BAB 4

Romance Completed 20359

Hafiz mengambil keputusan untuk menghadiri kuliah juga meskipun badannya terasa hangat. Dia terpaksa memakai baju panas memandangkan kulitnya begitu sensitif. Bila bayu menyentuh lembut kulitnya, dia terasa begitu dingin. Kepalanya masih terasa berat.

Namun dia gagahkan jua demi menuntut ilmu. Sehinggalah tiba gilirannya untuk mengambil markah kuiz, Hafiz merasakan badannya ringan semacam. Pandangannya berpinar. Jejaka tinggi lampai ini cuba untuk berpaut pada kerusi, namun dia lemah lutut. Hafiz hilang keseimbangan lalu pitam.

Dalam keadaan separuh sedar, Hafiz dapat merasa seakan suatu objek halus runcing ditusuk ke dalam kulitnya. Dia ingin menepis namun tangannya lemah untuk diangkat.

“Itulah engkau, degil. Aku suruh berehat tak nak. Demam tu dah melarat. Nasib baik tumbang depan kita orang, kalau kat tengah jalan macam mana?” bebel Dzil tanpa dapat ditahan lagi. Hafiz cuma tersenyum lemah.

“Kau jangan bimbanglah, Dzil. Aku demam sekejap je. Nanti baiklah. Doktor pun dah bagi kebenaran untuk aku keluar wad,” Hafiz tertunduk. Tiba-tiba dia terbayangkan betapa bimbangnya Syifaa’ setiap kali dirinya jatuh sakit. Raut wajah gadis itu cukup untuk menenangkannya.

“Hanya Tuhan yang tahu betapa aku rindukan dia,” ujar Hafiz dalam hati.

Syifaa’ memberi seribu satu alasan untuk mengelak daripada bertemu dengan Ariff. Dalam hatinya langsung tiada sekelumit rasa untuk mengenali apa lagi sayang terhadap lelaki itu. Mereka bagaikan orang asing. Dia tak mungkin dapat menemui lelaki itu dengan mudah.

Biarpun bergelar isteri kelak, lelaki itu hanya memiliki dirinya, namun bukan cinta sucinya yang tetap utuh buat insan bernama Hafiz Farshah. Hafiz tak puas-puas menatap bingkai gambar bermotifkan lambang hati. Tersisip elok potret mereka berdua.

Wajah manja Syifaa’ di samping dirinya yang sedang bergelak ketawa membuatkan kerinduannya terhadap gadis itu semakin kuat mencengkam. Betapa indahnya detik tersebut untuk dilupakan.

Hafiz pasti, selagi nyawa dikandung badan selagi itulah kasihnya tak pernah surut. Ibarat lautan yang tak pernah kering.

Hafiz menghela nafas sedalamnya. Dia termangu seketika. Entah wajar atau tidak tindakannya kali ini? Namun dia nekad, biarlah. Malam yang gelita dengan langit yang kosong tanpa sebutir bintang ini bakal menjadi saksi segalanya.

Dia menanti dengan penuh sabar. Hafiz tak putus-putus berdoa agar taliannya bersambut.

“Hello, assalamualaikum,” Hafiz memberi salam sesopan mungkin.

“Waalaikumussalam, Hafiz. Ya Allah! Hanya Tuhan yang tahu betapa Syifaa’ rindukan Hafiz. Rindu sangat. Hafiz sihat? Dah makan?” Syifa menuturkan soalan bertalu-talu.

Andai dapat ditatap wajah Hafiz, pasti dia dapat melihat garis-garis duka pada seraut wajah tenang. Pipi jejaka itu mungkin berubah cengkung. Sungguh! Dia terlalu rindu untuk menatap senyuman Hafiz… apa lagi mendengar gelak ketawa insan yang terlalu dikasihi itu.

“Syifaa’, Hafiz belum makan. Sekejap lagi Hafiz makan. Hafiz minta maaf kalau selama ni Hafiz banyak sakitkan hati Syifaa’. Hafiz terlalu sayangkan Syifaa’. Hafiz harap persahabatan kita kekal sehingga ke akhir hayat. Bila kahwin nanti, Syifaa’ dah ada tanggungjawab. Syifaa’ tak boleh fikirkan fasal Hafiz lagi ye, jangan terlalu mengingati Hafiz, pentingkan suami Syifaa’ dalam setiap perkara yang Syifaa’ lakukan. Sebagai isteri solehah, jadikan suami Syifaa’ sebagai keutamaan,” Syifaa’ teresak-esak di hujung talian. Hafiz turut tersedu-sedan. Air matanya mengalir laju.

“Syifaa’ tak boleh lupakan Hafiz. Syifaa’ mesti teringat fasal Hafiz. Hafiz terlalu indah untuk Syifaa’ lupakan. Hafiz tahukan kasih sayang Syifaa’ tiada dua atau tiga. Hanya Hafiz dalam hati Syifaa’.”

“Sudahlah sayang, izinkan Hafiz pergi. Terimalah hakikat, kasih ini bukan milik kita. Cinta Syifaa’ tak tertulis buat Hafiz,” Buat kesekian kalinya, Hafiz mematikan talian.

Dia terjelepok di sisi katil tanpa dapat menahan air mata membasahi pipi. Tinggal dua bulan lagi, Syifa bakal melangsungkan perkahwinannya. Meskipun tempoh itu kedengaran singkat, Hafiz sendiri tidak tahu setakat mana ketabahannya untuk terus bertahan menongkah ombak gundah ini.

Dia perlu meninggalkan Syifaa’ lebih awal sebelum Syifaa’ mengubah pendirian. Dia tak mahu Syifaa’ berbelah bagi untuk menjadi isteri kepada Ariff.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience