Johari menekan brek dan membelokkan stereng keretanya ke kiri, memasuki kawasan stesen minyak berlogo hijau putih yang sunyi. Tidak ada sesiapa yang mahu mengisi minyak di waktu begini. Cahaya lampu limpah yang terang benderang membuatkan Johari berasa selamat. Dia memberhentikan keretanya berhampiran tandas. Tangannya masih menggigil, dahinya berkeringat, wajahnya pucat lesi.
“Seha...” bisiknya. Dihantukkan dahinya berkali-kali ke stereng kereta. Perasaan kesal menguasai diri.
“Bagaimana nasib kau Seha?” Dia bertanya sendiri di dalam hati. Dipejamkan matanya lama. Bayangan makhluk berbulu lebat, besar dan tinggi seperti gorila bermain di ruang mata. Sejak bila ada monyet sebesar itu di kawasan mereka? Mungkin datang dari hutan simpan Butnak. Keluar untuk mencari makanan barangkali, detik hati Johari. Dia berharap agar makhluk itu tidak merobek Nurseha untuk dijamu sebagai makanan.
“Baik aku patah balik ke Ladang Bantek...” Mulutnya berbisik sendiri. Dia mahu melihat keadaan Nurseha yang ditinggalkan begitu saja tadi.
“Kau nak mampus? Kalau Nurseha sudah mati dan ada yang terlihat kereta kau berada di Ladang Bantek nanti bagaimana?” Suara hatinya membantutkan hasrat Johari. Dia memasukkan semula gear kereta ke tanda P.
“Bertenang Jo. Sekarang kau fikir apa yang kau harus lakukan untuk selamatkan diri kau...” Johari mengangguk bersetuju dengan kata hatinya dan menoleh ke samping, jantungnya berdegup kencang apabila terpandang beg Nurseha di bawah tempat duduk penumpang hadapan.
“Buang...” Johari terkaku. Ada suara yang berbisik agar dia membuang beg Nurseha. Dia menggeleng kepala, itu mungkin bunyi angin yang bersiul. Tak mungkin ada yang berbisik kepadanya. Tidak ada sesiapa di stesen minyak itu. Dia benar-benar pasti.
“Salin pakaianmu Johari. Hapuskan segala bukti. Buang pakaianmu bersama barang gadis itu...” Kali ini Johari benar-benar yakin. Suara yang menyuruhnya membuang beg Nurseha bukan suara angin.
“Si...si...siapa tu?” Johari bersuara tergagap-gagap.
“Sahabatmu...” Suara itu berbisik lagi. Lebih dekat seperti berada di belakangnya. Johari yang ketakutan tidak berani menoleh. Dia mendongak cuba melihat dari cermin pandang belakang. Namun tidak ada apa yang kelihatan.
“Hehehe... kau belum cukup bersedia untuk melihatku. Jika kau mahu menyelamatkan dirimu, ikutlah nasihatku. Buang segala bahan bukti. Sebentar lagi hujan lebat akan turun. Arus Seling akan menghanyutkan segalanya ke laut lepas.” Suara itu berbisik di telinga kirinya. Johari meraba telinganya yang kepanasan sambil matanya melingas memerhati sekeliling. Dia menelan liur. Keretanya diundur keluar dari petak parkir lalu dipandu laju menuju ke jambatan Sungai Seling.
Guruh mula berdentum, diikuti pancaran kilat. Angin bertiup kencang menambah dingin di dinihari. Setelah pasti tiada sesiapa yang berada berhampiran jambatan, Johari keluar dari kereta dan membuka pakaiannya yang kotor. Dibuang pakaiannya ke sungai bersama beg Nurseha. Dia berlari masuk ke dalam keretanya semula dan terus memecut laju.
Keretanya melalui pintu gerbang Kampung Jelai Paya. Johari membatalkan hasrat awal untuk terus pulang ke rumah sebaliknya dia memberhentikan keretanya seketika di pinggir jalan, teringat beg pakaiannya ada di bonet kereta. Dia turun dari kereta lalu melangkah pantas ke belakang, mengeluarkan begnya di dalam bonet dan kembali masuk ke dalam kereta. Setelah siap berpakaian, dia menuju ke rumah Zainab. Rokoknya dipasang untuk menghilangkan rasa gelisah. Otaknya mula berfikir alasan apa hendak diberi kepada Zainab yang tentunya menanti kepulangan Nurseha.
Habis sepuntung rokok, dia tersenyum. Ada wajah yang boleh dipersalahkan menjadi kambing hitam. Sekurang-kurangnya jika mayat Nurseha ditemui mati di ladang Bentek, ada nama yang boleh dipetik di awal siasatan polis nanti. Fikirannya mula mereka-reka cerita dan ayat yang hendak digunakan sewaktu berhadapan dengan Zainab sebentar lagi.
Kereta Johari memasuki halaman rumah Zainab yang gelap gelita. Dia menarik nafas panjang dan menghembus. Cuba bertenang. Seketika kemudian dia keluar dari kereta menuju ke muka pintu.
“Assalammualaikum. Kak Nab...Assalammualaikum....” Johari memberi salam.
“Waalaikummussalam... Seha!!” Zainab meluru ke pintu. Dibuka pintu rumah, mahu menjemput anaknya masuk segera ke dalam.
“Eh, Johari. Mana Seha?” Tanya Zainab. Dia keluar ke beranda, matanya meninjau ke arah kereta Johari. Tangannya menekan suis lampu di luar rumah, agar terang berandanya.
“Inilah Kak Nab, saya nak beritahu. Nurseha tak pulang bersama saya. Dia berkeras mahu pulang naik bas. Dia kata segan mahu pulang berdua dengan saya.” Johari bersuara yakin.
“Naik bas? Naik bas jam berapa dari sana? Turun di mana?” Soal Zainab bertalu-talu. Perasaannya semakin bimbang.
“Saya hantar dia ke TBS. Saya tak tahu bas jam berapa yang dia naik. Mungkin dia ada kawan di KL, sebab petang tadi bila saya tanya dia ada beritahu nanti kawannya akan temankan dia.” Johari mereka cerita. Wajahnya sangat meyakinkan.
“Kawan? Kawan baiknya si Mala bekerja di Johor. Kawan mana pula yang tinggal di Kuala Lumpur?” Berkerut dahi Zainab. Dia tahu Nurseha tidak punya ramai kawan, anaknya itu rendah diri dan menjauhi kawan-kawan kerana malu tidak habis sekolah.
“Tak tahu kak. Mungkin dia mahu berjumpa teman lelakinya, budak bandar yang baru pindah ke sini.” Sahut Johari.
“Akak tak tahu dia ada teman lelaki...”
“Eh takkanlah Kak Nab tak tahu. Ramai yang bercerita Seha selalu dihantar oleh budak bandar tu pergi kerja di warung Cik Siah, di subuh hari... Hmm... tak apalah Kak Nab, saya pulang dulu ya. Nanti esok ke lusa baliklah tu Nurseha.” Johari segera ingin pulang apabila dilihat wajah Zainab semakin cemas. Hatinya gembira kerana Zainab kelihatan percaya dengan cerita rekaannya.
“Akak risaulah Johari. Akak fikir dia akan balik dengan kamu. Johari, tadi isteri dan mak mentua kamu datang sini, marah-marah kerana kamu lambat pulang dan tak jawab panggilan telefon. Kamu cepatlah balik jumpa mereka.” Kata-kata Zainab disambut dengan anggukan.
“Oh. Telefon saya habis bateri. Saya cuma singgah nak beritahu Salina dah selamat sampai di tempat belajarnya dan juga tentang Nurseha tak pulang bersama dengan saya. Saya pulang sendiri saja. Saya pergi dulu ya. Assalammualaikum...” Johari mengangkat tangan dan berlalu. Zainab melihat kereta Johari bergerak keluar dari laman rumahnya sebelum mengeluh panjang. Dia kerisauan dan benar-benar kesal melepaskan Nurseha pergi menemani Salina.
Rupanya Nurseha mahu mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan teman lelakinya pula. Tak sangka Nurseha sering dijemput oleh teman lelakinya setiap hari di waktu subuh untuk ke tempat kerja. Patutlah Mak Timah menuduh dia mendidik anak perempuannya menjadi penggoda lelaki. Zainab mengetap bibir. Tak sabar dia mahu menunggu Nurseha pulang. Tahulah dia mengajar Nurseha nanti.
Angin yang kuat menempiaskan hujan yang turun dengan lebat, membasahi wajah Nurseha yang terbaring di atas meja makan. Dia terkejut dan masih berasa takut sebaik membuka mata, tidak berani bergerak. Hanya biji matanya saja yang meliar dalam kegelapan.
Setelah benar-benar pasti tiada apa di sekelilingnya, dia cuba bangun dari pembaringan. Nurseha kehairanan, mengapa dia berada di warung Cik Siah? Siapa yang membawanya ke sini? Tadi bukankah dia pengsan di celah pohon kelapa sawit? Nurseha tertanya-tanya dalam hati. Dia turun dari meja dengan berhati-hati dan melangkah keluar dari warung. Pakaiannya yang rabak dikoyak oleh Johari cuba ditutup dengan tangan.
Nurseha meneruskan perjalanan, melangkah dalam hujan lebat menuju ke rumah keluarganya. Air matanya mengalir menahan kesakitan di seluruh tubuh akibat bergelut cuba mempertahankan maruah diri dari dicabul Johari tadi. Langkahnya perlahan kerana kakinya yang tercedera.
Dia mempercepatkan langkah tatkala terpandang bumbung rumahnya. Cahaya lampu kalimantang dari beranda menerangi kawasan sekitar depan rumah kayu pusaka, peninggalan datuk dan nenek sebelah bapanya yang tidak pernah dia kenali dari lahir.Nurseha terketar menaiki tangga rumah lalu mengetuk pintu.
“Tok...tok...tok...”
“Assalammualaikum, mak...” Suaranya serak dan lemah. Tenaganya kian habis.
“Mak....” Panggilnya lagi sambil menyeka air mata.
“Kriukkkk....” Pintu dibuka dari dalam. Zainab terjegil mata memandang Nurseha yang basah lokos.
“Mak....”
“Mana budak jantan tu? Kenapa baju kau koyak rabak begini?” Zainab seperti dirasuk hantu menolak tubuh Nurseha ke tanah dengan kakinya.
“Mak...” Nurseha terpempan, terkejut dengan tindakan ibunya.
“Kenapa kau tak lari terus mengikut budak jantan tu? Rupanya begini perangai kau di belakang aku. Aku tak pernah mengajar kau jadi perempuan murah!!” Zainab menjerit dalam hujan lebat. Dicapai penyapu lidi yang tersandar di tepi tangga.
“Mak, Seha tak faham...mak cakap apa?” Nurseha bertanya dalam esak tangis.
“Kalau aku tahu kau nak malukan aku begini, lebih baik aku pijak kau sampai mati semasa kau bayi!!” Zainab memukul bertalu-talu tubuh Nurseha.
“Mak... Seha minta maaf mak, sakit...mak...” Nurseha merayu, semakin sakit tubuhnya disebat.
“Mak!!!” Fatehah terjun dari pintu rumah dan menolak tubuh Zainab. Dipeluk Nurseha yang sudah tidak berdaya.
“Kau pun sama Fatehah! Hanya pandai melawan, hanya tahu membuat hati aku sakit! Kau pun nak jadi perempuan sundal macam Nurseha? Nak orang satu kampung mengata? Baik kau bunuh je aku ni!!!” Zainab turut memukul Fatehah yang cuba melindungi tubuh Nurseha dari dipukul. Kedua-dua anak perempuannya menangis memintanya agar berhenti memukul.
“Abang, tengoklah anak-anak abang... Kalau abang masih ada mereka tak akan berani buat perangai begini. Nab salah mendidik mereka abang...” Akhirnya Zainab terjelepuk ke tanah, mengongoi menangisi nasib di bawah hujan lebat. Sayup-sayup kedengaran laungan azan dari surau kampung, menandakan sudah masuk waktu subuh.
••
“Hello Cik Siah. Ini Anding. Nurseha ada? Boleh saya bercakap dengan dia sekejap?” Anding tersenyum sendiri.
“Anding, Nurseha tak ada. Sepatutnya bercuti sehari saja. Tapi hari ni masih tak datang kerja lagi. Anding ada hal penting ke nak cakap dengan Seha?” Cik Siah bertanya. Semalam Anding ada juga menghubunginya, tujuannya masih sama mahu bercakap dengan Nurseha.
“Oh. Dia tak datang kerja lagi? Dia ada masalah ke Cik Siah? Tak sihat ke?” Anding tak dapat menyembunyikan kebimbangannya. Ada nada resah dari suaranya.
“Cik Siah pun tak tahu Anding. Kelmarin katanya mahu menghantar adiknya ke Kuala Lumpur. Hari ini sepatutnya dia dah naik kerja. Nanti petang ni kalau tak ada apa aral, Cik Siah nak pergi ke rumahnya. Nanti Cik Siah telefon kamu ya. Biar kamu tanya Nurseha sendiri.”
“Baik Cik Siah. Maaf ya mengganggu. Terima kasih.”
“Sama-sama”
Anding melepaskan keluhan panjang. Dia membelek kalendar seketika. Jadualnya penuh pada minggu ini dan minggu hadapan. Namun hatinya sudah meronta untuk kembali ke Jelai Paya. Bukan saja kerana mahu menemui bapanya, dia juga mahu bertemu Nurseha.
“Hai Fazwan...”
Anding menoleh ke pintu. Dia menaikkan keningnya seketika apabila memandang seorang gadis cantik yang terus masuk ke dalam pejabatnya tanpa meminta izin. Si gadis terus duduk di atas ribanya dan mencium pipinya lama.
“Kenapa tak beritahu nak datang?” Anding tersenyum tipis, sekadar menjaga hati.
“I saja singgah. Rindu...”
“Bangunlah... Nanti staff nampak, mereka cakap apa pula.” Syafika tersengih-sengih lalu bangun dari ribaan Anding dan berpindah duduk di sofa.
“Kita lunch sama nak? Sekarang pun hampir jam 1 tengahari.”
“I banyak kerja Fika. Next time ya?” Anding menolak dengan baik.
“Walaupun banyak kerja, tapi you kena makan juga kan? You tak lapar ke?” Syafika bertanya, hairan.
“I ambil meal replacement. Nantilah, I bawa you keluar dinner bila kerja-kerja I dah siap. Okey?” Anding cuba memujuk Syafika yang berubah air wajahnya.
“Okey. Janji ya... “
“I will... nanti I bawa you keluar. You balik dulu.”
“Tapi I baru datang...”
“Next time beritahulah nak datang. I tengah sibuk ni. Sekejap lagi jam 2, I ada meeting...” Syafika mengeluh. Seketika kemudian, dia tersenyum semula. Dia tidak mahu memaksa Anding.
“Bye Fazwan” Anding menghantar Syafika keluar dengan pandangan mata.
Bukan dia tidak suka dengan Syafika, tapi dia sedar dirinya. Dia hanyalah anak angkat kepada Samiri yang diberi gaji untuk mengendalikan urusan perniagaan di syarikat bapa angkatnya itu. Malah dia sendiri tidak tahu asal usulnya kerana sejak bayi dia menetap di rumah anak yatim. Hanya tahu namanya Fazwan. Nama Anding pula diberi oleh Samiri kepadanya. Walaupun bukan nama rasmi, dia lebih selesa dipanggil Anding.
Sedang Syafika datang dari keluarga baik-baik, berharta dan ternama. Dia sudah menjelaskan banyak kali kepada Syafika tentang darjat mereka yang berbeza. Namun si gadis ternyata tidak mempedulikan segala alasan yang diberi. Entah bila Syafika mahu jemu dengan dirinya, jika bukan kerana Samiri mengutipnya dari kecil di rumah anak yatim, dia bukan siapa-siapa. Jangankan mahu memberi makan pakai Syafika setiap bulan, untuk membelikan sebatang gincu buat Syafika pun mungkin dia tidak mampu.
Anding bersandar di kerusinya. Cuba memejamkan mata dan berehat. Seketika kemudian dia membuka matanya kembali lalu mencapai kunci kereta. Dia mahu membelikan telefon bimbit, buat Nurseha.
Cik Siah memandu van Vanette buruknya ke rumah Zainab. Tak pernah Nurseha tidak datang kerja tanpa memberitahu sebarang sebab musabab kepada Cik Siah. Janjinya hanya sehari saja, mahu menghantar Salina ke Kuala Lumpur balik hari. Ini sudah hari kedua, apa Nurseha bermalam di Kuala Lumpur ke? Johari juga tidak nampak batang hidungnya hari ini.
“Assalammualaikum.... Nab, Seha!” Cik Siah melaung sebaik turun dari van. Salamnya tidak berjawab. Cik Siah kehairanan, di waktu petang begini selalunya suasana di rumah Zainab riuh rendah dengan suara anak-anaknya.
“Nab....” Panggilnya lagi.
“Cik Siah, mak demam...” Tiba-tiba Cik Siah dikejutkan oleh Zarul dan Fitri yang baru tiba dengan menaiki basikal, keduanya baru pulang dari mengaji.
“Mak, Kak Seha, Kak Teha demam.” Fitri membuka pintu rumah yang tidak berkunci dan mempelawa Cik Siah naik ke rumahnya.
“Bagaimana tiga orang sekali boleh demam? Fitri dan Zarul dah makan? Ini Cik Siah ada bawa lauk lebihan dari warung, nasi pun ada. Bawa ke dapur, pergi makan...”
“Siah...” Zainab memanggil dari bilik tidurnya. Cik Siah menyelak langsir bilik dan masuk ke dalam.
“Nab,kenapa ni? Dengan mata bengkak begini. Kau nak ke klinik?” Cik Siah bertanya, tangannya meraba dahi Zainab yang panas.
“Tak payahlah Siah. Membazir duit saja kalau ke klinik. Aku sudah makan Panadol. Nanti eloklah.” Jawab Zainab. Kepalanya masih pening.
“Hmm.... Seha mana? Demam juga?”
“Ada di bilik sebelah. Siah, kenapa kau tak beritahu aku tentang Seha dan teman lelakinya?” Soalan Zainab mengejutkan Cik Siah.
“Teman lelaki? Siapa?” Cik Siah bertanya semula. Dahinya berkerut.
“Budak bandar tulah. Yang selalu menghantar Seha ke warung kau setiap subuh.” Zainab bangun dan duduk menyandar di katil.
“Selalu apanya? Baru sekali saja dia menghantar Nurseha. Engkau ni, mereka baru berkenalan. Tak ada apa-apa hubungan. Seha mana ada teman lelaki...” Zainab terdiam.
“Apa yang sudah terjadi sebenarnya? Kenapa Nurseha balik ke rumah subuh tadi dengan bajunya koyak rabak?” Zainab semakin tidak sedap hati.
“Aku nak tengok Seha sekejap.” Cik Siah bangun dari birai katil dan masuk ke bilik sebelah. Fatehah dan Nurseha keduanya sedang tidur.
“Seha...” Cik Siah memanggil Nurseha. Digerakkan tangan Nurseha yang menutup muka.
“Cik Siah...” Fatehah rupanya yang terbangun.
“Kamu dah makan ubat Fatehah?” Cik Siah menyoal Fatehah yang hanya mengangguk, kepalanya pening, namun keadaannya sudah semakin pulih.
“Kak Seha, Cik Siah datang ni...” Fatehah menggoyangkan bahu Nurseha yang akhirnya turut membuka mata.
“Teha, ambilkan akak air dik...” Pinta Nurseha kepada Fatehah.
Suaranya serak. Fatehah segera keluar dari bilik, mahu ke dapur mengambil air minuman Nurseha dan membuka lampu bilik agar terang.
“Seha, kamu kenapa lebam-lebam begini?” Cik Siah terkejut melihat wajah Nurseha yang lebam.
“Cik Siah, Seha minta maaf tak datang kerja hari ni. Seha jatuh tersembam di tangga semasa hujan lebat pagi tadi. Cik Siah, Seha juga nak berhenti kerja....” Nurseha menangis teresak-esak.
“Kenapa Seha?” Cik Siah terkejut, tangannya menahan tubuh Nurseha yang melayang. Nurseha menggeleng kepala. Hanya air matanya yang laju menuruni pipi. Mulutnya ditutup rapat dari mahu memberitahu hal yang sebenar.
“Seha belum larat bekerja. Seluruh tubuh Seha sakit. Nanti kalau Seha bercuti lama, kesian Cik Siah sibuk di warung, lebih baik Cik Siah cari pekerja baru.” Nurseha memberi alasan.
“Jangan berhenti. Kalau Seha rasa dah sihat, nanti datang saja ke warung Cik Siah. Sementara ni, Cik Siah minta tolong dengan anak saudara Cik Siah yang tinggal di kampung sebelah. Lagipun kalau Seha berhenti kerja, siapa yang boleh menolong Zainab melangsai hutang-hutang nanti?” Cik Siah melepaskan keluhan panjang, dia kasihankan Nurseha dan Zainab.
“Trit...trit...” Cik Siah mengeluarkan telefon bimbit dari begnya. Nama Anding tertera di skrin telefon. Cik Siah menghulur kepada Nurseha.
“Jawablah... dari semalam dia nak bercakap dengan Seha.”
Nurseha menggeleng kepala, dia tak mahu menjawab panggilan Anding. Kata-kata ibunya yang menuduh dia sebagai perempuan murah subuh tadi masih terngiang-ngiang di telinga. Tiga kali telefon Cik Siah berdering minta dijawab, namun hanya dibiarkan panggilan dari Anding tanpa jawapan.
••
Mak Tipah mengeluarkan bekal berisi lauk pauk kegemaran Johari di dalam raga, risau hatinya memikirkan Johari. Menurut kata menantunya Zawani, Johari tak lalu makan dan hanya tidur.
“Bagai ada yang tidak kena,” desis hati Mak Tipah.
“Jo, mak bawakan kamu makanan ni. Marilah sini...” Mak Tipah mengangkat tudung saji di atas meja makan. Ada hidangan mee goreng dan seteko kopi o yang tidak berusik, hidangan sarapan yang disediakan oleh Zawani sebelum keluar ke butik pagi tadi.
Johari bangun dari sofa dan melangkah malas menuju ke meja makan. Dia diselubungi rasa bersalah yang teramat sangat apabila meninggalkan Nurseha di ladang kelapa sawit Bantek minggu lepas. Dia fikir Nurseha sudah mati dimakan monyet besar. Mujur dia terserempak dengan Fitri yang baru pulang dari sekolah semalam, katanya Nurseha telah beberapa hari demam. Sedikit sebanyak, hati Johari kian berasa lega apabila mendapat khabar Nurseha masih hidup.
“Kenapa Jo? Ani beritahu sejak kamu pulang dari KL, kamu tak lalu makan dan tidur saja di rumah. Kamu fikirkan apa? Abah kamu dah bising tu, kerja-kerja kamu banyak tak siap. Semua kamu lepas pada pekerja tanpa pengawasan. Kenapa Johari? Kamu sakit ke?” Mak Tipah mengusap kepala Johari, anak tunggalnya. Johari mendongak, menatap Mak Tipah.
“Mak, pinangkan Nurseha untuk Jo.” Johari memegang tangan ibunya.
“Johari!!!” Mak Tipah bertempik kuat. Anaknya berubah menjadi lemah longlai begini rupanya kerana sedang mabuk kepayang mengenang Nurseha.
“Kamu tu suami orang, isteri kamu tu sudah hampir nak bersalin. Kamu ni dah kenapa?” Mak Tipah mengetap bibir. Dipukul kuat belakang badan Johari.
“Mak... Jo betul-betul mahukan Nurseha. Ani tu mak yang pilih, bukan Jo yang hendak. Dengan Nurseha ni lain mak...”
“Eh, aku kahwinkan kau dengan Ani supaya kau tu jadi orang yang bertanggungjawab. Selagi tak kahwin kamu tak mahu bekerja, makan pil kuda, siang tidur malam berjaga. Lepas kamu kahwin dengan Ani, barulah normal perangai kamu. Bila dah elok ni, tak payahlah nak cari masalah lain.Bersyukurlah sikit dapat isteri macam Ani...” Mak Tipah mula membebel.
“Tak apalah kalau mak tak dapat nak tolong. Nanti Jo hantar Ani balik ke rumah maknya. Lebih baik Jo hidup sendiri saja.” Nada Johari seakan merajuk.
“Johari kamu jangan main-main ya. Jangan ada niat nak menceraikan Ani. Kata-kata kamu walaupun lafaz berkias, boleh jatuh talak kalau kamu ada niat. Kamu tahu tak?” Mak Tipah menggelengkan kepala, kerenah anak tunggalnya benar-benar memeningkan kepala.
“Mak tak payahlah membebel. Jo serabutlah. Zawani kuat membebel, mak pun sama. Jo peninglah mak. Mak tanya Jo fikir apa, bila Jo beritahu nakkan Nurseha mak membebel pula. Lain kali tak perlu tanya apa-apa. Bukannya mak boleh tolong Jo pun!!” Johari membentak dan memasuki bilik.
“Bammm!!” Pintu bilik dihempas kasar, menunjukkan perasaannya.
“Nurseha!!!!” Jeritnya sendiri. Hatinya sakit bila kehendaknya tidak dapat dituruti.
••
“Mak... esok Seha ikut mak pergi kerja, boleh? Manalah tahu kalau Tauke Ah Tong perlukan pekerja lagi.” Nurseha duduk bersimpuh di sebelah Zainab yang sedang menetas benang pada pakaian lama untuk diubahsuai. Pertanyaan Nurseha dibiarkan sepi tanpa jawapan.
Melihatkan ibunya hanya diam membisu, Nurseha segera memahami. Dia bangun menuju ke dapur, hati Nurseha resah memeriksa bekalan makanan mereka yang hampir kering. Sudah seminggu Nurseha tidak bekerja di warung Cik Siah, bermakna tidak ada wang di tangan. 5 hari dia terlantar di atas tilam kerana demam urat. Baru sehari dua ini tubuhnya mula boleh bangun dan membuat kerja rumah seperti biasa.
Selama seminggu itu juga Zainab memboikot Nurseha. Anak sulungnya itu tidak ditegur sapa. Malah masakan Nurseha juga tidak disentuhnya. Bukan dia tidak sayangkan Nurseha, hatinya kecewa dan terluka dengan kata-kata nista orang kampung tentang anaknya. Membuatkan dia mengesyaki Nurseha telah melakukan perkara yang tidak baik dibelakangnya. Setiap kali terpandang Nurseha berkemban ketika ke bilik mandi, hatinya dirundung pilu. Masih berbekas lebam dan birat kesan sebatan penyapu lidi di belakang badan dan kaki Nurseha. Dia juga tertanya-tanya, masih suci kah Nurseha?
“Fatehah, kamu sudah siap ulangkaji?” Zainab menyoal Fatehah yang baru hendak menonton televisyen.
“Sudah.” Fatehah menjawab ringkas.
“Kamu kena ikut jejak langkah Kak Ina. Belajar tinggi-tinggi. Nanti kalau kamu sudah ada ijazah, barulah boleh fikir mahu bercinta. Cari pasangan lelaki yang elok, jangan melayan semua lelaki yang cuba memikat kamu. Jaga maruah diri, maruah mak. Kalau sudah rosak ditebuk tupai, mana ada lelaki baik yang mahu.” Suara Zainab yang kuat didengari oleh Nurseha. Perasaannya tersentap, air matanya turun membasahi pipi. Apa maksud ibunya berkata begitu? Seolah sengaja menyindirnya.
Malam kian larut namun Nurseha terkebil-kebil sendiri di bawah selubung selimut lusuh. Bagaimana hendak dibayar hutang Tok Ghani jika dia tidak bekerja? Puas dia berpusing ke kiri dan kanan, sukar melelapkan mata. Benarlah kata-kata bahawa hutang menyebabkan hidup hina di waktu siang dan mendatangkan gelisah di malam hari.
Dia bangun lebih awal dari biasa pada subuh itu. Setelah siap menyiapkan sarapan pagi buat keluarga, dia mula bersiap untuk ke warung Cik Siah. Kakinya yang terseliuh belum benar-benar pulih. Masih sakit apabila berpijak. Tetapi dia tidak boleh menunggu sehingga benar-benar sembuh. Ada hutang yang perlu dilangsai dan mulut yang perlu disuap.
Dingin subuh diredah seperti biasa. Nurseha terkaku apabila sebuah kereta menghalang jalan. Jantung Nurseha berdebar kencang apabila Johari keluar dari kereta dan tersenyum kepadanya.
“Seha, mari abang hantarkan....”
Nurseha menggeleng kepala dan berlari cuba menjauhi Johari. Tubuhnya menggigil ketakutan apabila Johari berjaya memintas dan memegangnya.
“Seha, abang rindu Seha...”
“Hei, lepaskan aku. Kau pergi...pergi!! Aku benci tengok muka kau!!” Nurseha menjerit.
“Seha, abang mahu bertanggungjawab. Kahwin dengan abang, Seha!” Johari masih tidak berputus asa. Dikejar Nurseha yang berlari laju sehingga ke tengah jalanraya.
“Aku tak mahu kahwin dengan kau lah. Gila!!” Nurseha menjerit.
“Pin! Pin!” Bunyi hon dan cahaya lampu yang terang membantutkan hasrat Johari dari terus mengejar Nurseha.
“Maaf saudara, apa halnya ni?” Samiri menurunkan tingkap kenderaannya. Matanya menatap wajah Johari dengan tajam. Johari menggeleng kepala, dia cuba mengamati siapa lelaki di dalam kenderaan tersebut. Rasanya dia tidak mengenali lelaki ini.
“Kamu yang bekerja di warung tepi jeti itu kan?” Tanya lelaki itu kepada Nurseha yang mengangguk laju.
“Naiklah. Saya hantarkan.” Nurseha yang ketakutan segera membuka pintu dan menaiki kenderaan Samiri. Dia lebih rela menumpang sesiapa saja asalkan bukan Johari.
“Seha!” Jeritan Johari tidak diendahkan. Hatinya panas melihat Nurseha sanggup pergi bersama lelaki yang tidak dikenali.
“Sial!!” Maki Johari sambil menyepak tayar keretanya.
Samiri meneruskan pemanduan membawa Nurseha yang pucat lesi wajahnya. “Itu teman lelakimu?” Tanya Samiri.
“Tidak.”
“Dia mengganggu kamu?” Samiri menyoal Nurseha lagi. Perlahan-lahan Nurseha mengangguk. Air matanya yang mengalir diseka dengan lengan baju.
“Bahaya orang perempuan berjalan sendiri dalam gelap begini. Tunggulah hari cerah sedikit, baru keluar dari rumah.” Samiri cuba menasihati Nurseha.
“Saya masuk kerja jam 6.40 pagi.” Nurseha membalas.
“Berbincanglah dengan majikan. Mungkin boleh masuk kerja lewat sedikit. Nanti diganggu lagi macam tadi.” Nurseha hanya mengangguk. Ada benarnya kata-kata Samiri.
“Tuan ni abang kepada Encik Anding ya?” Nurseha memberanikan diri bertanya.
“Bapanya...” Nurseha kelihatan terkejut. Wajah mereka jelas tidak sama. Malah lelaki di sebelahnya itu nampak terlalu muda untuk menjadi bapa kepada Anding. Namun dia tidak berani bertanya apa-apa lagi kerana air muka Samiri agak dingin dan serius. Mereka hanya berdiam sehingga sampai di hadapan warung Cik Siah.
“Terima kasih kerana tumpangkan saya. Tuan tak mahu turun minum?”
“Mungkin di lain masa. Saya mahu ke bandar. Berhati-hati lain kali.” Samiri tersenyum tipis, sambil meninggalkan pesanan buat Nurseha yang hanya membalas dengan anggukan.
Kecil mata Johari memerhati Nurseha dari jauh dengan hati yang mendongkol geram. Nurseha sedang sibuk mengatur kerusi di warung Cik Siah sambil mengelap dan membersihkan meja. Liat benar Nurseha untuk ditewaskan, dalam kelembutannya ternyata Nurseha sangat kuat melawan.
Sanggup dia menunggu Nurseha seawal jam 6 pagi di hujung simpang. Niatnya mahu berbaik dengan Nurseha dan ingin memohon maaf, namun bukan maaf yang diperolehi di awal pagi ini. Sebaliknya kata hamun dari Nurseha.
“Hoi Jo! Apa kau buat menghendap dari jauh? Awal kau pagi ni, mimpi apa?” Abidin menyergah Johari. Bunyi ekzos motornya yang bising tidak dipedulikan oleh Johari yang dari tadi khusyuk memerhati Nurseha. Johari hanya menjeling malas melihat wajah Abidin yang tersengih-sengih seperti kerang busuk.
“Tak dapat cara baik, kau paksalah... bukan susah...” Abidin tertawa kecil mengapi-apikan hati Johari yang telah hidup baranya. Dimatikan enjin motor, matanya turut sama menghendap Nurseha.
“Kalau kau jadi aku, kau nak buat apa pada dia?” Johari sengaja bertanya Abidin, manalah tahu jika ada buah fikiran yang boleh diguna pakai. Abidin tersenyum lebar dan berbisik ke telinga Johari.
“Celaka kau!!” Johari menyumpah sebaik mendengar idea Abidin.
“Pakk!!!” Pipi Abidin ditampar kuat.
“Eh Jo, aku pun teringin juga nak merasa!” Abidin meraba pipinya yang perit.
“Kau jangan nak buat main hal Nurseha dengan aku Bidin. Nurseha milik aku seorang!” Johari mendengus marah.
“Perasanlah kau Jo. Milik kau seorang konon. Masalahnya, Nurseha tak mahukan engkau. Hahhaha!!” Abidin menggeleng kepala dan menghidupkan enjin motornya semula menuju ke warung Cik Siah, meninggalkan Johari yang berwajah sebal.
••
Anding menikmati kopinya sambil memerhati Nurseha yang sedang ke hulu ke hilir menyapu lantai warung. Sekarang sudah jam 4 petang, warung Cik Siah akan ditutup sebentar lagi. Namun sengaja dia mahu menjadi pelanggan yang terakhir sehingga Cik Siah dan Nurseha siap mengemas warung.
Anding menarik nafas panjang. Memandu 4 jam tanpa henti semata-mata tidak mahu terlambat bertemu Nurseha. Dia belum betul-betul mengenali Nurseha, namun mengapa dia sukar melupakan gadis kampung itu? Dari tadi bibirnya menguntum senyum, puas dia cuba menafikan perasaan sendiri.
“Tak sedapkah airnya?” Pertanyaan Nurseha mematikan senyum dan angannya.
“Sedap...” Jawab Anding. Keningnya terangkat cuba untuk membuktikan kata-katanya. Memang sedap air kopi yang dibuat oleh Nurseha.
“Tak luak pun...” Nurseha menjeling ke gelas kopi di hadapan Anding.
“Sengaja minum sedikit demi sedikit. Biar lambat habis...” Direnung wajah lembut Nurseha yang merona merah. Malu.
“Esok hari Jumaat, Seha cutikan?” Nurseha mengangguk.
“Kita keluar nak? Seha tunjukkan abang tempat-tempat menarik di sekitar sini. Boleh?” Nurseha menggeleng kepala membuat Anding berasa sedikit hampa.
“Bila Seha lapang? Abang ada di sini sehingga Ahad. Tak boleh ke kalau abang nak bawa Seha keluar?”
“Maaf encik, eh aa...abang. Seha ada banyak kerja di rumah, kena menjaga adik-adik. Maaf ya... kalau ada hal penting, jumpa saja di sini.” Anding tersenyum hambar, mengejek diri sendiri.
Kenapa rasa seperti cintanya bakal tidak bersambut? Begini rupanya rasa jika pelawaan ditolak. Tak pernah gadis-gadis yang pernah dia kenali akan menolak pelawaannya mentah-mentah seperti Nurseha. Anding menjadi malu namun belum berputus asa.
“Abang hantarkan Seha balik ya?”
“Tak perlu. Abang, Seha minta maaf. Seha dah tak ada alasan nak menolak kebaikan abang. Ini kampung, tak manis kalau orang kampung nampak kita berdua nanti...” Kali ini Anding mengalah dengan penolakan Nurseha.
Akhirnya Anding mengangguk lesu. Bimbang jika terlalu mengejar, Nurseha akan berlari lebih jauh seperti merpati. Sikap yang begini yang membuat jiwanya lebih panasaran.
Usai mandi dan bersiap, Anding segera turun ke bawah untuk makan malam. Dia hanya memerhati makanan di atas meja. Salad kentang yang disediakan Samiri tidak disentuh. Bagaimana bapanya boleh mengawal nafsu makannya? Tidak bosankah hanya makan sayuran dan buah saja?
“Esok pagi kita ke bandar makan big breakfast seperti yang kau suka. Malam ini makanlah dulu salad kentang masakanku ini, Anding...” Anding tertawa kecil. Samiri bagai tahu apa yang ada di dalam hatinya.
Demi menjaga hati Samiri, Anding menjamah sesudu dua makanan di piringnya. Boleh tahan juga rasanya, dia menyuap lagi. Mata Anding memandang ke kawasan belakang rumah. Kelihatan Bani sedang menyiapkan bahan-bahan mandian Samiri.
“Ayah, benarkah ayah menjadi awet muda hanya dengan amalan meditasi, mandi embun dan mandi di tengah malam di bawah cahaya bulan penuh?” Soalan Anding membuat Samiri tersenyum.
“Kalau kau tidak bermula menjaga dirimu dari sekarang, aku bimbang orang akan menganggap kita sebaya nanti. Saat itu kau pasti menyesal kerana tidak mengamalkan apa yang aku telah ajar.” Anding mencebik bibir dan tertawa dengan jawapan Samiri.
“Saya pilih amalanmu yang paling mudah, mengawal makan dan berolahraga. Tapi saya tidak boleh mengawal diri dengan duduk diam bermeditasi apatah lagi mandi air dingin di tengah malam.” Anding menggeleng kepala.
“...nafsu...kawal nafsu dan keinginanmu. Lebih-lebih lagi nafsumu terhadap wanita, Anding.” Kata-kata Samiri membuat Anding terdiam.
“Jangan bimbang, Gadis yang saya suka juga belum tentu menyukai saya...” Anding tersenyum hambar, wajah Nurseha bermain di ruang matanya.
“Syafika setia denganmu Anding. Kalau dia tidak sukakan kau, masakan dia boleh bersabar menunggumu... Nanti bawa dia datang ke sini. Rumah ini ada banyak bilik kosong. Dia tentu sudah rindu dengan masakanku.”
“Hmmm...tengoklah nanti...” Anding menjawab acuh tak acuh.
“Kalau Syafika mahu datang, khabarkan kepadaku. Kita boleh memanggang daging di tepi kolam...”
“Ya...”
“Anding... ada apa? Matamu tidak bercahaya ketika aku menyebut nama Syafika. Siapa gadis yang berani menolak cinta anakku yang kacak begini?” Anding tertawa mendengar usikan Samiri.
“Nurseha...namanya Nurseha...” Anding hanya berani menyebut di dalam hati. Belum sampai waktunya untuk dikhabar perihal Nurseha kepada Samiri.
••
Johari terbaring lesu di atas sofa sambil menonton televisyen. Entah cerita apa yang ditayangkan, dia tidak tahu. Sofa di depan televisyen itu sudah menjadi katilnya beberapa minggu ini. Tak perlulah lagi tubuhnya dilepuk Zawani apabila dia mengigau menyebut nama Nurseha. Bantal goleknya dipeluk erat, berangan sedang memeluk Nurseha. Ah, parah.
Dia segera memasuki bilik tidur, mencari isterinya. Hasratnya perlu dipenuhi. Johari menekap muka Zawani dengan bantal dan membayangkan yang sedang memuaskannya ialah Nurseha.
“Seha!!” Luahnya, tidak sengaja ketika di puncak.
“Abang!!!!” Zawani menjerit marah, namun tidak dipedulikan. Setelah selesai dia kembali ke ruang tamu, melayan perasaan sambil menghisap rokoknya.
Mata Johari kian mengantuk, tangisan kekecewaan Zawani tidak diendah. Johari tidak mahu menyembunyikan perasaannya terhadap Nurseha lagi. Zawani boleh pergi pada bila-bila masa jika dia mahu. Jika tidak mahu pergi pun tidak mengapa, Johari masih memerlukan khidmatnya sebagai pelepas nafsu yang sah.
Mata Johari yang berat mula tertutup. Antara jaga dan tidur dia ternampak seorang lelaki yang berpakaian seperti seorang pendekar sedang tersenyum menatapnya dengan sepasang mata yang hitam semua, tanpa warna putih.
“Johari binti Latifah, Sali Raya sudah tidak sabar mahu berkhidmat kepadamu. Tempoh khidmatnya kepada bapamu sudah hampir tamat tempohnya. Bersediakah kau untuk menerima kehadirannya dalam hidupmu?” Tanya lelaki tersebut.
Soalan lelaki itu tidak dijawab. Sebaliknya Johari yang bertanya dengan berani.“Siapa kau?”
“Sahabatmu yang akan sentiasa ada dalam susah dan senangmu... ambil ini Johari.” Lelaki itu menyerahkan sebatang keris kepada Johari.
“Ambil...ambil...” Lelaki itu tersenyum, matanya yang hitam tadi menjadi normal seperti mata manusia biasa. Lalu Johari mengambil keris pemberiannya.
“Bagus Johari.... hidupmu akan senang selepas ini, semua kehendakmu akan terkabul. Serulah Sali Raya dalam setiap nafasmu seperti mana amalan keturunanmu yang terdahulu...syarat pertama, jauhkan dahimu dari menunduk sama paras dengan telapak kaki...”
Johari tersentak lalu terjaga dari tidur. Mukanya dibasahi keringat. Suara lelaki itu seperti pernah didengar. Dahi Johari berkerut.
“Kau tidak bermimpi, Johari. Kau insan terpilih....” bisikan suara garau itu sangat hampir ditelinganya.
Lolongan anjing turut kedengaran diikuti siulan angin yang tiba-tiba bertiup kencang. Johari merebahkan tubuhnya kembali. Dadanya yang berombak tiba-tiba kepanasan. Bagai ada sesuatu yang meresap masuk ke dalam jantung dan cuba menyesuaikan diri. Johari dapat merasakan ada makhluk yang bergerak mengikut aliran darah di segenap urat nadinya.
“Aku mahu Nurseha...” Bisik Johari.
“Hahahaha...” Suara garau itu tertawa, dari kuat semakin sayup, sehingga larut bersama angin malam.
Share this novel