BAB 2

Romance Completed 20359

Hafiz memandang sepi telefon bimbitnya. Tiada kedengaran bunyi ceria seperti selalu. Dia tahu, hanya tinggal berapa purnama sahaja lagi Syifaa’ bakal menjadi seorang isteri.

Isteri kepada seorang lelaki yang langsung tak dikenali mahupun dicintai oleh gadis itu. Begitu payah untuk Hafiz merelakan pemergian gadis itu ke pangkuan lelaki lain. Amat sukarnya bagi dia menghadapi perpisahan ini.

Bertahun menyulam cinta, membina tembok percaya tetapi kini segalanya musnah sekelip mata. Tiada sepicing pun keindahan cinta dalam dakapan jiwanya. Yang tinggal hanyalah debu-debu mimpi yang berderaian.

Dalam menungan, tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya menyanyi. Hafiz terpana. Syifaa’ menelefon!

Harus diangkat atau pun tidak? Dia mengeluh sendiri. Kali pertama dia membiarkan panggilan dari gadis tersebut berlalu sepi. Sangkanya, Syifaa’ akan berhenti memanggil, namun ternyata dia silap jangkaan. Gadis itu terus juga menelefonnya berulang kali.

“Hello Hafiz,” suara serak gadis itu memilukan hatinya.

Hafiz cuba sedaya upaya mengawal intonasi.

“Ya, Syifaa’,” Sepi di hujung talian.

Hafiz menahan sebak di dada. Syifaa’ terlebih dulu menitiskan air mata. Murah benar manik jernih itu menyapa pipinya.

Amat payah hendak ditafsirkan rasa hatinya kala ini. Pilu teramat sangat apabila suara Hafiz menyentuh pendengarannya setelah hampir dua bulan mereka tidak bertemu.

“Kenapa lambat angkat? Lama Syifaa’ tunggu Hafiz,” Esakannya pecah jua.

Tak terdaya lagi menahan empangan air mata. Syifaa’ terduduk di lantai. Hafiz mengetap bibir. Masih melawan air mata dari menyentuh pipi.

“Dalam bilik air tadi. Tak dengar bunyi hand phone. Ada apa awak called saya malam-malam macam ni?” Nadanya berubah tegas.

Hafiz tak mahu menggoyahkan pendirian gadis yang paling dicintainya ini. Dia amat mengerti betapa tingginya nilai cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Meski segunung permata dilonggokkan tetap takkan dapat menyamai kasih ibu bapa. Syifaa’ sungguh bertuah.

Sebab itulah, dia akur sahaja terhadap penentangan mama dan papa Syifaa’ terhadap cinta mereka. Dia tak mahu mengguris hati orang tua, juga takkan sekali-kali mengajar Syifaa’ mengingkari kehendak ibu bapa.

Perkahwinan sungguh mulia, dan Syifaa’ melakukannya atas kehendak mama dan papanya. Hafiz redha meskipun bukan dirinya menjadi pilihan.

“Hafiz, Syifaa’ terlalu rindukan Hafiz. Syifaa’ sedih sangat. Syifaa’ teringin nak jumpa Hafiz. Kalau boleh sekarang jugak,” Hafiz tersentak mendengar permintaan Syifaa’. Hatinya sudah nekad. Dia takkan sekali-kali menuruti permintaan Syifaa’.

“Awak jangan buat lawak boleh? Cik Nur Syifaa’ Adriana, awak boleh berfikir seperti orang dewasa yang matang kan? Jadi, awak kenanglah pengorbanan ibu bapa awak membesarkan awak. Keperitan ibu awak berjuang melahirkan awak. Takkan semata-mata sebab orang macam saya ni awak nak buang mereka? Tak adil, Syifaa’. Mereka dah membesarkan awak, dah tentu mereka mengharapkan segala yang terbaik buat awak. Awak tak terfikir ke? Mana tahu kalau saya kahwin dengan awak semata-mata nakkan harta keluarga awak? Awak boleh jamin ke yang saya ni terlalu baik? Awak tak fikir kemungkinan saya akan tinggalkan awak lepas kahwin?” Tukas Hafiz sesungguh hati.

Hanya Tuhan yang tahu perasaanya bila perlu berbicara demikian. Dan dia amat pasti, tentunya Syifaa’ amat terluka.

“Cukup Hafiz! Awak nak suruh saya sangsi pada awak setelah segala kebaikan awak tunjukkan pada saya? Awak nak saya ragu terhadap cinta awak sedangkan awak bermati-matian mempertahankan perasaan tersebut sepanjang kita bersama? Awak tak pandai berlakon, Hafiz. Tak pandai,” Suara manja Syifaa’ tenggelam dalam esak tangisnya. Hafiz tak terdaya lagi menahan air mata. Sesungguhnya dia bukan pelakon terbaik.

“Maafkan Hafiz, Syifaa’. Hafiz tengah keraskan hati Hafiz sekarang ni. Hafiz tak nak Syifaa’ hampakan harapan ibu bapa Syifaa’. Tak elok Syifaa’ musnahkan kepercayaan mereka terhadap Syifaa’. Mereka terlalu berjasa terhadap Syifaa’ kalau nak dibandingkan dengan Hafiz. Merekalah yang membawa Syifaa’ mengenali dunia. Apa yang ada pada Hafiz, Syifaa’? Hafiz tiada harta, Hafiz tak kenal siapa mak ayah Hafiz. Hafiz cuma ada pelajaran untuk membela hidup Hafiz dan mengubah masa depan Hafiz kelak. Tak berbaloi Syifaa’ pertaruhkan seumur hidup Syifaa’ untuk Hafiz,” dia mematikan talian.

Syifaa’ terkedu. Tetapi Nur Syifaa’ Adriana tetap percaya bahawa Hafiz Farshah ditakdirkan untuknya…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience