Petang kian menjelang, kereta milik Anding yang merempuh pohon kekabu hutan baru siap ditarik keluar dan dihantar ke bengkel di Kuala Lumpur. Keadaan permukaan jalan yang tidak rata dan denai yang sempit melambatkan kerja-kerja yang bermula sejak pagi.
“Ayah...biarlah saya pulang esok. Hari sudah petang.” Anding bersuara perlahan, cuba merayu.
“Sebentar lagi kau pulanglah... apa yang ada di tengah hutan ini untuk kau tunggu lagi? Tiada liputan internet, talian telefon juga tiada. Apa di tanganmu itu?” Samiri menunjuk ke beg kertas tertera nama butik pakaian wanita di tangan Anding.
“Baju.” Anding menjawab sepatah.
“Pakaian perempuan?” Tanya Samiri lagi. Anding mengiyakan.
“Untuk Syafika?” Anding menggeleng. Samiri menjeling dan tersenyum tipis, entah siapa wanita yang disukai Anding.
Anding termenung jauh. Baju kurung untuk Nurseha belum sempat diberi. Minggu ini nasibnya agak malang. Dimarah ibu Nurseha, diganggu pontianak, keretanya kemalangan dan dimarahi oleh Samiri.
“Saya rasa perlu mandi bagi tujuan membuang sial seperti yang ayah selalu lakukan. Boleh ayah mandikan saya? Rasanya seperti nasib saya tidak baik kebelakangan ini.” Anding bersuara seakan merayu.
“Selalu kau mengelak bila aku mengajakmu turut serta. Nantilah, aku akan mengira tarikhnya semasa bulan mengambang besar. Nanti aku akan memanggil kau pulang.” Jawapan Samiri membuat Anding sedikit kecewa. Apa lagi alasannya supaya tidak perlu pulang hari ini.
“Bani sudah siap mengemas pakaianmu. Pulanglah dahulu. Bila kau kembali semula ke sini nanti, trek untuk kau berjoging akan siap di sebelah.” Samiri tersenyum memandang Anding.
Anding melihat kawasan hutan di sebelah rumah milik Samiri. Kawasan tanah yang dibeli bapa angkatnya itu sangat luas, baru suku kawasan tanahnya yang digunakan sebagai tapak rumah dan kebun tanaman. Ada lagi baki berbelas ekar yang masih belum di terokai.
“Anding, nanti aku akan buat jalan masuk yang rata dan aku akan pasangkan lampu limpah dari hujung simpang jalan menuju ke rumah ini. Aku berasa serik kerana kau kemalangan. Kau pulanglah dulu, jaga dirimu baik-baik.” Pesanan Samiri dijawab dengan anggukan yang berat. Dia dapat merasakan kasih Samiri terhadap dirinya lalu dipeluk Samiri dengan erat.
Anding bersedia untuk pergi. Dalam hatinya dia berharap agar Samiri memanggilnya masuk semula ke dalam rumah. Namun Samiri menghantarnya dengan lambaian tangan dan senyuman selamat jalan. Anding tahu dia terpaksa pulang.
“Menyesal aku pulang lewat semalam, jika hari masih terang tentu kemalangan dan kejadian gangguan makhluk halus tidak akan berlaku.” Anding mengeluh panjang dan dengan berhati-hati dia memandu kenderaan Samiri pulang ke kota.
Sebaik terjaga dari lelap yang seketika di petang hari, Samiri keluar dari kamarnya dan turun ke bahagian dapur di luar rumah. Dia berpuas hati melihat deretan dulang berisi buah-buahan dan kekacang yang dihias cantik. Ada juga air tuak, aneka manisan dan hidangan nasi sayuran di dalam daun pisang yang dibungkus rapi.
“Semuanya sudah siap, Bani?” Pertanyaannya dijawab dengan senyuman Bani. Nanti malam akan diadakan upacara sempena kawasan tanah di sebelah rumahnya yang akan dibersihkan. Tetapi sebab yang sebenarnya hanya Samiri dan Bani sahaja yang mengetahuinya. Upacara itu akan hanya dihadiri oleh para pekerjanya saja. Jumlah pekerjanya hanya 21 orang. Tetapi makanan yang disediakan oleh Bani sangat banyak seperti disediakan untuk jumlah tetamu sebuah resepsi perkahwinan kecil.
“Sebaik matahari jatuh, nanti aku akan menyuruh mereka semua bawa dulang-dulang makanan ini ke sana.” Samiri tidak menjawab dan hanya mengangguk mempersetujui cadangan Bani sebelum dia kembali naik ke kamarnya untuk bermeditasi. Ada sebabnya mengapa dia menyuruh Anding pulang segera ke kota. Tentulah kerana keselamatan Anding yang diutamakan. Sebab kedua ialah untuk menghimpun pengikutnya di upacara malam nanti.
Matahari sudah melabuhkan tirai, kegelapan mula menunjukkan wajah. Bani dan para pekerja yang lain membawa dulang-dulang hidangan menyusuri laluan kecil dari kebun belakang ke tanah bersebelahan yang masih tebal hutannya.
Mereka berhenti di sebuah kawasan lapang yang terlindung di tengah hutan. Dulang-dulang makanan dihimpun di sebuah sudut, air tuak dituang ke dalam cawan buluh. Selesai menyiapkan hidangan, Bani menghidupkan deretan jamung menjadikan kawasan lapang itu terang benderang.
Melihat kedatangan Samiri, kesemua yang hadir menunduk hormat dan bergerak ke tepi bagi membuka jalan laluan kepada ketua mereka, agar masuk ke tengah bulatan yang baru dibentuk. Samiri membuka jubah yang dipakai dan duduk bertinggung menghadap Bani yang meletak tangan ke kepala Samiri seraya mulutnya terkumat-kamit membaca mantera.
Samiri menyeringai menahan kesakitan, seluruh tubuhnya menjadi panas dan pijar. Pembuluh darahnya seakan mahu pecah. Gigi taringnya menjadi panjang dan tajam begitu juga dengan kukunya.
“Arghhhh!!” Samiri berteriak. Tubuhnya menumbuhkan bulu baru berwarna keemasan, semakin lama semakin lebat dari hujung rambut ke kaki. Bani tersenyum melihat Samiri yang maju selangkah lagi tahap ilmu hitamnya.
“Grrrrrrrr......” Samiri telah bertukar menjadi mawas berbulu emas yang tegap. Tidak ada lain, hanya dia saja yang boleh menguasai kawasan jajahannya.
“Kama Kawiswara......” Laung para pekerjanya lalu tunduk ke lantai hutan, menyembah ketua yang ditaati perintahnya. Masing-masing berubah bentuk dari tubuh manusia menjadi mawas berbulu hitam. Mereka menyeringai menahan perih yang seketika ketika proses jelmaan sebagai haiwan.
Samiri mengecilkan matanya yang merah seperti biji saga. Diperhati satu persatu pengikutnya yang berhimpun. Bani menghulurkan gelas buluh berisi tuak kepada Samiri yang hanya berdiri tegak.
Cuping telinga Samiri bergerak, mendengar dengan cermat pergerakan yang kian hampir ke tempat perkumpulan mereka. Seorang pekerjanya yang dikenali sebagai Sugiyanto baru tiba dengan nafas tercungap-cungap.
“Maafkan aku Kama Kawiswara, aku telah terlewat ke upacara ini kerana telah terlihat sesuatu di sempadan tanah kawasan kita.” Sugiyanto segera berlutut dan menyembah kaki Samiri. Mendengarkan itu, Bani segera meletakkan tangannya di atas ubun-ubun lelaki itu untuk cuba melihat semula perkara yang Sugiyanto adukan tadi.
“Adakah mereka ternampak engkau?” Tanya Bani. Sugiyanto menggeleng kepala.
“Pasangan lelaki dan perempuan itu ada berhampiran dengan sempadan barat, mereka melalui denai laluan gajah menuju ke puncak Butnak. Perempuannya muda, kelihatan seperti anak remaja.” Sugiyanto berbisik.
“Grrrrr......” Samiri berjalan laju diikuti pengikutnya. Dia tidak suka tanahnya dicemari dengan perlakuan menjijikkan. Langkah masing-masing lincah dalam senyap. Ada yang memanjat pohon dan berpapasan dari satu dahan ke dahan yang lain. Samiri memejam mata, membaca mantera keramat. Perlahan-lahan tubuh mawasnya hilang tidak dapat dilihat, seperti halimunan. Hidungnya terbau harum tubuh wanita yang sedang subur. Samiri memerhati ke arah pasangan yang sedang duduk berduaan di tengah hutan.
Johari sudah terlupa akan janjinya kepada Tok Sendeng untuk membawa Nurseha naik ke puncak. Nafsunya sudah menguasai diri. Tidak dapat ditahan lagi tatkala melihat wajah Nurseha yang terlentuk manja pada dadanya.
“Sayang, kita duduk di sini dulu ya...” Bisik Johari yang mencempung tubuh Nurseha. Dia meletakkan tubuh Nurseha perlahan-lahan ke atas tanah, bimbang jika Nurseha terjatuh dari dukungannya. Jemari Nurseha mula menggaru-garu kulit, sesekali menampar kaki serta tangannya yang gatal digigit nyamuk dan binatang terbang yang tidak kelihatan.
“Kenapa sayang?” Tanya Johari, nafasnya turun naik ketika menanggalkan pakaian Nurseha.
“Nyamuk...” Jawab Nurseha.
“Nyamuk? Sekejap abang nyalakan rokok buat menghalau nyamuk. Kasihannya sayang abang ni...” Johari menggosok tubuh Nurseha berhati-hati, bimbang jika kulit halus Nurseha bercalar atau mengelupas. Bagai menatang minyak yang penuh dijaga diri Nurseha. Dia menyalakan rokok dan dicucuk puntungnya ke tanah agar bara tembakau terbakar sendiri.
Nurseha hanya diam membiarkan Johari memperlakukan apa saja kepada dirinya. Tadi sebaik saja dia terpandang Johari yang sedang menunggunya di hujung simpang, dia tidak dapat lagi menahan rasa rindu terhadap lelaki itu. Malah dia hilang malu apabila memeluk Johari seakan tidak mahu lepas malah rela dibawa pergi oleh Johari ke mana saja.
Johari membuka bajunya lalu dijadikan alas buat membaringkan tubuh Nurseha yang menurut seperti orang bodoh, tanpa melawan. Ketika dia tunduk mahu mencumbui Nurseha, terdengar suara binatang menderam kuat, sangat hampir dengan dirinya. Lantas Johari menoleh ke belakang, dia tersentak mahu melarikan diri namun tidak sempat.
“Ahhhhh!!” Jerit Johari ketakutan apabila tengkuknya ditarik oleh tangan berbulu yang besar.
“Grrrrrr....” Seekor monyet besar mengangkat tinggi tubuh Johari lalu dibanting ke perdu pohon jejawi.
“Krakk!!” Bunyi tulang patah kedengaran.
“Arggghhhhhhh!!!” Jeritan Johari bergema apabila seekor lagi monyet besar yang datang entah dari mana menendang dadanya sehingga menyembur darah keluar dari hidung dan mulut. Akhirnya Johari menutup mata dan diam tidak berkutik.
Mata Nurseha langsung tidak berkedip dan wajahnya tidak bereaksi. Dia hanya memandang ke suatu arah tanpa mempedulikan binatang berbulu dengan saiz besar di hadapannya.
Samiri menatap Nurseha lama. Pelik kerana Nurseha tidak memberi sebarang tindak balas ketika pipinya ditampar perlahan. Firasatnya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena tentang Nurseha. Lalu tubuh Nurseha yang tidak berpakaian dicempung dan dibawa pulang ke rumah.
“Siapkan kamar tamu.” Arah Samiri kepada Bani. Dia membaringkan Nurseha ke atas katil lalu tubuh gadis itu ditutup dengan selimut tebal. Mulut Samiri terkumat-kamit lalu dihembus ke wajah Nurseha. Perlahan-lahan kedua mata Nurseha tertutup.
“Kenapa kau bawa dia ke sini?” Tanya Bani hairan.
“Ini kali ketiga aku menemuinya dengan lelaki tadi. Beberapa minggu lepas dia hampir dirogol di Ladang Bantek oleh lelaki yang sama.” Jawab Samiri.
“Lelaki itu mungkin kekasihnya.” Sahut Bani.
“Tidak. Cuba kau sentuh ubun-ubunnya. Ada jin suruhan yang sedang menunggu dia di luar sempadan tanah kita. Semangatnya mungkin dipuja.” Samiri menjepit rokok di bibir. Firasatnya kuat mengatakan Nurseha disihir. Bani menyentuh ubun-ubun Nurseha, wajahnya turut berubah.
“Dia terkena minyak pengasih. Fikirannya hanya memikirkan lelaki itu. Nanti aku akan mandikan dia dengan lumpur dan membuat ramuan ubatan untuknya.” Kata Bani.
“Tak perlu. Keluarganya tentu sedang mencarinya. Kita usah masuk campur. Nanti menjelang subuh aku hantarkan dia ke tempat kerjanya di warung berhampiran jeti.” Bani mengangguk mendengar kata-kata Samiri.
“Aku mahu bersihkan tubuhku sebentar. Kau tunggu di sini. Selepas aku siap, kalau pergilah bersama yang lain menyambung ritual yang terbantut di lapangan sana. Sebelum itu pastikan semua tingkap dan pintu ditutup rapat. Bimbang ada yang mencari gadis ini. Selagi dia di dalam sempadan tanahku, mereka tidak akan dapat mengganggu dia.” Bani mengangguk lagi.
Tepat jam 3 pagi, Samiri yang sedang duduk berjaga di ruang tamu terdengar sesuatu dari arah kamar tamu. Buku yang sedang dibaca, diletakkan di atas meja. Dengan berhati-hati dia melangkah menuju ke kamar tamu yang menempatkan Nurseha.
“Abang Johari...” Terdengar suara Nurseha mendesah.
Samiri berdiri di pintu kamar memerhati Nurseha yang tiba-tiba duduk menegak dengan mata yang tertutup. Beberapa minit kemudian, gadis itu bangun dan berjalan ke tingkap kaca. Dia berdiri tegak, seperti seorang askar. Mata Samiri yang terang berfungsi dalam gelap dapat melihat dengan jelas lekuk tubuh Nurseha yang tidak berpakaian.
“Bani, kenapa kau tidak pakaikan sebarang pakaian di tubuhnya...” Samiri mendengus marah, dia fikir Bani sudah melakukan apa yang perlu terhadap Nurseha.
“Johari....” Sebut Nurseha lagi, suaranya pilu seperti menanggung rindu.
“Buk....” Nurseha menghantukkan dahi ke tingkap kaca.
“Buk...bukk...” Bunyi hantukan kedengaran lagi.
“Buk...buk...bukk...bukkk!!!” Kepalanya kemudian dihantuk berkali-kali lebih keras dari tadi.
Samiri tidak lagi memerhati, dia berusaha menarik Nurseha menjauhi tingkap kaca namun Nurseha tidak mahu berganjak. Matanya masih tertutup. Kepalanya mahu dihantuk lagi tapi cepat ditahan oleh Samiri.
Bahunya pantas ditepuk oleh Samiri. Akhirnya tubuh Nurseha jatuh terkulai di lantai. Samiri mengangkat Nurseha dan dibawa ke katil lalu diselimutkan semula.
Samiri berpaling ke tingkap dan terlihat susuk lembaga yang tinggi menggalah sedang berdiri di luar pagar rumahnya. Pandangan mata lembaga itu terarah ke tingkap kaca di kamar tamu yang menempatkan Nurseha. Perlahan-lahan susuk tubuh itu menghilang ditelan kabus tebal apabila matanya bertentang dengan mata Samiri.
••
Tok Sendeng menolak bahu Johari yang tertiarap dengan hujung kakinya. Sebaik tubuh Johari menelentang, Tok Sendeng menggelengkan kepala.
“Inilah akibat melanggar pesanku. Bawa dia naik ke puncak.” Arah Tok Sendeng kepada jin suruhannya. Beberapa minit kemudian, tubuh Johari dibaringkan di atas kain hitam di dalam sebuah pondok buluh di puncak Butnak.
Tok Sendeng membuka kelopak mata kiri Johari dan tersenyum sinis sebaik matanya melihat jauh ke dalam anak mata lelaki itu. “Siluman mawas...” Dia mengetap bibir.
“Si mawas ini memang sengaja mahu mencari geruh. Datang ke mari rupanya mahu membuat kacau.” Fikirnya. Tubuh Johari mula diasapkan dengan kemenyan, bunyi nafasnya berkeruh kerana terlalu sakit. Nyawanya sudah dihujung tanduk. Jika Tok Sendeng terlambat sedikit tadi, Johari pasti sudah mati.
Tok Sendeng membalikkan tubuh Johari, tangannya meraba bahagian tulang belakang Johari yang cedera. Dengan kedua tangannya, dia menekan kuat.
“Krakkk!!” Bunyi tulang berderap diatur semula.
Tok Sendeng memerhatikan Johari yang merupakan darah daging keturunannya sendiri. Johari tidak boleh dibiarkan mati, hutang keturunannya kepada Sali Raya masih banyak yang belum ditebus. Semakin banyak jasa yang ditabur, semakin Johari tidak boleh berpaling dari cengkaman Sali Raya. Lagipun Johari masih muda dan punya masa depan yang masih panjang. Lebih-lebih lagi isterinya sedang mengandung sulung.
Tok Sendeng sudah berjanji kepada Sali Raya untuk mencari pengganti dirinya dan iblis berkenaan sudah memilih Johari. Nanti Johari akan dipujuk untuk mengorbankan anak sulungnya kepada Sali Raya.
Selesai merawat Johari, Tok Sendeng keluar ke batu hampar di tepi air terjun. Dia mahu mencari Nurseha pula.
Tok Sendeng memejamkan mata, mengawal nafas dan membaca mantera. Sukmanya keluar dari raga yang sedang duduk bertapa lalu menghala ke kaki gunung, tempat Johari ditemui awal tadi. Dia terlihat pakaian Nurseha yang tertinggal lalu diambil.
Hidungnya menghidu bau tubuh yang melekat di pakaian gadis itu. Jejak bau yang sama menghala ke sempadan tanah yang dipagari kawat berapi dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Sudah lama dia memerhati rumah batu yang dilindungi oleh tembok kayu yang tinggi di tengah hutan kaki gunung Butnak itu. Pada asalnya rumah yang baru dibina itu tidak dipedulikan. Tapi nampaknya sudah beberapa kali mangsa yang mahu dijadikan korban diselamatkan oleh si pemilik rumah yang nampaknya bukan calang-calang tingkat ilmu hitamnya.
“Apa si penghuni rumah ini benar-benar siluman mawas atau menyembunyikan siluman mawas?” Tok Sendeng mengelilingi sempadan tanah yang luas, cuba mencari jalan masuk namun tiada. Apa yang ditemui hanya jin belaannya yang tegak berdiri di pagar utama hadapan rumah.
“Aku tidak dapat masuk ke dalam... aku cuba membawa dia keluar, namun aku takut dengan mawas siluman berbulu keemasan itu.” Kata jin minyak pengasih yang diarahkan merasuk fikiran Nurseha.
“Mana temanmu?” Tanya Tok Sendeng.
“Masih terperangkap di dalam tubuh Nurseha. Tidak bertemu jalan keluar.” Sahut jin tersebut.
“Jangan pulang selagi kau tidak bawa jasad Nurseha.” Tok Sendeng mendengus kasar. Si jin menggigil dan terduduk ketakutan apabila kakinya dipukul dengan tongkat semambu.
“Tak guna semuanya.” Tok Sendeng membuka mata. Ingin benar dia bertemu dengan si siluman mawas. Seperti apakah dia? Setinggi mana ilmunya? Mengapa mahu ikut campur urusan Sali Raya? Sedangkan sama-sama pengamal ilmu setan. Desis hatinya. Rasa ingin tahunya kian memuncak.
••
Tok Ghani mendengus kesal, marahnya terhadap Johari semakin meluap-luap. Maruahnya bagai diinjak-injak dengan perlakuan Johari. Mak Tipah memujuk Zawani yang tak berhenti menangis. Semakin serabut fikiran Tok Ghani mendengar tangisan menantunya.
“Sudah Ani. Menangis tak baik untuk anak di dalam kandungan tu.” Mak Tipah mengusap belakang badan Zawani. Dia juga marah dengan Johari dan Nurseha. Tak disangkanya anaknya dan Nurseha ada hubungan sulit. Sangkanya hanya Johari yang tergila-gilakan Nurseha, rupanya Nurseha yang selama ini dianggap gadis lemah lembut, berwajah suci dan redup itu turut sama gatalnya melayan si Johari.
“Nak buat bagaimana bang?” Tanya Mak Tipah.
“Kahwinkan sajalah. Nak dibuat bagaimana lagi? Malu aku dengan orang kampung. Sudah bergambar berpeluk cium begitu, mahu tunggu apa lagi? Nak tunggu si Nurseha tu buntingkan cucu luar nikah milik anak jantan awak?” Tinggi suara Tok Ghani diikuti raungan Zawani.
“Bila buat tahi dipanggil anak jantan saya. Bila Johari penuhkan poket awak dengan wang hasil kutipan hutang, awak panggil anak harapan awak?” Mak Tipah turut sama meninggikan suara. Geram benar dia dengan suaminya.
“Abah, mesti Nurseha dah guna-gunakan Abang Johari. Marilah kita ubatkan Abang Jo dulu... Kita pergi berjumpa bomoh Siti di kampung seberang.” Rayu Zawani dalam esak tangis.
“Nurseha tu bukan ada duit kalau nak upah bomoh menghantar guna-guna pada Johari...” Tingkah Mak Tipah, tidak percaya. Sebenarnya Mak Tipah tiada halangan andai Nurseha disatukan dengan Johari jika Zawani bersetuju. Sudah berkali-kali Johari menyatakan hasrat mahu menyunting Nurseha sebelum ini.
“Kenapa dia nak guna khidmat bomoh kalau boleh dibuat sendiri? Kak Nab ibu Nurseha bukankah berketurunan Siam. Tentu ibunya yang mengajar Nurseha, mak.” Zawani menyampaikan apa yang pernah disampaikan oleh ibunya, Mak Timah kepada ibu mentuanya.
“Eh kamu ni Ani... tak baik menuduh semua orang berketurunan Siam begitu, ramai saja yang baik-baik. Kalau Zainab tu yang ada ilmu hitam, kenapa dia tak mencari lelaki kaya selepas kematian suaminya arwah Latif? Tak perlulah dia bersusah payah bekerja di kebun sayur...” Belum habis Mak Tipah bercakap, kata-katanya dipotong oleh Zawani.
“Kenapa mak seperti menyebelahi Nurseha? Mak suka ya Nurseha jadi menantu keluarga ni? Mak suka Abang Jo kahwin dua? Abang Jo takkan mampu berlaku adil mak. Ani lebih kenal perangai luar dalam anak kesayangan mak tu. Kalau mak dan abah nak nikahkan mereka berdua, Ani akan gugurkan anak ni!!” Zawani menjerit marah lalu memukul-mukul perutnya sendiri. Dia sudah tidak peduli lagi dengan anak di dalam kandungannya itu.
“Astaghfirullahalazim...Ani, jangan nak... mak tak bermaksud begitu!!” Mak Tipah berasa serba salah.
“Ani!!” Tok Ghani turut menjerit terkejut.
“Baik Ani, nanti kita pergi berjumpa bomoh Siti. Sudah, anak di dalam perut kau tu tak bersalah. Jangan digugurkan!!” Sebaik mendengar kata-kata Tok Ghani barulah Zawani berhenti memukul perutnya sendiri. Matanya sudah bengkak kemerahan kerana kerap menangis mengenangkan Johari. Nafasnya turun naik, mengah kerana menahan marah. Zawani berdiri mahu masuk ke dalam bilik, tiba-tiba pandangan matanya menjadi hitam sebelum dia rebah kerana pitam.
Johari masih tidak pulang. Zawani mula berfikir yang bukan-bukan. Tentu Johari sudah melarikan diri bersama Nurseha. Mungkin ke sempadan Siam yang tidak sampai 30 kilometer jaraknya dari kampung mereka untuk bernikah.
Dia memerhati ke luar, melihat jalan raya bertar berharap kereta kancil yang dipandu ibunya segera tiba. Dia mahu Mak Timah membawa dia dan mentuanya ke rumah bomoh Siti. Lega rasa dapat meyakinkan mentuanya agar bersetuju mengubat Johari yang sudah mabuk dengan cinta Nurseha. Zawani juga sudah menelefon bomoh Siti untuk mengubat dirinya juga.
“Ani, makanlah dulu sarapan. Ni mak masakkan kamu sira ubi rebus yang kamu teringin nak makan tu.” Mak Tipah memanggil Zawani.
“Ani tak ada seleralah mak. Nanti selepas balik dari rumah bomoh Siti, Ani makan ya...”
“Janganlah diikutkan sangat Ani. Kamu kena makan, kamu tu mengandung...” Kata-kata Mak Tipah tidak diendah, Zawani masih tekun menghadap telefon sambil sesekali matanya melirik ke halaman rumah. Mak Tipah melepaskan keluhan panjang sambil memandang Zawani sebelum masuk ke biliknya untuk bersiap.
Tok Ghani yang duduk termenung di bilik yang dikhaskan sebagai ruang kerjanya terkejut sebaik memandang Tok Sendeng yang sedang berdiri di sudut berhampiran tingkap.
“Aku datang mahu menuntut janjimu kepada Sali Raya. Nampaknya kau sudah gagal Ghani...” Tok Sendeng mara ke hadapan membuatkan tubuh Tok Ghani menggigil ketakutan.
“Berilah aku sedikit masa lagi...” Tok Ghani merayu ketika kuku tajam dan hitam milik Tok Sendeng menyentuh lehernya.
“Engkau seorang yang lemah. Hatimu tidak cukup hitamnya, mujur Johari tidak seperti engkau. Bagaimana kalau kau korbankan cucu sulungmu? Sali Raya sudah lama tidak menjamah tulang belulang bayi. Jika cucumu yang di dalam perut itu lelaki, nampaknya hutangmu sudah berkurangan. Mungkin nyawamu juga boleh terselamat.” Senyum Tok Sendeng membuat Tok Ghani berasa kecut.
“Jangan apa-apakan cucuku...” Rayu Tok Ghani.
“Kalau begitu aku harus mencabut nyawamu....”
“Jangan!!” Tok Ghani merayu dan tunduk melutut di kaki Tok Sendeng. Dicium kedua-dua kaki lelaki di hadapannya. Matanya dipejam rapat sambil menangis. Apabila matanya dibuka, tubuh Tok Sendeng telah berubah menjadi makhluk bertubuh hitam berotot tegap dan bertanduk dua. Matanya hitam pekat berkilat.
“Cucumu lelaki, Ghani. Berikan ia kepadaku... aku mahukan hak aku seperti janjimu.” Mulut makhluk itu tidak bergerak, hanya suaranya saja berbisik garau di telinga Tok Ghani.
Tok Ghani merasa sesuatu yang hangat keluar dari celah kangkangnya. Ketakutan membuat dia terkencing tanpa dia sedari.
Tiba-tiba ada dua makhluk aneh yang buta dan tempang entah datang dari mana, meluru ke kaki Tok Ghani. Keduanya duduk di celah kangkang Tok Ghani sambil berebut mahu bermandikan air kencing.
“Hahaha.... lihatlah keadaanmu, sungguh mendukacitakan, kau kelihatan bodoh sekali. Hanya air senimu saja yang berguna untuk dimandikan kepada cucu cicitku yang cedera.” Sali Raya tertawa.
Kedua makhluk aneh yang cacat anggota kembali menjadi sempurna dan hilang dari pandangan.
“Bersedialah Ghani... aku mahu cucumu.... cucumu....” Sali Raya sudah hilang di dalam kepulan asap hitam. Kukunya yang tajam sempat ditoreh ke dada Tok Ghani sebagai amaran.
“Bang... cepatlah siap. Timah dah datang tu nak bawa kita ke rumah bomoh Siti....” Suara Mak Tipah kedengaran dari luar pintu bilik yang berkunci. Tok Ghani menggigil bangun dari lantai dan menukar pakaian. Dadanya yang ditoreh oleh Sali Raya terasa pedih. Walau lukanya tidak kelihatan, namun sakitnya terasa sehingga ke jantung.
“Kenapa Tok Sendeng tiba-tiba menyebut nama Johari?” Hati Tok Ghani kian berdebar.
Dia menerpa ke laci mejanya yang berkunci, mencari peti yang berisi sebilah keris. Sudah lama keris itu tidak diberi makan. Sebaik dibuka peti yang disorokkan sejak berpuluh tahun yang lalu, wajahnya menjadi pucat apabila keris berkenaan tiada di tempatnya.
“Tak mungkin hilang atau dicuri orang.” Desis hati Tok Ghani.
Zawani, Mak Timah, Mak Tipah dan Tok Ghani duduk menghadap bomoh Siti yang tunduk merenung air di dalam mangkuk jeluk berwarna putih. Mulutnya terkumat kamit sambil menghiris sebiji limau nipis yang dimasukkan ke dalam mangkuk tersebut.
Bomoh Siti memasuk dan memusing jari telunjuknya ke dalam mangkuk sebelum meniup perlahan. Kepalanya diangkat dan dipandang wajah-wajah di hadapannya.
“Berat masalah awak ni. Tinggi ilmu perempuan penggoda suami awak tu.” Katanya sambil memandang Zawani yang tercebik-cebik bibirnya, menahan diri dari menangis.
“Dah diapakan anak saya, bomoh Siti?” Tanya Mak Tipah penuh rasa ingin tahu. Tok Ghani juga turut memberi perhatian dengan setiap apa yang bomoh Siti katakan.
“Dia dah makan benda kotor yang perempuan ni beri. Saya nampak suami awak sedang minum kopi di sebuah warung. Itulah puncanya dia tergila-gilakan perempuan tu.” Bomoh Siti bersuara yakin.
“Boleh ke ubatkan menantu saya tu?” Tanya Mak Timah pula.
“Boleh... boleh... tapi ada pengerasnya.” Jawab bomoh Siti.
“Berapa?” Tanya Tok Ghani. Bomoh Siti memejam mata, kepalanya dihayun ke kanan dan kiri, matanya terbeliak ke atas. Aksinya seperti sedang menurun. Kemudian, dia menarik 3 helai daun terup yang dipilih secara rawak dari susunan yang telah tersedia di atas sebuah dulang tembaga beralas kain kuning. Dia merenung daun terup tersebut.
“RM 899.99 sen.” Bomoh Siti memandang tepat ke wajah Tok Ghani yang terpinga-pinga.
“Tak boleh kurang lagi?” Tanya Tok Ghani cuba menawar. Soalannya membuatkan Mak Tipah menyenggol keras lengan suaminya itu.
Tok Ghani yang berwajah kelat terpaksa mengangguk setuju dan mengeluarkan wang dari beg pinggangnya untuk dikira, sebelum diberi kepada bomoh Siti yang menjeling tajam. Dalam hati Tok Ghani berasa sebal terpaksa membayar pengeras yang tinggi harganya.
“Tak guna punya Johari, kau balik nanti siaplah. Aku potong gaji kau!!” Tok Ghani menggerutu di dalam hati.
“Selepas ini berikan wang berjumlah RM1.70 kepada 7 rumah anak yatim ya. Tak kisah rumah anak yatim mana. Jangan lebih atau kurang. RM1.70 saja.” Pesan bomoh Siti lagi, kali ini memandang Zawani.
“Ini gula, garam dan tepung yang telah dibacakan ayat-ayat jampi untuk suami awak. Beri dia makan.” Bomoh Siti meletakkan plastik berisi barang dapur berkenaan di hadapan Zawani.
“Dia tak mahu makan kalau saya yang masak. Beri pada mak mentua saya. Suami saya hampir setiap hari balik makan di rumah ibunya.” Zawani meletakkan beg plastik tersebut di hadapan Mak Tipah yang mengiyakan.
“Mari masuk ke bilik. Saya ada sesuatu nak beri kepada awak. Yang lain tunggu sebentar di sini.” Bomoh Siti menggamit Zawani. Cepat-cepat Zawani bangun mengikut perintah bomoh Siti.
“Bagaimana, boleh tak pasangkan susuk untuk saya?” Zawani berbisik. Bomoh Siti mengangguk bererti setuju.
“Baring...baring...” Arah bomoh Siti.
Tidak sampai 15 minit, proses pemasangan tujuh susuk emas telah siap dimasukkan ke dalam tubuh Zawani. Dia tidak perlu membayar apa-apa, kerana semuanya sudah dibayar oleh Tok Ghani tadi.
“Ingat pantang larangnya.” Pesan bomoh Siti dan disambut dengan senyuman manis Zawani. Dia tidak sabar mahu menundukkan suaminya, Johari yang liar.
••
Johari membuka mata, tubuhnya berasa nyeri di semua bahagian badan. Tak sangka dia masih hidup dan bernafas lagi di dunia ini. Dia memerhati persekitarannya, di mana dia berada sekarang? Fikirnya.
“Nurseha...” Bibir Johari menyebut nama Nurseha. Dia ingin bangun namun belakang tubuhnya sangat sakit seperti direnjat arus elektrik.
“Arghh...arghhh!!!” Johari terjerit sambil menggelupur ke kiri kanan.
“Kau sudah sedar?” Tok Sendeng menaiki pondok buluh yang menempatkan Johari.
“Nurseha...” Johari menyebut nama Nurseha sambil air matanya mengalir. Tentu Nurseha sudah mati, fikirnya.
“Gadis yang kau mahukan itu masih hidup. Tetapi disebabkan kebodohan kau, dia sudah dibawa pergi oleh si siluman mawas.” Tok Sendeng membalikkan tubuh Johari secara paksa membuat Johari terpekik sakit.
“Tahankan.” Tok Sendeng bersuara. Serentak itu, jarinya menekan kuat tulang di tengah pinggang Johari.
“Krapp!!”
“Arghhhhhhh!!!” Jeritan Johari bergema di puncak Butnak.
“Duduk. Kau sudah pulih.” Arah Tok Sendeng. Johari bergerak perlahan-lahan, tubuhnya agak kaku namun dipaksa agar bangun. Dia hanya diam menahan kesakitan yang membuat air mata jantannya jatuh. Dahinya berkeringat.
“Hehe...” Tok Sendeng tertawa.
“Bangun Johari, selepas ini pergi mandi di kolam sana. Ini semua berlaku kerana kau melanggar pesanku. Jika minyak pengasih yang dikenakan kepada gadis yang kau sukai itu sudah ditawar, dia akan membenci kau seumur hidupnya.” Tok Sendeng bersuara.
“Aku yang gelojoh, aku tak tahan dengan godaannya.” Johari mengakui salah dirinya sendiri. Sepatutnya dia harus membawa Nurseha naik ke puncak Butnak malam semalam.
“Dia tidak menggoda engkau, hanya kau yang gagal menahan nafsu. Kau sudah kehilangan dia...”
“Tidak. Aku mahu Nurseha!!” Johari bersuara keras diikuti ketawa Tok Sendeng.
“Kau boleh ambil dia sendiri di rumah si mawas.” Tok Sendeng tersenyum sinis.
“Mawas? Di mana?” Tanya Johari, wajahnya membayangkan rasa terkejut. Sudah dua kali rancangannya digagalkan oleh monyet besar berkenaan.
“Rumah besar di kaki Butnak.” Jawapan Tok Sendeng mengejutkan Johari. Itu rumah budak bandar yang baru berpindah ke Kampung Jelai Paya. Nampak gaya lawannya bukan calang-calang. Dahi Johari berkerut, budak bandar itu terlalu muda. Penuhkah ilmu di dadanya untuk menjadi siluman?
••
Samiri memerhati Nurseha yang sedang tidur lena. Badannya mengerekot seperti udang, barangkali kesejukan. Dia mahu mengembalikan Nurseha ke warung tempat gadis itu bekerja di tepi jeti.
Tubuh Nurseha diangkat bersama gulungan selimut. Seketika kemudian dia meletakkan kembali Nurseha ke atas katil. Tidak sampai hati apabila memandang wajah Nurseha yang polos. Akhirnya dia berlalu dari kamar tamu dan bersedia untuk keluar dari rumah. Subuh kian menjelang, dia perlu mandi embun dan bersenam pagi seperti rutin kebiasaannya.
Matahari pagi sudah terbit menyebarkan cahaya. Samiri melangkah berhati-hati di tepi sempadan tanahnya sambil memerhati para pekerja yang sedang menebas lalang dan memotong pohon-pohon besar. Dia akan membuka sebahagian lagi kawasan tanahnya untuk dijadikan trek Anding berjoging. Esok pekerjanya dari kota akan datang membawa juru lanskap bertauliah yang diupah untuk mereka bentuk lanskap yang sesuai. Sebelum itu, jalan masuk ke rumahnya juga akan dibina, ditar dan dipasang lampu limpah.
Samiri mendiamkan diri. Ada bunyi daun bergesek tidak jauh dari tempat dia berdiri. Bukan kerana geseran angin, tapi seperti disentuh sesuatu. Samiri berjalan perlahan ke arah bunyi yang didengari. Ada bahang panas yang dirasakan berhampirannya.
“Ada apa?” Samiri bertanya sambil menoleh ke kiri. Kelihatan seorang lelaki tua berdiri di balik pohon sedang tersenyum memandangnya. Samiri berjalan mendatangi lelaki tersebut.
“Apa khabar Raja Mawas?” Sapa lelaki tua tersebut. Samiri menghela nafas, kehadirannya di Kampung Jelai Paya rupanya telah disedari oleh si tua Sendeng.” Pertanyaan lelaki tua berkenaan tidak dijawab.
“Aku tidak berniat jahat. Kedatanganku hanya meminta jasa baikmu untuk memulangkan gadis yang ada di dalam rumahmu itu agar kembali kepada cicitku.” Tok Sendeng menjelaskan perihal kedatangannya.
“Cicitmu hampir melakukan perkara yang tidak baik di tanah sempadanku. Gadis itu telah disihir. Aku akan pulangkan dia kembali kepada keluarganya.” Kata-kata Samiri disambut dengan senyuman Tok Sendeng.
“Aku meminta kepadamu dengan baik. Cicitku dilamun cinta, dia tidak akan mempersiakan gadis itu walaupun caranya untuk mendapatkan gadis itu ialah melalui sihir. Cicitku akan memulangkan gadis itu kepada keluarganya dan akan dijadikan isteri. Kau tidak perlu bersusah-susah.” Tok Sendeng cuba berunding
“Anak terunaku hampir diculik kelmarin oleh jin suruhanmu.” Samiri mengubah topik perbualan. Wajahnya merah dan panas ketika berbicara tentang Anding yang hampir dilarikan selepas keretanya terbabas merempuh pohon.
“Itu tidak akan terjadi lagi. Akan aku khabarkan kepada setiap jin suruhanku agar tidak mengganggu kau dan keluargamu. Aku juga tertanya-tanya, apa tujuan kedatanganmu ke sini? Tempat ini sudah ada penjaganya.” Senyuman Tok Sendeng yang sinis membakar perasaan Samiri.
“Aku tahu kau sudah menguasai seluruh kawasan ini beratus tahun lamanya. Ini tempat asalku dan tujuanku berpindah ke sini hanya kerana ingin pulang ke tempat aku dilahirkan. Berkenaan gadis itu, aku hanya akan kembalikan sekiranya dia mahu kepada cicitmu. Bawa pulang jin suruhanmu di luar pagar rumahku sebelum aku musnahkan.” Sebaik Samiri menghadap tepat ke arahnya, Tok Sendeng pantas menghilangkan diri dalam kepulan asap kelabu.
Samiri meneruskan langkah memasuki rumahnya diekori oleh Sakti. Sebaik memberi Sakti makan, dia masuk ke dalam rumah. Nafasnya terhenti melihat Nurseha berdiri tegak di ruang tamu dengan wajah bingung.
“Bani!” Laung Samiri.
“Bani!!!” Samiri memanggil lagi. Kali ini lebih kuat. Namun Bani tetap tidak memunculkan diri.
“Ke mana saja perginya...” Samiri merungut dan berjalan ke arah Nurseha yang berselubung selimut tebal.
Nurseha menatap Samiri, cuba bersuara namun seakan tidak mampu bertutur. Hanya air matanya yang mengalir.
“Jangan menangis. Nanti aku hantar kau pulang. Kau mahu minum? Makan?” Tanya Samiri. Nurseha tidak menjawab, hanya esakannya yang kuat memenuhi ruang.
“Johari...” Sebut Nurseha tiba-tiba. Dia berhenti menangis dan berjalan ke pintu keluar.
“Eh nanti. Kau mahu ke mana?” Tanya Samiri sambil mengejar Nurseha yang cuba membuka pintu yang berkunci.
“Aku mahu bertemu Johari....” Jawab Nurseha.
“Siapa Johari?” Pertanyaan Samiri tidak dijawab. Nurseha menoleh ke belakang, membuka selimutnya dan berlari keluar mengikut pintu dapur tetapi sempat dipintas Samiri.
“Jangan keluar. Masuk!!” Tengking Samiri.
Seakan tidak mendengar nada suara Samiri yang keras, Nurseha sebaliknya tersenyum gembira ketika matanya melihat ke arah hutan di belakang rumah.
“Johari!!” Jeritnya cuba berlari menuju ke arah hutan namun Samiri lebih pantas menangkap tubuh Nurseha lalu didukung masuk ke dalam rumah. Nurseha yang meronta-ronta didudukkan di sofa.
“Aku mahu pulang! Pulang!!!” Jerit Nurseha. Suaranya menjadi garau, matanya terbeliak. Samiri memegang pipi Nurseha dan menatap ke matanya.
“Pulang ke mana?” Tanya Samiri, dia mula faham apa yang sebenarnya berlaku kepada Nurseha. Ada jin di dalam badannya yang mahu membawa Nurseha pergi.
“Atass...atassssss” Jawab Nurseha. Mata hitamnya hilang semua. Dia menolak Samiri sehingga jatuh. Tubuhnya meliuk lentuk kemudian menjalar di lantai, seperti ular.
“Atas mana? Bukankah rumahmu di kampung sana?” Samiri cuba mempermainkan jin di dalam tubuh Nurseha. Kaki Nurseha ditarik, jemari Samiri memicit lembut ibu jari kaki Nurseha.
“Sakit... Sakit... Lepaskan aku raja mawas. Jangan tarik ekorku!!” Nurseha terjerit-jerit dan meronta. Jeritannya bertukar menjadi tangisan.
“Bukk!!!!” Kaki Nurseha pantas menendang muka Samiri, membuat Samiri menjadi marah.
“Kau mahu main kasar? Hei, siapa yang menghantar kau?” Tanya Samiri, dipicit ibu jari kaki Nurseha dengan lebih kuat sambil mulutnya terkumat kamit membaca mantera. Tangan kanannya menepuk lantai.
“Arghhhh!!” Tubuh Nurseha terkejang, mulutnya ternganga.
“Kau tak mahu beritahu? Baik....” Samiri menekap tapak tangannya ke pusat Nurseha yang terdedah dan tersenyum. Dia menarik keluar sesuatu yang tidak kelihatan dengan mata kasar.
Tangannya yang berkeadaan menggenggam dibuka lalu dikisar kedua tapak tangannya diikuti dengan jeritan dan lolongan yang kuat.
“Mampus kau!!” Samiri bersuara puas. Jin di dalam badan Nurseha sudah dibunuh.
Tubuh Nurseha diperhati betul-betul, Samiri cuba mencari jika ada makhluk halus yang lain, yang masih duduk menetap di dalam tubuh Nurseha. Apabila matanya terpandang dada Nurseha yang berombak, serta merta dia mengalihkan pandangannya.
“Dia cantik juga.” Suara Bani yang entah dari mana datangnya mengejutkan Samiri.
“Kau ke mana? Mengapa kau tinggalkan dia sendiri? Tadi dia hampir melarikan diri ke hutan.” Dahi Samiri berkerut. Selimut tebal yang tadi dilepaskan oleh Nurseha diambil dan ditutup tubuh Nurseha yang terdedah. Samiri mengangkatnya masuk ke kamar tamu.
“Aku mengutip umbut kelapa. Kau sudah lama tidak makan umbut kelapa kan? Nanti aku masakkan untuk makan tengaharimu.” Bani tersenyum, tahu salahnya kerana meninggalkan Nurseha.
“Perhatikan dia. Sebaik dia bangun, suruh dia mandi. Ambil pakaianku untuk dia pakai. Beri dia makan dan minum secukupnya. Perutnya kosong, aku tidak tahu berapa lama dia tidak makan. Tubuhnya sangat lemah.” Arah Samiri sebelum melangkah naik ke kamarnya.
Samiri memejamkan matanya. Dibiarkan air di pancuran membasahi kepala dan tubuhnya. Kenangan 30 tahun lalu menerpa di ingatan. Wajah adik lelakinya, Anding bermain di ruang mata.
“Aku akan membalasnya untukmu, Anding. Kau berehatlah di sana, walau aku terpaksa ke neraka. Akan aku bawa seluruh keturunan Sendeng si pengikut iblis Sali Raya.” Bibirnya mendesis, kesumatnya yang sudah lama dipendam kian menjadi barah. Hatinya sakit mengenang adiknya yang menjadi korban keturunan Sendeng.
Share this novel