TIGA

Fantasy Series 877

Nurseha duduk bersila di lantai dapur sambil mengupas buah mempelam muda untuk dibuat jeruk. Ada beberapa biji yang diasingkan untuk dibuat sambal dan dimakan bersama pencicah. Pohon-pohon mempelam di sekitar kawasan rumahnya sedang galak berbuah, sampai tak habis dimakan. Orang kampung Jelai Paya sudah tidak hairan lagi dengan buah mempelam. Masing-masing ada pohon mempelam di laman sendiri. Banyak yang dibiarkan luruh terbiar begitu saja.

Zainab yang baru pulang dari kebun sayur terus ke dapur untuk melepaskan penat lelah setelah seharian bekerja.

“Mak...” sapa Nurseha. Dia segera menuangkan air teh o suam yang baru dibancuh ke dalam cawan untuk ibunya. Zainab tersenyum menyambut cawan minuman.

“Nanti lusa Seha saja yang ikut hantarkan Ina ke KL, ya... Mak tak dapat pergi, sayang 40 ringgit ditolak gaji sehari jika mak minta cuti.” Zainab memandang Nurseha dan Salina yang saling bertatapan.

“Ala... takkanlah mak tak mahu ikut? Ikutlah mak, tengok tempat belajar Ina...” Dahi Salina berkerut.

“Ya mak... ikutlah sekali, Seha seganlah dengan Abang Johari. Nanti balik dalam kereta hanya Seha dan Abang Johari berdua saja. Seha tak mahulah...” Nurseha menyuarakan rasa hatinya. Salina mengangguk, dia mahu ibunya turut sama menghantar dia ke Kuala Lumpur.

“Teha boleh temankan, biarlah Teha ikut.” Fatehah menawarkan diri. Dia tersengih memandang ibunya yang menjeling.

“Kamu kan nak periksa PMR bulan depan. Jangan cari alasan nak memonteng sekolah pula.” Zainab menggertak Fatehah. Sedepa muncung Fatehah bila ditegur begitu. Memang di kalangan adik beradiknya Fatehah agak nakal sedikit dan lasak.

“Pit nak ikut... Pit boleh tolong angkat barang Kak Ina.” Fitri duduk diriba Nurseha. Dia memang manja dengan semua orang di rumah itu. Nurseha tersenyum sambil membelai kepala Fitri.

“Tak payahlah Pit. Mana ada budak kecil yang ikut. Nanti Pit nak kencinglah, laparlah... susah nanti. Perjalanannya jauh. Abang Johari boleh angkatkan barang-barang Kak Ina. Tak payah ikut ya. Kalau nak berjalan, nanti tunggu Kak Teha dan Zarul habis peperiksaan dan cuti sekolah. Mak kumpul duit dulu, kita sewa van. Kita ajak keluarga Cik Rosni dan Pakcik Halim sekali ya sayang...” Zainab memujuk Fitri.

“Seha, kamu sajalah temankan Ina ya. Kamu bijak dari emak, manalah tahu kalau ada apa-apa borang yang perlu diisi oleh penjaga atau sebagainya. Alah Seha, yang tolong menghantar tu Johari saja... bukan orang lain, anak Tok Ghani. Tak usah seganlah. Anggap saja macam saudara sendiri...” Zainab memujuk Nurseha yang mati kutu. Kalau tak ditemankan si Salina, tak patut pula. Kalau ditemankan, dirinya pula yang tak sanggup mahu menghadap wajah si Johari.

“Ah, pergi balik hari. Gerak selepas subuh. Petang dah sampai ke sini semula. Hmmm, mungkin Kak Ani pun ikut sekali agaknya.” Nurseha cuba memujuk hati sendiri. Lalu kepalanya mengangguk tanda setuju.

Selepas habis mengaji, Zarul tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya mengayuh basikal ke bendang berhampiran kaki Butnak demi mengail belut untuk Tok Ghani. Kalau dapat lebih, dia akan bawa pulang ke rumah. Dia sendiri suka makan belut yang digoreng kunyit garing oleh ibu atau kakaknya, Nurseha.

Dia mengeluarkan tali tangsi yang sudah diikat kemas dengan mata kail yang dibuat sendiri menggunakan jejari rim basikal. Umpannya pula hati ayam goreng lebihan lauk semalam, dia tidak sempat menangkap katak sawah untuk dijadikan umpan.Di dalam hati Zarul berdoa agar kanak-kanak lain sekampungnya tidak turut sama mengail belut pada petang ini, kalau ada mereka tentu kurang hasil tangkapan buat dirinya.

Zarul berhenti mengayuh basikalnya dan meneruskan perjalanan meniti parit di tepi petak sawah. Sekarang sedang musim menuai, lebih mudah memancing belut di waktu begini. Dia mencari lubang-lubang yang berhampiran air. Selepas dikenalpasti itu memang lubang belut bukan lubang ular air, Zarul menghulurkan mata kailnya masuk ke dalam, digoyang-goyangkan tali tangsinya.

Zarul tersenyum keriangan ketika terasa tarikan si belut. Dia menunggu beberapa saat sebelum menyentap keluar. Si belut menahan badannya yang panjang seperti ular dengan membelit-belitkan badannya di dalam sarang. Rezeki Zarul sudah tertulis, belut berwarna kuning kelabu asap itu akhirnya tewas. Besar juga tangkapannya. Dia memasukkan makhluk bertubuh licin itu ke dalam plastik beras yang dibawa.

“Di lubang sana, ada lagi...” Zarul tersentak, seolah-olah ada suara yang berbisik di telinganya. Suara yang garau, namun mesra. Dia mengabaikan, menganggap suara itu hanya suara hatinya sendiri. Mana ada orang lain bersamanya di situ.

Makin galak pula hasil tangkapannya pada petang ini, dia berjalan mencari lubang demi lubang. Semuanya berisi belut, bukan lubang kosong. Zarul meneruskan pencarian belut sehingga tidak sedar hari sudah terlalu petang. Cahaya matahari juga sudah bertukar jingga, kurang lebih setengah jam lagi akan terbenam sepenuhnya di ufuk barat.

Langkahnya terhenti tatkala terpandang seseorang melambainya dari arah jalanraya. Seorang lelaki tua melihat tepat ke arahnya. Lelaki tua itu berpakaian lusuh, pakaiannya kelihatan kuno dengan destar berwarna hitam di kepala. Seperti gaya pahlawan. Seketika kemudian, lelaki tua aneh itu sudah tidak kelihatan. Zarul menoleh kanan dan kiri cuba mencari kelibat lelaki berkenaan.

“Tak mungkin dia hilang begitu saja.” Hati Zarul berdebar, kulitnya terasa tebal berbintil kerana bulu romanya naik meremang. Dia kemudian melihat ke dalam beg plastik di tangannya dan mengira berapa ekor yang sudah berjaya dikail. Ada lebih kurang 12 ekor. Dia mahu segera ke rumah Tok Ghani dan kemudian pulang ke rumah. Ibunya pasti bising kerana dia masih belum pulang di waktu begini.

“Zarul... kalau kau naik ke atas Butnak, nanti datuk akan hadiahkan seekor ayam hutan jantan kepadamu. Ayam itu cantik, kokoknya paling kuat di hutan sana. Mari...” Bahu Zarul terasa ditepuk. Lelaki tua berkenaan sudah berada ditepinya. Wajahnya agak kabur di pandangan mata Zarul. Hilang sudah wajah Tok Ghani dan ibunya yang tadi bermain di fikiran. Matanya sudah terpandang seekor ayam jantan berbulu perang kehijauan yang berkilat. Zarul tersenyum lalu melangkah mengikut lelaki tua yang berjalan tidak menjejak bumi.

Bunyi salakan anjing di belakang rumah mengejutkan Anding yang baru selesai mandi. “Kenapa pula si Sakti menyalak tak tentu arah begini?” Anding tertanya-tanya. Dia segera menyarung seluar pendeknya dan berlari ke bawah menuju ke pintu belakang.

Anding membuat keputusan untuk melihat keadaan Sakti. Semenjak berpindah ke kampung berkenaan, Sakti dibiarkan bebas bergerak menjaga kebun buah-buahan di belakang rumah. Anding mengambil lampu picit, sebentar lagi hari akan gelap. Makin kuat pula salakan si Sakti.

“Ada apa?” Hati Anding tertanya-tanya. Dia berjalan dari kolam renang menuju ke pagar kayu yang berpintu kecil lalu selaknya di buka.

“Sakti...” Panggilnya. Namun si Sakti tidak datang. Selalunya Sakti akan cepat berlari mendapatkan Anding apabila namanya dipanggil.

Anding berjalan laju melalui deretan pohon pisang. “Sakti!” jeritnya. Si Sakti menoleh lalu menyalak kuat seolah-olah memanggil Anding agar cepat datang. Matanya memandang ke suatu arah menuju hutan, jalan masuk ke kaki Butnak. Anding turut sama melihat. Dikecilkan matanya lalu menekan punat lampu picit petak bersaiz besar.

Seorang budak lelaki berdiri tegak, di tangannya ada sesuatu seperti beg plastik. Budak lelaki itu cuba melangkah namun seperti meraba-raba mencari jalan.

“Apa yang budak tu buat di hutan waktu begini? Mari Sakti...” Sakti segera berlari laju menuju ke arah budak lelaki tersebut meninggalkan Anding yang berlari anak, cuba mengelakkan tunggul-tunggul dan akar pokok dalam gelap.

“Sakti, sudah. Berhenti!” Arah Anding. Nafasnya termengah-mengah.

“Grrrrrrrr....” Sakti seperti menderam marah, menunjukkan taringnya. Bukan menderam kepada budak lelaki disebelahnya tetapi kepada sesuatu yang Anding tidak nampak di sebalik pohon jejawi yang berselirat akarnya.

“Adik, buat apa di sini?” Anding bertanya, namun budak lelaki bertubuh kurus itu tidak menjawab dan hanya mendiamkan diri. Matanya seperti tidak bermaya dan tiada perasaan. Anding dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila budak lelaki itu tidak memberi sebarang tindak balas apabila ditanya.

“Anding... bawa dia masuk!” Teriakan keras kedengaran dari belakang. Anding terkejut kerana disergah oleh Samiri. Ditarik tangan si budak lelaki yang hanya membisu dari tadi.

“Adik, mari ikut abang...” Anding mengajak, namun budak lelaki itu seakan digam kakinya, tidak berganjak dari tempat berdiri. Samiri meraup wajah budak lelaki itu dengan tapak tangannya, mulutnya terkumat-kamit seperti membaca sesuatu lalu menepuk bahu kecil dihadapannya.

“Achummm!!!!” Budak lelaki itu terbersin kuat, sebelum terpinga-pinga. Wajahnya kelihatan seperti sedang dalam keadaan takut yang amat.

“Adik....” Panggil Anding.

“Saya nak balik...huuuuuu...” Tangisnya tiba-tiba.

“Bawa dia masuk ke dalam...beri dia minum air. Nanti kau hantarkan dia pulang. Jangan keluar selagi aku belum masuk ke dalam. Bawa sekali Sakti masuk, malam ini kurung dia di dalam sangkar.” Anding segera mengangguk dan memimpin budak lelaki itu masuk ke kawasan rumah. Sakti turut sama mengekori Anding.

Samiri berdiri tegak memerhati sekeliling. Tanah di kawasan rumahnya yang bersempadan dengan hutan di kaki Butnak sudah dipagar dengan pagar yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Dipagar dari dicerobohi orang mahupun makhluk lain yang berniat tidak baik kepada dirinya. Budak lelaki itu telah tersekat dipagar berkenaan. Bukan salah dia, tapi salah si pembawa yang kurang perhati. Dia tersenyum, tahu siapa yang cuba membawa budak itu naik ke puncak Butnak.

Samiri menghentak kaki ke lantai hutan. Dahan-dahan pohon bergoyang walau tiada angin. Tiga orang lelaki yang merupakan pekerja yang bekerja dikebunnya menjelma entah dari mana.

“Ketatkan kawalan di kawasan ini. Perhatikan siapa yang berada terlalu hampir dengan tempat tinggalku atau yang sering melalui laluan ini untuk ke Butnak. Ambil, ini untuk kalian...” Samiri meletakkan tiga butir telur rebus ke tanah. Lelaki-lelaki itu mengambil seorang satu, lalu menyeringai kesukaan dan sujud menyembah kaki Samiri, tanda taat. Seketika kemudian dari tubuh manusia, ketiga-tiga mereka bertukar ke susuk berbulu seperti monyet yang besar.

“Tunggu...” Samiri masuk ke dalam kawasan kebun lalu memakuk setandan pisang berangan yang masak di pokok dengan batang sabit yang sedia ada. Dia membawa keluar tandan pisang dan diberi kepada salah seekor monyet yang paling hampir.

“Bawa ke kumpulanmu. Ingat pesanku, jaga tingkah laku di hadapan Anding. Belum tiba masanya untuk dia tahu siapa kalian semua. Pergi.” Arahannya segera dituruti. Datang mereka tidak berjejak, hilang juga seperti angin.

Di puncak Butnak, suasana yang sunyi dikejutkan dengan dentuman guruh dan kilat yang sabung menyabung menandakan sebentar lagi akan turunnya hujan lebat. Tok Sendeng membuka matanya.

“Nampaknya ada siluman mawas di Jelai Paya. Patutlah aku sering terbau bau hamis mawas sejak akhir-akhir ini.”

Dia tersenyum sinis, bukan tanda gembira. Belaannya dari jenis hantu raya yang menjelma sama seperti dirinya duduk menikus di hujung kaki, menanti hukuman dari si tuan.

“Kau gagal!” Tok Sendeng melempar anak batu berapi kepada si belaan. Malam ini tidak dapat dia menjamu darah teruna kepada Sali Raya yang sudah bersatu di dalam tubuhnya.

“Arghhhhhhh....huuuuuu” Si belaan menangis kesakitan, meratap sebelum terbakar dan hilang debunya dibawa titisan hujan.

