BAB 14

Romantic Comedy Completed 726

"TERMENUNG apa?" soal Hazim lalu melabuhkan punggung di kerusi berhadapan Alifah yang ralit melihat ke arah luar kafe. Alifah yang terkejut terus menjeling Hazim lalu menunjukkan penumbuknya.

Lelaki itu terus tergelak kecil sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda mengalah. Wajah Alifah ditatap penuh perasaan mahu mengusik.

"Kenapa kau suruh aku datang sini?" soal Alifah lalu terus bersandar pada kerusi. Dahinya berkerut apabila melihat lelaki itu hanya berpakaian kasual tanpa memakai pakaian kerja seperti selalunya.

"Kan aku cakap semalam, nak berborak dengan kau. Dekat seminggu aku tak tengok muka kau, rindu tahu tak," ujar Hazim lalu menjuihkan bibirnya.

Dan-dan Alifah merasakan seluruh wajahnya bagai disimbah satu botol sos cili. Panas!

"Kau tak rindu aku?" Soalan Hazim itu menyebabkan muka Alifah bertambah merah.

"Apa benda kau ni?" soal Alifah sambil melarikan pandangannya. Huh, tiba-tiba rasa segan dipandang sebegitu rupa oleh Hazim.

"Apa? Aku tanya je kau rindu aku ke tak. Itu aje," kata Hazim dengan sengihan yang melebar.

"Tak. Tak rindu."

"Aku tak percaya. Tak mungkin kau tak merindui seorang Hazim yang kacak, sopan, kelakar dan sangat budiman ini. Isy isy rugi!" Hazim memuncungkan mulut sambil menggelengkan kepalanya berkali-kali.

"Mesti kau banyak kolesterol kan dalam badan sebab kuat perah santan." Hazim terus tertawa kuat apabila mendengar perlian Alifah yang membuat muka toya itu.

"Aku ni fit tau walaupun tak tinggi macam jantan-jantan lain. Fit aku ni bolehlah nak kejar anak-anak kita yang tak reti nak balik rumah walaupun dah maghrib nanti," kata Hazim sambil tersengih. Alifah hanya diam. Mungkin dia tersalah dengar perkataan 'anak-anak kita' yang Hazim sebut tadi.

"Lantak kaulah mangkuk, malas aku nak layan." Hazim kembali tertawa besar dengan respons Alifah itu.

"Kau nak tengok bakal bini aku tak?" tanya Hazim secara tiba-tiba membuatkan tangkai jantung Alifah bagai terputus. Alifah menelan liurnya yang terasa kelat.

"Nak tak, nak tak?" soal Hazim lagi sambil melihat pada skrin telefonnya.

"Alep nak tengok tak?" gesa Hazim lagi sehingga membuatkan Alifah mendengus perlahan. Isy, kuat paksa betul!

"Ha cepatlah tunjuk. Paksa-paksa orang pula..."

"Ni ni, tengoklah niii!" Hazim terus menunjukkan skrin telefonnya pada Alifah. Gadis itu hanya berkerut dahi apa yang melihat hanyalah pantulan wajahnya pada aplikasi kamera yang terpampang di hadapan mata.

"Jim, ni kamera bukannya gambar bakal bini kau," ujar Alifah sambil menggaru kepalanya.

"Oh ya eh?" kata Hazim lalu menarik kembali telefonnya. Jemarinya mula dimainkan di skrin sebelum ditunjukkan kembali pada Alifah.

Apabila mata Alifah tertancap pada skrin telefon, dia tergamam lalu memandang wajah Hazim dengan penuh tanda tanya.

"Jim..." panggil Alifah perlahan.

"Hm, kenapa?"

"Ni gambar aku Jim... Bukannya gambar bakal isteri kau."

Hazim terus tersenyum lebar sebelum meletakkan telefonnya di tepi. Wajah terkulat gadis itu dipandang dengan geli hati.

"Nak jadi bakal isteri aku tak?"

Tanpa tunggu lama, Alifah tersedak kuat dan lama menyebabkan Hazim terus berlalu ke dapur kafe. Air masak diambil lalu dia berlari ke arah gadis yang masih terbatuk-batuk di situ.

"Nah minum ni, apa yang kau tersedak air liur macam makan asam pedas ni?" kata Hazim dengan wajah yang gelabah.

Alifah meneguk air putih itu rakus dan langsung meletakkan gelas itu di atas meja. Wajah Hazim dijeling sebelum lengan lelaki itu ditampar penuh tenaga.

"Kau kenapa?" tanya Hazim lalu bergerak sedikit jauh dari gadis itu. Bapak berbisa tangan dia. Sakit tahu tak!

"Kau tu yang kenapa? Kau ingat kelakar ke?!" marah Alifah.

"Mana ada kelakar. Aku serius kot nak jadikan kau isteri aku! Aku nak kahwin dengan kau lah, galah gila!" kata Hazim dengan penuh geram sebelum dia mula bergerak jauh apabila gadis itu mula bangun dari duduknya.

"Jangan mainkan perasaan aku, Jin pendek!" Terus dia mengejar Hazim di dalam kafe itu sebelum lelaki itu mengambil langkah dengan berlari keluar demi menyelamatkan diri.

"Aku tak mainkan perasaan kau lah, gila!" jawab Hazim yang masih berlari. Sesekali kepala ditoleh ke belakang untuk melihat jarak mereka.

Isy laju jugak perempuan ni lari. Mentang-mentanglah kaki panjang macam pokok petai!

"Kau nak pergi mana Hazim!" jerit Alifah yang sudah mula tercungap-cungap mencari udara.

"Pergi ke hati Alifah Samiraaa!" Hazim turut sama menjerit lalu tersenyum bahagia. Dia memperlahankan langkah apabila tidak mendengar bunyi tapak kasut Alifah. Badan dipusingkan ke belakang sebelum dadanya dihentam sesuatu yang keras sehingga Hazim jatuh terduduk.

"Aduh!" Dada yang sakit digosok. Sudahlah dia tengah membayar hutang oksigen, kini siap dengan pakej kasut Bata melekat di dada. Sakit baq hang!

"Ha itulah makan dia!" kata Alifah yang muncul tiba-tiba dengan hanya sebelah kaki yang memakai kasut. Dia mendekati Hazim lalu mengambil semula sebelah kasut yang dia baling pada lelaki itu tadi.

"Aku serius ni Alep, aku nak kahwin dengan kau!" ujar Hazim yang masih terduduk di atas tar panas itu. Kepalanya mendongak memandang Alifah yang terkial-kial memakai kembali kasutnya dalam keadaan berdiri.

"Aku tak nak kahwin dengan kau!" balas Alifah sambil membalas renungan Hazim dengan tajam.

"Lantak kau lah kalau kau tak nak kahwin dengan aku. Aku tetap dengan pendirian aku untuk kahwin dengan kau, Alifah Samira." Hazim berkata kuat sehingga beberapa orang yang lalu lalang di kawasan itu melihat mereka.

Sudahlah Hazim itu sedang elok bersila di atas tar di tepi jalan ini.

"Kita ni ibarat anjing dengan kucing tau, asal jumpa je gaduh..."

"Bukannya gaduh sampai bertumbuk pun. Kita kan gaduh comel-comel je untuk merapatkan silaturrahim," jawab Hazim sambil menaikkan keningnya berkali-kali

"Wayar kau dah putus ke nak kahwin dengan aku? Kau cakap aku pengkid, kan?" soal Alifah namun kini dalam keadaan yang lebih tenang. Matanya memandang Hazim lama sebelum dia membuat keputusan untuk duduk bersila, tiga kaki jauh dari lelaki itu.

"Sebab tulah aku nak kahwin dengan kau, aku nak jadikan kau pengkid milik aku sorang," seloroh Hazim sambil tertawa kecil.

Alifah berdecit kuat lalu membaling batu tar yang kecil pada lelaki yang kuat berseloroh itu. Aih, penat betul!

"Not funny Hazim. Aku tak pernah bercinta pun sepanjang aku hidup, macam mana aku nak jadi bini kau, gila? Tengoklah, perangai pun macam jantan. Mahu mati sakit jantung mak kau tengok aku nanti," kata Alifah panjang.

"Relaks, mak aku dah lepak underground waktu aku sekolah lagi. Aku ada abang, kakak dengan ayah aku je. Yang itu konfem tak mati terkejut sebab jantung sihat." Jawapan Hazim membuatkan Alifah terdiam buat seketika.

"Sorry... Aku tak tahu..."

"Kan aku dah cakap, chill je." Hazim mula tersenyum senget.

"Tapi kita tak bercinta Hazim, kita tak macam orang lain. Kau ni macam tak betullah nak kahwin dengan aku ni..." tutur Alifah sambil membuat muka pasrah.

"Kalau tak bercinta tak boleh kahwin ke? Alah, kita tak perlu pun nak jadi pasangan yang hangat bercinta yang tak tahu haluan akhirnya ke mana. Takkan nak couple sebelum kahwin? Haramlah. Dahlah kita asyik berdua aje, tu pun dah berdosa kau tahu?" kata Hazim tanpa tapis.

"Selepas kahwin nanti kita mulalah bercinta, cinta suam-suam kuku dulu pun jadilah," sambung Hazim sambil tersengih dengan ayat terakhirnya.

"Cinta suam kuku eh? Kau tu tiga suku bukan suam kuku!" kata Alifah dengan decitan kuat.

"Kau pun tiga suku, cakap aku pulak. Kalau tak tiga suku tak adanya kau ikut aku duduk bersila atas tar panas-panas macam ni." Hazim turut sama berdecit.

"Betul juga eh?" Alifah terus tertawa apabila menghadam ayat Hazim itu.

"Hulurkan tangan kau," arah Hazim sambil melihat ke arah Alifah.

"Buat apa?" Dahi Alifah berkerut.

"Cepatlah, banyak bunyi pulak kau ni." Hazim mula membuat muka apabila dipersoal begitu.

Alifah yang mendengar terus menghulurkan penumbuk kanannya sebelum dibuka genggaman itu di hadapan Hazim.

Tanpa menunggu lama, Hazim meletakkan satu cincin yang dia buat menggunakan bunga jejarum berwarna merah di atas telapak tangan Alifah. Gadis itu terpaku tanpa bicara.

"Alifah Samira... Sudi tak kau mempersuamikan Hazim Solehin? Bukan untuk seketika namun untuk sepanjang hidup kau. Aku tak mampu menjanjikan matahari dan awan kumulonimbus untuk kau tapi aku akan berusaha sekeras mungkin untuk bahagiakan kau dengan cara aku sendiri. Mungkin cinta suam kuku kita nanti akan bertukar menjadi sepanas hihang hoheng?" Hazim tersengih lebar dengan ayat lamarannya itu.

Style kan?

"Kau sumpah tak sweet, Jim..." Hanya itu yang terluah daripada kotak suara Alifah. Apa benda lamar guna cincin bunga yang fresh dikutip di pokok tepi jalan? Dengan ayat yang jauh benar dari kata romantik.

"Aku tak boleh nak tunjuk sweet sekarang sebab kita tak ada ikatan lagi. Aku risau kau terkam aku pula nanti," usik Hazim sebelum ketawa terkekeh-kekeh.

"Bodohlah kau ni!" kata Alifah sebelum Hazim tertawa besar. Suka betul dia dapat mengusik pengkid celup di hadapannya itu.

"Sudi tak jadi isteri aku?" soal Hazim lagi sambil menatap lembut wajah gadis itu.

Mungkin orang akan kata dia gila kerana jatuh sayang pada gadis persis pengkid itu. Tapi apa yang dia boleh buat? Tuhan sudah gerakkan hatinya untuk memandang Alifah sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience