Nurseha mengatur barisan kuih muih untuk jualan yang beraneka jenis di atas meja. Sebentar lagi jam 7 pagi, warung Cik Siah akan mula beroperasi untuk menyambut kedatangan pelanggan.
Warung kecil yang terletak berhampiran jeti Sungai Seling di Kampung Jelai Paya sering menjadi tempat penduduk kampung untuk membeli dan menikmati sarapan pagi dan makan tengahari.
Tahun ini sudah masuk tahun ke empat Nurseha bekerja di warung tersebut sebagai pembantu Cik Siah. Sejak bekerja dengan Cik Siah, banyak ilmu dapur yang dapat dipelajarinya terutama sekali ilmu memasak aneka macam kuih muih dan makanan.
Gajinya kecil namun Nurseha masih setia di warung tersebut kerana dia harus membantu ibunya selepas kematian bapa. Apatah lagi Cik Siah melayannya dengan baik seperti anak sendiri. Tempat kerjanya juga tidak jauh dari rumah, hanya kira-kira 20 minit berjalan kaki, sudah sampai. Kadangkala Nurseha berbasikal itupun jika adik ketiganya Fatehah mahu meminjamkan basikalnya. Selalunya di hari Sabtu kerana Fatehah tidak bersekolah pada hari tersebut.
“Dah sedia semuanya Seha? Sudah jam 7.” Cik Siah bertanya.
“Sudah Cik Siah...” sahut Nurseha. Dari jauh kelihatan seorang lelaki bermotosikal tersenyum-senyum saat ternampak kelibat Nurseha.
Bangga Abidin menjadi pelanggan pertama yang tiba di warung Cik Siah. Dikerling jam di pergelangan tangannya, 7.01 minit. Dari malam tadi tekaknya sudah terasa-rasa kelazatan nasi minyak gulai itik serati air tangan Cik Siah janda. Diregu pula dengan secawan kopi O buatan anak dara manis igauan pemuda kampung, Nurseha.
“Abang Bidin nak makan apa? Minum?”
Tanya Nurseha sebaik Abidin memilih tempat duduknya di meja pertama. Meja rasminya bersidang dengan teman-temannya yang lain, yang masih belum menunjukkan muka.
“Macam biasalah Seha. Cantik sungguh Seha hari ni...”
Abidin memandang Nurseha atas bawah. Geram melihat si gadis yang menjeling tidak suka apabila digiat begitu. Tersengih-sengih Abidin, dia memang tak malu menunjukkan rasa miangnya. Matanya memerhati tubuh Nurseha yang dibaluti baju kurung teluk belanga. Abidin menelan liur, bukan haus tetapi melayan fantasi apa yang ada disebalik pakaian Nurseha.
Nurseha malas mahu melayan. Dia diam saja saat mendengar pujian Abidin. Tahu sangat dengan perangai gatal lelaki yang sudah beranak 3 itu. Selagi boleh bersabar, dia cuba bersabar. Lagipun Abidin pelanggan tetap di warung Cik Siah, tak berani Nurseha mahu meninggikan suaranya.
Seketika kemudian, warung Cik Siah dipenuhi pelanggan-pelanggan lain yang mahu bersarapan. Meja Abidin sudah dipenuhi teman-teman sekampung yang lain. Masing-masing ada yang baru pulang dari menghantar anak ke sekolah. Ada yang baru pulang dari surau dan ada yang singgah sebelum ke kebun.
“Seha buatkan abang teh tarik gelas besar, sayang...”
Kuat suara Johari memesan hidangan. Sengaja dipanggil Nurseha sebagai sebagai sayang, biar seisi warung mendengar. Berderai tawa rakan-rakan semejanya yang lain. Entah apa yang kelakar.
“Tak tahu hormat perempuan, kurang ajar!” Gerutu Nurseha di dalam hati. Wajahnya merah menahan malu dan marah. Dia tak suka diusik atau dipanggil dengan panggilan begitu.
“Sudah Seha... biar Cik Siah hantarkan...” Pantas Cik Siah mengambil dulang berisi gelas-gelas minuman yang sudah siap sedia untuk dihantar kepada Johari dan rakan-rakannya.
“Kau Johari... dengar dek Ani, tak cukup tanah kau berlari nanti!!” Sergah Cik Siah menggeleng kepala, kalau si Ani tahu suaminya gatal begini tentu dia malu besar.
“Ala Cik Siah, bagi can lah sikit... kenapa Cik Siah yang hantar? Kan saya panggil Seha...” Johari menoleh-noleh ke ruangan membancuh minuman. Kelihatan Nurseha sibuk membuat air yang dipesan oleh pelanggan yang lain.
“Seha sibuk. Kau nak minum ke tak ni?” Cik Siah bertanya garang.
“Yelah...yelah... lain kali biar Seha yang hantarkan air saya ya Cik Siah. Barulah berselera saya makan di sini.” Johari memanjang leher mahu menatap wajah manis Nurseha. Cik Siah menjuih bibir.
Suasana warung yang hingar bingar dengan gelak tawa Johari, Abidin dan yang lain tiba-tiba senyap apabila sebuah kereta mewah berwarna hitam berkilat berhenti di hadapan warung. Seketika kemudian, seorang pemuda yang berpakaian kemeja lengan panjang keluar dari pintu bahagian pemandu. Orang luar barangkali, tak pernah dilihat di kampung itu atau kampung sebelah.
Pemuda itu melemparkan senyuman kepada Cik Siah sebelum memilih untuk duduk di kerusi yang berhampiran.
“Encik nak minum apa?” Cik Siah ramah mengambil pesanan.
“Saya mahu kopi o panas dan roti bakar 1 set.” Cik Siah mengangguk dan kembali ke ruang dapur. Seketika kemudian, Cik Siah datang semula menghantar hidangan roti bakar yang dipesan.
“Cik...tahu tak di mana rumah Ketua Kampung, Tok Ghani?” Pertanyaan pemuda itu menghentikan langkah Cik Siah. Mereka yang lain di dalam warung turut sama memasang telinga.
“Oh, senang saja. Nanti jalan terus menghala ke baruh. Belok di simpang pertama sebelah kanan. Rumah Tok Ghani nombor lima di bahagian kiri. Rumah warna hijau, ada namanya di peti surat.” Cik Siah menjeling Johari yang selamba saja wajahnya, sedangkan dia tahu dan dengar yang pemuda itu mencari rumah bapanya, Tok Ghani.
“Terima kasih Cik... dekat saja rupanya.” Pemuda yang kacak bergaya itu tersenyum apabila air kopi o nya dihantar oleh Nurseha yang hanya menunduk. Johari mencebik bibir, terasa panas wajahnya menahan rasa cemburu. Mahu pula Nurseha menghantar pesanan air untuk lelaki asing itu. Mentang-mentanglah lelaki itu berkereta besar, fikirnya.
Pemuda asing itu menghabiskan makanan dengan cepat, ada perkara yang dia perlu lunaskan segera.
“Berapa cik? Kirakan sekali untuk mereka yang sedang makan di dalam warung ni. Saya belanja.”
“Oh, nak bayarkan semuanya? Hmmm... 55 ringgit 30 sen. 55 sudahlah.” Cik Siah memberi diskaun. Pemuda itu mengeluarkan dompetnya dan membawa keluar wang 100 ringgit.
“Bakinya untuk acik dan cik adik manis tu...terima kasih.” Matanya melirik kepada Nurseha, lalu dia bergegas keluar meninggalkan Cik Siah dan Nurseha terpinga-pinga.
“Eh... banyak sangat ni...” Belum sempat Cik Siah mengejar, pemuda itu sudah menghidupkan enjin kereta dan berlalu pergi.
••
Tok Ghani menggenyeh mata tuanya. Memang dia rabun dekat namun penglihatan jarak jauhnya masih baik dan normal, buktinya dia masih boleh membidik ayam hutan, napuh dan babi hutan dengan senapang patahnya.
Tubuh Tok Ghani menggeletar, susuk tubuh di hadapannya itu adalah Tok Sendeng. Dia tidak bermimpi. Tiba-tiba saja Tok Sendeng berdiri di sudut bilik, dari mana dia masuk? Tak mungkin dari pintu bilik yang terkunci dari dalam. Tok Sendeng hanya muncul jika ada perkara penting. Tak diketahui mana tempat tinggalnya.
Tok Sendeng hanya diam memandang Tok Ghani dengan riak wajah marah tanpa memberitahu hajat kedatangannya. Tok Ghani serta merta tahu maksud pandangan Tok Sendeng. Kepalanya tergeleng-geleng sambil tubuhnya terduduk ke bawah.
“Tok Sendeng, aku mohon pertolonganmu. Kasihanlah kepada anak cucu kami penduduk kampung ini...” Tok Ghani bersuara merayu. Suaranya gementar melihat wajah Tok Sendeng yang serius.
“Bapa dan keturunan atasmu sudah menandatangani gadai janji dengan Sali Raya. Setiap 10 tahun, seorang teruna harus dipersembahkan kepadanya. Bukankah kau sudah sedia maklum? Sudah hampir 30 tahun kau berkuasa di tempat ini menggantikan bapamu, namun belum ada seorang teruna yang kau persembahkan, sedangkan hartamu semakin bertambah. Sali Raya sudah sabar menunggu selama 30 tahun, kau fikir kali ini dia mahu memberi tangguh?” garau suara Tok Sendeng menggertak Tok Ghani yang ketakutan.
“Aku beri kau masa 3 bulan untuk kau tebus gadaianmu. Sebulan seorang teruna. Bawa hidup-hidup ke puncak Gunung Butnak di waktu bulan penuh, kalau kau mahu peti simpanan wang milikmu terus berisi. Sali Raya sudah jemu mendengar rayuanmu. Perjanjian yang dimateri dengan darah, harus dibayar dengan darah jika dimungkiri...” Tok Sendeng berpaling lalu bayangnya menghilang seperti angin. Hanya tingkap kayu yang terbuka sendiri dengan luas.
Tok Ghani memicit kepalanya yang berdenyut. Ramai penduduk kampung yang mengadu hasil tanaman mereka kurang menjadi sejak beberapa tahun ini. Golongan nelayan juga sama mengadu kurangnya hasil tangkapan. Kalau setakat pemujaan memberi makanan biasa, buah-buahan, pulut kuning atau ayam panggang, dia dengan senang hati sanggup menghanyutkan sendiri ancak ke sungai. Tapi yang diminta setiap 10 tahun sekali ini agak sukar ditunaikan. Lebih-lebih lagi di zaman moden begini. Siapa yang rela anak teruna mereka dijadikan korban kepada jembalang hutan?
“Tok...tok...tok...”
Tok Ghani terkejut, siapa pula yang datang pagi-pagi begini? Dia keluar dari bilik yang dikhaskan untuk dirinya sendiri. Tidak ada sesiapa yang diberi kebenaran masuk ke bilik tersebut yang penuh dengan peti simpanan wang dan pelbagai dokumen berharga. Dia tercari-cari isterinya Mak Tipah. Namun tiada kelibatnya. Barangkali Mak Tipah sudah keluar ke pasar.
“Ya... cari siapa?” Tok Ghani melaung dari dalam rumah. Pelik, pintu diketuk namun tidak diberi salam.
“Tok Ghani” Sahut suara di luar. Tok Ghani mengerutkan dahi lalu dibuka sendal pintu rumah.
“Tok Ghani ke?” Seorang pemuda berkulit cerah berpakaian kemas dengan kemeja lengan panjang bertanya. Ibu jarinya menunjuk kepada Tok Ghani.
“Ya, saya... Ada apa hajat?” Tanya Tok Ghani semula.
“Nama saya Anding. Saya hendak maklumkan kepada Tok Ghani bagi pihak majikan saya yang akan berpindah ke rumah di hujung kampung ini, yang baru siap dibina.” Pemuda itu terus ke pokok utama tujuannya mencari Tok Ghani.
Tok Ghani menganggukkan kepala. Rumah di hujung kampung yang baru siap itu khabarnya besar seperti mahligai. Temboknya juga tinggi sehingga tidak ada sesiapa yang boleh menjengah dari luar. Rumah itu dibina jauh ke dalam hutan yang bersempadan dengan Gunung Butnak. Lokasinya yang jauh dari jalan utama tidak dapat dimasuki dengan kenderaan biasa. Hanya kenderaan pacuan 4 roda yang boleh melaluinya.
“Oh, majikan Encik Anding ni sudah pencen ya? Yelah, selalunya yang mahu buat rumah dan tinggal di kampung begini hanya mereka yang sudah pencen...” Tok Ghani tersengih.
“Mari masuk Encik...” Pelawa Tok Ghani. Anding hanya tersenyum dan mengangguk, tidak menjawab soalan Tok Ghani.
“Bila majikan Encik Anding bercadang nak berpindah ke sini?” Tanya Tok Ghani sambil menyerahkan sehelai borang untuk diisi oleh kariah kampung.
Tok Ghani tertunggu kalau-kalau terbit pelawaan dari mulut Anding untuk mengajak datang bertandang ke rumah majikannya. Namun tidak dipelawa pula.
“Esok.” Anding menjawab sepatah.
Tok Ghani mengangguk-angguk sambil mengusap janggut sejemputnya. Matanya sempat menjeling borang yang siap diisi oleh Anding, melihat ruangan pekerjaan. Oh, ahli perniagaan rupanya.
“Tuan Samiri ada sedikit sumbangan untuk tabung kariah. Nilainya tak seberapa, beliau juga berpesan jika ada apa-apa yang boleh beliau tolong, beritahu saja” Anding menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan gumpalan wang berikat getah.
“Ini 5 ribu ringgit. Ambillah sebagai tanda terima kasih dari Tuan Samiri kerana diterima sebagai salah seorang penduduk kampung ini.” Bulat mata Tok Ghani. Majikan pemuda di hadapannya ini benar-benar pemurah.
••
“Berapa semua jumlah yang perlu dibayar Ina?” Tanya Zainab. Senyumnya lebar sambil menatap anak kesayangannya, Salina yang berjaya menyambung pelajaran di salah sebuah universiti awam. Hilang penatnya bekerja di kebun sayur Ah Tong apabila mendengar berita gembira tentang kejayaan Salina.
“Yuran 3150, asrama 1500. Semua 4650 mak.” Salina bersuara riang.
Zainab terdiam. Mahal juga yurannya. Kepalanya mula mencongak-congak jumlah duit simpanan di Tabung Haji serta sedikit duit simpanan kecemasan yang disimpan di bawah bantalnya.
“Hmmm... pakaian dan kelengkapan lain belum dibeli lagi. Lebih kurang lima ribu juga mak.” Salina menyambung pengiraannya.
Zainab mengerutkan dahi mendengar jumlah kos yang disebut Salina.
“Baju bawa apa yang ada sajalah. Nanti mak jahitkan kamu baju kurung 3 pasang.” Zainab membuka tudung yang dipakai dan menarik kerusi. Bau ikan kering yang digoreng Nurseha membuat perutnya lapar.
Salina menarik muka. “Ala mak... takkanlah asyik pakai baju kurung saja. Ina teringin nak pakai seluar jeans dan blouse juga macam budak perempuan lain.” Salina menjuih bibirnya, seakan merajuk.
“Nanti mak jahitkan seluar...” belum sempat Zainab menghabiskan kata cepat-cepat Salina mencelah, “Ina nak seluar jeans mak...” Zainab menggeleng kepala. Tak sampai hati mahu menolak keinginan si anak. Kasihan pula dia kepada Salina.
“Yalah. Nanti kita pergi pekan beli barang keperluan kamu...” Zainab mengalah, duit simpanannya belum dikira lagi. Untuk membayar yuran juga tidak cukup tetapi Salina sudah meminta bermacam barangan lain pula.
“Seha... lauk dah siap masak?” Laung Zainab. Tergesa-gesa Nurseha membawa dulang yang berisi lauk makan malam ke meja makan. Ibunya yang baru pulang dari kerja sudah lapar.
“Makan, mak.” Nurseha mempelawa Zainab makan. Disendukkan nasi panas ke pinggan. Lauknya sederhana namun cukup membuka selera ibunya. Ikan kering gelama, sayur petola masak lemak putih, sambal belacan, ulam daun tenggek burung dan telur dadar.
Nurseha menghulur pinggan berisi nasi kepada Salina, namun Salina menggeleng. Dia sudah kenyang makan di rumah kawan baiknya, Farahdiba tadi.
Lauk yang dimasak oleh ibu Farahdiba sedap, ada sotong masak hitam, gulai ayam minang dan udang galah berlado. Menu yang tidak pernah dimasak di rumahnya.
“Akak makanlah temankan mak. Ina dah kenyang makan di rumah kawan tadi.” Salina segera bangun dari kerusi dan melangkah ke bilik. Nurseha mengambil tempat, mahu menemani Zainab makan. Adik-adiknya yang lain masih belum pulang dari sekolah.
“Rasanya tak cukup duit simpanan mak, Seha. Kamu ada duit?” Tanya Zainab, suaranya dibisik perlahan, agar Salina tidak mendengar perbualannya dengan si anak sulung. Nurseha mengangguk teragak-agak.
“Ada sikit mak, dua ke tiga ratus. Nanti Seha kira semula ya.” Nurseha bersuara perlahan.
Duit gajinya bekerja di warung Cik Siah hampir separuh dibuat bayar hutang arwah bapanya. Bukan besar gajinya, sehari 20 ringgit saja. Separuh lagi gajinya diperuntukkan untuk keperluan barang dapur rumah. Bakinya hanya tinggal seringgit dua kadangkala beberapa sen saja yang dapat disimpan. Gaji Zainab pula digunakan untuk membayar bil api, air dan belanja sekolah Salina dan tiga orang lagi adik yang juga masih bersekolah.
“Masih tak cukup tu... Nantilah mak ke rumah Tok Ghani kalau-kalau dia boleh menolong.” Zainab menyuap nasi kemulutnya.
Walaupun hidup mereka sekadar kais pagi makan pagi, namun dia tetap bersyukur masih ada lauk di meja makan. Sebentar nanti dia mahu ke rumah Tok Ghani untuk mengkhabarkan berita kejayaan Salina selain berhajat untuk meminjam wang. Tok Ghani satu-satu harapannya. Wangnya banyak hasil tanah kebun yang berekar-ekar.
Nurseha hanya mengangguk.
Bila mahu susut hutang mereka dengan Tok Ghani? Arwah bapanya hilang di laut bersama bot yang karam. Bot terpakai berkenaan dibeli dengan wang pinjaman dari Tok Ghani. Bukan sedikit hutangnya, 45 ribu. Masih ada berbaki lebih kurang 30 ribu. Kini ibunya mahu meminjam lagi dengan Tok Ghani untuk Salina melanjutkan pelajaran ke universiti pula.
“Mak, kalau Seha nak ikut Mala bekerja kilang di Johor, boleh? Gaji Mala besar mak. 1200 ringgit sebulan, ada bayaran kerja lebih masa juga. Dua kali ganda dari gaji Seha sekarang. Seha boleh bayar hutang Tok Ghani lebih sedikit setiap bulan. Boleh tak mak?” Nurseha memandang ibunya yang rapat menyuap nasi.
“Tak payahlah Seha. Jauh sangat Johor tu. Mak risau nak lepaskan anak jauh-jauh.” Zainab membantah.
“Kalau di Pulau Pinang bagaimana mak? Lebih dekat. Mungkin 2 minggu sekali Seha boleh balik.” Nurseha masih tidak berputus asa memujuk ibunya.
“Kerja sajalah dengan Cik Siah. Kerja di kampung ni saja. Hutang arwah bapa kamu tu bayar sikit-sikit nanti habislah!” Zainab mula meninggi suara.
“Tapi mak benarkan Ina pergi belajar jauh di Kuala Lumpur. Mengapa mak tak boleh izinkan Seha bekerja di negeri lain?” Nurseha bersuara perlahan, menyuarakan rasa hatinya.
“Kamu ni cemburu dengan takdir adik kamu ke? Kamu anak sulung Nurseha. Anak sulung mesti berkorban untuk keluarga, untuk adik-adik. Kalau mak pentingkan diri sendiri, mak juga boleh bekerja jauh cari duit dan tinggalkan semua anak-anak jaga diri sendiri di rumah ni. Tapi mak tak buat begitu kerana sedar ini takdir mak, tanggungjawab mak!” Zainab menjegilkan matanya memandang Nurseha yang menunduk.
“Maaf mak. Seha tak bermaksud nak buat mak marah. Kalau mak tak izinkan, Seha tak akan lawan mak.” Nurseha menyeka air mata yang turun ke pipi.
Zainab terdiam. Kalau diikut hati, ibu mana yang sanggup anak-anak jauh dari mata. Salina anak harapannya. Kelak apabila Salina sudah mendapat pekerjaan yang bagus, giliran dia pula membantu adik-adik yang lain dan meringankan beban Nurseha.
“Nanti Ina dah habis belajar dan bekerja, Ina akan bantu Seha selesaikan hutang arwah abah. Seha bertahan dulu ya nak...” Pilu suara Zainab. Tangisnya ditahan, tak mahu menunjuk air mata di hadapan Nurseha.
Petang itu Zainab berjalan kaki ke rumah Tok Ghani, otaknya muka mereka-reka ayat yang sesuai. Hanya Tok Ghani harapannya. Anak kesayangannya Salina mesti disekolahkan setinggi mungkin. Kalau Salina mahu menyambung pelajaran ke luar negara sekalipun, dia sanggup memajakkan tanah tapak rumah mereka yang merupakan satu-satunya harta peninggalan suaminya.
“Berapa yang kamu nak pinjam?” Tanya Tok Ghani.
“6 ribu tok...” Zainab bersuara teragak-agak.
“Siapa yang nak membayarnya setiap bulan?” Tanya Tok Ghani lagi.
“Seha...” Zainab menjawab perlahan. Matanya bersinar penuh mengharap. Tentu Tok Ghani akan bersetuju untuk meminjamkan wang buatnya.
“Seha juga yang bayar?” Kali ini Mak Tipah menyampuk. Wajahnya terkejut. Dia tahu gaji Seha kecil. Siah yang beritahu gaji Seha sehari 20 ringgit saja, sebab itu Seha sering menolak bila diajak main kutu 100 ringgit sebulan. Nanti tak cukup untuk belanja barang dapur rumah, katanya.
“Iya Mak Tipah. Nanti hari cuti Seha akan ikut saya ke kebun Ah Tong, untuk menambah pendapatan. Sekarang pun dia ada mengambil upah menyembat baju kurung.” Zainab berusaha meyakinkan Tok Ghani dan Mak Tipah
“Aku bukan apa. Kasihan sama si Seha. Gajinya kecil, habis buat bayar hutang saja. Lepas ni nak kena buat kerja sambilan pula. Mati kering anak kamu nanti, bila waktu dia nak berehat.” Mak Tipah bersuara keras. Zainab hanya menunduk mendengar kata-kata Mak Tipah.
“Aku pinjamkan 6000 ringgit. Bermula hujung bulan hadapan, Seha mesti membayar sebanyak 200 ringgit sebulan selama 3 tahun. Jumlah bunganya ialah 1200 ringgit. Semua sekali yang perlu dibayar ialah 7200 ringgit. Kamu setuju Zainab?” Tok Ghani menatap wajah Zainab yang mengangguk laju.
“Setuju tok.”
“Cop ibu jari kau di sini. Letak nombor kad pengenalan sekali. Nanti esok atau lusa kau datang bawa kembali salinan kad pengenalan satu keping.” Zainab tersenyum tanda setuju, bolehlah nanti dibelikan Salina pakaian baru untuk ke kuliah dan bawa anak-anaknya yang lain makan KFC di pekan esok.
••
Anding berpuas hati. Pekerja-pekerja lain sudah siap mengemas barang-barang di dalam dan luar rumah. Sebuah kamar di tingkat atas sekali sudah dikhaskan sebagai kamar majikannya. Sebentar lagi, majikannya akan sampai.
Rumah besar itu sengaja dibina membelakangkan cahaya matahari pagi, kerana si majikan sukakan kepanasan matahari petang.
Anding memeriksa pula sedulang besar hidangan buah-buahan di dalam dulang tembaga dan air nira sejuk. Hidungnya menghidu. Dia tersenyum. Bersih dan selamat, fikirnya.
“Anding....”
Anding menoleh ke belakang saat namanya dipanggil oleh pemilik suara garau yang sangat dikenalinya. Pantas Anding bersalam mencium tangan sebagai tanda hormat yang tidak berbelah bahagi.
“Sudah kau siapkan semuanya?” Samiri bertanya. Wajahnya serius dan dingin.
“Sudah tuan. Kamar tuan juga sudah siap. Silakan tuan berehat dahulu. Nanti saya bawakan hidangan ini ke kamar tuan” Samiri mengangguk, memang dia sudah lapar benar.
“Kau sudah jumpa Ketua Kampung ini bagi pihakku, Anding?”
“Sudah Tuan, wangnya juga saya sudah berikan.”
“Bagus. Siapkan colok dan dupa. Aku mahu bermeditasi” Arahan majikannya segera dituruti oleh Anding.
Matahari sudah menghilang sepenuhnya. Suasana di dalam kamar menjadi gelap gelita. Samiri yang tidak berpakaian duduk tegak bersila dengan mulutnya terkumat-kamit.
Sudah 3 jam dia bermeditasi tanpa bergerak walau seinci. Perlahan-lahan matanya dibuka, dia tersenyum sinis menampakkan taring panjang di sebalik bibir. Matanya merah.
Dari duduk bersila, dia mencangkung. Kepalanya yang menunduk mendongak.
Tubuhnya bertukar dari susuk lelaki yang tegap menjadi lebih tegap dan besar berbulu hitam. Tangannya memanjang dengan kuku setajam belati. Dia menyeringai lalu melompat keluar dari tingkap bilik dalam kegelapan malam menuju ke puncak Butnak.
Hai... dialu-alukan untuk komen. Genre naskhah ini ialah dark romance. Tapi kerana tiada kombinasi genre tersebut, maka saya pilih untuk diletakkan di bawah genre fantasy.
Share this novel