"ALEP, kau ada kerja tak?" Alifah yang sedang menggigit ayam gorengnya terus menoleh ke kiri. Wajah lelaki yang kini turut duduk bersila dengannya di atas lantai gudang itu dipandang pelik.
"Kenapa kau tanya?" soal Alifah kembali dengan mulut yang masih mengunyah isi ayam. Sesekali nasi yang masih berbaki disuap ke dalam mulut. Air sirap di dalam bekas plastik diambil lalu disedut sambil menunggu mamat itu buka mulut.
"Aku nak mintak tolong kau boleh, Lep?" kata lelaki bernama Sham itu sebelum tersengih melihat wajah Alifah yang sudah berkerut hebat.
"Kau cakap terus terang boleh tak? Tak payah nak tersirat tersurat sangat," tegur Alifah. Tulang ayam yang masih tersisa sedikit isi digigit tanpa mempedulikan Sham di situ.
"Kau boleh tolong gantikan aku hantar parcel tak? Aku kena balik awal sebab mak aku ada appoinment kat hospital pukul dua kejap lagi."
Terus terhenti tindakan Alifah apabila mendengar permintaan Sham itu. Bungkusan makanannya dironyokkan lalu memandang rakan sekerjanya dengan sebelah alis yang terangkat.
"Bila?"
"Sekarang."
Usai saja dia menjawab pertanyaan gadis itu, badannya dihujani peluru ais batu. Sham terus mengelak dengan berdiri dan menjauhi gadis yang masih senang duduk bersila di lantai itu.
"Kau ni kenapa?" soal Sham sedikit kuat.
"Kau tu yang kenapa? Apahal baru bagitahu sekarang? Aku dah nak balik tau sebab shift aku dah habis!" Alifah terus menderam kuat lalu bangun dari duduknya.
Tong sampah dituju dan dia terus membuang bekas makanan tadi. Sham ditinggalkan dan terus dia bergerak ke tandas untuk mencuci tangan.
Sesekali rambut pendeknya dibetulkan di hadapan cermin. Bandana dia ikat ketat pada kepala untuk elakkan rambutnya jatuh ke dahi.
"Uish hensemnya kau Alep! Cantik pun ya, kacak pun ya." Alifah memuji dirinya sendiri lalu mengusap dagu yang bersih dari sebarang bulu dan juga jerawat.
Dia terus bergerak keluar dan menuju ke arah Sham yang masih bersandar di dinding gudang sambil menunggunya.
"Macam mana? Boleh tak Lep?" tanya Sham dengan mata yang penuh harapan.
"Berapa lagi baki parcel kau?"
"Tak banyak pun... dalam 15 parcel?" Rahang gadis itu terus jatuh apabila koklea telinganya dapat menangkap jumlah yang diberitahu oleh Sham. Sham terus tersengih apabila melihat reaksi Alifah.
"Banyaklah mangkuk! Aku dah lama tau tak deliver parcel sejak-sejak dah kerja as operator ni. Pastu kau hentam bagi kat aku 15 parcel yang kena habiskan hari ni?" Lengan Sham dihentam kuat dengan begnya.
Sham memang meminta untuk dimaki ya!
"Alah... Tolonglah aku, Lep. Nanti aku belanja kau Nasi Ayam Gepuk Top Global..." pujuk Sham lagi.
"Pak Gembus," pintas Alifah laju.
"Hah?" Terpinga-pinga Sham melihat Alifah yang sudah mula memakai sarung tangannya.
"Aku nak Nasi Ayam Gepuk Pak Gembus, bukannya Top Global," terang Alifah.
"Ohhh, boleh aje. No problem!"
"Dua bungkus, ekstra pedas. Ayam nak yang besar. Satu bahagian tulang, satu lagi bahagian isi. Kicap pun aku nak lebih," tambah Alifah tanpa rasa bersalah.
Kali ini, rahang Sham pula yang jatuh.
Perempuan ni memanglah...
"Boleh tak ni, Sham?" soal Alifah dengan sebelah alis yang sudah naik. Tangannya laju memakai topi keledar yang sudah dia ambil selepas pulang dari tandas tadi.
"Boleh..."
Alifah terus menghulurkan tangannya di hadapan Sham. Lelaki itu terus memandang pelik.
"Kau nak apa?"
"Kunci motor kau. Parcel dah ada kat situ, kan?"
"Haah," balas Sham lalu meletakkan kunci motornya pada tapak tangan gadis itu.
"Nah, ni kunci baby kesayangan aku. Jangan bawak sampai 100 km sejam tau sebab dia manja." Kunci motor EX5 Alifah berikan pada lelaki itu sambil tersengih.
Sham hanya angguk tanda faham sebelum tergelak besar apabila melihat keychain di kunci itu.
"Perangai macam pengkid tapi suka Masha and the Bear," kutuk Sham dengan ketawa mengekek.
"Aku dengarlah syaiton!" jerit Alifah yang sudah berjalan sehingga ke pintu gudang. Penumbuknya diangkat tinggi supaya lelaki itu nampak bahawa dia sedang marah!
Maka makin kuatlah tawa lelaki itu dengan aksi tindak balas Alifah.
Alifah selalu berperwatakan ganas dan kasar namun mungkin dia juga lupa bahawa perbuatannya kadang-kadang tersangatlah comel sehingga memeriahkan suasana di gudang parcel tempat mereka bekerja.
Share this novel