“Tak boleh diharap semuanya. Kau juga gagal Ghani... Sudah tiba masa dirimu menjadi korban janji moyangmu...hahaha. Kau tidak standing bapamu, mungkin anak tunggalmu lebih berwibawa untuk menjadi pengikutku.” Tok Sendeng tertawa sendiri suaranya bergema, bukan lagi suara manusia.

••

“Kenapa masih tak pulang lagi si Zarul ni?” Zainab memandang sekilas jam tua yang tersangkut di dinding. Nurseha yang baru selesai menunaikan solat Maghrib turut resah, tak pernah Zarul selewat ini.

“Tadi Pit nak ikut Zarul. Tapi dia tak mahu bawa Pit. Dia kata nak cepat.” Tiba-tiba Fitri yang sedang membuat kerja sekolah bersuara.

“Dia nak cepat pergi mana?” Tanya Salina yang turut kerisauan. Kemana Zarul pergi masih belum pulang walaupun waktu Maghrib sudah berlalu. Semua adik beradiknya tahu peraturan yang ibu dan arwah bapa mereka sudah tetapkan, sebelum Maghrib semua orang mesti sudah berada di rumah dan sudah bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib. Dia berdoa moga tiada apa-apa yang buruk terjadi kepada adiknya itu.

“Hmmmm... agaknya pergi cari belut untuk Tok Ghani...” Fitri tergaru-garu kepala, cuba mengingat-ingat.

“Cari belut? Memang nak kena budak Zarul ni. Mak dah banyak kali beritahu jangan mengail belut atau memancing puyu tanpa ada orang dewasa. Kalau terjatuh ke parit atau tali air, susah!!” Zainab mula berleter. Raut wajahnya cemas. Fitri hanya mendiamkan diri.

“Kenapa tak cakap awal-awal Pit?” Tanya Salina lagi.

“Pit lupa...” Fitri menyambung membuat kerja sekolah. Tadi dia memang mahu adukan kepada ibunya, tetapi dia tertidur kerana kepenatan sehingga petang.

“Mak, marilah kita ke rumah Tok Ghani. Tadi Pit beritahu Zarul pergi mengail belut untuk Tok Ghani. Mana tahu dia ada di sana.” Nurseha mengikat rapi rambutnya yang lurus, hatinya tidak tenang.
“Ya, marilah Seha. Ina nanti tutupkan pintu, sendal rapat. Tengok adik-adik. Fatehah balik dari mengaji sebentar lagi jangan izinkan dia keluar lagi. Suruh dia buat ulangkaji. Mak pergi sekejap saja....”

“Pin! Pin!”

“Ada orang datang!!” Fitri menjerit apabila mendengar bunyi hon kereta yang masuk ke perkarangan halaman rumah.

“Seha buka pintu. Siapa pula yang datang?” Berkerut dahi Zainab kehairanan. Nurseha membuka pintu dan turun ke laman.

Rasanya dia pernah terlihat kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di halaman rumahnya ini. Seorang lelaki muda keluar dari pintu bahagian pemandu.

Nurseha terkejut apabila melihat lelaki tersebut. Itu lelaki muda dari bandar yang pernah beberapa kali datang makan di warung Cik Siah. Pintu kereta di bahagian penumpang hadapan dibuka. Lelaki tersebut mencempung tubuh Zarul turun dari kereta dengan berhati-hati.

“Zarul!” Nurseha menerpa ke arah Zarul yang hanya mendiamkan diri.

“Eh, Nurseha... ini adik awak ke?” Nurseha hanya mengangguk laju. Dipimpin Zarul dan dipeluk.

“Zarul pergi mana?” Nurseha menatap wajah Zarul yang pucat dan seperti ketakutan.

“Saya terjumpa adik awak merayau seorang diri, hendak masuk ke dalam hutan di kaki Gunung Butnak. Kebetulan dia lalu di belakang rumah kami...”

“Zarul buat apa di sana? “Zainab yang tergesa-gesa turun dari rumah turut bertanya.

Wajahnya jelas kelihatan lega dengan kepulangan Zarul namun tetap risau. Dia memeriksa keadaan Zarul jika ada luka. Kenapa Zarul merayau sehingga ke kaki Butnak?

“Ini apa?” Zainab merampas beg plastik bekas beras di tangan Zarul yang berisi belut yang masih hidup. Bulat matanya terjegil memandang Zarul.

“Belut untuk Tok Ghani...” Zarul menjawab takut-takut.

“Pakk!!!” Pipi Zarul terteleng ditampar Zainab yang menyinga marah.

“Dah berapa kali aku cakap jangan mengail belut. Kenapa kau degil? Kau tu dah tak ada bapa macam orang lain. Kalau terjadi apa-apa siapa nak cari kau di puncak gunung sana? Nak panggil bapa kau bangun dari kubur cari kau? Nak suruh Kak Seha kau ni memanjat gunung mencari kau? Degil!!!” Zainab memekik lalu menampar lagi pipi Zarul dengan kuat sehingga tubuh Zarul yang kecil dan kurus hampir melayang jatuh. Tangan Zainab ringan mahu memukul lagi namun dihalang oleh Nurseha.

“Mak, sudah mak... Zarul dah pulang dengan selamat. Sudahlah...” Nurseha memeluk Zarul yang teresak-esak menangis, dia cuba menghalang Zarul dari dipukul dengan tubuhnya. Dia juga turut sama menangis, tak sanggup melihat adiknya dipukul oleh ibu mereka. Nafas Zainab turun naik, termengah-mengah menahan geram dan marah.

“Makcik, sabar... jangan marah dia...”

“Awak siapa? Makcik tak pernah nampak awak di sini.” Zainab bertanya. Suaranya yang meninggi kian mendatar. Ada nada hiba dari nada suaranya, Tuhan saja yang tahu susah payahnya membesarkan anak-anak berseorangan. Dia seakan baru tersedar kelakuannya, lupa ada orang asing yang berada di laman rumah yang sedang memerhati.

“Nama saya Anding. Saya dan bapa baru saja berpindah ke kampung ini. Rumah kami di hujung kampung, berhampiran hutan di kaki Gunung Butnak.” Anding memperkenalkan diri, dia tersenyum tipis. Matanya melirik keadaan Zarul yang sedang menangis sambil Nurseha mengelap air mata si adik dengan tangannya.

“Oh... rumah besar di dalam hutan di hujung kampung tu, rumah kamulah ya?” Tanya Zainab, dia pun tidak pernah melihat rumah tersebut. Hanya mendengar cerita dari orang kampung sahaja.

“Ya makcik...”

“Terima kasih hantarkan anak makcik balik, makcik sebenarnya risau sangat. Dah berkali-kali makcik pesan jangan merayau, jangan bermain di parit bendang dan tali air... tapi Zarul ni degil... Maaf ya menyusahkan Encik Anding.” Zainab menyeka air panas yang turun ke pipi.

“Tak apa makcik. Biasalah budak-budak. Makcik jangan marah-marah begini. Rasanya Zarul pun dah terima pengajaran. Dia pun nampak takut sangat tu. Betul cakap Nurseha, yang penting dia dah selamat pulang.” Kata-kata Anding melembutkan hati Zainab.

“Kamu kenal anak makcik, Nurseha?” Pertanyaan Zainab membuat Nurseha kecut. Risau jika ibunya berfikir yang lain.

“Oh... saya ada dua tiga kali makan di warung Cik Siah tempat Nurseha bekerja. Kenal di situ...” Zainab mengangguk, faham.

“Kalau tak ada apa lagi, saya pulang dulu ya makcik, Nurseha... Zarul, dengar cakap emak ya...” Anding meminta diri. Zainab anak beranak hanya mengangguk sambil memerhati Anding beredar.

••

Anding tersenyum sendiri. Dia menyandar separa berbaring di kerusi kolam renang sambil merenung langit yang gelap tidak berbintang.

Tak sangka Zarul yang sesat di hutan belakang rumahnya senja tadi ialah adik Nurseha, si manis jelita yang membuat hatinya berdebar kebelakangan ini. Dia lupa pula mahu meminta nombor telefon Nurseha, mungkin juga gugup kerana melihat ibu Nurseha yang hampir naik hantu memarahi Zarul tadi.

“Tak mengapa, esok masih ada... aku pun akan sering pulang ke sini.” Anding memujuk hati. Berharap agar Nurseha sudi berteman dengannya.

Dia melepaskan keluhan panjang, malas rasanya hendak pulang ke kota. Namun esok pagi-pagi dia harus segera pulang kerana di sebelah petangnya dia ada mesyuarat dengan pembekal bahan mentah di kilang milik bapa angkatnya, Samiri.

“Buk!!!” Anding tersentak, hampir tersedak ketika menghirup air cokelat panas. Mati segala angannya.

Bunyi apa yang kuat begitu? Kedengaran seperti ada sesuatu yang menghempas bumbung rumah. Hatinya berdebar. Dia bergerak turun dari kerusi, berjalan menjauhi kawasan kolam renang, lalu mendongak melihat bumbung rumah.

“Hoi!!” Anding melaung.

Ada monyet yang besar memasuki kamar bapanya dari tingkap bilik yang terbuka. Dengan pantas dia mengatur langkah seribu, masuk ke dalam rumah dan berlari naik ke tingkat 3 melalui tangga kayu, dia mesti cepat untuk menghalau monyet itu sebelum terjadi huru hara. Risau andai bapanya yang sedang berehat dikokak oleh si monyet bersaiz lebih besar dari manusia.

“Ayah!” teriak Anding.

Langkahnya terhenti di anak tangga yang di atas sekali. Dia menelan liur. Sekali imbas seperti dia terlihat Bani melintas di hadapannya. Dia membuka mata luas-luas.

“Buang masa saja membuka luas mata, apa yang dapat dilihat dalam gelap?” Dia memarahi diri sendiri. Mana ada Bani. Mungkin hanya ilusinya saja.

Ruang tingkat atas ini mengapa dirasakan sangat sejuk? Jantungnya berdebar. Bau colok dan gaharu agak kuat. Dia tahu bapanya tentu sedang bermeditasi jika bau colok kuat seperti ini. Bapanya sering bermeditasi dalam gelap seperti biasa.

Suasana senyap dan sunyi. Tidak pula kedengaran bunyi bising dari arah kamar Samiri.

“Mungkin si monyet sedang menggeledah secara senyap,” fikir Anding lalu meneruskan langkah. Tangannya meraba dinding dalam gelap.

“Pap!” Anding menekan suis lampu. Barulah terang penglihatannya memandang persekitaran ruang koridor.

“Tok...tok...” Dia mengetuk pintu.

“Ayah...ayah buka pintu...” Panggil Anding. Suaranya cemas, dia cuba mencari-cari kunci pendua pintu kamar Samiri di almari antik berhampiran, namun tidak ditemui.

“Ayah!!” Jerit Anding kuat. Dia semakin tidak keruan.

“Bukk!!! Bukk!!!” Anding menepuk-nepuk pintu dengan kedua tapak tangannya. Wah, tapak tangannya yang sakit akibat menepuk pintu yang dibuat dari kayu cengal yang keras.

“Kriukkkk....” Pintu dibuka dari dalam oleh Samiri yang terpisat-pisat menggenyeh mata, seperti baru bangun dari tidur. Tergesa-gesa dia menyarung jubah mandi buat menutup tubuhnya.

“Ada monyet masuk ke dalam kamar ini. Mana dia? Hei monyet!!” Anding segera meluru masuk ke dalam bilik tanpa meminta izin Samiri.

“Ada apa Anding? Mana ada monyet...” Samiri kehairanan memandang Anding yang menekan semua suis lampu untuk menerangkan ruang kamar yang gelap.

Anding tercari-cari di bawah katil, kamar mandi dan ruang pakaian yang bersambung dengan kamar tidur Samiri, namun yang dicari tidak ditemui.

“Cari apa Anding? Kenapa kau masih belum tidur? Esok kau akan pulang ke kota, perjalananmu jauh. Nanti kau mengantuk jika tidurmu tidak cukup.” Samiri duduk di kerusi ruang kerjanya, mengambil rokoknya untuk dihisap. Namun rokoknya sudah habis.Dia mengeluarkan kotak rokok yang baru di dalam laci meja kerja. Matanya hanya memerhatikan Anding yang kelihatan tidak tentu arah.

“Maaf Ayah. Saya tidak bemaksud mengganggu ayah sedang beristirehat. Tapi tadi saya benar-benar nampak ada seekor monyet yang besar, masuk ke dalam kamar ayah dari tingkap yang terbuka itu.” Berkerut dahi Anding. Dia tahu apa yang dilihat. Dia tidak mabuk atau mengantuk.

“Ada kau nampak monyet di kamarku?” Samiri tertawa kecil. Asap rokok dihembus dari hidung dan mulutnya. Anding menggeleng.

“Pergilah tidur...” Samiri tersenyum lagi.

“Maaf ayah...mungkin saya yang salah lihat. Saya keluar dulu...Selamat malam.” Anding melepas keluhan panjang, dia melihat ke arah Samiri sekali lalu. Tiba-tiba dahinya berkerut. Dia menoleh lagi ke arah Samiri sebelum menutup pintu kamar.

“Kenapa tangan dan kaki ayah kelihatan kotor seperti bertanah?” Anding tertanya di dalam hati. Persoalannya tergantung tanpa jawapan. Bapanya itu memang penuh misteri, Anding membuat keputusan untuk mengabaikan sahaja.

Dia turun ke bawah, menutup segala pintu dan tingkap yang terbuka lalu naik ke biliknya di tingkat 2 untuk tidur.

Suis lampu koridor tingkat 3 terpadam sendiri. Dari balik dinding, Bani menyeringai dalam kegelapan. Lalu bertenggek di alang bumbung.

••

Anding memandu dalam dingin subuh di jalan utama Kampung Jelai Paya. Cahaya dari lampu kenderaan yang dipandunya menyuluh kegelapan yang berkabus.

Jam di dashboard kereta menunjukkan waktu, 6:20. Anding menguap, lalu menggeleng kepala. Belum memandu keluar dari kampung sudah mengantuk. Tangannya menekan butang radio sambil matanya memerhati seorang wanita sedang berjalan di laluan berumput tepi jalan.

“Nurseha!” Spontan Anding memberhentikan kenderaannya dan membuka tingkap di bahagian kiri penumpang hadapan. Dia mengundur sedikit. Nurseha yang sedang berjalan kaki untuk ke warung Cik Siah juga turut menghentikan langkahnya.

“Seha... Nak ke mana? Marilah naik, abang hantarkan.” Sapa Anding. Senyumnya bukan main lebar. Hilang mengantuknya tiba-tiba.

“Ke warung Cik Siah. Nak pergi kerja...tak apa, dah dekat...” Nurseha menolak dengan baik. Segan jika dilihat orang kampung.

“Naiklah Seha, jauh juga tu. Abang pun memang nak singgah makan sarapan di sana. Seha tak sudi ke naik kereta abang?” Mendengar kata-kata Anding, lambat-lambat Nurseha mengangguk setuju, semalam Anding juga yang menghantarkan adiknya Zarul yang sesat di hutan pulang ke rumah. Kalau ditolak pelawaan Anding, tentu akan dianggap sombong.

Mata Anding tidak berkelip memerhati Nurseha yang kelihatan ayu berbaju kurung, membuat Nurseha malu.

“Kenapa aa...abang?” Tanya Nurseha, resah apabila direnung begitu.
“Mahu dipanggil abang atau encik? Wajahku kelihatan seperti tidak mandikah? atau rambutku yang diikat tocang satu ini kelihatan janggal?” Nurseha tertanya di dalam hati. Dia mencium lengan bajunya jika ada bau yang kurang sedap, namun yang terbau di hidungnya adalah wangian yang segar.

Bila Nurseha menoleh ke kanan, ternyata bau yang segar menenangkan itu datang dari Anding. Semakin terserlah penampilan Anding dengan haruman maskulin sebegitu, membuat Nurseha bertambah malu. Bimbang hatinya yang memuji ketampanan lelaki di sebelahnya dapat dihidu.

“Tak ada apa. Terima kasih kerana sudi naik kereta saya. Seha selalu berjalan kaki dalam gelap subuh beginikah?” Anding meneruskan pemanduan. Sengaja keretanya dipandu perlahan. Tak mahu cepat sampai ke warung Cik Siah. Matanya sekejap menghadap jalan, sekejap memandang kiri, cuba curi-curi memandang Nurseha.

“Ya... dah biasa. Kadang-kala meminjam basikal adik.” Nurseha menjawab jujur.

“Bahayalah Seha... berjalan dalam gelap begini. Manalah tahu ada orang nak buat perkara tak baik...”

“Sini kampung bang... semua orang baik-baik di sini...” Nurseha menjawab pantas, wajahnya hanya memandang hadapan. Malu mahu melihat Anding di kanan, walaupun dari ekor mata dia tahu Anding menatapnya tidak lepas. Tangannya menggenggam erat beg berisi telekung di riba. Rasa selamat dapat memeluk sesuatu.

“Okey...kalau Seha kata begitu...” Anding tersenyum mendengar jawapan Nurseha. Nurseha memang ternyata gadis yang lurus.

“.... tapi jalan elok-elok. Jangan jalan membelakangkan kenderaan di bahagian kiri. Jalan di sebelah kanan, nampak kereta dari arah depan...” Melihat Nurseha mengangguk, Anding tertawa kecil. Dia tahu Nurseha sedang resah dan mungkin tidak selesa berduaan dengannya.

“Zarul okey? Dia nampak ketakutan semalam.” Anding mengubah topik, cuba membuat Nurseha bertenang.

“Dia demam. Malam mengigau, sebut atok...atok...” Jawab Nurseha.

“Atok mana pula? Tok Ghani?”

“Yelah agaknya. Katanya mencari belut di parit tepi bendang sampai terlajak ke hutan...” Anding mengangguk-angguk.

“Seha berapa beradik?” Tanya Anding, berminat mahu tahu tentang keluarga Nurseha.

“Lima. Seha anak sulung.”

“Oh... Seha umur berapa?” Tanya Anding lagi.

“19...”

“Muda... adik paling kecil umur berapa?”

“9 tahun...” Nurseha menjawab laju.

Sesi berkenalan memang membosankan, tapi Anding tidak dapat menahan perasaan ingin tahunya. Dia mahu tahu segalanya tentang Nurseha. Anding tersenyum sendiri, menyedari lagaknya seperti inspektor penyiasat. Ada satu lagi persoalan yang dia perlu tanya sebelum soalan lain yang boleh ditunggu jawapannya. Soalan yang satu ini dia perlu jawapannya sekarang.

“Seha dah ada boyfriend?” Anding berdehem, tekaknya kering tiba-tiba. Dia cuba menutup malu sendiri bertanyakan soalan yang paling peribadi.

Nurseha hanya mendiamkan diri, membuat Anding menoleh ke kiri mahu melihat reaksi Nurseha, manalah tahu jika Nurseha marah atau tidak suka ditanya begitu.

Telahannya salah. Dia dapat melihat Nurseha tersenyum malu sambil menggeleng kepala. Anding tak dapat menahan lagi lalu menoleh ke kanan, senyumnya lebar cuba disorok dari Nurseha.

“Ada chance!” jeritnya dalam hati.

Anding melepas keluhan panjang sewaktu sampai di depan warung Cik Siah. Dah sampai pula. Belum sempat Anding berkata apa-apa, Nurseha cepat membuka pintu kenderaan dan turun.

“Terima kasih tumpangkan Seha. Abang nak turun makan sarapan di sinikan?” Soalan Nurseha dijawab dengan senyum dan anggukan.

“Assalammualaikum Cik Siah...”

“Waalaikummussalam...” Cik Siah memandang dengan hairan Nurseha yang masuk ke dapur dengan senyuman paling manis dan wajah berseri-seri.

“Cik Siah, saya nak order kopi o dan roti bakar...” Anding yang menurut langkah Nurseha masuk ke warung, terus membuat pesanan.

“Oh, patutlah tersenyum simpul sampai ke telinga...” Cik Siah mencubit perlahan lengan Nurseha.

“Kalau abang nak kenal Seha dengan lebih rapat lagi boleh?” Anding bertanya perlahan sewaktu Nurseha menghantar pesanan makanan dan minumannya. Berharap permintaannya tidak ditolak mentah-mentah. Wajah Nurseha yang memerah malu ditatap lama. Cantik.

Nurseha tidak menjawab, hanya mengangguk dan tersenyum. Lalu melangkah laju ke dapur, meninggalkan Anding terpinga-pinga.

“Dia malu...” Cik Siah yang hanya memerhati mencuit Anding membuat Anding tertawa kecil.

Akhirnya Anding pulang ke kota meninggalkan Kampung Jelai Paya buat sementara dan berjanji akan kembali lagi menemui bapa angkatnya dan Nurseha. Tempat kerja dan rumah Nurseha dia sudah tahu. Tinggi harapannya agar Nurseha tidak lari kemana-mana dan tetap berada di situ sekembalinya nanti.

Nurseha mencium kad perniagaan yang diberi Anding kepadanya sebentar tadi. Wangi. Melekat bau minyak wangi di atas kad yang tertera nombor telefon Anding di situ.

Anding mahu bertukar nombor telefon dengannya, sayang dia tiada telefon bimbit. Penyudahnya diberi nombor telefon Cik Siah saja.

••

“Melepaslah kau Jo... budak bandar tu dah sailang bakal bini nombor dua kau...hahaha” Tawa Abidin membuat Johari panas hati.

“Ya Jo... aku nampak sendiri budak bandar tu menghantar Nurseha ke warung Cik Siah subuh tadi. Kau ada peluang ke bawa Nurseha meronda-ronda kampung macam tu? Hahaha!” Berdesing telinga Johari dengan soalan Samad Juling.

“Kalau ada peluang pun, mesti disorok-sorok. Takut dikejar si Ani! Hahahaha!!” Entah siapa yang menyampuk antara Abidin dan Mat Jeha. Johari semakin geram, wajahnya merah. Marah.

“Apa barang meronda kampung. Esok aku nak bawa dia meronda satu KL. Hei ni Joharilah... kalau aku nak, aku akan dapat. Mata kau tu kero Samad, entah siapa-siapa agaknya yang kau nampak tu!!” Suara Johari makin meninggi. Wajahnya sebal menahan geram, rasa mahu dilibas mulut rakan-rakannya dengan bola takraw di tangan.

“Cepatlah. Last game!!” Laungan Jai yang sudah bersedia disamping Lan Panjang dituruti.

Mereka yang berehat seketika di bawah pohon ketapang segera ke tengah gelanggang. Johari mengambil tempat sebagai tekong. Tak habis lagi panas hatinya.

Bola takraw yang dicampak dari Jai sebagai apit kiri kepadanya terus direjam laju ke kepala Samad Juling yang berdiri di depan jaring sebagai pasukan lawan.

“Hoi!! Kau nak membunuh ke? Aduh, kepala aku!!!” Jeritan Samad Juling yang berdarah kepala kerana direjam bola takraw membuat Johari tersenyum, namun hatinya masih belum puas. Menyirap darahnya apabila mendengar khabar Nurseha cuba dipikat pemuda dari bandar yang baru berpindah ke kampung mereka.

“Esok selepas selesai menghantar Salina, aku bawa kau berjalan-jalan ya, Seha. Aku tahu kau tak pernah merasa bagaimana indahnya bercinta, bukan? Biar aku mengajar kau...” Johari mengetap bibir, ditinggal begitu saja kawan-kawannya yang mengelilingi Samad Juling. Dia mahu pulang berehat kerana esok selepas subuh dia ada misi yang lebih penting.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience