"KAU buta ke? Tak nampak ke motor aku ni yang kau suka-suka je main langgar?" Jerkahan itu menyebabkan Hazim terkebil dalam tiga saat sebelum dia kembali ke dunia nyata.
"Ya Allah, sorry! Sumpah saya tak sempat nak brake masa awak berhenti mengejut tadi," jelas Hazim sambil menjeling gadis berhelmet di depannya itu. Kepala yang terasa gatal dia garu sebelum berhenti apabila Hazim sedar yang dia sedang menggaru topi keledar tika itu.
"Alasan! Kau ni ambil lesen kat mana dulu? Ke tak ada lesen pun?" Gadis itu mendengus kuat dek alasan kebudak-budakan itu. Bertambah menggelegak darahnya apabila mereka sedang berdiri terpacak di tepi jalan dalam cuaca yang sangat panas.
"Eh hello? Saya ada lesen yang sah tau. Dulu saya buat emergency brake sampai jadi pelajar contoh masa tu." Kening dijungkitkan tanda bangga.
"Eh kau tak payah nak berlagaklah... Pelajar contoh konon. Kalau setakat jadi pelajar contoh kat litar tapi waktu kat jalan raya kau hentam belakang motor orang, kau nak bangga apa bro? Piiirah!" kata gadis itu sebelum melepaskan kepalanya daripada terus dikepung oleh helmet itu.
Rambut yang terasa serabai dibetulkan sebelum dia kembali melihat lelaki yang masih tidak diketahui wajahnya dengan perasaan sebal.
"Elok sikit cakap! Saya ni..." Hazim yang melihat adegan itu terpana buat seketika. Cantiknya bidadari dunia... Terus dia terlupa apa yang mahu dia bahaskan dengan gadis itu tadi.
"Woi! Ya Allah, tadi buta sekarang pekak pulak. Kau ni ada kad selain IC ke?" Makin bertambah panas hatinya dengan perangai lelaki itu.
"Hah? Kau cakap apa tadi?" Hazim terus tersentak dengan suara nyaring itu. Ya Allah, macam siren ambulans! Panggilan turut dia ubah, saja mahu acah cool di depan gadis cantik ini walaupun berpakaian seperti lelaki.
"Aku tanya, macam mana kau nak settle hal motor aku ni? Kau dah pecahkan nombor plate belakang motor aku. Lampu brek dengan signal memang innalillah dah kau buat. Aku nak kau ganti rugi balik!" kata gadis itu sebelum berpeluk tubuh.
Hazim mengeluh perlahan. Topi keledar dibuka dan dikepit antara lengan dan pinggang kirinya. Kepala yang gatal dia garu seketika.
"Macam ni lah..." Wajah dipanggung untuk melihat raut muka gadis tadi.
"Apa kata kau bagitahu je berapa harga yang kau nak untuk repair motor kau. Sumpah aku minta maaf sangat sebab aku betul-betul tak sengaja langgar kau. Salah aku dan aku mengaku. Jadi kau sebutlah ganti rugi tu, aku akan cuba selagi aku mampu," kata Hazim dengan penuh rasional.
Suasana menjadi sunyi seketika apabila mereka berdua berdiam diri. Si gadis sedang memikirkan jumlah ganti rugi dan si jejaka hanya menunggu dengan penuh pasrah.
Angin sepoi-sepoi bahasa yang meniup rambut pendek paras bahu gadis itu menjadi tatapan Hazim. Namun dia cepat tersedar sebelum menunduk ke atas tar jalan.
Astaghfirullah, Hazim. Jangan usyar anak dara orang oi!
"RM1,000."
"Hah?"
"Kau ni memang betul-betul ada kad OKU ke? Penatlah aku asyik nak mengulang benda yang sama." Gadis itu berdecit kuat dengan tingkah Hazim. Letih!
"Aku normal lah! Yang OKU tu bos aku!" balas Hazim dengan panas hati. Isy, sorry bos bisu kesayanganku!
"Ah, lantak kau lah. So, aku nak RM1,000 untuk ganti rugi motor aku," kata gadis itu sambil menaikkan sebelah alisnya.
Mata Hazim terus membulat.
RM1,000?!
"Kau ni gila ke? Kau naik EX5 cabuk je kot yang nak minta ganti rugi macam naik sportbike tu apahal?" Hazim mula menyoal dengan penuh sinis sambil menjeling badan motor gadis itu.
Suasana ketika itu bertambah panas. Gadis tadi tersenyum senget sebelum rambut diketatkan ikatannya dan bergerak mendekati Hazim.
"Motor cabuk yang kau cakap ni..." Dia menunjuk ke arah motor cabuk yang disebut oleh Hazim tadi.
"...punca aku cari rezeki tau. Kalau dia rosak, aku nak pergi kerja macam mana, manusia ketot?" Ya, lelaki itu rendah daripadanya.
"Kurang ajarnya mulut kau ni, harap muka je cantik tapi mulut macam latte basi!" marah Hazim sambil mendongak sedikit; 2 cm untuk memandang sang gadis.
Argh, dia tak pendek!
Tinggi dia 168 cm, perempuan di hadapannya ini yang tak mengikut piawaian ketinggian wanita di Malaysia!
Entah-entah tinggi gadis itu 175 cm. Dia yang tinggi macam galah!
Hazim. Tak. Pendek.
"Bisinglah kau ni pendek. Cepatlah aku nak RM1,000 untuk repair motor," gesa gadis itu dengan muka menyampah.
"Aku mana ada duit sebanyak tu lah. Kau ni tak beragak langsung nak minta ganti rugi pun. Mesti gagal nak buat bajet dalam hidup kau."
"Kau naik RSX kot, takkan RM1,000 pun tak ada?"
"Tu RSX second-hand lah gila. Aku bayar pun by installment kat member aku, kau tahu tak?" decit Hazim kuat. Geramnya dia dengan galah di depannya itu.
"Bukan masalah aku," kata gadis itu selamba. Bebola matanya digulingkan ke atas tanda tidak mahu mengambil kisah.
Hazim mengeluh kuat.
"Okey macam ni. Apa kata kita pergi bengkel motor sama-sama sekarang. Kau bawa motor aku kat depan, aku ikut dari belakang. Kos repair motor kau, aku tanggung semuanya. Okey tak?" cadang Hazim tanpa lepas memandang wajah gadis itu.
"Good idea, pendek. Bolehlah jugak aku merasa bawak RSX walaupun second-hand." Senyuman mengusik mula terukir di bibir gadis itu.
"Jangan laju sangat bawak, aku ni dahlah tunggang EX5 cabuk kau je. Mano sompet den nak kejor."
"Isy, yalah. Bising ah kau ni, pendek!" decit gadis itu sambil menjeling.
"By the way pendek, apa nama kau?" soal si gadis setelah dia menghidupkan enjin motosikal Hazim.
"Hazim Solehin. Panggil aku Hazim or Ajim or Jim. Jangan panggil aku pendeklah, gila," jeling Hazim.
"Okey Jin," dia tersenyum senget apabila melihat wajah lelaki itu.
"Hazim la woi, jin tu kau!" Hampir meletup otak Hazim apabila bercakap dengan gadis itu. Lebih kurang Puan Taliya saja tapi perempuan depannya ini lebih teruk. Mulutnya dah seperti bontot ayam buasir!
"Aku ada namalah! Suka-suki je cakap aku jin." Hazim dilihat dengan mata yang disepetkan.
"Nama aku... Alifah Samira. Kau boleh panggil aku Alep," kata Alifah sambil tersengih seperti kerang busuk.
"Aku tak tanya pun," Hazim terus menghidupkan enjin EX5 dan berlalu meninggalkan Alifah di situ.
Gadis itu terkedu sehingga terjatuh rahangnya dengan kelakuan selamba labu-labi lelaki itu. Dasar pendek tak sedar diri!
HI HI HI, HAZIM HERE!
Share this novel