SEMBILAN

Fantasy Series 877

Johari memandang keris kecil di tangannya. Dalam hatinya menyumpah seranah kerana tidak ada apa yang terjadi sejak siang tadi. Puas dia mengasap keris berkenaan dengan asap rokoknya dan bacaan mantera seperti yang pernah diajar oleh Tok Sendeng. Malah manteranya siap ditulis di atas kertas timah pembalut rokok yang disimpan rapi di dompetnya. Tak mungkin dia tersilap baca.

Johari membakar lagi sebatang rokok. Dalam hatinya mengatakan ini adalah percubaannya yang akhir. Jika makhluk bernama Sali Raya itu tidak memunculkan diri, tak perlulah bersusah payah menjaga keturunannya lagi seperti mana yang makhluk itu selalu janjikan.

“Mengapa kau panggil aku...” Tok Sendeng muncul dari balik langsir. Johari mengecilkan mata, cuba memastikan dia tidak berhalusinasi. Ketakutan yang dahulunya timbul setiap kali dia terdengar suara garau Tok Sendeng sudah dibenam jauh-jauh. Kehendaknya kini lebih utama mengatasi ketakutannya.

“Adakah kau bersama Sali Raya?” Tanya Johari. Tok Sendeng menggelengkan kepala.

“Jika kau benar-benar sudah bersedia, kau boleh memanggil dia tanpa aku sebagai pengantara. Tubuhku kian lemah, Sali Raya memerlukan kau sebagai warisku untuk menjadi perumahnya yang baru. Segala kehendak duniawi yang kau mahu akan dia berikan.”

“Aku waris engkau?” Dahi Johari berkerut. Tak disangka Tok Sendeng seketurunan dengannya.

“Aku mencari Sali Raya di puncak Butnak sebelum tempat ini diteroka. Sejak itu dia telah berjanji untuk menjaga seluruh keturunanku sehingga kiamat. Aku ialah bapa kepada moyangmu. Kau adalah pilihannya untuk menggantikan aku. Dia akan jadikan hayat hidupmu panjang seperti aku. Namun sebelum itu terjadi, Sali Raya mahu nyawa bapamu kerana bapamu itu telah gagal memenuhi janji.” Kata-kata Tok Sendeng membuat Johari terkejut.

“Tidak. Jangan bunuh bapaku. Apa yang Sali Raya mahukan sebenarnya?” Johari melangkah ke arah tingkap, mahu bertentang mata dengan Tok Sendeng.

“Permintaannya mudah. Anak laki-laki yang masih teruna setiap 10 tahun sekali harus dipersembahkan kepada Sali Raya di puncak Butnak. Kali terakhir dia mendapat habuannya kira-kira 30 tahun yang lalu yang dipersembahkan oleh datukmu. Sejak bapamu menguasai tempat ini, belum pernah sekali pun dia memberi persembahan kepada Sali Raya walaupun aku sudah beberapa kali memberi amaran kepadanya. Sebagai pewarisnya, kau juga turut bertanggungjawab memenuhi tuntutan Sali Raya itu.” Johari menelan liur mendengar kata-kata Tok Sendeng.

“Bagaimana cara yang paling mudah untuk mendapatkan anak lelaki yang masih teruna?” Pertanyaan Johari disambut dengan ketawa. Tok Sendeng hilang secara tiba-tiba. Johari menerpa ke tingkap, mengintai kegelapan di luar.

Seketika kemudian dia melangkah beberapa tapak ke belakang. Wajahnya terkejut apabila ada asap hitam yang bergerak seperti angin laju menerobos masuk ke dalam rumah.

“Arghhhhh!!!” Asap hitam memasuki tubuh Johari melalui mulut, hidung dan segala rongga yang terbuka, menolak Johari sehingga tersandar di sofa lalu dia terdiam tidak sedarkan diri dengan kepalanya tertunduk ke bawah.

Malam kian larut. Zawani yang baru pulang dari rumah ibunya tersenyum lebar sebaik sahaja terlihat kereta milik Johari di halaman.

“Pandai pun tidur rumah sendiri...” Zawani berjalan memasuki rumah.

“Abang....” Sapaan Zawani tidak disahut oleh Johari yang sedang tidur di sofa. Televisyen di hadapan dibiarkan terpasang. Zawani menutup televisyen sebelum berlalu masuk ke dalam biliknya untuk mandi dan tidur.

Lega rasanya apabila tubuh disirami air hangat. Tubuhnya letih kerana membawa kandungan yang kian sarat. Kakinya juga sudah mula membengkak apabila banyak berdiri atau berjalan. Zawani mengusap kandungannya yang kian membesar. Tinggi harapannya agar Johari berubah menjadi lebih baik apabila melihat bayinya nanti.

“Kasihan anak mama. Papa tak pedulikan kita nak... Tapi tak apa, mama ada... mama sayang anak mama...” Zawani menyeka air mata. Selagi dia masih boleh bertahan dengan sikap Johari, dia akan berjuang mempertahankan rumahtangganya.

“Abang! Buat Ani terkejut je lah... Kenapa pandang Ani begitu?” Berderau darah Zawani apabila kepala Johari terjengul di muka pintu bilik mandi. Sangkanya Johari mahu masuk menggunakan tandas, namun rupanya Johari sengaja menunggu dirinya selesai mandi di muka pintu. Johari tersenyum, lesung pipitnya di pipi yang lekuk ke dalam mencairkan hati Zawani. Didukung tubuh isterinya lalu dibawa ke katil.

Zawani rasa bahagia, tak pernah Johari melayan dirinya seperti puteri. Tubuhnya yang basah dilap oleh Johari dengan lembut. Kedua kakinya yang letih juga turut diusap, anehnya keletihan yang dirasai oleh Zawani seolah hilang terus. Dipeluk tubuh Johari yang tidak banyak bicara malam itu. Langsir ditarik, lampu bilik dipadamkan sehingga tidak ada sekelumit cahaya yang kelihatan.

“Ani sayang abang......” Zawani merintih.

“Hmmm...” Sahut Johari.

“Abang dah lama tak cakap yang abang sayangkan Ani...” Zawani memegang lengan Johari yang mendakap tubuhnya dari belakang.

“Hmmm...” Johari masih tidak membalas kata, hanya bunyi nafasnya yang laju saja kedengaran. Zawani tersenyum-senyum. Nampaknya ada perubahan pada diri Johari. Mungkin jampi bomoh Siti kian menjadi.

“Abang minum kopi tongkat ali ke tadi?” Tanya Zawani, dia hairan kerana tenaga Johari juga agak berlainan malam ini.

“Hmmm....”
Walaupun Johari hanya banyak mendiamkan diri, namun tidak mengapa. Asalkan ada disamping dirinya setiap hari, fikir Zawani. Nanti dia akan bertemu bomoh Siti lagi untuk memasang susuk berlian di bahagian sulitnya pula demi menambat kesetiaan Johari.

Zawani tidak larat membuka mata apatah lagi bangkit dari katil. Tenaga Johari benar-benar luar biasa malam tadi. Zawani mahu menyambung tidur kerana tubuhnya terlalu letih tetapi tidak jadi apabila dirasakan celah kelengkangnya basah. Zawani meraba cairan yang keluar.

“Aku terkencing ke?” Dia tidak jadi menyambung tidur. Memang sejak kandungannya membesar dia kerap membuang air kecil. Kadangkala pernah juga terkucil beberapa kali.

“Abang, tolong bukakan lampu...” Zawani meraba sampingnya untuk mengejutkan Johari tetapi Johari tiada di sebelah.

“Abang Johari mungkin tidur di sofa luar” Fikir Zawani. Dengan susah payah, dia memaksa dirinya berdiri dan berjalan untuk menekan suis lampu.

“Tap!” Lampu menyala.

“Hah?!!” Zawani panik, darah segar turun dengan banyak dari kelengkangnya.

“Abang!!!!!” Jerit Zawani.

••

Tak tertelan rasanya dada ayam dan sayuran yang dari tadi dikunyah apabila Anding menatap tajam wajahnya setiap kali berkesempatan.

Nurseha menoleh ke kanannya melihat Samiri yang tekun menghabiskan makanan di piring. Baru 2 minggu menjadi isteri Samiri, dia sudah sedia maklum akan tabiat suaminya yang tidak suka berbual apabila sedang makan. Selesai menikmati makan malam yang disediakan oleh Samiri, Nurseha segera ingin bangun dari tempatnya.

“Kakimu kan sakit... kau mahu ke mana?” Samiri bertanya.

“Hantar piring kotor ke dapur dan basuh.” Jawab Nurseha sambil tersenyum menyembunyikan keresahan. Sebenarnya dia sudah tidak sanggup melihat wajah Anding yang duduk berhadapan dengannya.

“Tak perlu. Nanti Bani akan kemaskan. Anding juga ada, dia boleh tolong mengemas jika Bani lewat tiba.” Balas Samiri dan mengarahkan Nurseha duduk kembali.

“Bani ke mana?” Tanya Anding. Kakinya menyentuh kaki Nurseha di bawah meja apabila dilihat Nurseha tidak mempedulikan dirinya, namun wajahnya kekal bersahaja seperti tiada apa yang berlaku. Nurseha yang tersentak menarik kakinya ke belakang. Jantungnya semakin berdebar, berharap agar Samiri tidak perasan yang Anding sering mencuri pandang ke arahnya dari tadi.

“Mungkin pulang ke pondoknya...” Jawab Samiri. Gerak tubuhnya menunjukkan yang dia mahu berdiri.

“Abang nak ke mana?” Soal Nurseha. Samiri tidak jadi bangun ketika Nurseha menarik lengannya lalu dia menunjukkan kotak rokok yang dikeluarkan dari poket seluar.

“Nak ikut...” Nurseha memegang meja, ingin memapah untuk berdiri.

“Mari...” Samiri mendukung Nurseha, membawanya keluar ke kolam renang.

Anding menghantar mereka berdua dengan jelingan tajam. Dia dapat merasakan telinganya panas, cemburu melihat Nurseha yang kelihatan selesa dirangkul oleh Samiri. Dia bingkas bangun membawa gelas dan piring kotor ke singki.

Selesai mengemas, langkah Anding terhenti di pintu kaca yang menghadap ke kolam renang. Memandang Samiri dan Nurseha dengan penuh rasa cemburu terhebat yang membadai hatinya. Samiri sedang mengurut kaki Nurseha yang meleleh air mata menahan sakit.

Anding berasa pelik kerana selalunya Samiri tak akan keluar dari kamar di waktu senja begini. Sesi meditasinya selalu diletak paling hadapan berbanding aktivitinya yang lain. 12 tahun dia tinggal serumah dan dibesarkan oleh Samiri, dia tahu benar rutin bapa angkatnya yang satu itu tidak pernah ditinggalkan.

“Lain kali berhati-hati ketika berjalan. Mujur tidak ada yang patah.” Nurseha mengangguk mendengar pesan Samiri.

“Aku hantar kau naik ke kamarmu ya...” Samiri yang selesai mengurut buku lali Nurseha yang membengkak kerana terseliuh, mendukung isterinya yang masih remaja itu masuk ke dalam.

Hidung Nurseha berasa selesa apabila tercium bau wangian Samiri yang unik menutup bau tembakau dan asap rokok yang kuat. Mengingatkannya kepada bau kayu, tanah dan lumut serta kesegaran hutan. Dia mendekatkan hidungnya ke leher Samiri dan dihidu lagi dalam-dalam.

“Kenapa?” Tanya Samiri apabila dilihatnya Nurseha tiba-tiba tersenyum. Langkahnya yang tadi laju menjadi perlahan mendaki anak tangga ke atas.

“Tak... tak ada apa.” Jawab Nurseha tergagap-gagap.

“Maaf menyusahkan...” Bisik Nurseha perlahan apabila tubuhnya didudukkan dengan berhati-hati oleh Samiri ke atas katil.

“Tubuhmu ringan saja, makanlah lebih banyak biar sedikit berisi...” Samiri tersenyum tipis sambil melirik wajah Nurseha yang merona merah kerana malu.

“Terima kasih abang... eh, tuan...” Nurseha menggaru kepalanya kerana terlupa. Perasaan malu serta gementar menjalar dari perut naik ke wajahnya.

“Panggilan abang hanya ketika ada di hadapan Encik Anding. Apabila berdua tentulah Tuan Samiri tidak mahu dipanggil abang.” Nurseha bersuara di dalam hati, mengingatkan dirinya sendiri.

“Aku tidak ada masalah kalau kau mahu terus memanggilku abang walaupun Anding tiada.” Nurseha tersenyum dan mengangguk sebaik mendengar kata-kata Samiri. Rasa mahu disembunyikan mukanya dibawah bantal.

“Kau berehat dan tidur awal. Aku mahu naik ke kamarku.” Samiri menutup pintu bilik Nurseha perlahan-lahan dan naik ke atas.

Anding memerhati dari pintu kamarnya yang sengaja tidak ditutup rapat. Hairan kerana Nurseha tidak menginap di kamar yang sama dengan Samiri. Dia keluar dan mendongak ke koridor atas untuk memastikan Samiri telah kembali ke kamar. Akhirnya dia melangkah ke kamar Nurseha. Jika diikut rasa hatinya, mahu saja dia menceroboh masuk kerana ada banyak soalan yang mahu diajukan kepada Nurseha. Tangannya cuba dikawal dari membuka pintu di hadapannya.

“Apa yang kau buat di situ Anding?” Bani yang muncul entah dari mana menyapanya. Anding tersentak dan menoleh ke arah Bani.

“Cuba kau tanyakan pada Nurseha jika dia mahu susu atau air cokelat panas. Aku mahu ke bawah untuk membancuh minuman.” Lancar kata-kata yang keluar dari mulut Anding.

“Oh... ketuklah pintunya dan tanya. Dia jarang minum malam. Tapi manalah tahu jika dia ingin mencuba air buatanmu.” Bani menyengih.

“Hmm...Tak mengapalah kalau begitu.” Anding turun ke bawah sambil merungut memarahi dirinya sendiri yang nyaris tertangkap oleh Bani.

Bani memerhatikan Anding, setelah dia pasti Anding benar-benar menuju ke dapur, dia meneruskan langkah naik ke atas. Ada perkara yang harus dibincangkan bersama Samiri.

Samiri baru selesai mandi ketika Bani melangkah masuk ke dalam kamar. “Kau dari mana?” Tanya Samiri.

“Aku semakin tidak tahan berlama di sini sejak kedatangan Nurseha. Kau juga merasai bahangnya kan?” Bani memulakan topik bicara. Mendengarkan pertanyaan Bani, Samiri hanya mengangguk, mengiyakan. Kata-kata Bani memang benar, dia juga turut kepanasan setiap kali berada di samping Nurseha. Apatah lagi ketika Nurseha sedang bersolat.

“Kau mahu aku lakukan apa Bani? Kau juga yang mahu aku selamatkan dia dari gangguan sihir makhluk di puncak Butnak itu. Dia selamat di dalam rumah ini...” Sahut Samiri, suaranya mendatar.
“Tempatkan penjaga di dalam tubuhnya. Penjaga yang boleh melindungi dia dan pada masa yang sama turut berbisik, memujuk agar dia malas menunaikan ibadahnya atau membuat darah haidnya lambat kering...” Cadang Bani. Samiri menghela nafas panjang. Itu sama dengan menyakiti Nurseha secara senyap. Dia tidak sampai hati mahu melakukan perkara sebegitu ke atas Nurseha.

“Nanti aku akan bina kabin yang berasingan untuknya.” Samiri membalas. Dia ingin memulakan meditasi. Dia benar-benar sudah lewat hari ini kerana tadi dia harus menyediakan makan malam dan mengurut kaki Nurseha yang cedera.

“Dia sudah menjadi isterimu, mengapa kau tidak meniduri dia? Jika kau mempunyai zuriat dari benihmu sendiri, aku akan membantu melindungi zuriatmu sebagaimana aku membantumu.” Bani duduk menghadap Samiri.

“Bani, jika nanti mereka yang aku dendam sudah mati dan aku telah tiada, aku tidak mahu mewariskan darah siluman mawas di dalam tubuhku ini kepada sesiapa. Hartaku akan aku berikan semuanya kepada Anding. Samada dia dapat mempertahankan hartaku atau tidak, aku tidak mahu ambil tahu. Aku sudah berikan ilmu dunia kepadanya sehingga dia berjaya menamatkan pelajaran di menara gading. Aku yakin dia akan baik-baik saja walau tidak menjadi siluman sepertiku.” Samiri berusaha mengawal perasaannya yang tersinggung dengan kata-kata Bani.

“Bagaimana dengan aku dan pengikutmu yang lain?” Tanya Bani. Matanya menjadi merah memandang Samiri.

“Kau boleh kembali ke tempat asalmu dan bawa semua yang lain bersamamu.” Jawab Samiri. Nada suaranya tenang namun perkataannya yang tajam menyinggung perasaan Bani.

“Aku tidak sangka kau akan berkata begitu, Samiri. 30 tahun yang lalu bapamu menghantar kau kepada Kama Kawiswara untuk dijaga dan dilindungi. Setiap kali aku memandang Anding, aku akan teringat kepada kau yang dahulu... Wajahmu ketika itu penuh ketakutan dan penyesalan kerana tidak mampu menyelamatkan adikmu yang dijadikan korban penunggu Butnak. Walaupun kau sudah menjadi Kama Kawiswara yang baru, sehingga kini aku masih nampak rasa sesal itu di dalam matamu. Segeralah lunaskan dendammu. Aku dan pengikutmu yang lain sudah bersumpah akan taat setia kepadamu. Namun nampaknya kau tidak ada matlamat yang jelas sebagai pemimpin selain kobaran api dendam. Jika api dendam itu sudah terpadam, bagaimana dengan kami semua? Jika kau tidak mahu punya zuriat untuk dijadikan pengganti dirimu, aku akan memujuk Anding dengan caraku sendiri.” Bani menyeringai dan menghilangkan dirinya.

Samiri bangun berdiri dan menyarung jubah tidurnya. Tidak jadi bermeditasi. Dia mencapai kotak rokok dan keluar dari kamar. Langkahnya terhenti di tingkat 2, matanya memandang kamar Nurseha. Mahukah Nurseha disentuh seperti seorang isteri oleh dirinya? Samiri bertanya sendiri di dalam hati. Akhirnya dia menghela nafas dan meneruskan langkah turun ke bawah. Pintu kaca menghadap kolam renang sudah sedia terbuka, Anding rupanya yang sedang mengelamun, melayan perasaan di luar.

“Anding...” Sapa Samiri.

“Hmmm... Nurseha sudah tidur?” Samiri tertawa kecil mendengar soalan Anding.

“Barangkali dia sudah tidur. Mengapa Anding? Dari siang tadi, aku lihat mood kau tidak baik.” Samiri menyalakan rokoknya, sambil memandang Anding.

“Kenapa merahsiakan pernikahan ayah dan Nurseha dari saya?” Tanya Anding. Wajahnya mencuka.

“Aku tidak berniat merahsiakan pernikahanku. Ianya tiba-tiba saja Anding. Aku tidak mahu melepaskan gadis sebaik dia.” Samiri bersuara perlahan. Wajah Nurseha yang manis dan merona merah kerana malu setiap kali dipandang terbayang di mata. Sengaja dia tidak mahu menceritakan perkara yang sebenar di sebalik kisah pernikahannya dengan Nurseha. Aib dan maruah Nurseha yang sudah menjadi isterinya perlu dijaga.

“Berapa usia ayah sekarang?” Tanya Anding berani seperti cuba membuat provokasi.

“Lebih kurang dua kali ganda usiamu Anding....” Samiri bersuara tenang sambil menatap wajah Anding, lama.

“Beza lebih 30 tahun dengan Nurseha... Baik, kalau ayah sudah jatuh cinta dengan dia... saya memang percaya. Tapi tak mungkin Nurseha mencintai lelaki yang seperti bapanya!” Suara Anding meninggi.

“Umur hanya angka. Dari segi fizikalku, aku yakin aku kelihatan seperti abang kepadamu, Anding...” Melihat Anding mencebik, Samiri hanya tersenyum. Rupanya Anding tidak senang dia menikahi Nurseha.

“Selain dari beza umur kami berdua, apa lagi yang kau bimbangkan?” Tanya Samiri.

“Mungkin dia cuma mahukan harta ayah.” Balas Anding lalu disambut dengan derai ketawa Samiri.

“Kau harus tahu satu perkara Anding, sehingga kini aku masih lagi berhutang wang hantaran buatnya kerana dia tidak punya akaun bank, malah sewaktu aku membawanya pergi membeli belah dia tidak pandai meminta-minta. Dia bukan gadis seperti sangkaanmu itu. Cukuplah jika aku katakan dia seorang gadis yang baik. Kau jangan bimbang, jika aku mati nanti sebahagian besar hartaku sudah aku wasiatkan atas namamu. Nurseha tidak akan mengambil hakmu.” Kata-kata Samiri membuat Anding tertunduk. Jauh di sudut hati dia juga yakin Nurseha seorang gadis yang baik. Namun mengapa Nurseha yang mesti menjadi pilihan Samiri? Masih ada ramai lagi gadis yang cantik dan baik di kampung itu.

“Saya minta maaf ayah...”

“Sudahlah Anding. Jika aku menjadi kau, aku juga akan bersikap sinis seperti ini. Terima kasih kerana memperkenalkan Nurseha kepadaku. Jika kau tidak membawa aku ke warung tempatnya bekerja, tentu aku tidak berpeluang mempunyai isteri secantik dia.” Samiri tertawa kecil mendengar kata-katanya sendiri. Anding juga turut memaksa bibirnya tersenyum, sedang hatinya bagai pedih tersiat menanggung rasa cemburu.

••

Selesai mengebumikan jenazah bayinya, Johari mencuit bahu Tok Ghani dan mengajaknya memasuki kereta. Dia masih terdengar esak tangis Mak Tipah di atas rumah yang sedang ditenangkan oleh saudara mara mereka. Isterinya Zawani pula masih berada di hospital.

“Ada apa Johari?” Tanya Tok Ghani.
“Ni...” Johari mengeluarkan sebilah keris yang dibalut kain merah. Mata Tok Ghani terbeliak. Itu kerisnya yang hilang dari simpanan.

“Rupanya kau yang ambil keris ni dari laci aku ya?” Tok Ghani bertanya seakan membentak. Keris yang diunjuk Johari itu bukan keris biasa.

“Tok Sendeng yang berikan kepada Jo.” Johari menjawab. Selamba wajahnya. Tok Ghani menelan liur.

“Johari juga tahu tentang Tok Sendeng?” Hati Tok Ghani tertanya.

“Abah tahu tak disebabkan abah tak tunaikan permintaan penunggu Butnak, abah akan mati?” Soalan Johari membuat Tok Ghani menelan liur.

“Kau tahu juga tentang itu?” Tanya Tok Ghani diikuti anggukan Johari.

“Mana ada orang kampung nak serahkan anak teruna begitu saja kepada setan, Johari...” Tok Ghani memberi alasan.

“Habis, abah nak serahkan nyawa abah?” Johari memandang Tok Ghani yang menggeleng ketakutan.

“Aku belum nak mati, Johari!!” Bentak Tok Ghani.

“Kalau abah tak mahu mati, mari ikut Jo sekarang.” Johari memulas kunci kereta, bersedia untuk pulang ke rumahnya.

“Eh, dah petang ni. Aku dah berjanji dengan orang surau nak buat tahlil untuk anak kau. Aku tak mahu ikut kau!!” Tok Ghani meninggikan suara.

“Abah boleh pilih nak mati atau mahu hidup.”

“Tentulah aku mahu hidup!”

“Kalau mahu hidup, ikut Jo sekarang!!” Johari meneruskan pemanduan keluar dari laman rumah keluarganya. Saat keretanya melalui rumah Nurseha, hatinya yang mendidih bertambah sakit.

“Aku tak kira Seha, kau fikir kau dah jadi isteri orang, kau boleh lari dari aku?” Johari tersenyum sinis. Dia sudah berfikir-fikir mahu mengganggu keluarga Nurseha jika hutang mereka tidak dibayar tepat pada 1 haribulan seperti biasa.

Sebaik sampai di rumahnya, Johari mengeluarkan bungkusan plastik hitam dari bonet kereta. Dia menoleh keliling untuk memastikan tiada yang memerhati. Setelah itu dia membuka pintu rumah dan mengajak Tok Ghani masuk ke dalam.

Dengan tidak membuang masa, Johari duduk bersila di ruang tamu lalu mengasapkan keris di tangannya dengan menggunakan asap rokok. Mulut Johari terkumat kamit membaca mantera yang sudah dihafalnya. Seketika kemudian, matanya terbuntang.

“Johari...” Tok Ghani mencuit bahu Johari yang putih matanya. Mulut Johari ternganga apabila segerombolan asap hitam menyerbu masuk ke dalam setiap rongga tubuhnya. Tiba-tiba Johari terdiam. Tok Ghani yang pada mulanya hanya memandang, turut terkejut.

“Johari...” Panggil Tok Ghani lagi. Kali ini Johari menoleh dan tersenyum menyeringai kepada Tok Ghani yang serta merta menggeletar seluruh tubuh.

Mata Johari bertukar hitam seperti Tok Sendeng. Lidahnya tiba-tiba keluar memanjang labuh sehingga ke bawah dagu. Johari mendengus seperti babi hutan dan merangkak ke bilik kelaminnya. Dari ekor mata, Tok Ghani dapat melihat lidah Johari yang panjang menjilat-jilat lantai bilik yang kotor dengan darah Zawani.

Tok Ghani yang ketakutan bingkas bangun dari sofa dan berlari ke pintu. Malangnya pintu rumah seakan digam tidak dapat dibuka.

“Hahaha.... mahu ke mana Ghani?” Johari keluar dari bilik sambil menyeringai tertawa. Lidahnya yang panjang menjilat-jilat wajahnya sendiri yang dikotori darah Zawani.

“Aku nak balik Johari. Kau dah tersampuk setan. Aku nak balik!!!” Jerit Tok Ghani.

“Hahaha.... anakmu Johari sudah berkorban untuk menyelamatkan nyawamu. Dia rela menyerahkan bayi lelakinya demi kau... Tapi, kau masih berhutang lagi dua orang anak laki-laki teruna. Demi kebaikanku, aku sudi memberikan kau masa selama 3 purnama untuk menyelesaikan hutangmu....” Johari melangkah menghampiri Tok Ghani yang terduduk ketakutan.

“Persembahkan bayi itu kepadaku...” Kuku Johari yang panjang kehitaman bermain-main di leher Tok Ghani.

“Bayi? Bayi sudah dikebumikan tadi.” Tok Ghani bersuara terketar-ketar.

“Aku terbau bayi di dalam rumah ini. Aku tahu Johari tidak akan memungkiri janjinya. Dia tidak seperti engkau!!” Marah Johari lalu mencakar dada Tok Ghani. Dilempar tubuh Tok Ghani ke arah bungkusan plastik hitam di atas meja kopi.

“Arghhhhh!!!” Tok Ghani menjerit sakit. Kepalanya terhantuk di bucu meja. Songkoknya tercabut lalu jatuh ke lantai.

Tangan Tok Ghani terketar-ketar mencapai beg plastik hitam lalu dibuka. Dia tersentak apabila melihat bungkusan jenazah bayi berbalut kain putih yang kotor kerana bercampur dengan darah daripada tembuni. Perlahan-lahan dia membawa ke hadapan Johari yang sudah bersiap sedia duduk bersila seperti menunggu hidangan makanan.

Lidah Johari yang panjang menjilat-jilat isi di dalam plastik. Tangannya mengambil tembuni yang dipenuhi darah dan melahap dengan pantas tidak meninggalkan sebarang sisa. Tok Ghani seakan mahu muntah, mual perutnya melihat wajah Johari yang kotor dengan darah yang hanyir.

Kain putih yang membalut jenazah bayi dirobek. Johari mengepal penumbuk lalu memecahkan tengkorak kepala bayi di hadapannya sehingga kemek.

“Bagus Johari....”

Tok Ghani yang ketakutan tersentak apabila Tok Sendeng datang menghampiri Johari lalu mengusap kepala anak tunggalnya itu. Seketika kemudian, mata Johari terbuntang ke atas. Asap hitam keluar dari mulutnya memasuki mulut Tok Sendeng. Johari akhirnya rebah ke lantai tidak sedarkan diri.

“Ini cucumu......” Tok Sendeng ketawa mengekek seraya memandang Tok Ghani. Mayat bayi itu dikoyak begitu saja seperti memakan ayam golek. Tulang bayi itu turut dipatahkan dan dihisap sumsumnya sebelum dimamah dengan lahap.

Tok Ghani berasakan matanya kian gelap, lalu dia juga turut rebah tidak sedarkan diri kerana pitam dan terkejut.

••

Nurseha berasa pelik apabila kakinya yang bengkak semalam sudah pulih seperti sediakala. Dia seperti tidak percaya dengan keajaiban yang terjadi. Jarang keadaan terseliuh di buku lali akan pulih dengan cepat. Selalunya berminggu-minggu pun masih belum baik. Dia cuba berjalan laju dan berlari setempat. Tak sakit!

Selesai mandi dan solat Subuh, Nurseha bersiap seadanya sebelum turun ke bawah untuk menyediakan sarapan pagi. Sejak dia berpindah ke rumah itu, tugas Bani sudah menjadi ringan terutamanya tugasan di dapur. Walaupun Samiri tidak menyuruh dia melakukan apa-apa, Nurseha berasa segan apabila hanya duduk dan tidak melakukan sebarang pekerjaan.

Sejak semalam tekaknya terasa mahu makan nasi lemak. Nurseha tersenyum sendiri melihat bahan-bahan untuk nasi lemak sudah tersedia di dapur. Tentu Bani yang sediakan, macam tahu-tahu saja seleranya, fikir Nurseha.

Dia menghirup kopi yang baru dibancuh dan tersenyum melihat matahari pagi yang mula terbit. Dia juga suka dengan pemandangan kolam renang yang dapat dilihat dari tingkap dapur rumah Samiri. Tentu rumah ini direka dengan teliti, sehingga pemandangan luar rumah juga turut diambil kira, fikir Nurseha.

Hidung Anding terbau harum sambal tumis yang menggoda perutnya ketika menuruni tangga. Dari ruang tamu dia sudah ternampak kelibat Nurseha di dapur. Sengaja dia singgah duduk di sofa sambil memerhati Nurseha dari belakang, menangguhkan hasrat untuk berenang di kolam.

Tubuh Nurseha yang berkain batik dan t-shirt ditatap lama. Kenapa Nurseha tetap nampak menggoda di matanya dengan pakaian begitu? Anding segera tersedar lalu memejam mata. Dia menggeleng kepalanya lalu menoleh ke kanan dan kiri, manalah tahu jika perbuatannya tadi dilihat oleh bapanya atau Bani.

Anding bangun dan membuka pintu kaca yang menghadap kolam renang. Sengaja dia tidak mahu melalui pintu belakang yang hampir dengan dapur kerana dia tidak mahu menyapa atau menegur Nurseha. Dia berjalan mengambil tuala dari almari besi di bahagian hujung kolam yang berhampiran dengan dapur. Matanya menjeling sekilas ke arah Nurseha yang pura-pura melihat ke arah lain.

Nurseha seakan mahu putus nafas apabila melihat Anding membuka t-shirt yang dipakai sebelum masuk ke dalam kolam renang. Dia menutup api dapur dan mahu kembali ke kamarnya, tidak berani menatap fizikal Anding yang sempurna. Apatah lagi melihat Anding berenang ulang alik di hadapan matanya.

“Nurseha...” Nurseha menoleh apabila Samiri memanggilnya dari pagar belakang. Di tangan Samiri ada setandan pisang. Nurseha tersenyum kelegaan kerana Samiri sudah pulang. Dia tidak jadi mahu naik ke atas dan kembali ke kamar. Tadi dia bimbang kerana hanya berdua dengan Anding di rumah.

Nurseha berlari-lari anak menuju ke arah suaminya. Dengan tidak semena-mena dia memeluk tubuh Samiri seperti anak kecil yang gembira melihat bapanya pulang. Dia berasa selamat ada berhampiran Samiri.

“Kenapa Nurseha?” Tanya Samiri kehairanan. Tandan pisang diletak ke tepi dan dirasa dahi Nurseha, namun Nurseha tidak demam.

“Err... kaki Seha dah baik...” Nurseha juga turut malu dengan reaksinya yang spontan tadi. Dia mendongak menatap Samiri dan tersenyum manja. Membuat jantung Samiri berdebar memandang ulas bibir Nurseha yang semulajadi merah seperti delima merekah.

“Mari aku periksa...” Samiri melutut memeriksa kaki Nurseha. Bukan saja wajahnya cantik, kakinya yang bersih dengan tumit yang kemerahan juga membuat Samiri menjadi tidak tentu arah. Dia melepaskan kaki Nurseha dan berdiri semula, mengawal perasaan gementar yang terbit di dalam hati.

Mata Nurseha sempat mengerling Anding yang memandangnya dari tebing kolam. Sengaja Nurseha memegang lengan Samiri dengan erat untuk membuat Anding sedar yang dirinya sudah menjadi milik Samiri.

“Tubuhku kotor bermandi peluh Nurseha, nanti kau mandi semula dan tukar pakaianmu...” bisik Samiri membiarkan Nurseha memeluk lengannya. Dia hairan mengapa Nurseha tiba-tiba menjadi manja dan jinak persis seekor anak kucing.

“Abang nak minum? Seha ambilkan...”

“Nanti kita minum bersama sebentar lagi. Aku mahu sertai Anding di kolam.” Nurseha sekali lagi berasa ingin pengsan apabila Samiri membuka pakaiannya yang dibasahi peluh, menampakkan bahu dan dadanya yang bidang. Akhirnya Nurseha menunduk, berjalan terus memasuki rumah dan naik ke kamarnya.

••

“Saya ni wakil Johari. Dia dah malas nak tengok muka Kak Nab. Ni dia ada pesanan untuk Kak Nab.... Esok dah 1 haribulan. Kak Nab jangan buat-buat lupa pula bayaran hutang Kak Nab pada Tok Ghani.” Abidin tersenyum sinis memandang Zainab yang berjalan menuju ke arahnya. Fitri yang berlenggeng kerana belum siap dipotong rambutnya oleh Zainab turut mengekori ibunya.

“Akak memang ada masalah nak bayar pada esok hari. Gaji akak selalu dibayar pada 7 haribulan. Akak baru terfikir nak jumpa Tok Ghani petang ni...” Zainab menelan liur.

“Macam-macam lah Kak Nab ni. Masa meminjam, terus dapat wangnya. Bila masa perlu dibayar, ditunda-tunda pula!” Abidin bersuara kuat membuat Zainab terkebil-kebil malu.

“Bidin, selalu Nurseha memang tak pernah lewat bayar. Tak pernah dia menunda-nunda. Cuma mulai bulan hadapan ni saja akak minta jasa baik sehingga tarikh gaji akak masuk...”

“Pin! Pin!” Anding membunyikan hon dan melambai ke arah Fitri sambil tersenyum. Dia yang baru pulang dari warung Cik Siah sengaja ingin melalui lorong rumah keluarga Nurseha.

“Eh, Abang Anding!” Fitri berlari ke arah kenderaan Anding yang berhenti di tepi jalan.

“Itulah Kak Nab, kalau Kak Nab nikahkan Nurseha dengan Jo tentu tak susah begini. Dah untung Johari ikhlas nak terima Nurseha yang sudah rosak ditiduri ramai lelaki. Hutang pun settle. Kak Nab ni memang tak mengenang budi Johari sekeluarga!!” Suara Abidin yang meninggi menarik perhatian Anding yang baru keluar dari kenderaannya.

“Makcik...” Sapa Anding. Wajah Zainab kelihatan merah kerana menahan malu, air mukanya sayu.

“Kak Nab suruhlah menantu Kak Nab tu bayarkan!!” Abidin menjeling Anding yang menghampirinya.

“Ada masalah apa encik, kalau saya boleh tahu?” Anding bertanya sopan.

“Ha budak bandar, bagus kau ada di sini. Nanti kau beritahu pada bapa kau yang jadi pak sanggup kerana kahwin dengan Nurseha tu, tolong bayarkan hutang keluarga Nurseha ni pada Tok Ghani......”

“Bidin!!!” Zainab menjerit marah. Abidin benar-benar sudah melampau.

“Aku bukannya tak nak bayar hutang aku. Aku cuma minta jasa baik untuk ditangguhkan sehingga 7 haribulan. Kau tak faham ke?!!!” Zainab menengking kuat sehingga mengejutkan Abidin.

“Saya beritahu je. Dah budak bandar ni bertanya. Sudahlah bapanya bawa Nurseha kahwin di Siam. Lepas dah dapat Nurseha, dibiarkan saja Kak Nab sekeluarga melarat begini. Menantu apa begitu?!!” Abidin melawan bertekak.

“Makcik, encik.... Sudah, jangan bergaduh begini. Kita bincang elok-elok. Boleh saya tahu berapa bayaran yang perlu dibayar untuk langsaikan hutang keluarga Nurseha ni?” Pertanyaan Anding kepada Abidin membuat Zainab serba salah.

“Jumlah sebenar aku tak tahu. Itu kau kena tanya pada Tok Ghani. Tapi berpuluh ribu jugalah. Aku ni diarahkan untuk mengutip bayaran ansuran hutang setiap 1 haribulan berjumlah RM500. Jadi hari ni aku datang awal, nak ingatkan Kak Nab. Tapi dia mahu minta tangguh pula. Kalau kau nak tahu, sebelum ni semua hutangnya Nurseha yang bayar. Sekarang Nurseha sudah berkahwin dengan bapa kau dan tidak bekerja, sebab itulah dia ni dah tak mampu nak bayar!” Air mata Zainab mengalir namun pantas diseka dengan belakang tangan.

“Macam ni encik. Saya bayarkan dulu....”

“Eh, tak payah. Aku boleh bayar, cuma tunggu aku dapat gaji!!” Zainab berkeras menghalang Anding yang sudah mengeluarkan dompetnya.

“Tak apa makcik. Beri saya peluang selesaikan masalah ni. Makcik bertenang...” Anding bersuara dan menatap mata Zainab. Dia segera tersedar dari mana Nurseha mewarisi sepasang anak mata cokelat yang bundar. Perlahan-lahan Zainab mengangguk dan menunduk.

Anding mengira wang di dalam dompetnya. “Tunggu sekejap.” Arahnya kepada Abidin. Dia berjalan ke kereta dan mengeluarkan sampul surat berisi wang yang sengaja di simpan sebagai wang tunai kecemasan di bawah tempat duduk pemandu.

“Ini RM3000. Saya bayar untuk 6 bulan. Encik boleh kira dan beri saya resit.” Suara Anding kedengaran tegas. Dia memerhati Abidin yang terkial-kial mengira wang yang diberi.

“Aku tak ada simpan buku resit. Resit akan diberi oleh Tok Ghani atau Johari.” Jawab Abidin setelah selesai mengira.

“Beri kad pengenalan encik, saya nak ambil gambar sebagai bukti encik dah terima wang sebanyak RM3000 dari makcik Zainab.” Abidin tersentak, namun diturutkan permintaan Anding sambil merungut-rungut apabila wajahnya turut difoto.

“Esok sebelum jam 5 petang, encik mesti hantarkan resit terima bayaran ke rumah makcik Zainab. Saya tak mahu dengar encik atau siapa-siapa wakil Tok Ghani datang mengganggu keluarga Nurseha dengan alasan mengutip bayaran ansuran hutang, sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan ni. Encik boleh hantar wang itu kepada Tok Ghani sekarang.” Anding memberi isyarat agar Abidin segera beredar.

“Encik Anding, makcik minta maaf. Nanti setiap 7 haribulan makcik akan jelaskan bayaran RM500 setiap bulan kepada Encik Anding ya. Makcik akan minta Zarul hantarkan ke rumah keluarga Encik Anding.” Air mata Zainab tumpah sebaik terbayang wajah Nurseha. Apa agaknya khabar Nurseha sekarang?

“Tak perlu bayar apa-apa makcik. Nurseha dah jadi tanggungjawab keluarga kami. Masalah keluarga Nurseha juga masalah kami. Nanti saya beritahu ayah agar bawa Nurseha melawat makcik....”

“Eh, tak apa Encik Anding. Tak perlu susahkan mereka. Cukuplah asalkan Nurseha sihat dan gembira di sana.” Zainab tersenyum sambil menyeka air mata. Jika Nurseha gembira dengan kehidupan barunya, Zainab juga akan turut gembira. Anding membalas senyuman Zainab namun ada pelbagai persoalan bermain di kepalanya yang masih belum ada jawapannya.

Nurseha yang kebosanan kerana bersendirian di rumah membuat keputusan untuk membersihkan kamar bacaan yang terletak bersebelahan dengan kamar Anding. Rambutnya disanggul tinggi agar tidak mengganggu kerja-kerja membersih.

Dia baru beberapa kali memasuki kamar bacaan tersebut yang dipenuhi dengan pelbagai koleksi buku dan lukisan. Kata Bani, kebanyakannya koleksi buku milik Samiri. Milik Anding juga ada, tetapi kebanyakannya buku Bahasa Inggeris. Dia mengambil sebuah buku yang kelihatan menarik gambar kulitnya. Teringin hendak membaca, sayangnya dia tidak faham dan tidak fasih berbahasa Inggeris. Dia meletak kembali buku tersebut di tempatnya semula.

Foto Samiri dan seorang rakannya yang memegang senapang dengan hasil buruan di hutan luar negara menarik minat Nurseha. Samiri nampak muda dan kacak di foto tersebut.

“Lebih kacak dari Encik Anding...” Dia bercakap dengan dirinya sendiri sambil tersenyum. Foto Samiri dipegang dan diperhati lama.

“Kau benar-benar sudah jatuh cinta dengan bapaku?” Anding menutup pintu kamar bacaan dan menguncinya. Kehadirannya membuat Nurseha terkejut lebih-lebih lagi apabila Anding mara ke arahnya dengan pandangan mata yang tajam menikam.

“Seha nak keluar...” Nurseha meletak foto Samiri di tempatnya semula dan berjalan laju menuju ke pintu tetapi tangannya pantas ditarik oleh Anding.

“Encik Anding, jangan pegang Seha!!” Nurseha meninggikan suara ketika Anding menghimpit tubuhnya ke dinding dan mengunci pergerakannya.

“Lepaskan! Kalau Encik Anding tak lepaskan, nanti Seha jerit!” Nurseha mengugut namun Anding hanya tersenyum.

“Jeritlah. Jerit kuat-kuat. Biar suami kau atau Bani tangkap kita sedang berdua-duaan di sini...” Nurseha yang terkejut menggelengkan kepala, tidak mahu ditangkap bersama Anding.

“Aku nak kau berterus terang dengan aku Seha. Kau goda Tuan Samiri kerana nak dapat duit mudah kan? Kerana keluarga kau banyak hutang....” Nurseha menelan liur. Air matanya mula turun membasahi pipi sebaik mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Anding.

“Simpan saja air mata tu. Kau dah rosak dan kau perangkap Tuan Samiri. Mengaku sajalah!!” Anding menengkingnya, membuat Nurseha menggigil ketakutan.

“Patutlah kau menolak aku dan beri macam-macam alasan. Rupanya kau mahukan yang lebih kaya. Buat apa bercinta dengan anak, kalau bapanya lebih kaya... Pandai kepala otak kau kan... Muka suci kau ni, nampak saja baik...”

“Encik Anding dah salah sangka...” Nurseha cuba memberi penjelasan.

“Sudahlah Nurseha. Mengaku sajalah kau sanggup bernikah dengan Tuan Samiri demi nak hidup senang. Aku sudah bayarkan ansuran hutang keluarga kau selama 6 bulan kepada Tok Ghani. Tuan Samiri pasti akan selesaikan bakinya. Kau jangan bimbang, aku kenal bapaku. Dia akan melindungi dan berikan apa saja sekiranya hatinya sudah jatuh sayang. Aku harap kau jaga hatinya baik-baik.” Anding menunjuk foto di telefon bimbitnya kepada Nurseha. Foto Abidin bersama wang dan foto Zainab yang berwajah sayu sedang berdiri sambil dipeluk oleh adiknya Fitri.

“Mak....” Ratap Nurseha yang menangis kesedihan ketika melihat foto ibunya. Hatinya dipagut pilu. Perasaan bersalahnya menjadi-jadi.

Anding membuka pintu kamar bacaan dan masuk ke kamarnya di sebelah, meninggalkan Nurseha yang menangis teresak-esak sendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience