“Mengapa aku harus menceritakan tentang isteriku yang hampir dirogol dan diinjak maruahnya kepada Anding? Maruah isteriku adalah maruahku, Nurseha. Aku tidak perlukan persetujuan Anding jika aku ingin bernikah dengan sesiapa pun.” Nurseha hanya menunduk mendengar kata-kata Samiri. Ada air jernih yang ditahan dari tubir matanya. Tiba-tiba dia berasa malu menghadap wajah Samiri. Tentu Samiri turut berasa jijik kepada dirinya yang sudah disentuh oleh Johari.

“Encik Anding sudah bayarkan hutang mak selama 6 bulan kepada Tok Ghani. Agaknya sebab tu dia marah-marah tadi...”

“Anding marah kau?” Nurseha mengangguk. Dia masih ingat bagaimana Anding menengkingnya tengahari tadi dan pandangan jijik Anding terhadapnya.

“Anding ke mana?” Tanya Samiri kepada Nurseha.

“Tak tahu...” Jawab Nurseha.

“Nurseha, pindah ke Johor Bahru tidak akan menyelesaikan masalahmu. Adakah kau sedar kau telah disihir?” Nurseha tersentak lalu menggelengkan kepala. Benarkah dia disihir?

Dia juga sebenarnya berasa pelik, bagaimana dia boleh merelakan Johari menyentuh dirinya? Rasanya seperti di dalam mimpi yang tidak dapat dikawal. Paling teruk yang dia rasakan ialah tiada sesiapa yang percayakan cakapnya termasuk ibunya sendiri.

“Kau tahu mengapa aku menikahimu?” Soal Samiri.

“Untuk selamatkan maruah Seha...” Jawab Nurseha perlahan lalu Samiri memandang tepat ke matanya.

“Nurseha, kau selamat di sini. Orang yang menyihirmu tidak akan dapat menghantar khadamnya untuk mengganggu selagi kau berdiam di tanahku ini. Kau boleh tinggal di sini tanpa kita bernikah, tapi aku mahu mengelakkan fitnah. Kerana itu aku menikahimu.” Nurseha segera faham.

“Bani itu tok bomoh ya?” Pertanyaan Nurseha membuat Samiri terdiam. Akhirnya dia mengiyakan saja anggapan Nurseha. Mujur Nurseha tidak menganggap dirinya juga bomoh.

“Nanti aku akan tegur Anding. Beritahu aku jika dia memarahi kau lagi atau mengatakan sesuatu yang menyinggung perasaanmu selepas ini. Aku tahu kau tidak selesa berada di sini kerana rumah ini dihuni oleh laki-laki. Aku sedang membina kabin untukmu di tanah sebelah agar kau bebas untuk melakukan apa saja di situ.” Nurseha mengangguk. Jika Samiri menyuruhnya tidur di bawah khemah juga tidak mengapa. Dia hanya menumpang, mengharapkan secebis perlindungan dari Samiri. Hatinya berasa sedikit lapang kerana kini dia sudah punya pekerjaan dan gaji untuk menolong ibunya membayar hutang Tok Ghani.

“Terima kasih Tuan Samiri. Seha tak mampu nak balas budi baik tuan. Seha hanya boleh mendoakan tuan dan Encik Anding agar sentiasa dirahmati Allah Taala. Tuan tak perlulah menegur atau marah Encik Anding, dia cuma salah faham saja. Seha tak kisah kalau tuan nak ceritakan hal yang sebenar pada Encik Anding. Nama baik Seha dah pun tercemar, kalau bukan dari mulut tuan, nanti Encik Anding akan tahu dari mulut orang lain juga... Lagipun pernikahan ini sementara saja...” Nurseha memaksa bibirnya tersenyum. Air mata yang hampir tumpah cepat-cepat diseka.

Samiri hanya memerhati Nurseha yang bingkas bangun mengutip piring kotor dan gelas lalu dibawa ke dapur. Simpatinya bertambah mendalam terhadap Nurseha. Dengan usia semuda itu sepatutnya Nurseha harus menikmati zaman remaja dan menyambung pelajarannya. Bukan bekerja setengah mati demi menyara keluarga. Tapi Samiri juga sedia maklum dengan keadaan keluarga Nurseha. Didikan ibunya yang keras membuat Nurseha faham hidup di dunia yang serba materialistik ini tidak mudah.

“Aku akan memberikan kau penghidupan yang selayakmu, Nurseha. Bersabarlah...” Samiri berbisik di dalam hati. Dia naik ke atas untuk bermeditasi. Tengah malam nanti dia akan mengumpulkan para pengikutnya untuk mengintip makhluk yang berada di puncak Butnak dan mengetatkan lagi kawalan keselamatan di sekitar sempadan tanahnya, manalah tahu jika ada kawasan pagar yang longgar dan mudah dicerobohi. Dia tahu si tua Sendeng dan jin suruhannya sentiasa cuba mencari jalan untuk masuk ke dalam kawasannya lebih-lebih lagi dengan adanya Nurseha.

••

“Kalau dah siap resitnya berikan kepada aku. Aku nak cepat hantarkan ke Kak Nab.” Abidin duduk di anak tangga rumah Tok Ghani sambil memerhatikan Johari mengira wang hasil kutipan hutang.

“Banyak duit budak bandar tu tolong bayarkan hutang Kak Nab untuk 6 bulan terus...” Johari bersuara dengan nada tidak puas hati sambil menghembus asap rokok.

“Anak orang kaya Jo... tengok keretanya pun dah tahu...apalah sangat RM3000 tu. Satu malam pun dia boleh habiskan. Rezeki Nurseha dapat bapanya...” Kata-kata Abidin membuat hati Johari panas. Dia mendengus, masih tidak dapat melupakan Nurseha yang hampir jatuh ke dalam dakapannya. Kalaulah bukan kerana monyet besar yang datang mengganggu, dia pasti waktu ini dia sedang menghabiskan masa mengulit Nurseha. Johari teringat tentang perbualannya dengan Tok Sendeng berkaitan siluman mawas.

“Kau ada dengar tentang monyet besar berkeliaran di kampung kita ni?” Tanya Johari.

“Monyet? Belakang rumah aku memang banyak monyet...” Jawab Abidin. Dia bangun dan menarik kerusi di hadapan Johari.

“Bukan monyet biasa tu. Monyet yang lebih besar dari manusia? Tingginya lebih 6 kaki. Kau pernah lihat?” Johari menatap Abidin.

“Tak ada pula. Kenapa?” Tanya Abidin.

“Di kampung kita ni dah ada monyet jadian, besar dan tinggi badannya...” Jelas Johari.

“Mana kau tahu cerita ni Jo?” Abidin menunjukkan riak wajah pelik.

“Sini...” Johari berbisik ke telinga Abidin.

“Kau biar benar Jo...” Abidin seakan tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Ya... itulah puncanya dia menjadi kaya raya. Kerana ilmunya tu lah... Aku sedang mencari bukti. Aku nak kau tolong aku. Gaji aku beri lebih lagi dari biasa.” Johari tahu Abidin takkan menolak tawarannya.

“Bukti yang bagaimana?” Tanya Abidin. Senyumnya lebar membayangkan wang yang bakal diperolehi. Johari tidak akan memungkiri janji dan tidak berkira tentang wang asalkan dapat segala apa hajatnya.

“Bukti yang boleh digunakan untuk menghalau suami Nurseha keluar dari kampung ni tanpa membawa Nurseha.” Berkerut dahi Abidin.

“Susahlah Jo. Kalau dia keluar dari kampung ni, mesti dia bawa Nurseha sekali. Nursehakan isteri dia...”

“Kak Nab kan ada, ibunya tu kelemahan terbesar Nurseha.” Johari tersenyum.

“Ish... bergeligalah otak kau ni Jo...” Puji Abidin.

“Aku nak kau perhati Samiri dan pekerja-pekerjanya. Panggil orang imigresen datang periksa. Entah ada permit ke tidak pekerja asing yang bekerja di kebunnya tu.” Arahan Johari kian jelas. Cari bukti dan buat apa saja yang menyusahkan Samiri.

“Nah, ini komisen kau kerana berjaya mengutip hutang Kak Nab. Ini resitnya. Ingat Bidin, lebih cepat kau dapatkan bukti, lebih cepat penuh poket kau.”

“Baik bos. Aku pergi dulu. Hehehe...” Johari mengangguk sambil memerhatikan Abidin merempit laju menuju ke jalanraya. Kemudian dia masuk ke dalam rumah mencari Tok Ghani, mahu memberikan wang hasil kutipan hutang yang ada padanya.

“Johari... mak mentua kamu telefon tadi. Bila kamu nak pujuk Zawani dan bawa dia pulang ke rumah? Sejak dia keluar dari hospital, kamu langsung tak menjenguk dia kan?” Soalan Mak Tipah hanya dijawab dengan keluhan dan jelingan.

“Biarlah dia bertenang dahulu di rumah ibunya. Zawani tak habis-habis mengungkit sebab kematian bayi. Jo juga yang disalahkan. Peninglah kepala Jo dengan dia mak. Tunggulah jika dia betul-betul sudah sihat, Jo akan bawa dia pulang.” Jawab Johari acuh tak acuh.

“Berbaiklah dengan Zawani tu... Nurseha pun dah bernikah. Kamu lupakanlah dia. Tadi mak dengar kamu suruh Abidin buat perkara yang menyusahkan suami Nurseha. Tak baik begitu Johari. Tak usahlah diganggu Nurseha tu lagi...” Mak Tipah menasihati Johari yang mencebik tanda tak suka mendengar ibunya membebel.

“Jo balik dululah mak. Duit ni tolong berikan kepada abah...” Hati Johari semakin sakit mendengar nasihat ibunya. Dia mahu pulang dan menyeru Sali Raya malam nanti.

Johari menilik gambar-gambar Nurseha yang sudah siap dicetak lalu disimpan di dalam poket seluar. Dia duduk dan mengasapkan keris kecil di tangan sambil membaca mantera dan memasang niat di dalam hati.

Angin bertiup kencang di luar rumah disertai lolongan anjing. Johari tersenyum apabila melihat segerombolan asap hitam memasuki rumah dan laju menuju ke arah dirinya. Asap hitam memasuki mulut dan rongga tubuh menguasai jiwa dan raga. Johari membuka mata dan berjalan ke pintu. Dia keluar dari rumah menuju ke hujung kampung dalam gelap malam.

Di puncak Butnak Tok Sendeng bersila di atas batu hampar menunggu kedatangan Johari. Dari jauh dia dapat melihat susuk tubuh Johari semakin menghampiri. Mulutnya terkumat kamit membaca mantera. Asap hitam keluar dari tubuh Johari dan memasuki tubuh Tok Sendeng. Johari berdiri tegak dan kaku. Selepas bahunya ditepuk oleh Tok Sendeng dia mula tersedar. Kepalanya yang bengal digeleng beberapa kali.

“Masuk ke dalam pondok sana.” Tok Sendeng menunjuk ke arah pondok buluh. Johari segera patuh. Sebaik memasuki pondok, dia terlihat ada sebuah meja kayu kecil yang dijadikan altar pemujaan. Di atas meja itu ada sebotol minyak dan gumpalan perca kain yang diikat menjadi patung, jarum, kaca dan paku.

“Duduk.” Arah Tok Sendeng.

“Mana gambarnya?” Johari menyeluk poket seluar dan menghulurkan gambar Nurseha.

“Kau sudah fikir masak-masak? Ini minyak dari wanita yang mati dibunuh, aku akan memuja dengan membayangkan wajah gadis yang kau gilakan itu. Jika kau mahu aku teruskan, kau tidak akan memiliki dia. Kerana perlahan-lahan dia akan menjadi gila. Hidupnya akan menderita sehingga ke akhir hayat... Adakah itu yang kau mahukan?” Johari terdiam seketika.

“Aku mahu dia menjadi milikku, pisahkan dia dan suaminya... Sekalipun dia sudah menjadi janda, aku tetap akan mengambil dia menjadi isteriku.” Jawapan Johari disambut oleh senyuman sinis Tok Sendeng.

“Kau tahu siapa suaminya... dia bukan lelaki biasa. Merebut gadis yang kau mahu ini bukan kerja yang mudah. Mawas kebiasaannya tenang, tidak suka bermusuh dan hanya gemar memerhati. Tapi seperti kera, mawas juga sangat cemburu dan akan berbuat apa saja demi mempertahankan haknya. Jika suaminya menang dalam perebutan ini, tiada jalan lain selain mati. Engkau dan aku, mati.” Johari menelan liur. Alang-alang sudah terlanjur, buat sehingga jadi.

“Kau mengatakan Sali Raya akan membantu mencapai segala kehendak duniawiku. Aku juga sudah korbankan anak sulungku untuknya. Aku mahu dia mendapatkan Nurseha untukku.” Johari sudah bertekad.

“Aku akan membimbingmu untuk menguatkan tenaga dalaman. Bertapalah di tempat gelap yang tidak dilalui cahaya. Kau tidak boleh tidur, berpuasa selama 3 hari dan 3 malam, tidak makan dan minum walau setitis air. Kosongkan fikiranmu. Saat berbuka di hari ke 4 nanti, kau hanya dibenarkan makan sekepal nasi putih tanpa sebarang perasa. Jika kau sudah bersedia, aku akan menghantarmu ke sebuah lubang yang sudah lama aku sediakan untukmu.” Johari mengangguk dan mengikut Tok Sendeng ke tempat pertapaan yang ingin dituju. Dia sudah sedia menanggung akibat, asalkan kehendaknya dituruti.

••

“Trit... trit...”

Anding yang sedang khusyuk menyemak laporan kewangan berasa terganggu dengan deringan telefon bimbitnya. Nama ‘Tuan Samiri’ tertera di atas skrin, tentu panggilan yang penting. Jemarinya menekan butang hijau dengan pantas.

“Ya ayah...” Jawabnya.

“Mengapa kau pulang tanpa tinggalkan sebarang pesan?” Tanya Samiri di hujung talian.

“Maaf ayah. Saya pulang cepat kerana... mahu bertemu Syafika...” Anding memejam mata mereka alasan.

“Jangan buat begitu lagi, Anding. Aku risau... Setidaknya tulislah nota kepadaku agar aku tidak tertanya-tanya. Oh ya, Nurseha beritahu kau ada bayarkan hutang keluarganya kepada Tok Ghani...”

“Ya.” Anding berdiri perlahan-lahan sambil menatap pemandangan di luar tingkap, Dia mengusap rambut, dadanya berdebar ketika Samiri menyebut nama Nurseha.

“Nanti aku ganti semula wangmu.”

“Tiada masalah ayah. Cuma...”

“Apa dia Anding?” Tanya Samiri.

“Ibu Nurseha merindui anaknya. Ayah bawalah dia bertemu ibunya.” Anding melepas keluhan panjang.

“Nanti aku akan bawa dia bertemu ibunya. Jaga dirimu di sana.”

“Baik...”

“Aku di pekan membeli barang keperluan, sekarang aku mahu bergerak pulang.”

“Ayah jaga diri dan Nurseha...” Anding menamatkan perbualan. Wajah Nurseha dengan senyumannya yang manis terbayang di mata. Sukarnya untuk dia mengikhlaskan Nurseha yang sudah menjadi isteri kepada Samiri. Bapa angkatnya merangkap lelaki yang paling dia hormati.

Seketika kemudian, dia tersenyum sinis. Nurseha tidak sebaik mana, hanya si mata duitan yang licik. Berselindung di sebalik wajah jelitanya yang suci.

“Perempuan pisau cukur kampung... aku mahu lihat sejauh mana permainan kau...” Bisiknya sendiri.

Anding menjemput Syafika yang sudah lama bersiap menunggu kedatangannya. Dia sudah berjanji mahu membawa gadis itu keluar untuk makan malam bersama dan berharap agar Syafika dapat membuatnya lupa kepada Nurseha.

Sebaik masuk ke dalam kereta, Syafika mencium pipi Anding seperti yang sering dia lakukan. Jika selalunya Anding sering menolak jika Syafika ingin bermanja, malam itu dia hanya membiarkan saja. Mata Syafika merenung Anding di sebelah. Kacak seperti biasa, namun air mukanya kelihatan semakin serius kebelakangan ini.

“Sayang... you kenapa? Penat ke?” Tanya Syafika, tangan kiri Anding diambil dan dikucup. Sesekali dia menoleh ke belakang, matanya lebih tertarik dengan beg kertas berjenama butik pakaian wanita di tempat duduk belakang kereta Anding.

“Letih sikit...” Jawab Anding yang khusyuk memandang jalanraya di hadapan. Tidak peduli dengan Syafika yang mengusap lengannya.

“Ermmm... dekat belakang dalam paper bag tu gift untuk I ke?” Syafika tidak dapat menahan diri dari bertanya membuat Anding tersentak. Dia terlupa untuk menyimpan baju kurung yang dipilih untuk Nurseha. Sudah berhari-hari beg kertas berisi pakaian itu berada di dalam keretanya.

“Ya...ya... maaf, I lupa nak beri...” Anding berdehem, tekaknya kering.

“I ambil ya...” Anding mengangguk membuat Syafika tersenyum gembira. Dengan pantas dia mengambil beg kertas yang dari tadi menarik perhatiannya. Syafika membuka beg kertas, wajahnya berubah.

“Baju kurung?” Tanyanya sambil memandang Anding.

“Ya... I tak pernah nampak you pakai baju kurung. I belikanlah...” Anding meraba bawah dagunya, berfikir untuk mereka-reka ayat agar tidak kedengaran janggal. Lebur hasratnya mahu melihat Nurseha memakai baju kurung berkenaan. “Biarlah... aku memang nak buang pun baju tu...” Kata suara hatinya.

“I tak tahu pun kalau you mahu I pakai baju kurung...” Anding tersenyum mendengar kata-kata Syafika.

“Sesekali I nak lihat you pakai untuk I...” Anding memegang tangan Syafika, membuat si gadis berasa senang.

“Hmm size S ke? I pakai M la sayang...”

“Oh, ye ke? Alamak I silap... tak apa nanti boleh tukar.”

“I cuba dulu... kadangkala S pun boleh...”

“Okey...” Anding merenung jauh. Hatinya sedikit terkilan, dia sudah membayangkan Nurseha berdiri di sampingnya memakai baju yang sedondon warna dengan bajunya. Namun rupa-rupanya hajatnya tidak kesampaian. Cintanya hanya bertepuk sebelah tangan. Nurseha lebih tertarik dengan bapa angkatnya berbanding dia.

Keadaan hingar bingar di The Iron Fairies. Anding memimpin tangan Syafika melalui celah-celah manusia yang leka berhibur dan bersantai bersama teman-teman. Mereka memilih meja yang agak tersorok dari orang ramai dan memesan makanan serta minuman.

“Jameson...”

“You dah lama tak minum...” Syafika memberi komen dan mengangkat keningnya tanda hairan.

“Tiba-tiba I rasa mahu...” Jawab Anding selamba.

“Fazwan... Kenapa? You ada masalah ke sayang?” Tanya Syafika, prihatin.

“Tak... I okey je...”

“Kalau you nak cerita, I boleh dengar...” Syafika tersenyum, dia tahu dari raut wajah Anding yang gelisah, tentu dia memikirkan sesuatu. Anding tiba-tiba saja mengajaknya keluar malam ini. Selalunya puas Syafika memujuk rayu, Anding belum tentu mahu menurut kehendaknya.

“Tuan Samiri...”

“Kenapa dengan uncle?” Syafika pantas bertanya.

“Dah kahwin.”

“Wah... Bila? Dengan siapa?” Syafika menjadi teruja.

“Lebih kurang 3 minggu lepas. Dengan seorang gadis muda. Lebih muda dari I...” Anding tersenyum sinis. Wajah Nurseha bermain lagi di matanya. Kalau di hadapannya sekarang ialah Nurseha, tentu senyumnya menjadi lebih ikhlas.

“Baguslah... ada yang jaga uncle. You tak perlulah ulang alik selalu kerana risaukan Uncle Sam...” Syafika tersenyum memerhati Anding yang menatapnya.

“Betullah tu... Cuma I rasa perempuan tu hanya nak mempergunakan Tuan Samiri. Keluarga perempuan tu banyak hutang...” Anding meluahkan kegusarannya.

“Oh... jadi itu yang you risaukan? Tapi you jangan bimbanglah... Uncle Sam tu bijak dan berpengalaman hidup... dia mesti tahu kalau isterinya tu hanya mahukan duitnya saja. Hmm... Fazz, kita bila nak kahwin?” Syafika seperti acuh tak acuh mendengar luahan Anding. Sebaliknya bertanyakan soalan yang semakin membuat kepala Anding pening.

“Nantilah. I tengah banyak kerja ni. Tuan Samiri dah lepaskan tanggungjawab pada I, banyak kerja yang I kena buat sekarang. Dia kat kampung tu, tengah seronok berbulan madu...” Serta merta mood Anding berubah menjadi berangin. Teringat bagaimana selesanya Nurseha berada di dalam rangkulan Samiri.

“Kenapa you marah-marah ni? Bukan you gila kerja ke? You suka dengan position you sekarang kan? Sepatutnya you kena gembira untuk Uncle Sam..."

“Dahlah Syafika. You tak faham...” Anding meneguk pantas minumannya yang dihidang tanpa ais. Wajah Nurseha ingin dipadam dari ingatannya namun semakin dipejam mata, mengapa hanya senyuman Nurseha yang datang bertamu mengganggu perasaannya?

Anding memerhati Syafika yang menggoyangkan kepala mengikut irama muzik. Dia kian rimas dengan suasana yang semakin hiruk pikuk dan muzik yang kuat. Wajahnya sudah merah kepanasan kerana sudah bergelas-gelas minuman keras diteguk.

“Tunggu sini, I nak ke restroom...” Anding melepaskan pelukan Syafika dan berjalan dengan berhati-hati untuk mengelakkan dari berlanggar dengan pengunjung yang lain. Tubuhnya sedikit melayang, tetapi masih boleh dikawal. Dia memasuki tandas dan melepaskan air yang memenuhi takungan ginjalnya tanpa mempedulikan lelaki yang berdiri disebelah. Setelah selesai dia menoleh seketika ke kanannya dan menunduk ke bawah semula untuk menaikkan zip seluar.

Dia menoleh lagi ke kanan, dahinya berkerut memerhatikan lelaki yang baru keluar dari tandas itu.

“Bani? Apa yang dia buat di sini? Tapi bukankah Bani di kampung bersama ayah?” Dia tertanya di dalam hati sambil membasuh tangan. Kemudian dia terburu-buru keluar, cuba mencari lelaki yang kelihatan seperti Bani tadi namun bayangnya sudah tidak kelihatan.

“Mungkin aku salah orang...” Getus hatinya. Dia mungkin salah lihat atau sudah hampir mabuk. Lebih baik dia pulang sebelum matanya menjadi semakin berat.

Selepas menghantar Syafika, Anding segera pulang. Sebaik sampai di rumah dia naik ke kamar tidurnya, dengan tidak bertangguh lagi dia membuka pakaian dan merebahkan tubuhnya ke katil.

Badannya terasa berbahang. Dia menurunkan suhu pendingin hawa di kamarnya, biar tubuhnya lebih sejuk. Matanya semakin kuyu memandang siling. Tangannya memegang kalung di rantai leher yang dipakainya. Dari dahulu, setiap kali dia berasa resah, dia akan memegang kalung dan rantai tersebut yang merupakan pemberian daripada Samiri.

“Seha, abang tahu Seha pun sukakan abang. Kenapa Seha kahwin dengan dia? Seha...” Mulutnya meracau, dia kian lelap.

“Samiri tentu akan marah jika melihat kau seperti ini, Anding...” Bani muncul membawakan air minuman di hadapannya.

“Bani!” Anding terkejut melihat Bani yang tiba-tiba memasuki kamar. Dia melihat ke arah pintu yang tertutup. Bagaimana Bani masuk tanpa membuka pintu?

“Terkejut?” Bani tersenyum sambil menghulurkan gelas.

“Air beras barli... untuk mengurangkan panas badanmu.” Anding menyambut gelas yang dihulur, seperti dipukau dia meneguk air pemberian Bani.

“Kenapa kau ada di sini? Bagaimana kau masuk? Aku sudah kuncikan pintu itu tadi...” Tanya Anding. Dia semakin pelik dengan Bani.

“Dari kecil kau sudah tahu aku siapa...” Bani menyeringai, tertawa menjadikan Anding berasa kecut.

“Jadi betullah malam tu, kau yang berlegar di dalam kamarku kan? Bagaimana kau boleh bergerak begitu? Kau ini manusia atau apa?” Anding memberanikan dirinya bertanya.

“Aku ialah pendamping Samiri.” Anding tersentak.

“Apa maksudmu pendamping?” Tanya Anding lagi.

“Anding, seluruh kekayaan yang kau nikmati hari ini ialah berkat amalan ilmu hitam bapa angkatmu, Samiri. Aku ditugaskan untuk membantu dan mendampingi Samiri serta keturunannya. Tahukah kau mengapa Samiri tidak mahu memanggil kau sebagai anak walaupun kasih sayang yang diberi kepadamu melebihi kasih sayang seorang bapa?” Tanya Bani.

“Dia sudah menganggap aku anak!” Suara Anding kian meninggi.

“Ya, dia mengakui secara lisan kau ialah anaknya kerana itu yang kau mahukan. Sebagai anaknya, bukan saja segala hartanya akan jatuh kepadamu... kau akan mewarisi ilmunya juga...” Bani tersenyum dan meletakkan tangannya ke ubun-ubun Anding, memperlihatkan siapa Samiri yang sebenar. Mata Anding terbuka besar, tidak percaya dengan apa yang diperlihatkan.

“Tak mungkin monyet besar setinggi pintu rumah itu Samiri” Fikir Anding.

“Itu bukan bapaku. Kau tipu aku. Kau setan!!”

“Hahaha... aku bercakap benar Anding... berdamailah dengan kebenaran. Nanti kau pulang ke kampung dan lihat sendiri bagaimana bapa yang kau sanjungi itu bertukar menjadi mawas emas pada tengah malam. Kau harus membiasakan diri, kerana kau sudah menjadi pewarisnya....”

“Aku tak mahu... aku tak mahu jadi penyembah setan!” Jerit Anding marah.

“Air kencing setan pun kau rela minum... mengapa tidak mahu menjadi seperti bapamu? Ohhhh... mungkin aku harus memujuk Samiri agar membuat Nurseha mengandung. Lalu anaknya akan aku jaga dan siapkan dari bayi demi mewarisi ilmu hitam bapanya... bagaimana menurutmu Anding?” Bani tersenyum mengejek memerhatikan Anding yang meraup wajah dan memejamkan matanya.

“Jika kau mejadi siluman mawas seperti Samiri, bukan saja hartanya akan kau warisi. Isterinya yang membuat kau patah hati itu juga akan menjadi milikmu. Dengan syarat, kau terima aku dan juga pengikut-pengikut Samiri yang lain... Fikirkan Anding... Fikirkan...” Anding membuka mata, Bani sudah menghilang. Tubuhnya dibasahi peluh, dia bingkas bangun menarik tuala dan mandi menyegarkan diri.

“Aku bermimpi kah? Pelik...” Anding berusaha menafikan kehadiran Bani dan menganggap segala kejadian tadi adalah mimpi atau halusinasi.

Selesai mandi dia merebahkan kembali tubuhnya ke katil dan bersedia untuk tidur. Sewaktu dia mahu menekan suis lampu di meja kecil sebelah katil, dia terpandang gelas berisi air barli yang hanya separuh diminum. Matanya merenung gelas, lama. Dia tidak bermimpi.

••

Nurseha memerhati Samiri dari jauh, sudah beberapa hari dia turun ke kebun, namun tidak dibenarkan berbuat apa-apa. Malah Samiri hanya membenarkan dia bekerja separuh hari saja.
Kadangkala dia curi-curi membantu mencabut rumput di batas sayuran organik. Tapi di kebanyakan masa, dia hanya memerhati saja seperti mandur. Tadi pekerja-pekerja Samiri juga hanya menyuruhnya duduk sahaja di tepi kebun. Akhirnya dia hanya membantu Bani menyusun dan menghidang bekal makanan dan minuman untuk pekerja saja.

“Hari semakin panas, puan masuklah ke dalam rumah.” Seorang pekerja yang dikenali dengan nama Wak Supardi menegur Nurseha.

“Tak apa... saya dah biasa berpanas... sebelum ni saya pernah bekerja di kebun sayur...” Nurseha melemparkan senyuman mesra. Dia berbual dengan beberapa orang pekerja yang lain sambil menyendukkan nasi dan menuang minuman buat mereka.

“Nurseha... masuk ke dalam dan bersiap. Aku mahu ke bandar sebentar lagi. Kau ikut aku...” Samiri tiba-tiba muncul di belakangnya. Nurseha kehairanan, baru sebentar tadi dia melihat Samiri di hujung sana memerhatikan pekerja yang sedang menyiapkan landskap. Tiba-tiba saja sudah ada di belakangnya. Nurseha akur dan berjalan mengekori Samiri masuk ke rumah.

“Jangan terlalu banyak tersenyum atau berbual dengan pekerjaku. Mereka semua lelaki normal, jaga batasmu sebagai wanita...” Teguran Samiri membuat Nurseha sedikit tersinggung namun dia tidak berani menyanggah. Rasanya selama beberapa hari dia bekerja, tidak pula dia melampaui batas. Selesai mandi dan bersiap, mereka bergerak menuju ke bandar.

“Hmmm... ini bukan jalan ke bandar...” Nurseha bersuara apabila dia melihat kenderaan Samiri memasuki kawasan kampung.

“Aku mahu ke rumah Tok Ghani sebentar untuk menyelesaikan hutang keluargamu...” Jawab Samiri.

“Oh... anak Tok Ghani ini kah yang bernama Johari?” Soalan Samiri hanya disahut dengan anggukan tanpa suara oleh Nurseha. Hatinya sedikit berdebar, dia tidak ingat jika pernah menyebut nama Johari di depan Samiri. Pemanduan Samiri terhenti di sebuah rumah banglo gaya kampung berwarna hijau, rumah Tok Ghani.

“Jangan turun. Tunggu saja di dalam kereta...” Samiri berpesan kepada Nurseha. Dia berjalan menuju ke anak tangga rumah Tok Ghani, sambil mulutnya terkumat kamit seperti membaca sesuatu.

“Ya, ada apa encik? Nak cari siapa?” Tanya Mak Tipah yang perasan akan kehadiran sebuah kereta mewah di halaman rumahnya.

“Saya Samiri yang tinggal di hujung kampung. Nak cari Tok Ghani, berkaitan hal hutang keluarga isteri saya, Nurseha.” Samiri membuka kaca mata hitamnya dan tersenyum kepada Mak Tipah.

“Oohh... suami Nurseha. Segak... Bukan apa, orang kampung beritahu Nurseha bernikah dengan lelaki berusia... Memandai saja, biasalah mulut orang kampung... Sekejap ya... Makcik panggilkan Tok Ghani sekejap. Seha mana?” Tanya Mak Tipah.

“Ada. Dia menunggu di kereta...” Jawab Samiri.

Sebentar kemudian, Tok Ghani keluar dan menjemput Samiri masuk. Setelah memperkenalkan diri, Samiri menjelaskan tujuan kedatangannya.

“Baki hutangnya RM32,800.” Tok Ghani menunjukkan segala dokumen perjanjian hutang dan rekod bayaran.

“Saya akan jelaskan semuanya. Tok Ghani mahu terima cek atau tunai? Saya boleh buat transaksi pemindahan terus ke akaun Tok Ghani.”

“Begini Tuan Samiri, saya hanya menerima wang tunai sahaja...” Jelas Tok Ghani.

“Saya beri wang tunai RM20,000. Bakinya nanti saya hantarkan esok. Sebentar saya ambilkan wangnya.” Samiri bingkas bangun dan menuju ke kereta.

Nurseha hanya terkebil-kebil, mulutnya separuh ternganga memerhati Samiri mengeluarkan wang tunai dari sebuah beg. Dia tak pernah melihat wang sebanyak itu seumur hidupnya.

“Tutup mulutmu... aku ada banyak lagi di rumah, nanti kau tolong kirakan ya... sekarang aku lantik kau sebagai setiausahaku...” Samiri mengenyitkan matanya dan menghulurkan beberapa keping wang berwarna ungu kepada Nurseha yang tertunduk malu. Dada Nurseha berdebar. Rasanya seperti dipanah dengan busur cinta.

“Ini untukmu...” Dia tersenyum memandang Nurseha dan kembali memasuki rumah Tok Ghani. Nurseha melihat wang yang diberi Samiri. Perlahan-lahan dia mencium kepingan wang tersebut. Wanginya bau duit, bau yang sedap sekali dihidu... Nurseha tersengih sendiri. Tidak lama kemudian, Samiri kembali semula ke kenderaannya.

“Aku sudah bayarkan RM20,000. Bakinya RM12,800 akan aku jelaskan esok.” Samiri meneruskan pemanduan, menuju ke bandar.

“Terima kasih tuan. Baki RM12,800 tuan tak perlu bayar. Nanti Seha akan bayar setiap bulan. Kan tuan beri Seha gaji. Ni Seha ada RM300 yang tuan beri tadi...” Samiri menoleh ke kiri melihat wajah Nurseha dan tersenyum.

“Simpanlah. Beli apa yang kau mahukan...”

“Seha mahu radio...” Nurseha tersenyum, nanti dia mahu melihat-lihat radio di pusat membeli belah jika sempat.

“Radio? Kau suka dengar radio?” Tanya Samiri, tersenyum lagi sambil memandang Nurseha.

“Suka... Seha pandai nyanyi tau...” Samiri mula tertawa. Nurseha yang pemalu sudah mula menunjukkan sisi yang sebenar nampaknya.

“Cuba kau nyanyi...”

“Kenalah ada radio...” Nurseha memuncungkan mulutnya.

“Tak ada masalah... nah...” Samiri menekan butang radio di keretanya yang jarang-jarang dia dengarkan. Lagu bahasa inggeris berkumandang.

“Seha tak tahu nyanyi lagu orang putih...”

“Oh... cuba kau pilih stesen mana yang kau mahu... keretaku sebelum ini dipandu oleh Anding, tentu ini stesen kesukaannya...” Samiri memberhentikan kereta di bahu jalan. Semata-mata untuk mencari stesen radio yang biasa didengari oleh Nurseha.

“Encik Anding suka lagu-lagu inggeris rupanya...” Nurseha menyahut di dalam hati. Sambil memerhati Samiri menekan-nekan butang frekuensi radio.

“Ha... yang ini...yang ini... Sinar FM...” Tanpa sedar Nurseha yang sedang teruja meletak tangannya di atas peha Samiri.

“Duhai kekasih hati... Katakanlah padaku... Bahwa semua ini... Hanya igauan mimpi... Aku tak sanggup, kasih... Kehilangan dirimu... Walau sedetik rindu mencengkam...Terasa pedih...” Nurseha menyanyi dengan penuh perasaan hingga terpejam mata. Samiri memandang dengan senyuman meleret. Tangan Nurseha yang terletak selesa di atas pehanya disentuh membuat Nurseha menghentikan nyanyiannya. Wajahnya yang putih merona merah kerana malu.

“Maaf... Seha tak sengaja...” Nurseha pantas mengalihkan tangannya tetapi ditarik semula oleh Samiri.

“Suara kau sedap...” Puji Samiri memandang tepat ke anak mata Nurseha. Dada Nurseha berdegup kencang apabila Samiri tetap memegang jemarinya sambil meneruskan pemanduan.

Nurseha melihat-lihat barangan yang dibelikan oleh Samiri untuknya. Kali ini pakaiannya semua dipilih oleh Samiri. Tadi sewaktu dia memilih sehelai pakaian tidur dengan corak kartun, Samiri menggeleng kepala tidak setuju.

Dia mengambil sehelai gaun tidur berwarna putih susu dari beg kertas. Gaun tidur dari sutera bertali halus itu disarung ke tubuhnya yang kecil. Rambutnya dilepaskan dan disikat rapi. Wangian dari buah limau purut yang digosok di kepalanya sewaktu mandi pagi tadi masih kekal harum. Nurseha tersenyum memandang dirinya di cermin. Bisikan Samiri siang tadi masih lagi terngiang-ngiang di telinga.

“Kau sudah menjadi seorang wanita, bukan lagi kanak-kanak, Puan Samiri...” Nurseha tersipu-sipu sendiri. Minyak wangi mahal yang dibelikan oleh Samiri di hari pernikahan mereka diambil dari laci. Nurseha membaca lafaz Bismillah dan menekan nozzle dengan berhati-hati menghala ke lehernya.

“Hmmm... wanginya...” Tak pernah dia mencium bau sewangi itu seumur hidupnya.

“Tok... tok...” Nurseha terkejut mendengar ketukan. Kelam kabut dia membuka pintu.

“Tuan... kenapa?” Automatik Nurseha menyilang tangan ke dada, malu apabila Samiri tersenyum memandangnya.

“Nak tengok tahi bintang?” Tanya Samiri.

“Tahi bintang? Kenapa nak tengok tahi bintang?” Nurseha bertanya semula.

“Aku mahu isteriku menemaniku mencerap bintang malam ini.” Nurseha tidak faham apa yang diperkatakan oleh Samiri. Tapi dia tahu Samiri mahu dia menemani.

“Sekejap, Seha tukar baju...” Nurseha ingin menutup pintu tapi ditahan oleh Samiri.

“Tak perlu. Aku suka gaun tidurmu. Mari...” Nurseha mengangguk, wajahnya teragak-agak. Namun tetap mengekori Samiri naik ke kamarnya.

Nurseha menahan nafas melihat keadaan kamar Samiri. “Ini bilik tidur atau pejabat atau ruang tamu?” Dia tertanya sendiri mengagumi kamar Samiri yang luas dengan dekorasi gaya maskulin. Nurseha memandang ke arah lain cuba menutup rasa malunya apabila Bani mengetuk pintu dan menghantar minuman buat dia dan Samiri.

“Mahu chamomile atau lavender?” Tanya Samiri

“Apa-apa pun boleh...” Sahut Nurseha, tak faham apa yang ditanya oleh Samiri.

“Mana tahi bintang?” Tanya Nurseha.

“Sekarang belum ada, sebentar lagi lebih kurang jam 10. Kau mahu lihat bulan? Sini...” Samiri memanggil Nurseha agar menghampiri teleskop.

“Wah... bulan berwarna biru atau perak? Ada bintang terang disebelahnya...” Nurseha memandang dengan kagum ciptaan Allah SWT.

“Bintang terang yang kau lihat itu Planet Musytari...” Jelas Samiri lalu menghulurkan teh kepada Nurseha.

“Duduklah...” Pelawa Samiri apabila Nurseha kelihatan mencari tempat duduk, dia teragak-agak sewaktu melabuhkan punggung ke katil Samiri yang besar. Tangan Nurseha meraba-raba cadar berwarna hitam yang lembut dan sejuk dipegang. Mereka berdua hanya berdiam, keadaan menjadi canggung seketika. Hanya bunyi unggas malam yang kedengaran di luar kamar.

“Sudah jam 10...” Samiri berdiri memanggil Nurseha, hujan tahi bintang dari buruj Gemini sudah mula keluar.

“Buat permintaan...” Bisik Samiri sambil tertawa kecil. Nurseha memandang lama ke wajah Samiri. “Hari ini Tuan Samiri banyak tersenyum dan ketawa. Tentu dia sedang senang hati.” Getus hati Nurseha.

“Kenapa lihat aku begitu?” Samiri bertanya, melihat Nurseha sekali lalu dan menilik hujan meteor yang dinantikannya. Nurseha menggelengkan kepala dan menyanyi kecil, dia juga turut senang hati kerana melihat Samiri tidak berwajah serius seperti selalu. Selesai mengambil gambar, Samiri menarik Nurseha agar menjauhi jendela.

“Kenapa?” Tanya Nurseha.

“Aku tak mahu ada yang memandangmu dalam kegelapan di luar sana. Isteriku hanya untuk tatapanku. Begitu juga suaramu, nyanyianmu hanya untuk telingaku...” Samiri mengucup dahi Nurseha, membuat Nurseha berasa sesak nafas. Perutnya senak tiba-tiba dan terasa ingin membuang air kecil.

“Seha... nak balik bilik...” Nurseha menolak dada Samiri perlahan. Wajahnya tiba-tiba pucat apabila tubuh Samiri terlalu hampir dengan dirinya.

“Ini juga kamarmu...” Samiri menarik lengan Nurseha.

“Seha... Seha nak pergi tandas...” Nurseha berlari keluar dari kamar Samiri. Jantungnya seolah mahu pecah kerana laju mengepam darah. Tangannya meraba dahi yang tadi dikucup Samiri, kemudian dia mengucup tangannya sendiri sambil tersenyum.

Sebaik keluar dari tandas, dia terkejut melihat Samiri sedang menunggunya di pintu kamar.

“Di kamarku juga ada tandas...” Samiri menghulurkan tangan, lalu Nurseha menyambut dan mengikutnya naik ke atas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience