"PAHAL kau ajak aku keluar ni?" soal Alifah dengan pelipis yang sudah berkerut hebat. Namun dia mengikut sahaja langkah kaki lelaki itu tidak henti-henti berjalan sejak tadi. Alifah membesarkan langkah supaya menyaingi langkah Hazim yang laju sudah seperti lipas kudung.
"Aku tanya ni Jim, kenapa kau ajak aku keluar?" Sekali lagi soalan itu keluar sambil mengerling mamat yang lebih rendah daripadanya itu.
"Saja nak ajak kau dating. Mesti kau tak pernah dating kan?" kata Hazim sambil tersenyum senget. Saja mahu mengusik gadis yang tidak serupa gadis itu. Wajah menyampah Alifah dikerling seketika sebelum dia melepaskan tawa perlahan.
"Tak payahlah buat muka macam tu." Hazim terus menolak kepala Alifah dengan hujung kuncinya sebelum dia melencong masuk ke bahagian pembelian tiket.
"Tak gunalah... Dia main kepala siut..." desis Alifah dalam hati sambil menggosok kepalanya yang ditunjal oleh Hazim.
Namun langkahnya tetap mendekati Hazim yang sedang berdiri sambil membaca skrin besar yang terpapar di hadapan.
"Kau nak tengok cerita apa, galah?"
"Ada movie apa je?" Kali ini dia pula menyelit di sebelah Hazim untuk membaca tulisan di skrin itu. Matanya meliar tanpa mengendahkan Hazim yang sudah berganjak beberapa langkah ke belakang disebabkan jarak mereka yang hampir terhapus.
"Jim, aku nak tengok Minion!" Dia terus menoleh ke kiri dengan wajah yang teruja untuk mencari Hazim. Namun lelaki itu terus menggeleng laju.
Alifah terus berdecit kuat dengan tindak balas lelaki itu. Apahal tak boleh pulak?
"Tak boleh. Disney supports Israel." Pendek dan padat.
Alifah mengeluh kuat.
"Bodohlah Israel ni. Menyusahkan hidup aku! Yang Disney ni pun apahal pergi support zionis yang terang-terang membunuh? Haih, bodoh tu langsung tak simpan untuk anak cucu. Semua dikautnya," bebel Alifah sambil menggulingkan matanya kerana geram.
"Aku pilih action movie boleh? Minion tu nanti kau tengok kat website haram dahlah," kata Hazim dengan tenang. Alifah pasrah lalu angguk.
Betul juga tu. Takkan dia nak melabur pada Israel? Ergh, pergi mampus!
"Bolehlah. Cerita melayu ke?"
"Korea."
"Korea pun bolehlah..." Alifah terus bersetuju tanpa berfikir dua kali.
"Kau nak makanan tak?" soal Hazim lagi.
"Aku nak nugget dengan sosej tu, Jim. Ice lemon tea sekali," kata Alifah sambil tersengih.
Seronoknya dapat mengunyah dalam panggung wayang nanti.
"Nak apa-apa lagi tak?" soal Hazim sambil menekan skrin itu. Dia memilih popcorn caramel bersaiz besar. Sesekali gadis yang berpakaian lebih kurang lelaki itu dijeling dengan ekor mata.
"Tak nak dah." Hazim angguk lalu terus membayar harga tiket, makanan dan minuman mereka. Resit diambil dan diberikan pada Alifah. Gadis itu hanya menyambut lalu melihat nombor pesanan mereka.
Dia turut duduk di sebelah Hazim sementara menunggu makanan mereka siap.
"Nanti kita tong-tong duit eh, Jim. Takkan kau nak bayar sorang?" Tepi wajah Hazim dilihat.
Tajam juga jawline dia hehe.
"Tak payahlah, aku belanja," balas Hazim dengan mata yang masih melihat pada bahagian kaunter pengambilan makanan.
Banyak betul manusia padahal hari ini hari Rabu. Ada cuti apa-apa ke yang dia tak tahu ni?
"Kalau macam tu kejap lagi aku belanja kau makan, amacam?" cadang Alifah, tetap memandang wajah Hazim. Haih, seronok pula tengok muka mamat pendek ni...
"Aku nak makan kat Seoul Garden, menu superior tier," kata Hazim tanpa teragak-agak. Raut terkejut Alifah itu menyebabkan Hazim terus mengulum tawanya.
"Kau ni demand betul nak makan tempat mahal macam gitu." Bahu Hazim ditumbuk Alifah secara perlahan hingga menyebabkan Hazim melepaskan tawanya yang tertahan. Alifah hanya jeling tanda menyampah.
Seketika kemudian, dia berdehem perlahan lalu kembali menatap raut suci bersih tanpa sebarang rias yang sedang menunduk melihat telefonnya itu.
"Kau memang tak nak bagitahu ke dahi kau tu kena apa?" soal Hazim secara tiba-tiba mematikan tindakan Alifah yang sedang menjawab mesej emaknya.
"Aku ingatkan dah settle lepas kau ajak aku keluar hari ni," balas Alifah lalu memasukkan telefon ke dalam beg yang disilangkan ke dadanya.
"Mana settle selagi kau tak jawab soalan aku, galah." Hazim menggelengkan kepalanya dengan perangai ambil mudah Alifah itu. Gadis itu mula menaikkan sedikit hujung bibirnya.
"Ni accident kat tempat kerja je. Aku tak sempat sambut kotak yang kawan aku baling pastu terkena dahi ni ha. Itu aje kisahnya yang kau nak tahu sangat tu."
"Kau kerja apa?"
"Operator kat gudang J&T. Kadang-kadang aku buat servis delivery parcel juga tapi ikut keadaan," jawab Alifah panjang dengan dahi berkerut.
Hazim dengar dengan teliti lalu angguk kecil. Dia sudah berpuas hati dengan jawapan yang menjadi penantiannya.
"Jangan cakap kau ajak aku keluar sebab nak tahu pasal tu je?" Alifah bertanya disebalik rasa ingin tahunya.
"Haah, memang pun." Hazim menjawab jujur.
"Kau ni biar betul Hazim?" Mata Alifah sudah membulat mendengar jawapan tak terjangkau dek akal itu. Mamat ini gila ke?
"Betul lah. Lagipun aku saja ajak kau keluar alang-alang kau cuti. Dan sebab utamanya, aku nak berkawan dengan kau, Alifah. Boleh ke?" Matanya terus merenung wajah terkejut Alifah di sebelahnya.
Alifah membalas pandangan itu tanpa kata kerana lidahnya terasa kelu.
Hazim ni memang tak betul gamaknya.
Share this novel