LAPAN

Fantasy Series 877

Fitri tekun menunduk menyiapkan kerja sekolah. Penat menunduk dia berhenti seketika menyuap jeruk pelam buatan Nurseha ke mulut sendiri. Dia rindukan kakaknya, namun dia tak tahu bagaimana cara untuk meluahkan rasa hati. Hanya jeruk pelam Nurseha yang menjadi penawar rindu. Selalunya memang dia yang paling gembira apabila Nurseha mengajaknya mengait pelam muda untuk dibuat jeruk. Dia suka jeruk buatan Nurseha yang rangup dan cukup masam manisnya.

“Sedap ke Pit?” Tanya Zainab. Sayu hatinya melihat jeruk pelam di piring. Hanya Nurseha yang rajin menyediakan kudapan buat adik-adiknya di rumah itu.

“Sedap. Kalau Kak Seha yang buat jeruk memang sedap.” Puji Fitri, ikhlas. Sayangnya Nurseha tiada untuk mendengar pujian Fitri. Zainab mengangguk lesu membenarkan kata-kata anak bongsunya itu. Sudah 3 hari Nurseha pergi meninggalkan rumah tanpa khabar berita.

“Assalammualaikum...” Fatehah memberi salam dan naik ke rumah.

“Waalaikummussalam... bagaimana Teha? Dapat kamu telefon Mala?” Tanya Zainab tidak sabar.

“Dapat mak. Tapi tak boleh berbual lama, Kak Mala sedang kerja. Dia beritahu Kak Seha tak ada dengannya di Johor Bahru.” Fatehah menatap ibunya yang menyeka air mata dengan belakang tangan. Dia tahu ibunya kerisauan. Semenjak Nurseha pergi, Zainab selalu termenung, kadangkala menangis mengenang Nurseha.

“Manalah kakak kamu pergi.” Keluh Zainab.

“Kalau mak tak marah-marah, tentu Kak Seha tak lari pergi...” Fatehah meluah perasaannya lalu segera berlalu ke dapur. Dia memang tidak percaya dengan khabar angin tentang Nurseha. Dia kenal dengan kakaknya. Tak mungkin Nurseha sanggup menconteng arang ke muka keluarga. Dia terkilan dengan sikap ibunya yang mudah percaya dengan kata-kata orang kampung sebelum benar-benar menyiasat apa yang sebenarnya berlaku.

“Assalammualaikum...” suara lelaki di laman mengejutkan seisi rumah. Fitri bingkas bangun membuka pintu yang tadi telah ditutup rapat oleh Fatehah.

“Waalaikummussalam...” Sahut Fitri.

“Fitri, mak ada?” Johari bertanya. Zainab yang sedang menjahit, segera bangun apabila mendengar suara Johari. Wajahnya menunjukkan riak marah. Dia masih terbayang-bayang gambar Johari bersama Nurseha yang tersebar.

“Hah kau nak apa, Johari?” Tanya Zainab kasar. Ingin rasanya dipukul lelaki yang berdiri di anak tangga rumahnya itu.

“Kak Nab, tujuan saya datang ni mahu minta maaf pada Kak Nab. Saya sayangkan Nurseha, saya mengaku dah sentuh dia.” Johari berterus terang. Zainab seakan mahu pitam mendengar pengakuan berani mati Johari.

“Nama aku dah busuk, Johari. Satu kampung mengata anak aku perempuan tak elok, macam anak aku seorang yang jahat. Mereka tak mengata kamu, walaupun kamu yang rosakkan Nurseha.” Air mata Zainab mengalir. Tubuhnya menggigil menahan marah.

“Saya mengaku silap saya Kak Nab, saya nak ambil Nurseha jadi isteri saya. Tentang hutang Kak Nab jangan risau. Saya akan selesaikan semua hutang Kak Nab pada abah. Asalkan Kak Nab bersetuju saya bernikah dengan Nurseha.” Johari bersuara bersungguh-sungguh. Mendengar perkataan hutang, hati Zainab menjadi semakin tidak karuan. Selama ini memang hasil dari tulang empat kerat Nurseha yang diharap melangsai hutang piutang keluarga mereka.

“Aku tak boleh beri kata putus. Aku harus bertanya pada Nurseha samada dia mahu atau tidak berkahwin dengan kamu. Dia sudah 3 hari tak pulang. Aku sangkakan dia ke Johor Bahru mengikut kawannya, tapi rupa-rupanya dia tidak ke sana. Dia ada bersama kamu ya? Beritahu pada dia, pulanglah ke rumah.” Zainab mula teresak-esak. Suaranya yang tadi meninggi telah mengendur, dia hanya mahu Nurseha pulang.

“Tidak kak... inilah yang saya nak beritahu, Nurseha tu bukan dengan saya saja diserahkan tubuh badannya. Sekarang dia ada di rumah besar di hujung kampung. Rumah keluarga budak bandar yang baru berpindah ke kampung kita ni. Saya nak selamatkan Nurseha kak, saya sayangkan dia, nak nikahi dia.” Johari berusaha meyakinkan Zainab dengan cerita rekaannya.

“Kenapa Seha buat begitu? Seha... kenapa kau jadi perempuan murahan?” Tangisan Zainab kian meninggi apabila mendengar khabar yang dibawa Johari.

“Mungkin kerana dia tertekan. Manalah dia mampu membayar hutang dengan wang gaji bekerja di warung Cik Siah. Sebab tu dia rela menggadai tubuh badannya. Nurseha masih muda, dia tentu tak dapat memikirkan apa yang baik untuk masa depannya. Sebagai ibu, Kak Nab lah yang harus fikirkan apa yang terbaik untuk dia. Nikahkan saja dia dengan saya, Nurseha tak perlu bekerja lagi dan saya akan tanggung keperluan keluarga Kak Nab setiap bulan.” Kata-kata Johari membuat Zainab sesak nafas sehingga mengurut dadanya sendiri. Benarkah apa yang didengarinya? Bukan soal Johari sanggup menanggung keperluan keluarganya. Tetapi perihal Nurseha yang sanggup menggadai tubuh badan membuat hati Zainab terbakar.

“Kau baliklah Johari. Kalau kau mahu menikahi Nurseha, bawa dia pulang ke rumah ini. Biar aku jalankan tanggungjawab sebagai ibu kepadanya buat kali terakhir.” Zainab mengetap bibir, geram. Hatinya benar-benar sakit mengenang Nurseha.

“Baiklah Kak Nab, saya pulang dulu. Nanti saya akan datang dengan mak dan abah untuk meminang Nurseha. Kak Nab jangan bimbang, petang ini juga saya dan orang kampung akan ke rumah besar tu untuk bawa Nurseha pulang. Kalau Kak Nab mahu ikut pun boleh...” Johari tersenyum puas kerana dapat mempengaruhi Zainab. Dia yakin Zainab akan bersetuju untuk menikahkan Nurseha dengan dirinya.

••

Setelah selesai memandikan Nurseha dengan air campuran tanah, Bani membilas tubuh Nurseha sehingga bersih. Nurseha yang berkemban kain pelikat milik Samiri duduk bersimpuh di bawah pancuran air berhampiran dengan kolam renang. Ubun-ubunnya dipegang dan dibacakan mentera yang tidak Nurseha fahami. Pandangan matanya kosong. Wajahnya kelihatan bingung. Kemudian tiba masa untuk memandikan Nurseha dengan 7 jenis bunga serta 7 kali siraman.

“Mandi bunga ini tujuannya untuk memulihkan semangatmu, selain menambah seri. Adakah kau bersetuju jika aku mandikan kau demi mencantikkan semula auramu yang sudah rosak cahayanya?” Tanya Bani diikuti anggukan Nurseha. Selesai mandi bunga, Nurseha diberi minum air serai yang dicampur halia dan gula batu. Dadanya kian terasa lapang, tidak sempit seperti sebelum ini.

“Senyumlah.” Pujuk Bani tersenyum sambil matanya merenung Nurseha. Akhirnya Nurseha mendongak, bibirnya yang semulajadi merah melakar senyuman tipis.
“Masuk ke dalam kamar tamu dan bersiaplah. Baju bersih sudah aku sediakan untukmu. Nanti setelah selesai, datang ke dapur untuk makan. Ada satu pesanan untukmu, jangan lama-lama ketika melihat cermin.” Nurseha mengangguk tanpa sepatah kata dan menurut kata-kata Bani. Mulutnya masih berat untuk bertanya dan berbicara.

Samiri berasa lega kerana keretanya dihantar sehari lebih awal oleh pekerjanya. Ada banyak perkara yang dia perlu selesaikan di bandar nanti. Tanpa kenderaan kakinya seakan patah sebelah. Apabila melihat Samiri masuk ke dalam rumah, Bani segera mahu mengangkat dulang berisi makan tengahari naik ke atas. Kebiasaannya Samiri akan menjamah sedikit makanan sebelum mengunci dirinya di dalam kamar sehingga petang.

“Gadis itu sudah makan?” Tanya Samiri.

“Belum. Aku baru selesai memandikannya. Makanan untuknya sudah aku siapkan di ruangan makan.” Jawab Bani.

“Aku akan makan bersamanya. Tak perlu bawa makananku naik ke atas.” Bani menurut arahan Samiri tanpa banyak tanya walaupun dia sedikit pelik kerana Samiri jarang menukar rutin harian.

Siap berpakaian, Nurseha melangkah keluar dari kamar tamu. Rambutnya yang panjang dan lurus masih basah. Kemeja putih milik Samiri yang dipakainya nampak terlalu besar dan labuh sehingga ke lutut. Samiri memandang Nurseha yang kelihatan teragak-agak dan kekok dengan pakaian ditubuhnya.

“Bani, aku ada banyak pakaian lain yang lebih sesuai untuk dia. Hmmm... Tak mengapalah, asalkan dia berpakaian. Panggil dia ke sini.” Bisik Samiri lalu Bani memanggil Nurseha ke meja makan. Nurseha hanya menunduk, tidak mahu bertentang mata dengan Samiri.

“Adakah kau mengenali aku?” Tanya Samiri. Soalannya hanya untuk menilai keadaan Nurseha. Dia memerhati Nurseha yang mengangguk perlahan.

“Rasanya kita belum berkenalan. Namaku Samiri. Kau?” Tanyanya lagi. Nurseha kelihatan terpinga-pinga, matanya memandang ke atas cuba mengingati namanya sendiri.

“Siapa namamu?” Samiri mengulang tanya. Bibir Nurseha cuba menyebut namanya namun lidahnya seakan kaku.

“Tak mengapa. Mari kita makan dahulu.” Pelawa Samiri, tidak mahu membuat Nurseha berasa tertekan. Samiri memulakan makannya, setelah dua kali suapan dia baru tersedar yang Nurseha hanya tunduk merenung piring.

“Apa yang kau lihat? Makanlah... semalaman kau tidak makan, tentu kau lapar.” Kata Samiri sambil menyudu nasi di pinggan. Apabila dilihat Nurseha masih lagi berdiam, akhirnya dia meletakkan sudunya.

“Mari aku suapkan kau makan.” Samiri memujuk dan menyudukan nasi ke mulut Nurseha.

“Aaaaa....” Samiri membuka mulut, cuba mengajak Nurseha agar membuka mulut sama sepertinya. Perlahan-lahan Nurseha menurut dan mengunyah makanannya.

“A... air....” Sebut Nurseha, jarinya menunjuk ke arah sebiji buah kelapa muda di hadapannya. Samiri dan Bani tersenyum mendengar perkataan pertama yang keluar dari mulut Nurseha.

“Kalau kau habiskan makanan di piringmu itu, aku akan menghantar kau pulang ke rumahmu petang ini....” Nurseha yang tekun menyedut air kelapa hanya mengangguk mendengar kata-kata Samiri.

“Emak...” Air mata Nurseha bergenang. Wajah Zainab bermain di matanya.

“Jangan menangis, makanlah. Sebentar lagi aku hantarkan kau pulang.” Samiri menyambung makan.

“Assalammualaikum!!!”

“Buka pintu pagar ini!!!”

“Buka!!!” Terdengar jeritan dan riuh rendah di luar pagar. Lantang suara pekikan agar pintu pagar utama dibuka. Bani bergegas keluar mahu melihat siapa yang datang apa yang telah terjadi di luar pagar. Seketika kemudian, dia kembali masuk ke dalam rumah dan menuju ke arah Samiri yang masih tenang menikmati makan tengaharinya.

“Orang kampung ada di luar, nampaknya mereka seperti sedang marah. Mungkin mereka mencari dia.” Bani bersuara sambil menunjuk ke arah Nurseha.

“Mari kita keluar.” Samiri menghela nafas dan bangun melangkah ke luar rumah diikuti oleh Bani.

“Habiskan makananmu...” Arah Samiri kepada Nurseha yang juga ingin bangun menuruti mereka.

“Buka pintunya Bani. Jemput mereka masuk ke dalam.” Arah Samiri yang berdiri di beranda. Sebaik pintu pagar dibuka, sekumpulan pemuda kampung menyerbu masuk ke halaman rumah. Mata masing-masing seolah terpukau dengan lanskap halaman rumah Samiri yang menarik dan unik.

“Selamat datang ke rumah saya. Kami baru berpindah dan belum sempat untuk berkenalan dengan jiran-jiran sekampung. Ada apa tujuan kedatangan kalian semua? Kalau diberitahu lebih awal boleh saya siapkan sedikit makanan dan minuman untuk dijamu.” Samiri tersenyum mesra namun matanya tidak lepas memandang ke arah Johari yang tampil ke hadapan.

“Kami datang bukan untuk makan atau minum. Kami hanya mahu membawa pulang gadis yang disorokkan di dalam rumah ini. Mana Nurseha? Mana budak lelaki muda tu?” Johari bertanya dengan nada meninggi. Soalan Johari membuat Samiri tersenyum.

“Anak lelaki saya tidak menetap di sini... Bani, panggilkan gadis itu keluar.” Arah Samiri.

“Saya temui dia di hutan belakang dalam keadaan bingung. Lalu saya bawa dia pulang ke rumah. Sebentar lagi saya akan menghantar dia pulang.” Samiri memandang Johari dengan pandangan sinis.

“Jangan percaya cakap dia Jo. Entah-entah dia ni dah puas kerjakan Nurseha!” Abidin cuba mengapi-apikan Johari.
“Kau tak perlu menghantar Nurseha. Kami akan bawa dia pulang. Mana dia? Nurseha!!” Johari menjerit kuat, memanggil Nurseha. Sebaik terpandang Nurseha yang berjalan menunduk di belakang Bani, Johari bergegas berlari ke arahnya.

“Seha... sayang tak ada apa-apa ke? Lelaki ni dah buat apa pada sayang?” Johari cuba memegang Nurseha namun segera ditepis. Kelam kabut Nurseha berlari dan menyorok di belakang Samiri, dipeluk tubuh Samiri sekuat mungkin dari belakang. Tubuhnya menggigil ketakutan apabila matanya dan mata Johari bertentangan.

“Dia dalam keadaan trauma. Kalian semua pulanglah dahulu. Nanti saya akan hantarkan Nurseha pulang.” Samiri memandang ke arah kumpulan orang kampung yang memandangnya dengan pandangan sangsi.

“Anak dan bapa, semuanya kau sapu ya Seha?” Sindir Johari mengetap bibir, menahan api cemburu melihat Nurseha memeluk dan berlindung di belakang Samiri.

“Seha, balik!!” Zainab yang baru tiba menjerit memanggil Nurseha dengan matanya yang dijegilkan.

“Mak...” Nurseha melepaskan Samiri dan berlari ke arah Zainab sebaik terlihat kelibat ibunya. Dipeluk ibunya tidak mahu dilepas. Namun Zainab tidak membalas dakapan Nurseha, sebaliknya tubuh Nurseha ditolak sehingga jatuh.

“Pakkk!” Muka Nurseha ditampar kuat oleh Zainab sehingga mengejutkan semua yang memandang.

“Kau balik sekarang Seha!” Zainab mengheret Nurseha yang menangis teresak-esak keluar dari perkarangan rumah Samiri diikuti oleh orang kampung. Johari turut berlalu sambil memandang Samiri dengan jelingan tajam penuh rasa tidak puas hati.

“Baru pindah ke sini dah buat hal dengan anak dara orang!!!” Terdengar jeritan dari salah seorang orang kampung.

“Jo, suruh bapa kau halau saja mereka ni. Hari ni Nurseha yang digoda. Esok lusa entah anak dara siapa yang diajak buat maksiat di rumah ni!” Samiri hanya diam tidak menjawab sambil matanya memerhati Nurseha yang dibawa pergi oleh Zainab.

••

Samiri membuka mata, berjam-jam dia cuba fokus namun fikirannya sering terganggu dengan bayangan wajah Nurseha. Dia menghembus nafas perlahan dan memutuskan untuk menamatkan sesi meditasinya malam itu. Tangannya mencapai kotak rokok dan menyalakan sebatang. Seperti tahu apa yang terlintas di dalam hatinya, Bani memasuki kamar Samiri dengan secawan kopi panas.

“Musuhmu dan musuh gadis itu ternyata di pihak yang sama. Kau boleh duduk berdiam di sini sambil melihat masa depan gadis itu musnah perlahan-lahan di samping lelaki yang menyihirnya.” Bani memulakan bicara, berkerut dahi Samiri mendengar kata-kata Bani.

“Apa maksudmu?” Tanya Samiri sambil melangkah ke kerusi di meja kerjanya. Jubah mandinya disarung ke tubuh. Ternyata meditasinya hari ini tidak khusyuk seperti biasa. Wajah Nurseha yang polos dan ketakutan bermain di ruang matanya.

“Meditasimu tidak sempurna hari ini kerana kau memikirkan gadis itu. Kau tahu bagaimana akhirnya nasib gadis itu nanti. Kau tidak boleh berhenti memikirkan dia.” Bani meletakkan tangannya di ubun-ubun Samiri, menunjukkan kepada Samiri rumah tempat tinggal keluarga Nurseha. Samiri berdiam lama seolah memikir sesuatu sebelum mencucuh puntung rokoknya di bekas abu rokok.

“Ikut aku, Bani. Panggil tiga pengiringku untuk mengikuti kita dari jauh.” Samiri segera berdiri dari duduknya. Dia mahu mandi dan bersiap.

Bani membuka pintu pagar utama. Mulutnya terkumat kamit membaca mantera sambil menunggu Samiri memandu keluar dari halaman rumah. Setelah menutup pintu pagar, dia melompat naik ke bahagian penumpang hadapan. Mata Bani memerhatikan 3 ekor mawas yang mengekori mereka di dalam gelap.

Samiri memandu berhati-hati. Sebaik melepasi denai berselut yang tidak rata, keretanya terus dipecut laju menuju ke kawasan kampung. Berpandukan lokasi yang ditunjukkan oleh Bani ke dalam mindanya tadi, dengan mudah dia menemui rumah tempat tinggal keluarga Nurseha.

“Awasi rumah ini dari jauh sehingga subuh nanti. Perhatikan dan halang jika ada yang mahu membuat perkara yang tidak baik ke atas penghuni rumah ini.” Pesan Samiri kepada 3 siluman mawas yang mengekori jejaknya dari tadi. Mereka mengangguk patuh dan bersembunyi di atas pohon-pohon yang berhampiran.

“Tok...tok...tok...” Samiri mengetuk pintu sambil memerhatikan Bani yang hanya duduk menunggu di dalam kenderaan. Sekejap saja pintu kayu dibuka oleh seorang kanak-kanak lelaki, Zarul.

“Eh pakcik...” Tegur Zarul apabila terpandang Samiri yang tersenyum kepadanya.

“Mak ada?” Tanya Samiri.

“Ada...mak!” Zarul melaung dari muka pintu memanggil Zainab. Terkocoh-kocoh Zainab keluar dari bilik apabila menyedari ada tetamu yang datang.

“Kau... ada apa datang ke sini?” Suara Zainab meninggi. Benci dia memandang Samiri.

“Saya ada perkara yang perlu dijelaskan, berkenaan anak dara puan.” Samiri bersuara tenang.

“Anak dara? Kau sudah puas bersedap-sedap dengan dia, masih mahu menganggap Nurseha anak dara lagi kah?” Zainab memerli, suaranya yang nyaring turut didengari oleh Nurseha di dalam biliknya. Fatehah yang sedang menyapu minyak gamat di luka-luka di kaki dan tubuh Nurseha juga turut memasang telinga.

“Puan dengar dulu penjelasan saya...”

“Tak payah jelaskan apa-apa. Berapa kau bayar Nurseha? Kau datang sini di waktu malam ada apa? Nak jemput Nurseha melayan kau? Nak malukan aku di hadapan orang kampung?” Dada Zainab berombak menahan marah membuat Samiri menggeleng kepala.

“Kalau puan terus menuduh saya dan Nurseha, itu tak akan menyelesaikan masalah... Nurseha tak sihat, ada orang sihirkan dia...”

“Jadi bagaimana hendak diselesaikan masalah Nurseha ni? Kau yang rogol dia kan? Jangan-jangan kau yang menyihir dia!” Zainab menuduh, membuat wajah Samiri yang tenang berubah merah. Nampaknya Zainab memang tidak boleh dibawa berbincang.

“Baiklah, biar saya bertanggungjawab ke atas Nurseha. Saya akan nikahi dia dan bawa dia tinggal bersama saya kalau puan bersetuju.” Kata-kata Samiri mengejutkan Zainab dan seisi rumah yang mencuri dengar.

“Seha!!!!” Jerit Zainab yang terduduk di depan pintu. Nurseha keluar dari bilik, wajahnya bengkak kerana banyak menangis. Tubuhnya sakit berbilai akibat dirotan dan dipukul oleh Zainab sekembalinya dia ke rumah tadi. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah Zainab.

“Aku dah tak larat nak menjaga kau yang tak habis-habis memalukan keluarga. Siapa yang kau mahu pilih sebagai suami? Johari atau lelaki ni?” Zainab menunjuk ke arah Samiri yang memandang Nurseha.

“Seha... Seha tak mahu kahwin mak....” Nurseha menjawab perlahan dan duduk bersimpuh menghadap Zainab. Dia benar-benar terkejut kerana dilamar Samiri sehingga tidak mampu mahu bertentang mata dengan lelaki berkenaan yang berdiri di depan pintu rumahnya tanpa dijemput masuk dari tadi.

“Kau dah rosak, siapa yang mahukan kau? Siapa yang mahukan perempuan kotor macam kau?!!” Jerit Zainab lalu menampar kuat wajah Nurseha sehingga tersembam ke lantai.

“Puan, jangan pukul dia lagi!!” Samiri melangkah masuk ke dalam rumah dan menahan Zainab dari memukul Nurseha

“Nurseha, aku tanya kau lagi sekali. Siapa yang kau mahu? Dia ini atau Johari? Jawab Nurseha!!” Bentak Zainab menepis Samiri lalu bangun mengambil rotan yang terselit di celah papan dinding rumah. Rotan yang asalnya elok sudah hampir hancur bilahnya akibat dibuat memukul tubuh Nurseha petang tadi.

“Mak, ampunkan Seha mak... jangan pukul Seha lagi. Seha akan ikut cakap mak, asalkan mak tak bencikan Seha......” Nurseha merayu menyembah kaki Zainab.

“Aku suruh kau pilih. Pilih!!!” Pekik Zainab.

“Zap! Zap!” Bunyi rotan menyebat lantai kayu menyentak Nurseha yang ketakutan.

“Seha pilih encik ni.... Seha pilih encik ni. Mak!!!” Nurseha menangis mengongoi, sambil memeluk tubuhnya sendiri. Samiri menghela nafas panjang sebaik mendengar jawapan Nurseha.

“Bagus. Bila mahu bernikah?” Tanya Zainab kepada Samiri tanpa memandang wajahnya. Air mata Zainab mengalir di pipi. Nurseha sudah membuat keputusan, tak lama lagi tanggungjawabnya ke atas Nurseha akan segera berakhir.

“Esok pagi jam 10 saya akan jemput Nurseha. Kita nikah esok di sempadan. Nanti saya akan uruskan semuanya.” Samiri memandang Nurseha yang hanya mengangguk sambil menangis. Zainab menyeka air mata, berharap keputusannya untuk menikahkan Nurseha adalah keputusan yang tepat.

Samiri memasuki kenderaannya sambil diperhatikan oleh Bani yang tersenyum. “Kenapa kau tersenyum Bani? Aku hanya mahu membantu dia.” Jelas Samiri tanpa ditanya. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya kerana perlu membuat beberapa panggilan penting kepada peguamnya di Kuala Lumpur berkenaan pernikahannya dengan Nurseha.

••

Selesai upacara akad nikah yang ringkas, Samiri menghampiri Nurseha yang berpakaian baju kurung serba putih, pakaian ibunya sewaktu bernikah dengan arwah bapanya 20 tahun lalu. Sepanjang malam ibunya tidak tidur kerana mengubah suai saiz baju berkenaan mengikut ukuran badan Nurseha.

Cincin belah rotan yang dibeli secara tergesa-gesa di pekan pagi tadi disarung ke jari manis Nurseha yang kecil.

“Seha, salam suami tu...” Rosni, adik kepada Zainab yang tinggal di kampung yang berhampiran dengan sempadan Siam berbisik kepada Nurseha yang kelihatan teragak-agak. Samiri hanya tersenyum tipis memandang Nurseha, sebelum mengaminkan doa ringkas dan bergegas keluar dari masjid. Tubuhnya sudah tidak tahan lagi menanggung kepanasan dari awal kakinya menjejak masjid tempat upacara pernikahan dijalankan. Apatah lagi apabila mendengar doa-doa serta ayat suci Al-Quran.

“Terima kasih Puan Rosni dan Encik Halim kerana sudi menjadi saksi nikah bagi pihak Nurseha serta mewakili ibunya...” Samiri bersalaman. Dia menoleh ke arah peguamnya yang sedang menguruskan segala dokumen penikahan bersama ejen yang mengatur pernikahan dirinya dan Nurseha di sempadan.

“Jangan menangis Seha... Sekarang Seha dah jadi isteri orang, kena dengar dan patuh cakap suami. Sesekali nanti baliklah jenguk emak kamu tu. Dia marah sekejap saja, mak kamu tu sayangkan kamu. Kalau dia tak sayang, dia takkan beri baju nikah kesayangan dia untuk kamu pakai hari ni. Kamu simpan baik-baik baju ibu kamu ni ya. Encik Samiri, tolong jagakan Nurseha untuk kami...” Kata Rosni. Tangannya memeluk Nurseha erat. Samiri hanya mengangguk dan tersenyum. Nurseha sudah menjadi tanggungjawabnya kini.

Sebaik kenderaan yang dipandu Samiri bersedia untuk pergi, Nurseha melambai tangan memerhati ibu saudaranya. Mujur ada Rosni yang sudi hadir menemaninya. Jemari Nurseha menyeka air mata, sampai hati ibunya tidak sudi melihat dirinya bernikah. Malah dipesan agar jangan menjejakkan kaki ke rumah keluarga lagi.

Samiri memandang Nurseha yang hanya duduk diam melihat pemandangan di luar kenderaan. Matanya yang bengkak lantaran banyak menangis menghiasi wajahnya yang sayu. Mereka hanya membisu dari tadi.

“Kau lapar?” Tanya Samiri cuba memecah suasana yang sepi. Nurseha menggelengkan kepala.

“Aku ada urusan di bandar. Kau ikut aku ya.” Nurseha hanya mengangguk lesu, bawalah ke mana saja, dirinya sudah sah menjadi isteri lelaki di sebelahnya yang tidak pernah dikenali.

Tiba-tiba Nurseha teringat Anding yang kini sudah menjadi anak tirinya. Dia memejam mata, bagai tidak percaya dengan apa yang terjadi. Mulutnya ringan mahu bertanya tentang Anding kepada Samiri namun tidak terluah. Bernikah dengan bapa, kenapa pula khabar si anak teruna yang mahu ditanya? Apa pula kata suaminya nanti, otak Nurseha nampaknya masih boleh berfikir. Matanya lebih selesa ditutup agar pura-pura kelihatan tertidur dari berjaga. Sehingga akhirnya dia benar-benar tertidur, cuba berehat dari fikirannya yang kusut.

Entah sudah berapa lama perjalanan mereka sehingga Nurseha sudah terjaga dari tidur, namun tidak mahu dibuka matanya. Telinganya mendengar perbualan Samiri di telefon. Dia tidak faham apa yang Samiri bicarakan dalam bahasa inggeris. Hanya sedikit sahaja perkataan yang difahaminya.

“Oh, tentu hal perniagaannya. Berbual dengan siapa? Andingkah?” Hati Nurseha berdebar ketika terdengar nama Anding disebut-sebut oleh Samiri.

“Kita dah sampai. Turun.” Samiri memandang ke arahnya. Nurseha yang pura-pura baru terjaga, mengangguk. Samiri turun dari kenderaannya dan membuka pintu untuk Nurseha. Dihulurkan tangan agar Nurseha boleh berpegang ketika menuruni kenderaannya yang tinggi.

“Kita kat mana?” Tanya Nurseha. Selendangnya yang terherot membuat dia tidak selesa. Tangannya cuba membetul-betulkan selendang yang dipakai, sehingga kerongsang di dagunya tercabut membuat Nurseha tercari-cari di lantai dan akhirnya dia terlihat sesuatu yang berkilat di bawah kenderaan Samiri.

“Mall... Kau pernah datang ke sini?” Samiri bertanya sambil berjalan, seketika kemudian dia menoleh ke belakang apabila didapati Nurseha tidak menjawab pertanyaannya.

“Kenapa?” Samiri berpatah balik, hairan melihat Nurseha yang menunduk dan menonggeng seperti tercari-cari sesuatu yang penting.

“Kerongsang Seha terjatuh kat bawah kereta...” Jawab Nurseha.

“Mana?” Tanya Samiri.

“Tu....” Nurseha memuncungkan bibirnya dan menunjuk jarinya ke arah kerongsang kecil yang betul-betul berada di bahagian tengah bawah kenderaan Samiri.

“Sekejap...” Samiri membuka pintu kenderaannya dan mengeluarkan sekaki payung. Dengan berhati-hati dia menolak kerongsang Nurseha agar hampir. Samiri mengutip kerongsang berkenaan yang sudah patah.

“Dah rosak...” katanya sambil memandang Nurseha.

“Oh... maaf susahkan tuan...” Tutur Nurseha sambil menunduk. Serba salah kerana menyusahkan Samiri.

“Kalau kau tidak selesa berselendang, buka saja...” Samiri meneruskan langkahnya.

“Boleh ke Seha buka selendang ni?” Pertanyaan Nurseha membuatkan Samiri hairan.

“Aku tidak pernah memaksamu berselendang.” Jawab Samiri.

“Tapi nanti tuan kena menanggung dosa saya, kerana tidak menutup aurat.” Tutur Nurseha perlahan namun didengari Samiri.

“Kita menanggung dosa masing-masing. Kalau kau berbuat salah, mengapa aku harus menanggung dosamu? Sebelum ini kau tidak menutup rambutmu kan? Jadi siapa yang menanggung dosamu? Bapamu di dalam kubur? Dosanya saja sudah tidak tertanggung, mengapa dia harus menanggung dosamu? Kau sudah dewasa, tahu baik dan buruk. Kau bertanggungjawab di atas segala dosamu sendiri. Cepat Nurseha, kau belum makan dari pagi. Aku tidak mahu kau pengsan di tempat awam.” Nurseha berlari anak membontoti langkah Samiri yang kian laju.

Samiri membawanya ke sebuah restoran makanan Korea. Mata Nurseha terkebil-kebil melihat menu dan harga makanan yang tertera. Semangkuk mi yang nampaknya seperti mi segera berharga seperti sehelai pakaian yang dijual di Pusat Pakaian Hari-Hari.

“Pilihlah apa yang kau mahu.” Samiri mempelawa.

“Kenapa tuan bawa saya makan makanan Korea?” Tanya Nurseha.

“Kau tidak mahu makan di sini? Aku sangka gadis seusiamu suka Kpop dan makan makanan Korea.” Nurseha menggeleng kepala.

“Bukan tak mahu... tuan pilihkanlah, saya akan makan.” Akhirnya dia membiarkan Samiri memilih makanan untuknya.

Dia tidak suka makanan Korea, malah tidak pernah makan makanan Korea. Hanya adiknya Salina yang suka menonton drama-drama dan mendengar lagu artis Kpop. Fatehah pula suka menonton kartun dan mengumpul komik walaupun kian meningkat dewasa. Dia? Terlalu sibuk bekerja mencari duit sehingga tidak tahu perkembangan semasa. Satu-satu perkara yang dia gembira lakukan ialah memasak untuk adik-adiknya.

“Aku tidak sempat bertanya kepada ibumu tentang wang hantaran. Berapa hantaran yang kau mahu? Berikan aku nombor akaun bank.” Samiri berbicara tanpa melihat wajah Nurseha yang sedang makan. Dia hanya tekun melihat telefon bimbit di tangannya.

“Saya tak ada akaun bank. Tuan nak beri saya belanja hantaran?” Bulat mata Nurseha memandang Samiri. Sudahlah terpaksa menikahi dirinya, takkanlah mahu dibebankan dengan belanja hantaran pula. Sudah menyelamatkan dirinya dari Johari pun Nurseha sudah bersyukur.

“Nanti esok atau lusa aku akan bawa kau buka akaun bank.”

“Kalau tuan nak beri wang hantaran, beri kepada ibu saya saja. Kami ada banyak hutang untuk dilangsai. Tuan tak perlu bukakan akaun bank untuk saya.” Dahi Samiri berkerut mendengar permintaan Nurseha namun dia tidak mahu mengulas lanjut.

“Makanlah, selepas ini kita beli barang keperluan dan pakaianmu.” Samiri meletakkan telefon bimbitnya. Wajah Nurseha yang sedang menghirup kuah ramyeon ditatap lama. Bagai tidak percaya dia telah menikahi gadis semuda ini. Tiba-tiba Nurseha mendongak, pandangan mata mereka bertemu. Cepat-cepat Nurseha menunduk. Hatinya berdebar apabila menyedari Samiri sedang menatapnya.

Mereka sampai di rumah Samiri menjelang tengah malam dan disambut oleh Bani.

“Aku sudah menyiapkan kamar kalian di tingkat 2. Silakan Tuan Samiri dan puan naik ke atas...” Bani mempelawa dengan penuh rasa hormat membuat Nurseha tidak selesa.

“Kau tidur dan berehatlah di kamar yang Bani sudah siapkan.” Arah Samiri kepada Nurseha dan terus berlalu naik ke kamarnya di tingkat atas sekali, meninggalkan Nurseha terkebil-kebil.

Nurseha membuka pintu kamar yang ditunjuk oleh Samiri, saat suis lampu ditekan dia terkesima memandang ruang kamar yang dihias cantik seperti bilik pengantin. Ada kelopak bunga mawar merah dan merah jambu lembut di atas katil bercadar putih bersih.

“Tok...tok...tok...” Pintu kamar diketuk dari luar, Nurseha membuka pintu. Bani tersenyum dan masuk ke dalam kamar membawa barang-barang milik Nurseha yang baru dibelikan oleh Samiri tadi.

“Puan mahu saya kemaskan barang-barang ini?” Tanya Bani sopan.

“Tak perlu, nanti saya akan kemaskan sendiri. Lagi satu jangan panggil puan... panggil Seha saja. Terima kasih kerana hias bilik ini. Cantik....” Puji Nurseha, ikhlas. Bani tidak menjawab sebaliknya hanya tersenyum dan mengangguk.

“Jika Seha perlukan apa-apa, panggil saja saya.” Nurseha mengangguk dan tersenyum manis.

“Oh, Bani di mana arah kiblat?” Tanya Nurseha.

“Sana” Wajah Bani berubah. Senyumnya mati serta merta dan menunjuk acuh tidak acuh ke satu arah. Bani kemudian berpaling dan berlalu pergi meninggalkan Nurseha terpinga-pinga.

“Aku tersalah cakap ke?” Nurseha tertanya sendiri dan mengambil keputusan untuk mengabaikan rasa hati yang sedikit tersinggung dengan reaksi Bani sebentar tadi.

Selesai mandi membersihkan diri, Nurseha mengeluarkan telekung dan sejadah baru miliknya dan terus bersolat. Telinganya seakan terdengar suara jeritan, tapi dia tetap meneruskan solatnya.
Mungkin suara burung hantu yang aktif di waktu malam, fikirnya sendiri.

Dia meneruskan dengan berzikir memuji Allah dan menzahirkan rasa kesyukurannya. Segala apa yang telah terjadi telah ditakdirkan dan dia cuba untuk redha menerima Samiri sebagai suami. Dia tersenyum sendiri, kerana nama Samiri sudah menjadi nama baru yang akan disebut dalam doanya bermula detik itu.

Nurseha membuka telekung dan duduk di atas katil, menunggu jika Samiri mahu masuk ke kamarnya. Hatinya berdebar. Dia berdiri melihat wajahnya sendiri di cermin, tersenyum dan berpuas hati dengan baju tidur bercorak kartun yang dipilihnya sendiri. Lengan dan kakinya yang berbilai kesan sebatan rotan ibunya diusap. Masih ada lebam yang kelihatan.

Rambutnya yang panjang disisir rapi, wangian yang Samiri belikan di pusat membeli belah tadi dibuka. Dia menghidu dan tersenyum, wangi... Terkejut dia ketika melihat harga di kotak. Minyak wangi itu harganya melebihi dari gajinya sebulan ketika bekerja di warung Cik Siah.

“Mahalnya... ish simpanlah, macam tak layak pula aku pakai minyak wangi mahal begini.” Nurseha menyimpan kembali minyak wangi di dalam kotak. Dia menuang bedak talkum Enchanteur ke tapak tangan dan menepek bedak di sekitar leher dan pipi.

Nurseha berasa kian mengantuk lalu berbaring di atas katil dan menyarung selimut. Rasa rindu kepada tilam nipis yang menjadi alas tidur di rumah keluarganya. Siapa sangka dia sudah menjadi seorang isteri.

Tanpa disedari air matanya mengalir, terasa bersalah tiba-tiba kerana berbaring di atas tilam empuk begini sedangkan ibu dan adik-adiknya tidur di atas tilam nipis dan berselubung selimut lusuh saban malam. Akhirnya dia terlena jua dalam tangisan kesedihan dan berdoa agar ibunya terbuka hati untuk menerima dirinya semula ke pangkuan keluarga.

••

Johari menendang tayar kereta dan menumbuk bonet keretanya sehingga kemek. Marahnya bukan beransur hilang, malah semakin meluap-luap sehingga mahu terbakar seluruh tubuh rasanya.

“Kau dah janji nak kahwinkan anak kau dengan aku, tiba-tiba hari ni kau beritahu Nurseha dah bernikah!” Johari terpekik dan memasuki rumah. Hatinya sakit, hajatnya menikahi Nurseha tidak tercapai.

Awal pagi lagi Johari sudah terpacak di depan pintu rumah Tok Ghani. Ibu dan bapanya akhirnya bersetuju untuk meminang Nurseha setelah Zawani memberi kebenaran malam tadi.

Sebenarnya Zawani memberi izin kerana terdengar khabar angin di pekan siang semalam yang Nurseha dan bakal suaminya telah singgah ke kedai emas untuk membeli cincin kahwin. Zawani tersenyum puas melihat suaminya mengamuk kerana patah hati.

“Kenapa abang?” Zawani bertanya kepada Johari.

“Kau ada dengar cerita Nurseha dah bernikah semalam?”

“Nurseha dan bernikah? Tak ada pula Ani dengar cerita.” Jawab Zawani.

“Ibunya menolak pinangan aku. Katanya Nurseha sudah bernikah semalam dengan Samiri, lelaki yang baru berpindah ke rumah besar di hujung kampung kita ni... Cepat betul kau bertindak ya Samiri.” Penumbuknya dikepal. Hatinya semakin terbakar melihat senyuman Zawani yang lebar, seolah mengejeknya.

Zawani ke dapur, mengambil beberapa uncang teh yang dikeluarkan dari paket dan dibawa ke tandas. Dilap ketiak dan celah kangkangnya dengan uncang-uncang teh berkenaan.

Setelah berpuas hati, dia keluar dari tandas dan membancuh teh tarik kegemaran Johari. Nama Johari disebut berulang-ulang dalam hati beserta jampi serapah penunduk yang diajar oleh bomoh Siti.

“Minum bang...” Pelawa Zawani lalu memicit bahu Johari.

“Agaknya Kak Nab saja beri alasan... macam tiba-tiba saja Nurseha dinikahkan. Takkanlah urusan nikah boleh selesai dalam masa satu hari... kan ambil masa nak sediakan pelbagai dokumen...” Zawani memujuk, suaranya dilunakkan agar kedengaran manja di telinga suaminya.

“Nikah di Siam tak perlu dokumen. Tak susah macam bernikah di Malaysia ni. Setengah jam dah siap semuanya. Kalau aku tahu Nurseha sanggup dibawa ke Siam, dah lama aku bawa dia ke sana. Dasar perempuan murahan!!” Bentak Johari lalu mengambil gelas berisi teh tarik. Dia merindui teh tarik buatan Nurseha yang selalu diminum di warung Cik Siah. Teh tarik buatan Zawani seperti terlebih manis di tekaknya. Sedikit saja dihirup lalu diletak semula.

“Sikitnya abang minum...” Zawani mencebik melihat teh tarik di gelas yang tak habis diminum oleh Johari.

“Manis sangat.” Johari bangkit dari duduk dan bergegas keluar dari rumah. Dia sudah berjanji dengan Abidin untuk berjumpa di warung Pak Melan.

“Eeee... tak pernah lekat di rumah. Bomoh Siti ni biar betul, tak mujarab pun segala jampi serapah yang aku bacakan pada Abang Johari. Buat penat je aku hafal beriya-iya jampi penunduk tu. Pandang muka aku pun dia tak mahu. Bomoh penipu!!!” Zawani mengetap bibirnya, geram dengan suaminya yang tidak lut dengan sebarang jampi dan temberang bomoh Siti.

Johari menjeling tajam ke arah teman-temannya yang seronok mentertawakan dirinya yang kempunan beristerikan Nurseha.

“Sudahlah Jo... Nurseha pun dah selamat jadi isteri orang...” Pujuk Abidin.

“Bijak juga Samiri tu bawa dia nikah di Siam. Satu hari dah selesai, malam dah boleh peluk halal. Hahahaha!!!”

“Lecehlah nikah di Siam. Nanti kena bayar denda....”

“Alah, kena denda bayar sajalah... Samiri tu kaya raya, apalah sangat denda beribu. Tak berkurang harta dia. Asalkan Nurseha yang muda, bergetah, tip top ada dalam genggaman... kan Jo? Hahaha!!” Giat Samad Juling.

“Dushh!!!” Mata Samad Juling ditumbuk kuat oleh Johari.

“Mulut kau jangan lebih Samad. Dah elok juling, buta pula mata kau nanti!!!” Johari disabarkan oleh teman-teman yang lain.

“Ah kau beranganlah sampai reput. Nurseha takkan jadi milik kau Johari!!!” Samad Juling terus mengajak bertikam lidah membuat Johari semakin geram dan mengasak Samad Juling bertalu-talu sehingga separuh nyawa ditinju.

Johari mengeluarkan wang dari poketnya lalu dicampak ke wajah Samad Juling. “Nah duit buat beli ubat atau bayar upah gali lubang kubur kau!!” Johari segera berlalu pergi.

Tangannya meraba-raba sepucuk keris yang dibalut dengan kain merah di bawah tempat duduk di dalam keretanya. Dengan menggunakan asap rokok, hatinya menyeru satu nama di kala itu, Sali Raya.

••
Anding seakan tidak percaya dengan apa yang didengari di pantri sewaktu sarapan tadi. Bapa angkatnya Samiri sudah bernikah di sempadan Siam dengan seorang gadis sejak 2 minggu lalu. Itu pun kerana pekerja yang diamanahkan untuk menghantar dokumen kerja setiap minggu kepada bapanya telah terlepas cakap.

Anding bergegas mengisi borang cuti dan membatalkan semua temujanji pada hari Jumaat esok. Dia mahu pulang menemui Samiri di Kampung Jelai Paya hari ini. Kalau dia sempat sampai awal, dia turut berpeluang untuk bertemu Nurseha di warung Cik Siah, fikirnya sambil tersenyum.

Selepas mengemas pakaian dan bersiap, Anding segera memandu menuju ke Pantai Timur. Beg kertas berisi baju kurung yang akan diberi kepada Nurseha dikerling. Bapanya sudah memilih seorang wanita kampung untuk dijadikan isteri. Apa salahnya jika dia memilih Nurseha?

Dia tertanya-tanya mengapa tiba-tiba saja Samiri bernikah dan merahsiakan pernikahan tersebut darinya? Dia tahu bapanya itu tidak pernah ada teman wanita yang istimewa biarpun ramai wanita yang mencuba nasib untuk menjadi pasangannya. Anding menekan pedal minyak agar kenderaannya bergerak lebih laju. Ada banyak persoalan yang bermain di fikirannya.

Awan hitam semakin berat seperti mahu menumpahkan hujan yang lebat sebentar lagi, Anding melirik jam di pergelangan tangan yang menunjukkan waktu menghampiri jam 4 petang. Dia menghentikan keretanya berhampiran warung Cik Siah. Kelihatan Cik Siah berseorangan sedang menyapu lantai.

“Cik Siah...” sapanya.

“Eh Anding... lama tak nampak?” Cik Siah tersenyum mesra menghampiri Anding.

“Sibuk sikit Cik Siah, banyak kerja di pejabat. Hmmm... Nurseha mana?” Mata Anding tercari-cari Nurseha.

“Nurseha... dah tak bekerja di sini Anding.... sekejap, dia ada tinggalkan barang untuk Anding. Tunggu ya.” Cik Siah menuju ke dapur sebelum sempat Anding bertanya lebih lanjut. Seketika kemudian dia kembali semula membawa beg kertas dan menyerahkan kepada Anding yang berubah air muka apabila melihat telefon bimbit pemberiannya dikembalikan semula. Patutlah setiap kali dia cuba menghubungi tak pernah berjaya. Rupanya Nurseha yang tidak sudi menerima.

“Kenapa dia berhenti kerja Cik Siah?” Tanya Anding lagi. Dia tahu dirinya sudah ditolak oleh Nurseha.

“Panjang ceritanya Anding. Cik Siah rasa macam tak elok nak kongsi memanjangkan cerita. Hmmm....” Cik Siah serba salah, Anding tidak tahukah bapanya telah menikahi Nurseha?

“Kenapa Cik Siah?” Soal Anding bila dilihat Cik Siah seperti mahu bertanya sesuatu.

“Tak ada apalah Anding. Hari dah gelap ni, macam nak hujan. Cik Siah nak sambung mengemas.” Dalih Cik Siah.

“Hmmm.... okey Cik Siah. Saya pulang dulu, maaf ya mengganggu Cik Siah...” Anding berbasa basi dan kembali menaiki kenderaannya. Rasanya dia ingin pergi ke rumah Nurseha, namun memandangkan hari kian gelap, lebih baik dia pulang terus ke rumah bapa angkatnya.

Anding memandu sehingga ke hujung kampung, cuba melupakan seketika perihal Nurseha. Dia tersenyum ketika melihat tanah yang sudah ditarah dan ditambak untuk kerja-kerja membuat jalan raya menuju ke rumah Samiri. Keretanya dengan mudah dapat melalui laluan batu kerikil terus menuju ke depan gerbang dengan pagar kayu yang tinggi menjulang.

Anding membunyikan hon beberapa kali. Sebaik saja Bani membukakan pintu pagar, hujan terus menitis membasahi bumi. Pada mulanya renyai kemudian bertukar menjadi lebat. Anding turun dari kenderaannya dan berlarian ke beranda rumah.

“Masuklah Anding” Pelawa Bani dengan hormat. Anding hanya melemparkan senyuman sebagai tanda ucapan terima kasih.

“Tuan Samiri di mana?” Tanya Anding memerhati ruang tamu dan dapur. Mulutnya bertanyakan Samiri sedangkan matanya tercari-cari gerangan isteri bapanya. Tidak sabar dia mahu ketemu dengan ibu angkatnya. Menurut kata pekerja bapanya, ibu angkatnya masih muda dan cantik.

“Tuan ada di kamarnya. Seperti biasa, dia tidak mahu diganggu sehingga malam. Kau mahu makan Anding?” Jawab Bani.

“Tak apa. Nanti malam saja aku makan. Aku mahu naik berehat di kamarku.” Anding berjalan ke tangga untuk naik ke tingkat atas.
Langkahnya terhenti ketika terserempak dengan Nurseha yang mahu turun ke bawah. Berderau darahnya apabila mata mereka bertentangan.

“Encik Anding bila sampai?”

“Nursehakah isteri ayah?” Tanya Anding dalam hati. Nurseha yang tadi tersenyum manis kelihatan teragak-agak apabila Anding hanya diam tidak menjawab soalannya.

“Saya turun dulu...” Nurseha meminta izin.

“Seha....” Panggilan Anding menghentikan langkah Nurseha.

“Patutlah selama ini Seha seperti acuh tak acuh melayan abang. Seha tahu kan abang sukakan Seha?” Nurseha terpempan mendengar soalan Anding, dia tidak mahu menjawab dan mahu meneruskan langkah untuk turun ke bawah tetapi lengannya ditarik Anding.

“Sejak bila Seha bersama Tuan Samiri?” Nurseha tidak menjawab pertanyaan Anding dan menggelengkan kepala.

“Encik Anding tanyalah Tuan Samiri, Seha nak turun.”

“Seha...” Anding menarik Nurseha agar hampir padanya. Pegangannya kian kejap.

“Jangan begini Encik Anding, jangan pegang Seha begini. Seha isteri orang, isteri bapa encik. Lupakan saja Seha. Lagipun kita memang tak ada apa-apa hubungan...” Nurseha cuba melepaskan pegangan Anding.

“Kriuk....” Bunyi pintu bilik yang terbuka dari kamar Samiri membuat keduanya tersentak.

Nurseha dan Anding berlari menuruni tangga tergesa-gesa. Dalam kekalutan, kaki Nurseha tersadung kain baju kurung yang dipakainya. Akhirnya Nurseha hilang keseimbangan dan jatuh bergolek sehingga ke tingkat bawah.

“Nurseha!” Samiri menjengah dari koridor atas dan bergegas turun.

“Aduh....” Nurseha merintih sambil meraba kepalanya yang sakit terhentak lantai. Kakinya turut terseliuh. Anding hanya memerhati Samiri mendukung tubuh Nurseha dan dibawa ke sofa.

“Bila kau sampai Anding?” Tegur Samiri.

“Baru sampai. Sebaik terdengar khabar angin ayah bernikah di sempadan, saya terus memandu pulang ke sini. Tak sabar mahu berkenalan dengan isteri ayah.” Anding bersuara memerli.

“Kau kenal Nurseha. Dia yang bekerja di warung tepi jeti. Kau yang bawa aku ke sana beberapa bulan yang lalu.” Samiri memandang Anding. Manakala Nurseha hanya menunduk, tidak berani mahu melihat Anding atau Samiri.

“Kaki isteri ayah terseliuh di buku lali. Saya mahu naik ke atas dahulu untuk berehat.” Anding meminta diri sambil memandang Nurseha.

“Bagaimana kau berjalan Nurseha?” Tanya Samiri.

“Seha nak cepat ke dapur tadi. Nak masak untuk makan malam... Kalau lewat masak nanti tuan akan lewat makan.” Jawapan Nurseha membuat Samiri tersenyum.

“Di depan Anding jangan panggil aku tuan...” Bisik Samiri.

“Habis nak panggil apa?” Tanya Nurseha.

“Panggilan seorang isteri kepada suami.” Samiri menatap wajah Nurseha.

“Baik abang...”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience