ENAM

Fantasy Series 877

Tepat jam 6 pagi Anding terbangun apabila penggera di telefon bimbitnya berbunyi. Tubuh letihnya dipaksa bangkit. Selesai membasuh muka dan menggosok gigi, dia menyarung pakaian senaman dan keluar dari kamarnya untuk ke bawah.

“Hah!!” Anding terkejut sehingga terlanggar dinding ketika terpandang Bani yang berdiri tegak di anak tangga bawah sekali.

“Sarapanmu sudah aku siapkan di dapur...” Bani tersenyum. Entah mengapa Anding merasa bulu romanya naik berdiri ketika melihat senyuman Bani. Entah senyum atau menyeringai. Wajahnya pucat dengan rambut panjang.

“Terima kasih, tapi aku belum mahu bersarapan.” Anding membalas sapaan Bani lalu turun ke bawah. Dia mengurut dadanya yang belum habis rasa terkejut.

“Sebaiknya kau bersenam saja di kawasan halaman rumah. Ini pesanan Tuan Samiri.”

“Kenapa? Bagaimana aku hendak berjoging 5 sehingga 10 kilometer di halaman rumah saja? Ototku akan sakit dan lenguh jika sehari aku tidak berlari. Jangan bimbang, aku tidak akan ke hutan belakang.” Anding menarik muka. Tidak suka diarah dan dipesan.

“Anding, selagi matahari tidak memancarkan cahayanya maka kegelapan dan kejahatan masih bermaharajalela. Kita masih baru di sini, tidak tahu apa yang menunggumu di luar sana.”

“Apa maksud kau Bani? Bagaimana kau tahu ada orang jahat di kampung ini?” Suara Anding mula meninggi. Langkahnya terhenti.

“Sebaiknya kau patuh terhadap pesanan Tuan Samiri.” Bani berpaling, mahu naik ke tingkat atas.

“Aku akan bertanya kepada dia sendiri!” Anding berlari naik ke atas namun di tahan oleh Bani yang berdiri di tengah tangga.

“Tuan Samiri tidak mahu diganggu sehingga jam 8 pagi. Pergilah makan sarapanmu.”

“Berhenti melayanku seperti seorang budak, Bani. Aku bukan budak kecil lagi. Aku tidak suka kau memberitahu atau menentukan bila aku harus makan, apa aku harus buat!” Anding menengking Bani yang tidak bereaksi.

“Anding....” Anding mendongak memandang ke tingkat atas. Samiri menjengah dari koridor lalu turun ke bawah.

“Ada apa bising-bising begini di subuh hari? Bani, siapkan pakaianku. Tak perlu siapkan sarapan untukku, nanti aku akan bancuh kopiku sendiri.” Bani mengangguk dan menurut.

“Anding, nanti sebentar lagi kita ke bandar, kau pilih threadmill yang kau mahu. Buat masa ini jangan berkeliaran sendiri di luar kawasan rumah. Kalau kau mahu berjoging, nanti aku akan minta pekerjaku membersihkan kawasan tanah di sebelah sebagai trek larianmu, asalkan kau tidak keluar dari kawasan sempadan tanah kita. Kau boleh berjoging sepuasmu mengelilingi 20 ekar keluasan tanah nanti.” Samiri berwajah serius, kemudian dia tersenyum seolah cuba memujuk Anding dan mengajak ke dapur.

“Ayah, saya boleh menjaga diri sendiri.” Anding memprotes sambil memerhatikan Samiri yang menuang susu segar dan memasukkan beberapa biji pisang ke dalam pengisar.

“Aku tahu kau sudah cukup dewasa tapi hutan di sini bukan hutan biasa Anding. Bukan taman riadah yang setiap hari kau pergi seperti di kota. Ada pekerja kita yang menjumpai lopak air tempat binatang buas berkumpul untuk minum. Bani juga pernah tersempak dengan pak belang, melintas di hadapan pagar rumah. Dengar sini, aku belum puas membesarkanmu dan aku tidak mahu kehilangan satu-satunya anak lelakiku. Jangan bantah kata-kataku, Anding.” Samiri mengeraskan suaranya membuatkan Anding mengangguk lesu.

“Maafkan saya, ayah...”

“Bukan minta maaf kepadaku. Minta maaf dengan Bani yang menjaga keperluan kau dan aku dari dulu lagi. Walaupun dia hanya pengurus rumah, aku tidak suka kau meninggikan suara terhadapnya.” Anding mengangguk lagi. Apa saja asalkan bapanya tidak marah-marah.

“Minum.” Samiri menghulurkan susu pisang buatannya dan Anding hanya menurut. Entah mengapa dari dulu dia tidak senang dengan Bani. Nampaknya terpaksalah dia membatalkan hasratnya untuk berlari di kawasan kampung pagi ini. Untuk keluar dari rumah mereka ke jalan utama juga harus melalui laluan hutan di kiri kanan berjarak lebih 500 meter. Dia juga hairan mengapa bapanya mahu berpindah mengasingkan diri dari kota ke kampung atau lebih tepat lagi tinggal di dalam hutan tanpa jiran-jiran berdekatan.

Samiri menarik nafas lega apabila Anding menurut katanya, memang dia risau jika Anding keluar dari rumah berkenaan tanpa kenderaan. Menaiki basikal juga dia tidak akan izinkan. Dia tahu Anding masih teruna dan siapa yang hauskan darah teruna di Puncak Butnak.

••

Johari tersentak buat kesekian kali ketika terbangun dari tidur pagi itu. Dia membuka pakaiannya yang basah berkeringat. Dadanya berombak kencang, kepenatan. Berulangkali dia terjaga antara mimpi dan sedar. Bermula dengan menerima sebilah keris, berendam di air terjun yang dingin dan tubuhnya diasap kemenyan. Segalanya bagai benar. Dia duduk termenung, adakah malam tadi dia sudah menerima saka keturunannya? Selama ini dia hanya mendengar khabar angin tentang bapa dan keturunan atasnya yang ‘membela’. Tetapi dia tidak pernah mahu bertanya kepada bapanya kerana menganggap hal berkenaan tidak penting.

Telinganya terdengar esakan Zawani yang sedang berjalan ke ruang tamu. Dia hanya memerhati wajah isterinya yang sembab kerana banyak menangis.

“Ani dah buatkan sarapan abang, makanlah sebelum keluar nanti” Suara Zawani menggigil, hatinya sakit mengenang sikap Johari. Sampai ke tempat tidur pun Johari masih memikirkan Nurseha tanpa menghormati perasaannya sebagai isteri yang sedang berbadan dua.

“Berhenti menangis. Kalau kau masih mahu menjadi isteri aku, belajar untuk menerima kenyataan yang aku mahukan Nurseha. Kalau dia bersetuju, aku akan nikahi dia secepat mungkin.” Kaki Zawani seakan lemah mendengar kata-kata Johari lalu jatuh terjelepuk ke lantai.

“Ani buat salah apa pada abang? Kenapa abang buat Ani begini? Ani sayangkan abang...” Zawani menangis mengongoi. Sampai hati Johari sanggup melukakan perasaannya. Johari kian berasa bingit mendengar soalan yang dilontarkan Zawani lantas bangun meninggalkan si isteri yang semakin kuat tangisnya tanpa berkata apa-apa. Dia mahu segera bersiap untuk ke rumah bapanya.

Sebaik sampai di sana, Johari ternampak seseorang sedang berdiri di bawah pohon durian tidak jauh dari belakang rumah. Itu lelaki tua berpakaian seperti pendekar yang menjelma dalam mimpinya. Johari menelan liur, nampaknya mimpinya malam tadi bukan mainan tidur. Dia berasa takut namun cuba memberanikan diri.

Lelaki tua itu berpaling dan berjalan, seakan mengajak Johari mengikuti langkahnya. Seperti dipukau, Johari patuh mengikut, lalu keduanya menghilang di balik pohon-pohon yang rimbun.

Belikat Johari disentuh perlahan, membuat Johari tersedar. Dia sedang duduk di atas hamparan batu besar. Sekeliling tempatnya berasap, mimpinya pagi tadi kini menjadi realiti. Dia berada di tempat yang sama seperti yang dimimpikan. Tok Sendeng tersenyum memandangnya.

“Kau telah diundang oleh Sali Raya ke sini. Hanya bapa kepada moyangmu dan engkau saja yang pernah ke mari. Moyangmu, datuk dan bapamu tidak pernah sekali pun diundang. Kau lebih istimewa dari yang lain, kerana Sali Raya yang memilihmu sebagai tuan kepada dirinya.”

“Aku tak faham. Siapa Sali Raya? Kau siapa?” Johari bertanya.

“Hahaha... nampaknya kau sudah berjaya mengawal ketakutanmu. Di dalam hatimu sudah tiada gentar. Hanya sikap ingin tahu saja. Kau memang berani. Bagus. Hahaha!!!” Tok Sendeng tertawa lalu matanya terbeliak, kepalanya terdongak apabila kepulan asap hitam memasuki mulut dan hidungnya, membuatkan matanya bertukar menjadi hitam. Seketika kemudian dia terdiam dan memandang Johari dengan tepat.

“Akulah Sali Raya yang menguasai gunung, hutan, laut dan sungai di sini. Bapa kepada moyangmu telah datang mencariku, memohon bantuanku dan bersetuju dengan satu perjanjian yang ditandatangani dengan darah demi melindungi seluruh keturunan, kuasa dan hartanya. Kau adalah keturunannya yang ke 5, sudah beratus tahun aku menjaga keturunanmu. Aku akan membantumu mencapai segala kehendak duniawi yang kau mahu.” Garau berbalam suara Tok Sendeng yang tubuhnya sudah bersatu dengan Sali Raya.

“Benar kau boleh membantu aku? Kau mahu apa dariku?” Johari bertanya lagi.

“Habuan sebagai balasan khidmatku.”

“Apa yang kau mahu? Ayam atau kambing hitam?” Johari cuba menduga. Soalannya yang angkuh dijawab dengan tawa yang menggegarkan seluruh puncak Butnak.

“Jangan meremehkan aku. Habuan untukku lebih besar harganya dari itu. Tanya bapamu yang telah gagal menyediakan habuan buatku seperti yang telah dijanjikan. Tapi tak mengapa kerana dia akan menebus kegagalannya dengan nyawanya sendiri....” Sali Raya berbisik di telinga Johari yang terkejut.

“Abah....” Johari menggigil. “Kau nak bunuh abah aku?” Tanya Johari.

“Hahaha!!!” Asap hitam pekat berkepul keluar dari tubuh Tok Sendeng bersama ketawa Sali Raya.

“Aku mahu pulang. Hantarkan aku pulang. Aku tidak pernah meminta Sali Raya melindungi diri aku!” Johari melompat turun dari batu besar dan mencekak leher baju Tok Sendeng yang sedang terkumat kamit mulutnya. Matanya perlahan-lahan dibuka. Sali Raya sudah keluar dari tubuhnya.

“Kau sudah pun terima kehadiran Sali Raya menjadi sebahagian dirimu seperti keturunanmu yang lalu. Bukankah kau mahukan Nurseha?” Tok Sendeng tersenyum apabila melihat Johari mengangguk. Keinginannya terhadap Nurseha tidak dapat dikawal lagi.

“Mandilah di kolam keramat air terjun Butnak ini. Selepas kau keluar dari kolam ini, kau akan menjadi lelaki yang baru, yang tidak gentar akan apa-apa.” Johari membuka semua pakaiannya dan melangkah memasuki kolam yang agak dalam. Walaupun dia agak tinggi, kakinya tetap tidak mencecah ke dasar. Dia berenang mengapungkan dirinya, bibirnya terketar menahan gigil sejuk air yang seperti ais.

“Menyelamlah ke dasar.” Arah Tok Sendeng. Tanpa memikirkan apa-apa, Johari menutup hidung dan menyelam sehingga ke dasar. Seketika kemudian apabila tidak mampu lagi bertahan, dia melayangkan tubuhnya naik ke atas untuk bernafas, tetapi bahunya terasa berat seperti ditekan sesuatu yang tidak kelihatan. Johari meronta-ronta di dasar kolam. Dia dapat merasakan air memasuki paru-parunya sehingga dia kelemasan. Matanya terbuntang dan akhirnya dia timbul perlahan-lahan ke atas permukaan kolam.

Johari tersedak ketika belakang tubuhnya dipukul oleh Tok Sendeng. Merah matanya akibat dimasuki air tadi. Dia bangun perlahan-lahan lalu menyandar di batu memerhatikan Tok Sendeng yang sedang mengasap sebotol minyak di tangan. Selesai mengasap, Tok Sendeng menyerahkan botol minyak berkenaan yang berisi akar tumbuhan kepada Johari.

“Sebut nama Nurseha berbintikan ibunya. Seru semangatnya, bayangkan wajahnya. Dia akan tertunggu kedatangan kau. Calit minyak ini sedikit di jemarimu ketika kau bertemu dia, pastikan kulitmu menyentuh kulitnya. Dia akan tunduk pada kau. Ulang bacaan yang akan aku ajar. Baca dan hembus pada wajahnya. Jika kau baca di telinganya dan pandang matanya, itu lebih baik.” Johari tersenyum dan mengangguk.

Dadidadi-dadidadi
Aku duduk si Nurseha berdiri
Aku bersalah si Nurseha menyerah
Tunduk kasih tunduk sayang gila berahi kepada aku,
Memandang cahayaku,
Memandang rupaku,
Mendengar kata-kataku,
Berkat Sali Raya dan aku bersatu

“Setelah kau dapat dia, bawa dia ke sini agar perhubungan kalian berdua direstui oleh Sali Raya.”

“Datang ke sini dengan Nurseha? Aku tak tahu bagaimana mahu datang ke sini.” Berkerut dahi Johari. Apa yang dia tahu, sekarang dia berada di hutan Butnak. Itu pun kerana tadi Tok Sendeng juga yang beritahu kolam yang dia berendam sehingga lemas tadi ialah kolam air terjun Butnak.

“Hmm... nanti kau tahu mencari jalan sendiri selepas ini...” Tok Sendeng tersenyum sinis dan bersiul, tiba-tiba seekor babi hutan bertaring melengkung keluar dari semak rumpun berhampiran lalu datang menghadap, menyerah diri. Tok Sendeng menyangkut tali ke leher si babi, lalu di jerut kuat dan digantung di pohon ara.
“Bangun.” Arah Tok Sendeng kepada Johari yang terpinga-pinga.

Mulut Tok Sendeng terkumat-kamit sebelum menoreh dada si babi yang sedang terkejang menahan azab kematian. Darah segar keluar memancut dari si babi seperti air paip.

“Minum dan mandi darahnya.” Tubuh Johari ditolak ke bawah babi yang sudah menjadi bangkai sebelum sempat Johari menolak. Terkelip-kelip mata Johari apabila tubuhnya bermandi darah hanyir babi yang panas suam. Hendak berundur dia sudah terjebak, dia memejam mata membayangkan wajah Nurseha yang menjadi dambaan.

“Demimu Nurseha, makan daging babi juga aku sanggup lakukan.” Hatinya berbisik.

“Hahaha.... bagus Johari. Ini hatinya, makanlah atas nama Sali Raya!” Tok Sendeng yang mendengar suara hati Johari tertawa kuat seraya mengunjuk hati babi sebesar dulang kepada Johari membuat dada Johari berombak kencang.

“Makan Johari, tenagamu akan menjadi sekuat babi hutan. Makanlah demi Nurseha dan kekayaan yang kau dan keturunanmu dambakan. Hahaha!!” Bisik Sali Raya ditelinganya, Johari mengangguk lalu giginya menggigit hati babi yang kenyal dan dikunyah lumat sebelum ditelan.

••

Cahaya remang matahari petang membuat Anding mengantuk. Sekembalinya dari bandar tadi dia hanya duduk di bilik, mengurung diri sambil menyemak beberapa laporan kerja yang dibawa bersama. Anding memejam mata dan menyandar di kerusi lalu dia menutup laptop tanda sudah bosan menghadap kerja-kerjanya.

Matanya melirik ke sebuah beg kertas di tepi katil yang mengandungi telefon bimbit yang baru dibeli khas buat Nurseha. Segalanya sudah disiapkan, hanya perlu digunakan saja. Anding tersenyum sendiri, di zaman moden begini masih ada lagi orang yang tidak mementingkan peralatan untuk berkomunikasi.

“Nurseha...Nurseha... berapa banyak yang kau telah ketinggalan? Dunia kini semakin pantas berubah, namun kau masih kekal bertenang dengan cara lama...” Dia memasukkan semula telefon bimbit ditangannya ke dalam kotak. Dia ingin bersiap, mandi dan berpakaian serapi mungkin untuk bertemu Nurseha.

Memandangkan hari ini Nurseha bercuti, Anding membuat keputusan untuk ke rumah gadis itu saja.

“Kalau tak boleh keluar, jumpa saja dirumah.” Fikirnya, mengambil jalan mudah. Dia pulang kerana ada dua tujuan. Pertama untuk bertemu bapanya, kedua untuk Nurseha yang berjaya membuat jiwa lelakinya gelisah.

Selesai bersiap, dia keluar perlahan-lahan dari biliknya. Gayanya seperti anak gadis yang cuba mencuri keluar dari rumah di waktu malam. Sebaik masuk ke dalam kereta, bibirnya mengukir senyuman gembira lantas dia memandu keluar secepat yang boleh dari kawasan rumah tanpa sedar gerak gerinya diperhatikan oleh Bani.

“Anak manjamu sudah keluar melanggar perintahmu.” Lapor Bani kepada Samiri yang hanya mengangguk dan mengeluh.

“Tunggu kepulangannya. Perhatikan persekitaran rumah ini. Aku harap dia tidak akan pulang lewat. Jika dia berdegil, aku sendiri yang akan melarangnya pulang ke sini lagi.” Samiri bersuara mendatar, cuba mengawal rasa marah dengan sikap degil Anding.

“Kau mahu mewariskan segala peninggalanmu kepada Anding?” Soal Bani tiba-tiba.

“Kenapa kau tanyakan lagi? Kita sudah bersepakat tentang hal ini. Anding akan mewarisi segala hartaku selepas aku tiada. Aku dapat merasakan si tua di puncak Butnak itu sedang merancang sesuatu selepas 30 tahun tiada teruna yang dikorbankan oleh Ghani. Aku harus bersedia, Bani. Aku tidak mahu pengorbanan dan penantianku selama ini sia-sia...” Samiri bangun dari katil dan membuka luas tingkap membenarkan sinar matahari petang menerobos masuk ke dalam ruang kamar. Setelah itu dia menanggalkan pakaiannya satu persatu agar bahang panas menyentuh kulitnya. Dia menarik nafas perlahan dan menahan.

“Hartamu kau perolehi berkat amalan ilmu hitam yang berakar umbi di jiwa ragamu. Untuk mengekalkan kekayaan dunia seperti yang kau ada sekarang, dia juga harus menjadi siluman. Sudah tiba masa untuk kau melatih dia.” Samiri melepaskan nafasnya perlahan-lahan, cuba menetapkan gelombang alpha di otaknya. Apabila dia menoleh ke belakang, Bani sudah keluar meninggalkannya seorang diri.

Nurseha tersenyum dan tertawa kecil melihat Fitri sedang riang bermain dengan 2 ekor anak kucing di tepi pangkin. Kertas suratkhabar yang direnyuk menjadi ketulan bola kemudiannya dicucuk ke sebatang lidi penyapu keras, lalu diacah-acah kepada pasangan kucing yang terkinja-kinja mahu menangkap bola kertas.

Nurseha meletak seketika baju kurung yang sedang disembat. Perhatiannya beralih kepada sepiring jeruk mangga hasil air tangannya sendiri. Dia menjamah dan tersenyum tanda puas hati. Masam, masin, pedas, manisnya serba cukup.

“Boleh jual...” bisiknya sendiri.

“Nak...” Fitri menganga mulut, meminta Nurseha menyuapkan jeruk mangga.

“Eh... ada orang datang!” Fitri turun dari pangkin, tidak jadi mahu disuap. Berdebar jantung Nurseha melihat kereta besar Anding yang tidak diketahui jenamanya memasuki halaman rumah.
“Ada apa dia datang ke sini?” Nurseha tertanya sendiri di dalam hati. Jantungnya berdegup kencang. Anding turun dari kereta dengan wajah manis kerana yang mahu ditemui sudah di depan mata.

“Hai Nurseha...” Sapa Anding, memandang Nurseha dengan tepat.

Cair hati Nurseha melihat Anding yang begitu sempurna di matanya sehingga dia tertunduk malu. Tak pernah dia bertemu empat mata dengan lelaki sekacak Anding seumur hidupnya. Di sekolahnya dulu tidak ada yang tampan, begitu juga di kampungnya dan kampung sebelah menyebelah.

“Abang cari siapa?” Fitri bertanya. Matanya tidak berkelip memandang Anding.

“Nak jumpa Nurseha.” Jawab Anding lalu melangkah merapati Nurseha yang bersimpuh di pangkin.

“Ada apa ya?” Nurseha menurunkan kakinya mahu berdiri. Tak manis pula rasanya dia duduk sedangkan tetamu yang datang hanya berdiri.

Anding menelan liur melihat betis putih melepak milik Nurseha lalu segera melarikan pandangan matanya ke kawasan persekitaran halaman rumah yang kemas. Cepat-cepat Fitri merapati kakaknya.

“Nah. Saya belikan untuk Seha...” Anding menghulurkan beg kertas yang dibawanya.

“Apa ni?” Tanya Nurseha kehairanan.

“Telefon. Bukalah.” Nurseha tergamam.

“Eh, tak apalah. Encik jual ke? Saya tak mahu. Mahal ni, saya tak ada duit nak bayar. Bayar bulan-bulan pun saya tak mahu.” Anding tersenyum menahan tawa, wajahnya yang setampan ini seperti wajah promoter telefon bimbitkah? Nurseha menghulur kembali beg kertas kepada Anding.

“Saya tak minta Seha bayar. Saya beli untuk Seha, ambillah. Tak mahal pun...” Mata Nurseha yang redup ditatap oleh Anding tanpa berkelip.

“Seha!!” Nurseha tertunduk ketika disergah ibunya yang baru pulang dari kerja. Zainab terkocoh-kocoh merapati mereka bertiga.

“Makcik...apa khabar?” Anding menegur Zainab dengan sopan. Wajah Zainab bertukar menjadi merah padam, masam mencuka. Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata Johari tentang Anding dan Nurseha.

“Awak tinggal di Kuala Lumpur?” Tanya Zainab tiba-tiba kepada Anding.

“Saya tinggal di Subang Jaya. Tak jauhlah dari Kuala Lumpur.” Anding tersenyum.

“Awak dah buat apa dengan Nurseha? Dia balik dari Kuala Lumpur dengan baju koyak rabak!!” Nurseha tersentak, begitu juga Anding yang tidak faham dengan pertanyaan Zainab.

“Mak...” Nurseha memegang lengan Zainab.
“Saya tak faham. Saya...saya buat apa pada Nurseha? Saya tak buat apa-apa.” Berkerut dahi Anding.

“Mak... bukan Encik Anding yang buat Seha...” Zainab menepis tangan Nurseha yang memegang lengannya.

“Buat apa Seha? Ada apa sebenarnya?” Wajah Anding penuh tanda tanya.

“Berapa ramai jantan yang kau layan Seha? Siapa yang kau jumpa di Kuala Lumpur yang merosakkan kau tu?” Nada suara Zainab yang kian meninggi membuat air mata Nurseha laju menuruni pipi. Wajahnya mula panas kerana malu dengan pertanyaan Zainab yang tiba-tiba di hadapan Anding.

“Tak cukup menyundal di belakang aku, kau bawa pula jantan datang ke rumah!!” Anding terkaku mendengar cemuhan Zainab terhadap Nurseha. Zainab menjelingnya tajam sebelum berlalu masuk ke rumah. Melihat ibunya pergi, Nurseha turut berlari mengikut langkah ibunya meninggalkan Anding tanpa sepatah kata.

“Mak... Seha tak buat begitu...” Sebak hati Anding mendengar tangisan Nurseha yang sayu. Fitri yang hanya berdiam dari tadi memerhati Anding.

“Abang kawan Kak Seha ke? Nah...” Fitri menghulurkan beg kertas berisi telefon bimbit yang Nurseha tinggalkan di atas pangkin. Anding melepaskan keluhan yang panjang dan tersenyum.

“Adik nama siapa?” Soalnya melihat tepat ke wajah Fitri yang mirip wajah Zarul.

“Fitri.”

“Adik Nurseha ya?” Fitri mengangguk.

“Zarul mana?” Tanya Anding lagi.

“Belum balik mengaji...”

“Okey. Telefon ni abang belikan untuk Kak Seha. Fitri tolong berikan pada dia ya. Suruh dia gunakan. Abang balik dulu...” Anding tersenyum tipis cuba menyorokkan pelbagai persoalan yang bermain di fikirannya. Dia menghidupkan enjin kereta sebelum melambai Fitri.

“Ada apa Nurseha?” Getus hatinya. Memang nampak jelas ada konflik di antara Nurseha dan ibunya. Ini kali kedua dia melihat Zainab naik hantu. Beberapa minggu lalu kerana Zarul. Kali ini Nurseha pula.

“Benarkah Nurseha melayan ramai lelaki? Tapi aku tak dilayannya pula. Mukanya nampak seperti gadis baik saja. Mungkin ibunya yang salah sangka. Hmmm... bila sudah jumpa yang berkenan di mata, jadi begini pula. Nasib...nasib... Mungkin aku perlu mandi bersama ayah di bawah bulan purnama untuk mengubah nasibku.” Anding bermonolog sendiri sambil menggelengkan kepala berharap masalah Nurseha dan ibunya segera selesai. Dia belum mengenali siapa Nurseha yang sebenar. Tak adil baginya untuk menilai Nurseha.

Stereng kereta di hala menuju ke pekan, perutnya tiba-tiba lapar mahu meminta makan. Oleh kerana dia tidak mahu makan masakan Bani, lebih baik dia memenuhkan perutnya dengan makanan dari kedai saja.

Selesai menikmati makanan, dia berjalan menuju ke keretanya yang diparkir berhadapan dengan sebuah butik pakaian. Matanya tertancap ke sepasang baju kurung berwarna krim pastel. Tidak jadi menaiki kenderaan sebaliknya langkah kakinya di halakan ke Butik Pakaian Zawani.

“Encik cari pakaian untuk siapa?” Tanya seorang gadis muda.

“Untuk girlfriend saya. Baju tu ada saiz S?” Anding tersengih sendiri. Dia tidak pasti tentang saiz baju wanita. Hanya mengagak sahaja dari ukuran badan yang diteka sendiri.

“Ada.”

“Kalau saiznya tak sepadan, boleh ditukar?” Anding bertanya lagi, risau pula jika tak muat di bahagian punggung atau dada.

“Boleh encik. Saiz M pun ada, warna lain pun ada. Tapi jika habis stok, boleh tukar pakaian lain yang harganya sama atau lebih. Asalkan ada resit pembelian asal.” Gadis muda pembantu kedai membalas.

“Saya mahu warna krim untuk dia kerana saya ada pakaian yang sama warnanya. Okey, bungkuskan yang saiz S. Kalau tak muat tak mengapa, nanti saya bawa dia datang untuk cuba saiz lain.” Anding tersenyum, tak sabar mahu diberi kepada Nurseha. Baju itu akan diberi sebelum dia pulang ke kota nanti.

“Aku saja yang sukakan dia. Entah Nurseha suka atau tidak kepadaku. Jangan-jangan dia memang sudah ada kekasih tetapi tidak mengaku.” Senyumnya yang melebar perlahan-lahan mati, segera sedar Nurseha masih belum menjadi kekasihnya. Dia meneruskan pemanduan untuk pulang ke rumah.

Hari kian gelap, lagi beberapa minit sebelum jam 7 malam. Sebelum memasuki simpang menghala ke rumah Samiri, Anding memperlahankan kenderaannya. Bulu romanya meremang tiba-tiba. Dia bukan tidak pernah melalui jalan ini di waktu malam. Tetapi perasaannya benar-benar tidak enak kali ini.

“Bertenang... hanya 500 meter saja...” Anding memujuk hatinya. Denai kecil dilalui dengan hati-hati. Sempit benar bukaan lebar denai dirasakan waktu ini. 500 meter melalui jalan hutan yang tidak rata tidak sama dengan jalan bertar.

Anding terasa dadanya sesak apabila ada bayangan putih melintas laju di hadapannya. Kakinya pantas menekan brek. Mungkin unggas seperti burung atau kelawar, fikirnya.

“Apa tu? Sial betul. Menakutkan aku saja.” Mulutnya mula ringan menyumpah seranah, mengapa bapanya tidak mahu denai kecil berbatu ini menjadi jalan tar? Dia tidak faham mengapa Samiri sengaja membiarkan rumahnya tersorok di dalam hutan.

Anding menekan pedal minyak, memaksa tayar keretanya yang terhenti terus bekerja melawan keadaan muka bumi yang tidak rata. Sedang dia berusaha melepaskan keretanya dari selut berlumpur yang licin, matanya terpandang susuk tubuh manusia berpakaian putih sedang berdiri di tengah denai. Cahaya lampu kereta yang tinggi menerangi denai sempit dengan hutan di kiri, kanan yang gelap.

Anding menelan liur. Apa jua yang ada di hadapannya dia tahu itu bukan manusia. Dengan rambut panjang, wajah makhluk itu tidak kelihatan. Anding menahan nafas dan menekan pedal minyak, dia mahu cepat sampai dan tidak mahu memikirkan apa-apa lagi.

Sebaik keretanya melepasi lubang berselut, Anding terus memecut, habis diredah segala lubang dan akar yang timbul.

“Mampus kau!!” Anding menyumpah ketika melanggar makhluk berpakaian putih kusam namun ibarat hanya melanggar angin sebelum stereng keretanya tidak dapat dikawal dan melanggar pohon kekabu hutan sebesar pemeluk.

“Bamm!!!”

“Aduh!” Anding meraba kepalanya yang terhantuk ke stereng kereta. Enjin dan lampu keretanya turut mati, keadaan menjadi gelap dan sunyi sehingga degup jantungnya dapat didengari.
Tubuh Anding menggigil, dia tahu dirinya sedang diganggu sesuatu. Matanya dipejam, peluh sejuk mula keluar dari dahinya.
“Hiiii...hiii...” Dia membuka mata dan terkejut melihat makhluk berpakaian putih itu berada di sebelahnya.

“Aaaa.... Pergi. Jangan ganggu aku!!” Teriaknya cuba mengawal ketakutan.

“Hihihi....” Makhluk itu tertawa namun tidak menampakkan wajahnya. Anding membuka pintu kereta dan melompat turun.

“Arghhh!!!” Dia menjerit apabila terasa kolar bajunya ditarik sesuatu yang dia tidak nampak, tubuhnya diheret laju tanpa dia dapat melawan. Punggungnya sakit kerana berlanggar batu dan akar pohon.

“Buk!!!” Tiba-tiba Anding terlentang ke belakang apabila ditolak oleh seekor makhluk berbulu yang bertubuh besar. Pegangan yang dirasakan di kolar bajunya turut terlepas.

“Grrrrrr...hissssss...” Makhluk berbulu itu berbunyi.

Jari Anding sempat menekan lampu di jam tangannya agar membantu penglihatannya yang terhad dalam pekat malam. Mulutnya ternganga apabila dia menyedari makhluk berbulu itu bukan hanya seekor, ada beberapa ekor lagi sedang mengelilinginya seperti melindunginya. Seekor di hadapan menyeringai menunjukkan taring seolah sedang menghalau sesuatu yang dia tidak nampak.

Diam-diam Anding merangkak sebelum berdiri dan berlari selaju yang boleh menuju ke rumahnya walaupun tidak pasti samada dikejar atau tidak oleh makhluk-makhluk aneh yang ditemuinya tadi.

“Anding!” Dia mendengar suara Bani menjerit memanggil namanya. Apabila dia menoleh semula ke arah kumpulan makhluk berbulu yang menyelamatkannya tadi, kesemuanya sudah ghaib.

“Bani!!” Anding menyahut, hatinya lega apabila Bani berlari datang dengan membawa lampu picit ke arahnya.

“Sudah siap. Sebentar lagi aku siapkan makanan untukmu.” Bani menatapnya tajam. Anding hanya diam membisu apabila Bani siap membersihkan luka di tubuhnya.

“Aku sudah kenyang. Tak perlu siapkan makan malamku.” Anding membalas.

“Buatkan air untuknya.” Arahan Samiri dituruti oleh Bani yang berlalu ke dapur meninggalkan keduanya di ruang tamu.

“Itu G63. Kenderaanmu lebih mahal dari milikku, Anding. Kerana aku mahu memberi yang terbaik untukmu. Aku tidak kisah dengan jumlah kerosakan yang harus dibaiki, walaupun kau mahu menghumban keretamu itu ke dalam gaung sekalipun. Tapi yang aku kisahkan ialah keselamatanmu. Aku tidak bermain-main mengatakan sekeliling kawasan ini berbahaya!” Suara Samiri yang meninggi membuatkan Anding hanya menunduk.

“Kalau berbahaya, mengapa ayah mahu menetap di sini? Sekurang-kurangnya ayah boleh membuat jalan tar untuk ke rumah ini dan memasang lampu jalan. Ayah lebih dari mampu namun nampaknya ayah memang sengaja mahu tinggal di tengah hutan.” Samiri tersenyum sinis mendengar kata-kata Anding.

“Ambil ini. Esok kau bawa keretaku pulang. Hanya datang ke sini apabila aku arahkan. Kau tidak perlu lagi menghantar dokumen untuk aku tandatangani. Aku akan arahkan pekerja yang lain datang, kau hanya perlu fokus kepada tugasmu di sana.” Samiri mencampakkan kunci keretanya di hadapan Anding yang mengeluh panjang tanda protes, tidak bersetuju.

“Saya akan pulang Ahad.” Anding menjawab perlahan.

“Aku mahu kau pulang esok. Aku tidak akan mengulang lagi kata-kataku.” Anding menelan liurnya. Suara Samiri yang tegas membuatnya kecut.

••

Nurseha memerhatikan Fatehah membelek telefon bimbit yang diberi oleh Anding. Manakala Fitri dan Zarul merapati Fatehah, menunggu giliran mereka pula.

“Ini Iphone...hmmm Iphone berapa ya agaknya...” bisik Fatehah.

“Sudahlah Teha, akak nak simpan. Esok akak nak pulangkan semula.” Nurseha berbaring di tilam tipisnya. Fitri dan Zarul turut berbaring di sebelah Nurseha, mahu mengendeng untuk membelek sama.

“Kak Seha berilah Pit lihat telefon tu. Pit sudah basuh tangan dengan sabun. Dah bersih ni...” Nurseha tertawa dan memberi kepada Fitri dan Zarul.

“Pegang baik-baik. Jangan kotorkan. Esok akak nak pulangkan pada tuannya.” Pesan Nurseha buat ke sekian kali.

“Telefon ni kan Abang Anding beri. Dia orang kayalah Kak Seha, dia boleh beli sepuluh telefon macam ni.” Zarul tersengih memandang Nurseha dan Fatehah.

“Ye ke Yol? Dia kaya ke? Rumah dia betul-betul besar ke?” Fatehah bertanya, matanya bulat penuh rasa ingin tahu.

“Besar, ada kolam renang. Cantik.... tak ada rumah di kampung ni secantik itu. Dindingnya dari batu dan kaca. Meja makannya besar. Rumah Tok Ghani pun kalah.” Zarul menggaru kepalanya cuba mengingat semula pengalamannya singgah ke rumah Anding sewaktu dia tersesat di hutan beberapa minggu lepas.

Nurseha sudah boleh mengagak, Anding dan bapanya bukan sebarangan orang. Mereka orang kaya, manalah sama dengan keluarganya. Dia pun tidak tahu apa yang Anding pandang pada dirinya sehingga mahu diajak berkawan. Mungkin Anding mahu berkawan dengannya kerana tidak ada kawan lain di kampung ini, fikirnya.

“Ini barang orang, bukan barang kita. Lagipun telefon ni mahal, kalau rosak nanti susah. Beri semula pada akak. Zarul dan Pit pergi tidur di bilik sebelah. Ini bilik orang perempuan.” Keduanya menurut kata-kata Nurseha.

Saat lampu dipadam oleh Zainab, Nurseha sudah lama hanyut dibuai mimpi. Dia terdengar sayup-sayup namanya dipanggil oleh seseorang. Suara yang memanggil itu seperti dia biasa dengari.

“Nurseha... datang padaku...” Seru suara itu. Namun mata Nurseha sangat berat dan terlalu mengantuk. Dia dapat merasakan ada tangan mengelus wajah dan tubuhnya, matanya tertutup tidak dapat dibuka namun biji matanya bergerak-gerak.

Dalam mimpinya Nurseha sedang berlari di tengah hutan yang gelap kerana dikejar oleh seekor harimau kumbang. Mata harimau itu bercahaya dan berkilat. Dia dapat rasa ketakutan yang menyelubungi dirinya. Nurseha terus berlari sehingga tidak sedar berada di tepi tebing yang curam.

“Ahhh!!” Jerit Nurseha ketika kakinya tergelincir. Tangannya sempat berpaut pada sebongkah batu, namun lama kelamaan pegangannya kian longgar kerana dia semakin penat bergantungan. Air matanya mengalir memikirkan sebentar lagi tentu dia akan terjatuh ke bawah dan mati.

“Seha!” Ada seorang lelaki datang menghampirinya dan menghulurkan tangan. Lelaki itu menarik tubuhnya lalu diangkat ke atas. Nurseha memeluk tubuh lelaki itu, tidak mahu dilepaskan. Lelaki itu turut memeluk tubuhnya dengan erat.

Dibawah cahaya bulan, Nurseha mendongak mahu melihat siapa gerangan lelaki yang menyelamatkannya. Kala wajah itu diperlihatkan, Nurseha tersentak dan terkaku.

“Abang!” Sebut Nurseha. Lelaki itu tersenyum kepadanya.

Nurseha berasa resah, hatinya berdebar sejak bangun dari tidur. Seperti biasa dia bersiap untuk ke tempat kerja. Hari ini dia mahu pergi awal, perasaannya tidak tenteram. Selepas solat subuh, dia terus keluar dari rumah dan berjalan di dalam gelap menuju ke warung Cik Siah.

Ada sebuah kereta yang Nurseha kenali diparkir di tepi simpang jalan. Jantung Nurseha berdegup kencang ketika menghampiri kereta tersebut. Jauh di sudut hati, dia ingin bertindak yang sebaliknya namun kakinya seolah didorong agar terus berjalan ke arah kereta itu.

“Seha...” Namanya dipanggil lalu Nurseha berhenti. Fikirannya bingung tiba-tiba.

“Seha...” Seorang lelaki keluar dari kereta tersebut dan memegang tangan Nurseha. Bibir lelaki itu membisikkan sesuatu di telinga Nurseha. Jemarinya turut menggosok kedua-dua cuping telinga Nurseha dan mata mereka bertentangan. Aneh kerana Nurseha turut tidak menolak sewaktu diajak menaiki kereta.

“Abang hantar Seha ya...” Nurseha hanya diam mengangguk.

“Tapi sebelum tu, kita selfie dulu. Seha senyum...” Nurseha tersenyum dan hanya membiarkan pipi dan bibirnya dikucup. Tubuhnya turut dipeluk dan dipegang oleh lelaki itu sewenangnya dan hanya dibiarkan.

“Seha, malam ni abang tunggu Seha di simpang tadi. Seha ikut abang ya. Pakai baju yang abang belikan ni. Bila Seha dengar abang panggil, Seha keluar dari rumah ya sayang...” Nurseha mengangguk lagi dan turun dari kereta menuju ke warung Cik Siah. Langkahnya yang gemalai diperhati oleh Johari dengan senyuman.

“Akhirnya kau jatuh jua ke tangan aku Seha. Tunggu malam ini, kau tentu akan melutut merayu cintaku...” Bisiknya sendiri, tidak sabar menunggu malam. Dia mahu pulang untuk berehat sebentar kerana dia sudah membayangkan akan menghabiskan waktu sepanjang malam bersama Nurseha di puncak Butnak.

Abidin menatap telefonnya lama. Mulutnya yang sedang menghisap rokok terlopong. Untung biji matanya masih berada di dalam soket setelah terbeliak melihat foto Nurseha tersenyum manja di samping Johari. Paling penting telefon bimbitnya tidak jatuh ke dalam lubang jamban kerana dia benar-benar terperanjat apabila melihat sekeping lagi gambar Johari dan Nurseha sedang berkucupan.

“Celaka kau Jo. Mana boleh kau seorang saja yang dapat dia. Tak boleh jadi!” Abidin bangun dari cangkungnya. Setelah mengepam tandas, dia pantas mandi dan bersiap untuk ke warung Cik Siah. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat menghantar gambar yang diterimanya tadi ke Samad Juling dan Mat Jeha menerusi Whatsapp.

‘Johari dah dapat, lepas ni giliran kita pula merasa Nurseha.’ Taipnya diikuti emoji ketawa suka.

Sebaik sampai di warung Cik Siah, rakan-rakannya yang lain sudah menunggu. Wajah masing-masing tidak dapat menyembunyikan lagi rasa ingin tahu berkenaan gambar Johari dan Nurseha yang tersebar. Abidin menggaru kepala, tadi dia hanya berkongsi kepada Samad Juling dan Mat Jeha saja, bagaimana rakan yang lain juga tahu? Ah biarlah, yang tersebar ialah gambar Johari dan Nurseha, bukan gambar dirinya. Dia tersenyum, malas mahu memikir.

“Seha, buatkan abang teh tarik gelas besar. Tarik tinggi-tinggi ya Seha...macam Seha buatkan Abang Johari punya...” Abidin memesan dari jauh diikuti gelak ketawa rakan-rakan lain.

“Hei Bidin, kau yang beri suami aku gambar ini ya? Kau nak ajak suami aku menyundal dengan betina gatal tak sedar diri. Mana dia? Nurseha!!!” Seisi warung terkejut dengan jeritan Rosma, isteri Mat Jeha.

“Ada apa Ros?” Cik Siah bertanya kepada Rosma yang meluru ke arah Nurseha yang sedang membasuh cawan kotor di singki.

“Cik Siah mari tengok gambar di telefon ni, Abidin yang beri gambar ini kepada suami saya. Gambar Nurseha dan Johari sedang buat maksiat. Perempuan ni memang tak tahu malu. Abidin kata selepas ini giliran mereka pula mahu merasa perempuan sundal ni. Tentu masing-masing yang datang ke warung Cik Siah pagi ini berhajat mahu melanggan si Nurseha!!!” Ringan tangan Rosma menunjal kepala Nurseha yang terpinga-pinga ketakutan sambil menyorok di belakang Cik Siah.

Cik Siah melihat ke skrin telefon bimbit yang diberi Rosma, lalu tangannya menutup mulut seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat. “Seha...kamu buat apa dengan Johari? Kenapa kamu buat macam ni Seha?” Pertanyaan Cik Siah hanya dijawab dengan gelengan kepala oleh Nurseha.

“Seha tak tahu Cik Siah... Itu...itu... bukan Seha...” Nurseha menafikan. Wajahnya pucat dan takut.

“Tengok betul-betul... Ini kamu Seha... Baju yang dipakai sama dengan baju kamu...” Cik Siah memberi telefon kepada Nurseha yang terperanjat melihat gambarnya dan Johari. Dia tidak tahu dan tidak sedar dengan apa yang telah berlaku.

“Cik Siah nak tanya apa lagi pada dia ni? Nampak sangat dia ni memang gatal. Siang bekerja di warung, malam jadi pelacur. Baik Cik Siah berhentikan dia, patutlah ramai yang suka makan dan minum di sini, entah-entah sudah diguna-guna. Hei Nurseha, aku akan beritahu pada Tok Ghani kau menggoda anaknya dan lelaki-lelaki lain di kampung ni. Pada Zawani juga aku akan beritahu. Perempuan tak malu, puih!!” Puas hati Rosma dapat meludah ke wajah Nurseha. Dia sempat menjeling tajam kepada Abidin dan rakan-rakannya yang turut sama memanjang leher dan berbisik sesama sendiri.

“Baik kita blah. Nanti orang cakap kita duduk di sini nak melanggan si Nurseha.” Nada suara yang kuat tidak dikenalpasti datang dari siapa membuat Nurseha tersentak.

“Betul juga, selama ni kami tergila-gilakan engkau jangan-jangan kerana kami ni telah di beri ubat guna-guna. Aku rasa Jo dah terkena dengan dia ni...” Abidin memandang Nurseha dan tersenyum sinis.

“Eh sudahlah, mari kita lepak di warung Pak Melan. Loya pula tekak aku hendak minum air tangan pelacur. Cik Siah, saya cancel order.” Abidin segera berlalu keluar dari warung sambil mengajak rakan-rakannya. Seorang demi seorang pelanggan bangun membuat bayaran kepada Cik Siah dan berlalu pergi.

Nurseha kian resah, selepas Asar dadanya berdebar semula. Kakinya sejuk, fikirannya berkecamuk. Dia hairan dengan tuduhan orang kampung kepadanya, langsung tidak ingat subuh tadi dia dihantar oleh Johari ke warung Cik Siah. Setiap kali dia mendengar nama Johari hatinya menjadi berdebar. Wajah Johari bermain di matanya. Nurseha menggelengkan kepala, tidak mahu melihat wajah Johari. Tubuhnya kian panas, sehingga terpaksa minum air sehingga bergelas-gelas.

“Apa yang tidak kena dengan diriku?” Nurseha tertanya sendiri.

Cik Siah termenung melihat lauk pauk yang tidak terusik. Dia mengerling jam di dinding warungnya.

“Seha, sudah jam 5 petang. Kita kemaslah dan tutup warung. Nampaknya memang orang kampung tak akan ada yang datang.” Cik Siah mengeluh. Sejak kedatangan Rosma pagi tadi, warungnya tidak didatangi pelanggan. Berita tentang Nurseha dan Johari tentunya sudah tersebar meluas di seluruh kampung membuatkan orang kampung tidak mahu menyinggah.

“Cik Siah, Seha minta maaf. Seha tak buat macam yang Kak Rosma beritahu.” Nurseha bersuara perlahan. Cik Siah hanya mendiamkan diri. Dia sendiri tidak pasti samada mahu percaya atau tidak dengan kata-kata Nurseha. Dia tahu Nurseha tidak sukakan Johari, malah tidak percaya dengan tuduhan Nurseha memberi ubat guna-guna kepada para pelanggan. Tetapi satu perkara yang Cik Siah pasti, gadis di gambar yang dilihat tadi memang Nurseha.

“Esok Nurseha tak perlu datang. Tunggu hal ini reda baru Seha datang bekerja semula. Ini gaji Nurseha bulan ini. Cik Siah tambah lagi RM50. Lepas siap kemas warung ni nanti, Seha terus pulang ke rumah.” Nurseha terpempan kemudian tersenyum pahit dan mengangguk. Dia faham, selagi dia bekerja di situ tidak akan ada pelanggan yang datang, tentu Cik Siah akan rugi setiap hari.

Selesai mengemas warung, Nurseha mengeluarkan bungkusan beg kertas dari begnya. Telefon bimbit yang diberi Anding mahu dikembalikan semula, namun Anding tidak menyinggah pula. Akhirnya dia titipkan kepada Cik Siah sebelum melangkah pulang.

••

“Kak Seha boleh ceritakan dengan Teha semuanya. Pertama tentang kepulangan Kak Seha dari KL dengan pakaian yang koyak rabak dan kedua, tuduhan orang kampung tentang hubungan sulit Kak Seha bersama dengan Abang Johari. Betul ke Kak Seha buat begitu?” Wajah Nurseha yang sayu ditatap oleh Fatehah.

“Akak tak tahu Teha. Akak tak ingat apa-apa, akak sendiri bingung...” Jawapan Nurseha membuat dahi Fatehah berkerut. Wajah Nurseha pucat, matanya kelihatan tidak bermaya.

“Kak Seha sakit ke? Nak demam ya?” Tanya Fatehah lagi. Diraba dahi Nurseha yang tidak panas.

“Kak Seha berehatlah. Biar Teha yang masak. Mood emak sedang tidak elok. Kalau Kak Seha yang masak, nanti mak tak mahu makan. Nanti dah siap masak, Teha panggilkan ya...” Nurseha mengangguk dan masuk ke bilik.

“Seha sekarang satu kampung mengata engkau pelacur. Lebih baik kau keluar dari rumah ini. Kau pergilah ke mana pun yang kau mahu. Kau ikutlah kawan kau Mala ke Johor Bahru. Aku sudah tidak tahan lagi dengan cemuhan orang kampung terhadap keluarga kita.” Zainab bersuara di pintu bilik Nurseha yang berkunci dari dalam. Puas dia menangis dari petang tadi di celah batas sayur sewaktu ditunjukkan gambar Nurseha dan Johari. Kali ini dia sudah nekad untuk menyuruh Nurseha pergi jauh dari Kampung Jelai Paya.

Nurseha hanya mendengar kata-kata ibunya ibarat mendengar di angin lalu. Dia memandang cermin dengan matanya yang tidak bermaya. Lampu biliknya dipadamkan. Hanya samar cahaya lampu kalimantang dari luar saja yang menerangi bawah pintu biliknya.

“Malam ini abang tunggu di hujung simpang...” Suara Johari terngiang-ngiang di telinganya. Nurseha yang baru selesai mandi terus bersiap memakai gaun yang dibelikan oleh Johari di KLCC. Cuping telinganya terasa panas seperti ditiup seseorang. Tiba-tiba dia berasa rindu kepada Johari.

“Lihat ke cermin di hadapanmu Nurseha...” Bisik suara ditelinganya. Nurseha memerhati cermin. Dia tidak tersenyum, mengapa wajahnya di cermin itu sedang tersenyum?

“Nurseha yang manis, tempatmu bukan di sini. Tinggalkan mereka yang tidak menghargaimu. Ikut aku...” Wajahnya di dalam cermin kini berada di belakangnya, turut sama menatap cermin. Nurseha mengangguk dan keluar dari bilik.

“Kak Seha nak pergi mana?” Pertanyaan Fitri tidak dijawab. Nurseha terus berjalan ke pintu kayu.

“Seha... kau nak ke mana?” Tanya Zainab.

“Pergi...” Nurseha menjawab tanpa menoleh.

“Mana kau dapat pakaian begini? Aku tidak pernah ajar anak-anakku berpakaian macam perempuan murahan. Baju apa kau pakai ni? Nurseha!” Zainab menjerit, sakit hatinya melihat Nurseha yang semakin melampau.

“Nurseha!” Zainab menarik bahu Nurseha tetapi bagai ada sesuatu yang menolak tubuhnya sehingga terperosok ke dinding. Nurseha menuruni anak tangga dan berjalan ke halaman rumah.

“Mak!” Fitri menerpa ke arah Zainab yang terduduk sakit.

“Sekali kau keluar, kau jangan pulang lagi!!!” Jeritan Zainab tidak dipedulikan oleh Nurseha. Fatehah yang sedang menggoreng ikan di dapur terkocoh-kocoh ke ruang tamu apabila mendengar jeritan Zainab.

“Kenapa dengan mak?” Tanya Fatehah kepada Fitri.

“Kak Seha tolak mak sehingga jatuh.” Jawab Fitri yang cuba membantu Zainab untuk berdiri.

“Kak Seha!!” Fatehah berlari keluar cuba mengejar Nurseha yang sudah hilang tanpa jejak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience