Zainab memerhati anak-anaknya yang berselera meratah hidangan ayam goreng KFC. Bukan tak pernah digorengkan ayam di rumah. Malah ayam yang digoreng oleh Nurseha lebih sedap di tekak Zainab, cukup segala rempah ratus. Tetapi anak-anaknya ternyata sangat teruja dapat menikmati ayam goreng di restoran berhawa dingin ini.
“Tak mengapalah sesekali membuat anak-anak gembira” bisik hati kecil Zainab.
Salina, Fatehah, Zarul dan si bongsu Fitri masing- masing berusia 18, 15, 12 dan 9 tahun. Hanya Nurseha tidak dapat turut serta kerana bekerja. Zainab sudah belikan satu set ayam goreng original untuk dibawa pulang buat Nurseha.
Mengenang Nurseha, membuatkan hatinya hiba. Kasihan anak sulungnya itu yang banyak berkorban untuk keluarga. Nurseha tidak habis sekolah. Ketika umurnya 16 tahun sudah mula bekerja demi membantu meringankan beban Zainab.
Pada mulanya Nurseha mengikut Zainab bekerja di kebun sayur Ah Tong. Tapi tak sampai hati Zainab melihat tangan halus Nurseha berubah kasar dan luka-luka melepuh kerana ikut mencangkul keledek dan ubi kayu. Seringkali kulitnya tertusuk duri selumbar, kukunya pula menjadi hitam bermain dengan tanah dan baja yang busuk.
Nurseha itu anak dara, tak boleh selalu bermain panas dan membuat kerja berat. Bila Siah mengkhabarkan mahu pekerja baru untuk menggantikan pekerja lamanya yang pulang ke Indonesia, cepat-cepat Zainab mengatur agar Nurseha dapat bekerja di warung tersebut.
“Ada apa lagi yang kamu nak beli, Salina?” Tanya Zainab.
“Tak ada mak. Semua di senarai ni dah cukup.” Jawab Salina seraya membantu Fitri yang hampir tersedak akibat minum air gas.
“Kalau dah habis makan, mari kita pulang. Jangan lupa bawa ayam untuk Kak Seha tu...” Zainab dan anak-anaknya bergerak menuju ke perhentian bas. Penuh tangan masing-masing dengan beg plastik yang dibimbit, berisi barang-barang keperluan Salina.
“Mak, barang banyak ni. Kita naik teksilah...” Cadang Salina.
“Naik teksi mahal Ina. Lagipun 4 orang dibelakang berhimpit, mana ada teksi yang mahu tumpangkan.” Salina mengangguk, betul juga kata ibunya. Adik-adiknya sudah besar. Tentu akan jadi lebih muatan.
Tiba-tiba sebuah kereta menghampiri mereka. “Eh Kak Nab, nak balik ke?” Johari menurunkan tingkap di bahagian penumpang hadapan.
“Ya Johari. Kami sedang tunggu bas nak balik ke rumah.” Zainab tersenyum. Johari rupanya yang menyapa.
“Marilah naik. Tumpang saya je. Saya pun nak balik ni.” Pelawa Johari. Matanya tercari-cari kelibat Nurseha jika ada. Namun tiada nampaknya. Dia sedikit hampa.
“Tak apa Johari. Budak-budak ni berempat. Nanti terlebih muatan.” Zainab menolak dengan baik.
“Boleh, Kak Nab. Bukan jauh sangat kampung kita, dekat aje. Tak ada roadblock, jangan bimbang. Belakang ni muat 4 orang. Tapi kena berhimpit sikitlah...” Johari mempelawa bersungguh-sungguh. Dia segera turun dari kereta dan membantu mengisi barang-barang yang dibeli ke bonet kereta.
“Banyak beli barang Kak Nab? Macam nak raya...” Johari berseloroh.
“Ya, beli barang-barang Salina nak masuk ke universiti di Kuala Lumpur lagi dua minggu...” Zainab menyahut, matanya memerhati jalan raya di depan. Anak-anaknya duduk diam-diam di belakang, menikmati nyaman pendingin hawa yang dikuatkan oleh Johari agar mereka selesa.
“Oh... tahniah Salina. Belajar sungguh-sungguh, nanti dah berjaya boleh tolong keluarga, tolong mak, tolong Kak Seha tu. Kesian abang tengok Kak Seha bekerja di warung Cik Siah. Sebab tu abang selalu makan di warung Cik Siah. Kalau abang tak datang makan kat situ nanti bagaimana Cik Siah nak bayar gaji kakak kamu.... hehe...” Johari tersengih-sengih sambil memandu.
“Terima kasih...” sahut Salina acuh tak acuh.
“Ha...nanti siapa yang menghantar Salina ni ke KL Kak Nab?” Tanya Johari. Zainab terdiam, dia pun tak terfikir tentang itu. Nanti dia akan cuba meminta pertolongan adiknya Rosni dan suaminya, Halim.
“Mungkin sewa kereta, nanti akak akan minta adik ipar tolong hantarkan. Adik ipar tu boleh memandu, cuma tak ada kereta...” Jawab Zainab.
“Kalau nak saya hantarkan pun boleh. Nanti beritahu saja. Tak perlu bayar apa-apa. Hanya isi minyak kereta saja. Nanti Salina beritahulah pada Kak Seha ya.” Salina dan Zainab mengangguk.
Johari yang memerhati adik beradik Nurseha dari cermin pandang belakang tersenyum tipis. Untung-untung jeratnya mengena.
“Bagus juga Johari kalau kamu boleh hantarkan. Tak perlu akak menyewa kereta. Duit itu nanti boleh akak beri pada Salina untuk duit belanjanya.” Kata-kata Zainab membuat senyum Johari semakin melebar.
Budi ditabur ada hajatnya, buat baik ada maknanya. Dia memang sudah lama tergilakan Nurseha sejak Nurseha mula bekerja dengan Cik Siah. Berkenan sungguh dengan kecantikan dan kelembutan Nurseha. Malah Johari menyimpan angan mahu menjadikan gadis yang masih remaja itu sebagai isteri kedua.
Nurseha duduk memerhati Salina menyusun barang-barang yang dibeli siang tadi. “Seronoknya Ina dapat sambung belajar, bagaimana agaknya universiti itu? Tentu semua orang di universiti pandai-pandai belaka, macam Salina.” Nurseha memandang Salina penuh kagum. Seperti ibunya, Nurseha juga turut berasa bangga dengan pencapaian Salina. Kalau dirinya sekadar pandai membaca, mengira dan menulis, biarlah adik-adiknya lebih pandai lagi dari dirinya.
“Nah, yang ini baju untuk akak. Cantik tak warnanya?” Salina menyerahkan bungkusan plastik kepada Nurseha yang tersenyum lebar.
“Untuk kakak pun ada?” Nurseha terkejut lalu diangkat tinggi sehelai blouse lengan panjang berwarna merah jambu lembut. Ada tanda jenama Kedai Pakaian Hari-Hari pada kertas harganya.
“39 ringgit. Mahalnya Ina...” Nurseha mengerutkan dahi seraya memandang Salina.
Pakaian mereka adik beradik sebelum ini kebanyakannya pakaian terpakai dari pemberian orang. Sudah lama mereka tidak membeli pakaian baru. Nurseha juga tidak kisah kerana pakaian yang diberi masih elok lagi, Cuma kadangkala ada yang besar, tapi diubahsuai oleh ibunya dan selesa dipakai. Walaupun keluarga mereka susah, tapi ibu mereka sentiasa memastikan anak-anaknya berpakaian rapi dan kemas.
“Ada yang lebih murah, tapi kainnya tipis. Mak kata, kalau tipis nanti cepat rosak. Mak yang suruh Ina pilihkan sehelai untuk Kak Seha. Cantik tak? Kak Seha suka tak?”
“Suka...” Nurseha menyeka air mata kegembiraan. Ingat juga mak pada dirinya.
“Pakaian Ina cukup?” Nurseha bertanya, wajahnya risau jika Salina tidak cukup pakaian di sana nanti.
“Cukuplah ni. Nanti akak ikutlah hantarkan Ina di hari pendaftaran. Pakai baju baru tu.” Nurseha mengangguk setuju. Nanti dia akan minta cuti sehari dari Cik Siah. Teringin dia mahu melihat universiti. Tidak dapat bergelar siswi, dapat menjejakkan kaki menghantar Salina pun sudah memadai.
“Mak dah beritahu Pakcik Halim ke untuk cari kereta sewa nanti?” Nurseha bertanya sambil membantu Salina melipat kain baju yang akan dibawa.
“Abang Johari anak Tok Ghani yang akan hantarkan nanti. Tadi balik dari pekan pun dia yang tumpangkan... Dia dah janji dengan mak nak tolong hantarkan Ina ke KL dan tak perlu bayar duit sewa kereta, hanya bayar duit minyak saja. Kak Seha temankan Ina, ya?” Nurseha tersentak.
“Mak setuju ke nak Abang Johari hantarkan?” Nurseha inginkan kepastian sekali lagi. Anggukan Salina membuat riak wajah Nurseha berubah. Hatinya tiba-tiba berdebar.
••
Samiri berdiam di sebalik pohon ara sebesar lima pemeluk lelaki dewasa. Dia bersembunyi di celah perdu sambil memerhati Tok Sendeng yang sedang duduk tegak di atas sebuah bongkah batu besar, di tepi air terjun lereng Butnak.
“Ehem!!” Tiba-tiba Tok Sendeng berdehem, mengejutkan Samiri yang sedang bersembunyi. Ternyata ilmu kebatinan lelaki tua itu memang tinggi. Dehemnya bukan sebarang. Dia dapat merasakan bahang panas dibelakang tubuhnya yang menandakan ada makhluk lain yang berhampiran dengan tempat dirinya sedang bertapa. Semakin panas bahang yang dirasa, bererti semakin kuat tenaga makhluk berkenaan.
Samiri tersenyum, dia tahu Tok Sendeng sedang bersiap sedia untuk suatu upacara. Samiri pantas memanjat batang pohon ara yang sudah berusia ratusan tahun itu untuk menuju ke bahagian dahan.
Langkahnya senyap dan tangkas. Mata merahnya sentiasa mengawasi persekitaran. Di mana-mana ada saja makhluk belaan Tok Sendeng. Si tua Sendeng itu nampaknya sudah benar-benar bersatu dengan Sali Raya. Hingga di setiap hembusan nafas juga diratib dengan semangat Sali Raya.
Dari satu pohon ke pohon Samiri berpapasan sehingga tiba semula ke rumahnya di bawah kaki Butnak. Cukuplah untuk malam ini. Esok malam dia akan meronda lagi. Sebaik menjejak kaki ke tanah sempadan rumahnya, tubuhnya yang tadi berbulu lebat berubah ke tubuh lelaki normal tanpa pakaian. Dia segera berjalan menghampiri kolam renang dan terjun ke dalamnya.
“Burrrrr!!!” Bunyi air berdebur.
Anding yang baru hendak merehatkan diri di atas katil segera berlari turun dan keluar dari pintu belakang rumah, menghampiri kolam renang. Dia berjalan ke arah almari di tepi kolam. Tercari-cari sesuatu namun tidak ditemui.
“Cari apa Anding?” Samiri menegurnya. Tangannya meraup wajah yang basah.
“Tuala untuk Tuan.” Anding menjawab.
“Nanti cari di ruang pakaianku. Kita baru berpindah, mungkin ada yang tersalah letak di sana sini. Esok saja disambung kemas. Kau bawakan aku kopi dan rokok. Aku mahu menikmati udara malam di sini.” Arahan Samiri segera dituruti oleh Anding.
Anding kembali semula ke kolam renang dengan tuala, seteko kopi dan sekotak rokok. Diletak perlahan di atas meja kecil di sisi salah sebuah kerusi santai di situ. Matanya memerhati si majikan yang sedang berenang berulang alik dari hujung ke hujung.
Anding tidak pernah tahu berapa umur Samiri. Dari hari dia diambil sebagai anak angkat ketika berumur 14 tahun, Samiri kelihatan sama. Tidak pernah menua, mungkin kerana dia cukup menjaga diet pemakanan dan staminanya. Lelaki itu yang menyekolahkannya sehingga ke universiti. Kini Samiri mula melepaskan satu persatu tanggungjawab perusahaannya kepada Anding. Samiri hanya mempercayai dirinya, Anding dapat merasakan itu.
Samiri berenang ke tebing kolam dan memanjat naik. Anding segera datang menyelimutkan tubuh Samiri dengan tuala.
“Duduklah Anding...” Samiri mempelawa dan melepaskan keluhan panjang.
“Airnya Tuan...” Anding menghulurkan cawan berisi kopi o panas yang masih berasap. Samiri punya tabiat buruk, kuat merokok dan minum kopi di waktu malam. Itu mengakibatkan dirinya berjaga sehingga ke pagi. Perkara yang dilakukan selalu bertentangan dengan normal, dia juga antisosial. Biarpun sering tidur lewat, dia tetap akan bangun awal pagi untuk bersenam. Dari jam 2 petang hingga 5, dia akan tidur dan tidak mahu diganggu, begitu juga ketika matahari mula terbenam sehingga tengah malam.
“Bagaimana kereta barumu? Kau suka?” Samiri tersenyum sambil tangannya menepuk-nepuk kotak rokok. Dikeluarkan sebatang lalu dijepit di bibirnya. Anding membantu menyalakan pemetik api. Dia turut sama tersenyum.
“Apa saja yang Tuan berikan, saya suka.” Anding menjawab jujur. Samiri memang seorang yang pemurah.
“Benar?” Samiri tersenyum sinis sebelum menyambung, “Kau bebas menyatakan keinginanmu Anding, selama ini kau hanya menerima setiap pemberianku tanpa banyak bicara. Aku tidak tahu samada kau suka atau tidak dengan apa yang aku beri. Aku sudah tua, citarasaku adalah citarasa orang tua. Mungkin kau ada kehendakmu sendiri. Kau boleh suarakan kepadaku.” Samiri menyandarkan tubuhnya dengan santai.
“Saya hanya ada satu keinginan, Tuan.”
“Apa dia Anding? Jangan kau minta kapal terbang. Kita tiada tempat untuk meletakkannya di sini. Hehe...” Samiri dan Anding tertawa bersama. Anding mahu bersuara tetapi kemudian dia berdiam semula.
“Apa?” Samiri menjegilkan matanya, memaksa Anding bercakap.
“Saya ingin memanggilmu Ayah. Hanya itu impian saya...” Anding bersuara dengan lancar namun perlahan. Hatinya berdebar, mahukah Samiri dipanggil begitu? Samiri tersenyum.
“Apakah kau benar-benar bersedia untuk memanggilku begitu?” Pertanyaan Samiri membuatkan Anding mengangguk kepala laju.
Dia benar-benar kasihkan Samiri seperti ayah sendiri yang tidak pernah dia kenali dari kecil. Dia patuh kepada Samiri kerana terlalu hormat. Dia mahu mewarisi hobi Samiri yang suka bertukang kerja kayu. Anding masih ingat ketika remaja bahawa Samiri adalah idola lelaki yang dia mahu jadi apabila dewasa.
“Aku tidak layak menjadi seorang ayah, Anding. Aku banyak kelemahan, malah sehingga kini aku belum berkahwin. Aku bukan lelaki yang sempurna. Namun jika kau mahu memanggilku sebagai ayah, aku juga gembira malah ternanti-nanti panggilan itu darimu...” Samiri tersenyum lalu menghulur tangannya. Anding segera menerpa memeluk lelaki dihadapannya.
“Terima kasih ayah. Ayah adalah hadiah dari tuhan untuk saya. Saya tidak mencari bapa yang sempurna, saya hanya mahu ayah sebagai bapa saya. Saya mahu menjaga ayah selama hayat saya” Anding menangis terharu. Disalam dan dicium tangan Samiri. Air mata jantannya tumpah.
“Bangunlah nak. Inilah lelaki yang sebenar, jangan takut menyatakan keinginanmu. Aku sudah lama menganggap dirimu seperti anakku sendiri. Pergilah tidur. Aku mahu bersendirian. Esok kejutkan aku, kita makan pagi bersama.” Anding mengangguk dan berjalan ke pintu masuk, hatinya benar-benar lapang kini.
Samiri menarik sedutan terakhir sebelum menenyeh puntung rokok ke bekas abu rokok. Perlahan-lahan asap rokok keluar dari hidungnya. Matanya dipejam namun tidak tidur.
Perkara yang ditakuti akhirnya terjadi jua. Dia sudah mengakui Anding sebagai anaknya. Puas dia mengelak dari memanggil Anding sebagai anak walaupun hatinya mengasihi Anding seperti anak sendiri.
Bukan dia tidak mahu dipanggil bapa. Tapi ada sesuatu yang hitam telah berakar umbi di dalam darah dagingnya yang ditahan dari menurun ke zuriat. Kerana itu dia rela membujang hingga ke tua. Namun kini Anding mahu memanggilnya ayah dan dia tidak mampu menolak lagi.
••
Tok Ghani mengambil helaian kertas yang di beri oleh Zarul. Matanya memerhati dua beradik yang berpeluh-peluh di tengah panas matahari petang. Basikal yang dinaiki oleh mereka berdua sudah agak uzur, Fitri di belakangnya sedang menghisap ais krim Malaysia perisa asam boi kerana itu bibirnya menjadi merah seperti memakai gincu.
“Terima kasih. Kamu berdua dah makan?” Tanya Tok Ghani.
“Belum. Balik ni baru nak makan. Tadi lepas mengaji, mak suruh hantarkan kertas tu pada Tok Ghani.” Zarul menjawab pantas. Tok Ghani mengangguk sambil melihat salinan kad pengenalan milik Zainab ditangannya.
“Mari singgah masuk ke dalam dulu, makan bihun sup yang Tok Tipah masak. Mari...” Tok Ghani mempelawa. Zarul dan Fitri mengangguk lalu mengikut Tok Ghani menaiki anak tangga kayu berlian untuk masuk ke dalam rumah.
“Pah, beri budak berdua ni makan bihun sup. Kasihan belum makan lagi. Mereka lapar ni...” Tok Ghani menarik kerusi di meja makan, mahu menemani tetamu ciliknya.
Mak Tipah membawa dua mangkuk yang penuh berisi bihun sup, “Mari makan Zarul, Fitri... nanti kalau mak kamu tanya kenapa lambat balik, beritahu tok ajak singgah makan ya. Ni ada pisang goreng. Makan...” Zarul dan Fitri tersengih-sengih. Mereka memang suka jika dapat ke rumah Tok Ghani dan Mak Tipah atau Tok Tipah. Kerana pasangan suami isteri itu memang pemurah, tak kira siapa yang datang akan dijamu. Dapur Mak Tipah memang sentiasa berasap.
Bayangan Tok Sendeng tiba-tiba melintas di hadapan mata, membuat hati Tok Ghani berdebar.
“Sebulan seorang teruna seperti janjimu...” Tok Ghani terdengar bisikan suara garau Tok Sendeng ditelinganya.
Serta merta bulu romanya tegak berdiri. Tok Ghani menjadi resah namun cuba dikawal rasa cemas. Masakan dia mahu mengorbankan kedua-dua anak Zainab ini. Dia melirik ke arah dua beradik yang sedang berselera menghirup sup bebola daging.
“Kamu berdua umur berapa tahun?” Tok Ghani bertanya.
“9 tahun...” jawab Fitri.
“Saya 12 tahun tok...” Zarul menjawab sopan. Zarul bertubuh kecil dan kurus. Tak kelihatan seperti berumur 12 tahun.
“Ini apa?” Tanya Tok Ghani, tangannya menunjuk sebatang kayu yang tersembul dari kocek seluar sekolah Zarul.
“Oh, ini lastik tok... untuk melastik cicak dan burung...” Zarul tersengih-sengih. Tok Ghani turut ketawa. Faham benar dengan kanak-kanak di kampung tersebut yang suka melastik burung dan memancing di paya serta mandi sungai.
Sekejap saja bihun sup yang penuh tadi sudah habis dimakan oleh dua beradik itu lalu mereka mahu meminta diri untuk pulang.
“Zarul dan Fitri boleh tolong tok?” Tok Ghani menoleh ke belakang, bimbang jika isterinya terdengar perbualannya dengan dua beradik itu.
“Tolong apa tok?” Tanya Zarul sambil menyarung selipar jepunnya.
“Tok teringin mahu makan paprik belut. Boleh Zarul tolong carikan belut?” Zarul mengangguk. Dia memang suka memancing belut.
“Tok nak berapa ekor?” Tanya Zarul lagi.
“Lima ke enam ekor jadilah... kalau lebih pun boleh. Nanti tok beri upah.” Mendengar upah, Zarul tersenyum lebar. Nanti upahnya boleh diberi kepada Kak Seha atau ibunya. Esok selepas habis mengaji, dia akan pergi ke bendang untuk mencari belut buat Tok Ghani.
“Naik cepat, Pit.” Zarul mengarah Fitri agar naik ke tempat duduk belakang basikal Raleigh tua yang berkeriut bunyinya.
Tok Ghani tersenyum menghantar mereka dan melambai tangan. Hatinya gusar, fikirannya belum tetap. Dia tidak mahu sesiapa pun terkorban, tapi jika tidak dituruti permintaan si jembalang puaka, celaka yang lebih besar akan terjadi. Bukan kepada dirinya saja, malah seisi kampung.
Dari jauh Tok Ghani memerhati kereta Johari memasuki perkarangan rumahnya. Johari anak tunggalnya dan Mak Tipah. Kerjanya memungut hasil rumah sewa, menguruskan hasil ladang dan kebun milik Tok Ghani.
“Bah...” Sapa Johari.
“Hmmm... dari mana kamu? Mana Ani, tak ikut sekali?” Tanya Tok Ghani.
“Jo dari butik Ani. Dia sibuk bah uruskan kain baju di kedai. Ada stok baru masuk.” Johari segera masuk ke dalam rumah mencari ibunya, Mak Tipah di dapur. Tadi Mak Tipah menelefon, memanggil dia singgah ke rumah untuk makan bihun sup.
“Johari, ini senarai penghutang baru dan dokumen mereka. Kamu tolong kemaskinikan dalam komputer. Abah ada salin di buku abah. Kamu simpan juga di komputer. Hujung bulan depan, dah boleh kutip.” Tok Ghani menyerahkan beberapa helai kertas kepada Johari.
“Kak Nab meminjam lagi bah? Seha juga yang bayar?” Johari mengerutkan dahi. Simpati dia kepada Nurseha. Makin kuat keinginannya mahu beristerikan gadis itu.
“Itulah... tapi nak buat bagaimana lagi. Macam tulah nak membesarkan anak-anak, bukan mudah. Lebih-lebih lagi ibu tunggal seperti Zainab, terpaksa bergolok bergadai...” Johari tersenyum tipis mendengar bicara ibunya.
“Selagi kita boleh bantu, kita bantulah mak... nanti minggu depan Jo nak ke Kuala Lumpur. Nak tolong Kak Nab menghantar Salina.” Johari memerhati ibu dan bapanya.
“Apa mimpi kamu Johari? Zainab minta tolong kamu ke?” Dahi Mak Tipah berkerut.
Pelik. Isterinya yang sarat mengandung pun disuruh pergi ke klinik sendiri. Setahunya Johari jenis tak boleh disuruh. Malas serba serbi. Bukan juga jenis suka membuat kerja-kerja amal jariah. Disuruh bergotong royong dengan penduduk kampung pun liat. Baru setahun dua ini saja dia mahu bekerja menolong Tok Ghani. Kalau dulu waktu paginya jam 2 petang, orang lain sudah dua kali makan siang, dia baru mula keluar dari bilik untuk memulakan hari. Namun, kalau Johari sudah berubah, baguslah.
“Untuk Nurseha, Jo sanggup mak...”
“Uhukkk...” Tersembur air yang sedang diminum oleh Tok Ghani, lalu tersedak. Matanya terjegil memandang Johari. Tak disangka anak jantannya ada hati dengan Nurseha, anak si Zainab dan arwah Latif.
“Bapp!!!” Mak Tipah menepuk belakang badan Johari dengan tudung periuk. Dicubit kuat lengan Johari.
“Kamu jangan cari nahas Johari. Ani sedang sarat!” Mak Tipah mengurut dada.
“Aduduudu... ala mak ni... kan lelaki boleh kahwin empat...” Johari menggaru-garu lengannya yang gatal dicubit.
“Cermin diri kamu Johari. Lelaki yang mampu berkahwin empat itu jenis yang bagaimana...” Tok Ghani menggelengkan kepala dan bangun untuk ke laman. Dia berharap Johari hanya bergurau. Hal persembahan anak teruna kepada jembalang hutan belum selesai. Dia tidak mahu menambah pening di kepalanya dengan perangai Johari.
••
Matahari pagi memancar terang, Samiri berjalan tenang melewati kebun pisang di belakang rumah. Dia baru selesai mandi embun di hutan belakang dan mahu pulang. Beberapa orang pekerja yang diupah menjaga kebun dan haiwan ternakan melambai tangan dan menunduk tanda hormat kepadanya. Samiri mahu kebun buah-buahan miliknya dijaga dengan baik, seperti kebun pisang di belakang rumahnya ini. Pisang merupakan buah kegemaran Samiri. Salah satu antara buah-buahan yang ada di syurga.
Hari ini dia mahu bersiar-siar di sekeliling kampung bersama Anding, mahu makan bersama sebelum Anding diarahkan pulang ke kota semula untuk menjaga perusahaannya. Samiri segera bersiap sebelum turun ke bawah semula menemui Anding yang sudah bersedia dan segak berkacamata hitam.
“Hebat gaya orang muda” Samiri menepuk Anding yang tersenyum meleret. Anding menggeleng kepala, dari mana dia belajar bergaya? Tentunya dari si bapa di hadapannya ini yang sering bergaya seperti playboy kota.
“Selamat pagi, ayah...” Samiri tersenyum mendengar sapaan Anding. Dia bahagia.
“Biar ayah yang pandu, kita mahu ke mana? Ada tempat makan yang bagus di kampung ini?” Tanya Samiri.
“Ada satu kedai makan di kawasan jeti yang menjual nasi minyak dan gulai itik serati. Ayah mahu cuba?” Anding teragak-agak. Dia tahu bapanya cukup menjaga pemakanan, tidak suka makanan yang berminyak dan terlalu berempah.
“Roti bakar juga ada... serta kopi kampung yang sedap.” Anding menyambung. Samiri mengangguk sebelum menyahut, “Boleh...”
Warung Cik Siah tidak terlalu sibuk sewaktu kedatangan Anding dan Samiri. Anding membuka kacamata hitamnya lalu tersenyum kepada Cik Siah yang datang mengambil pesanan.
Nurseha hanya memerhati dari dapur melihat Cik Siah yang rancak berbual dengan pelanggan yang baru tiba, “Itu pemuda yang datang bersarapan minggu lepas...” katanya di dalam hati. “Siapa pula lelaki yang bersamanya? Tentu mereka datang dari bandar besar...” fikirnya lagi.
“Seha buatkan air kopi o dua, satu kurang manis ya...” Cik Siah memesan lalu Nurseha membalas dengan anggukan.
“Airnya...silakan minum...” Nurseha mempelawa dengan sopan, bibirnya menghadiahkan senyuman manis buat Anding dan Samiri. Anding memerhati Nurseha tanpa berkedip. Kecantikannya asli, kulitnya mulus tanpa secalit mekap. Kalau di Kuala Lumpur gadis secantik itu boleh menjadi pelakon televisyen atau setidaknya model majalah. Matanya menghantar Nurseha yang menghilang ke dapur.
"Apa yang kau lihat, Anding...” Samiri menegur sambil jemarinya mengacau gula di dalam cawan kopi lalu dihirup. Segar rasanya. Samiri tersenyum, sudah lama dia tidak menikmati kopi kampung seperti ini. Rasanya tidak berlebihan, lembut dan wangi baunya.
“Sedap?” Tanya Anding. Dari senyuman Samiri dia tahu yang minuman dibancuh oleh Nurseha itu telah mendapat tempat di hati bapanya.
“Nanti kau bersiap, esok kau pulanglah ke kota. Kerjamu semakin banyak yang tertangguh. Nanti bila kau lapang, kau pulanglah ke sini.”
“Saya mahu menemani ayah di sini lagi dua atau tiga hari. Kalau boleh, saya mahu menemani ayah setiap hari. Ayah benar-benar mahu menetap terus di kampung ini?” Anding berasa tidak sedap hati mahu meninggalkan Samiri bersendirian di tempat terpencil itu.
“Jangan bimbang Anding. Aku akan memanggil Bani datang ke sini untuk membantu menguruskan keperluanku.” Mendengar nama Bani, Anding terdiam.
Bani ialah pembantu peribadi bapanya. Dia jarang berbicara dan berperangai pelik. Sewaktu kecil ketika terbangun di tengah malam, dia pernah ternampak bayang Bani sedang berlegar di dalam biliknya tanpa kaki. Bila diadu, bapanya hanya tertawa dan mengatakan mungkin itu hanya ilusi optik atau mimpinya saja.
Anding tersenyum lebar melihat Samiri menjamah hidangan nasi minyak dan gulai itik serati yang dipesannya. Bapanya jarang memilih haiwan sebagai makanan. Kalau yang dimakan pun hanya ayam bahagian dada. Kali ini siap dipesan bungkus untuk dimakan di rumah pula. Mungkin berubah tempat, maka seleranya turut berubah, fikir Anding.
“Warung ini tutup hari apa?” Anding berbasa basi sebagai modal untuk mengajak Nurseha berbual ketika membuat bayaran.
“Jumaat...” Nurseha menjawab sambil menunduk. Malu mahu menatap wajah tampan di hadapannya.
“Oh...adik nama siapa?” Tanyanya lagi, hatinya sudah tidak tahan untuk berkenalan.
“Seha... Nurseha...”
“Anding...” Suara Samiri yang keras mengejutkan Anding dan Nurseha.
“Kalau begitu, kita jumpa esok ya. Nanti abang datang lagi.” Anding tersenyum, ternyata semakin berat rasa hatinya untuk pulang ke kota.
Share this novel