KAUNTER yang diketuk secara tiba-tiba membuatkan Hazim yang khusyuk mengira stok terus mendongak memandang gerangan tersebut. Senyuman mula melebar apabila melihat wajah yang sudah berbulan tidak berkunjung tiba di kafe itu.
"Bos!" jerit Hazim sehingga membuatkan Ezrul mengerutkan dahinya secara tak sengaja.
"I miss you so much bos! Waktu bos takde Puan Taliya asyik buli saya aje. Benci betul," adu Hazim dengan wajah menyampahnya.
Ezrul hanya menggelengkan kepalanya. Sudah dia duga, mesti hal itu yang bakal dia dengar daripada Hazim. Isteri dan pekerjanya itu ibarat anjing dan kucing. Ada saja perkara yang menjadi topik untuk mereka gaduhkan.
"Memang korang berdua ni dari dulu tak boleh berjumpa ke? Asal jumpa je perang mulut..." soal Ezrul dengan bahasa isyaratnya.
"Puan lah bos, bukan salah saya." Hazim cuba membela diri dengan menuduh isteri kesayangan majikannya itu. Mujur saja wanita itu tidak masuk kerja hari ini, kalau tak mahu dia kena lenyek dengan coffee maker yang ada di belakangnya kini.
"Apa-apa ajelah korang berdua ni. Boleh botak kepala aku dengar aduan korang ni." Usai itu, Ezrul membuat lagak memicit dahinya.
Pening... Pening dengan perangai dua manusia yang sangat dekat dengannya.
Hazim hanya tersengih dengan balasan bos kesayangannya itu.
"Kali ni bos balik berapa lama?" tanya Hazim.
"Belum tahu lagi. Maybe three to four months. Nak spend time dengan anak bini," jawab Ezrul dengan bahu terjongket tanpa sedar.
Hazim terus meraup wajahnya dengan gaya lega.
"Alhamdulillah, tak perlulah saya hadap Puan Taliya tiap-tiap hari kat sini," kata Hazim tanpa rasa bersalah. Bibir sudah terjungkit senyuman.
Ezrul langsung tergelak kecil dengan respons yang langsung dia tidak jangka. Apa-apa ajelah musuh bersekutu dua orang itu.
"Nanti dah settle kira stok, masuk ofis aku kejap. Ada benda yang aku nak bincang dengan kau," arah Ezrul dan terus berlalu setelah mendapat anggukan daripada Hazim.
Hazim terus menamatkan pengiraan stok yang terakhir dan langsung key-in data itu ke dalam sistem kafe. Tanpa menunggu lama dia bergerak terus ke pejabat kecil majikannya itu.
Pintu yang sedia terbuka dia ketuk dua kali dengan sengihan sentiasa di bibir.
"Ada apa bos?" soal Hazim dengan kening yang terjungkit sebelah.
Ezrul terus menunjuk ke arah kerusi di hadapan meja kerjanya dengan mata yang masih menatap pada skrin komputernya. Tanpa banyak bunyi, Hazim terus labuhkan duduk sambil menjeling sedikit ke arah skrin bosnya itu.
Ezrul terus mengetuk meja dengan hujung jari telunjuknya untuk meraih perhatian Hazim yang masih khusyuk menjeling skrinnya. Hazim terus memandang wajah Ezrul dengan sengihan kerana perbuatannya itu tertangkap.
Terlanjur pulak. Hehe.
"Aku ada sesuatu nak tunjuk pada kau and it's quite serious. Aku nak kau hadam betul-betul, Hazim." Seraya itu, Ezrul memusingkan skrin komputer nipisnya ke arah Hazim.
"Saya kena baca ke bos?" soal Hazim dengan wajah tertanya-tanya. Ezrul hanya angguk. Malas mahu melayan Hazim yang sering saja bertanya soalan yang kurang cerdik. Mungkin inilah punca Hazim selalu bergaduh dengan isterinya yang kuat bitter itu.
Suasana kembali menjadi sunyi apabila Ezrul memberi ruang pada Hazim untuk mencakna apa yang terpapar pada skrin besar itu. Terkumat-kamit bibir itu membaca dan menghadam apa yang terkandung di hadapan mata.
Lima minit berlalu dan mata Hazim terbeliak besar dengan rahang yang turut sama jatuh ke bawah. Skrin dan wajah bos kesayangannya itu dilihat berkali-kali dengan perasaan yang sukar untuk dia percaya.
"Biar betul ni, bos?" soal Hazim kerana dia tidak mampu untuk mempercayai apa sudah dia baca.
"Ya sebab kau pekerja yang paling lama dan paling aku percaya. Aku harap kau dapat terima dengan hati yang terbuka," jawab Ezrul dengan senyuman senget yang mula tergaris di hujung bibir.
"Bos...saya terharu ni..." kata Hazim dengan mata yang sudah bersinar bening.
"Kau jangan menangis kat sini, Hazim." Ezrul terus memotong apabila melihat mata yang sudah berkaca itu.
"I love my boss so much!" luah Hazim dengan mulut yang sudah tersebik.
"I only love my Taliya. Sorry." Ezrul terus mematikan luahan penuh perasaan Hazim yang boleh meremangkan bulu tengkuknya.
"Saya pun love Puan Taliya, bos," tutur Hazim sebelum mendapat jelingan tajam Ezrul secara tiba-tiba. Hazim terus mengulum bibirnya akibat terlepas kata.
"Hehe sorry bos, I love everyone in your family... Hehe."
Share this novel