HAZIM berdiam diri sepanjang perjalanan pulang ke kafe. Angin yang menampar muka tidak mampu menghilangkan rasa kecewanya dengan Alifah tadi. Sesekali, tangannya memegang dada kiri yang terasa nyeri dan dia tepuk perlahan bagai memujuk diri sendiri.
Ah, kau kenapa Hazim?
Dia reject lunch kau aje pun? Kenapa kau nak broken sampai macam ni sekali?
Bukannya kau tak biasa dengan layanan dia tu...
Pendikit minyak dia pulas habis untuk menambahkan kelajuan motor. Pada masa yang sama, dia berharap dia bakal tiba ke tempat kerja dengan cepat untuk menyibukkan diri dan melupakan rasa kecewanya buat seketika.
Nama kafe yang terbentang luas beberapa meter di depan mata membuatkan Hazim mengeluh perlahan. Motor dia parkir di belakang kafe sebelum dia duduk termenung di atas motor buat seketika.
Ya Allah, semoga tak ada Puan Taliya yang menyakitkan hati.
Helmet dia buka sebelum Hazim melangkah lesu ke dalam kafe. Wajah yang suram tidak dapat dia tutup dengan topeng yang sudah hilang entah ke mana. Orang-orang di dalam kafe itu, langsung dia tidak tegur. Kakinya menderu laju ke arah kaunter sebelum dia terus menunduk dan mencapai apron di bawah kaunter.
Belum sempat dia melakukan apa-apa, satu suara telah menghentikan segala tindak-tanduknya.
"Abang Hazim, Puan Taliya minta abang bancuhkan dia iced latte." Teguran daripada salah seorang rakan sekerjanya membuatkan Hazim melepaskan keluhan tanpa sengaja. Wajah gadis itu dia pandang seketika sebelum anggukan menjadi jawapan.
"Saya kena hantar ke?" soal Hazim dengan langkah yang menuju ke mesin kopi. Tangan itu cekap menekan butang yang ada sebelum sekali lagi dia menoleh ke arah gadis yang masih melihatnya.
Angguk.
"Okey," balas Hazim pendek lantas menyelesaikan latte ais majikannya.
Usai, latte ais itu dia tatang penuh berhati-hati seraya menuju ke bilik Taliya yang sedikit terbuka. Tangan yang tidak memegang dulang terus mengetuk pintu kayu itu perlahan.
"Masuk je." Suara itu memberi arahan lembut. Lantas, Hazim terus menjejakkan kakinya ke dalam ruang itu sebelum matanya dihidangkan dengan gerangan ibu dan dua anak kembarnya itu.
"Ancel!!! Eyash indu ancel!"
Betisnya terasa dipeluk erat sebaik saja Hazim meletakkan minuman itu di hadapan Taliya. Hazim menunduk ke bawah dengan kening yang sudah terangkat sebelah. Wajah kanak-kanak berusia empat tahun yang tersengih memandangnya itu menyamankan hati Hazim buat seketika.
"Kenapa tiba-tiba rindu uncle ni, hm?" Hazim bersandar di kerusi sambil memeluk tubuhnya sendiri. Tubuh kecil itu dipandang tanpa ada perasaan mahu menyentuh.
"Kembar ni tergedik-gedik nak datang kafe sebab rindu Uncle Hazim diorang," terang Taliya yang sedari tadi memerhati tanpa bicara. Wajah suram Hazim turut dia pandang dengan penuh tanda tanya. Namun dia hanya memilih diam berbanding menyoal lelaki itu.
"Eya mana? Kenapa uncle tak dengar suara Eya pun?" tanya Hazim untuk mengusik si kecil yang diam tanpa bicara tapi memandangnya dengan mata yang bersinar dari atas pangkuan sang ibu.
"Eya sini ancel..." ujar Elya perlahan sambil mengangkat sebelah tangannya dengan sengihan yang semakin melebar. Hazim terus menarik senyuman kecil dengan tingkah comel anak majikannya itu.
"Ancel ancel, dukung la Eyash ancel." Kakinya terasa ditepuk oleh tangan kecil Elyas. Kedua-dua tangan diangkat ke udara dengan mata hazel yang semakin bersinar memandang gerangan uncle kesayangannya.
"Tak naklah. Eyash berat. Sakit pinggang uncle," usik Hazim sambil menggelengkan kepalanya berkali-kali.
"Eyash tak bewat lah! Angkatlah Eyash ancel! Angkat! Angkat! Angkat!" Kakinya mula melompat kecil supaya dirinya dapat disambut oleh Hazim. Namun lelaki dewasa itu hanya memandang dengan senyuman yang menyenget–rasa ingin mengenakan si kecil itu semakin membuak-buak dalam dirinya.
"Kalau uncle tak nak? Eyash nak buat apa dekat uncle?" Rambut Elyas dia main sehingga si kecil itu mendengus perlahan dengan dahi yang berkerut berat.
"Jangan main rambut Eyash, ancel! Nanti Eyash dah tak encem!" Tangan Hazim dia tampar berkali-kali kerana geram sebelum menjeling lelaki itu tajam. Lengan yang sedari tadi diangkat mula jatuh ke pinggangnya.
Geramnya dia melihat wajah Uncle Hazim sekarang!
Sampai hati dia rosakkan aset Eyash?!
"Eyash hensem ke? Uncle tak rasa Eyash hensem... Yang betul-betul hensem, tengok ni–" Hazim menunjukkan wajahnya lalu menyapu dagu yang bersih dari segala bulu. "Ini baru hensem, hero pujaan ramai. Kalau macam Eyash tu, hmm... Mak cik cleaner pun tak nak."
"Jahat!" Mata itu sudah terkebil-kebil menahan perasaan geram dan sakit hati.
"Mama, tengok ancel ni! Ancel jahat! Ancel cakap Eyash tak encem, mama..." Terkedek-kedek langkah kecil itu menemui ibunya sebelum menempelkan muka pada perut Taliya. Mata itu sudah basah dengan air mata sewaktu Taliya mengangkat si kecil itu untuk turut duduk sama di pangkuannya.
"Nape Eyash nangis?" soal Elya sambil mengelap muka Elyas yang sudah berhias dengan air mata. Bibir itu sudah melengkung ke atas–tersebik menahan perasaan sedih yang merajai hati.
Elyas terus menggelengkan kepalanya lalu mengesat air mata yang masih tersisa.
"Eyash cedih... Ancel cakap Eyash tak encem..." Suara itu semakin mengecil sebelum dia kembali meraung kerana rasa sedih yang melampau.
"Eyash encemlah! Eyash encem kan mama?" Mata bundar Elya mula melihat ke arah Taliya untuk mendapatkan validasi daripada mama mereka. Taliya terus tersenyum senget lalu mengangguk menyetujui kata-kata anak sulungnya itu.
"Eyash anak mama yang hensem, mana ada Eyash tak hensem? Eyash anak mama kot? Gen mama mana ada yang gagal, mestilah kacak dan cantik macam Elya dan Elyas!" pujuk Taliya sambil mengusap belakang anaknya yang sudah tersedu-sedan.
Hazim yang mendengar hanya membuat muka. Terselit juga rupanya ayat puji diri Taliya itu.
"Tapi ancel cakap Eyash tak encem, mama..." Elyas terus menyandarkan kepalanya pada dada Taliya sebelum matanya bertembung dengan gerangan Hazim yang sedang tersengih dan menjelirkan lidah pada Elyas. Elyas terus memalingkan wajahnya dan memandang muka Elya yang turut tersebik kerana sedih dengan keadaan Elyas tika itu.
"Uncle pun tak hensem mana, Eyash. Jadi jangan terasa hati okey?" jawab Taliya sambil menjeling Hazim. Lelaki itu sudah membeliakkan matanya mendengar respons yang tidak terjangka.
Tak hensem mana?
Hey!
Balik ni nak mengadu dekat kubur mak, ada orang buli kita!
"Tapi ancel memang encem pun mama..." Elyas menghapus air matanya dengan belakang tangan. Badan itu masih tersedu dengan rasa sedih yang masih tersisa.
"Budak-budak tak pandai menipu, puan," selit Hazim secara tiba-tiba dengan senyuman yang semakin melebar di bibir.
Baru kena puji kacak, siapa je tak kembang bro?
"Awak dah usik anak saya, sekarang nak cakap budak-budak tak pandai menipu pula? Pujuk Elyas ni cepat, Hazim. Kalau tak saya potong gaji awak bulan ni!" ugut Taliya dengan jelingan yang tajam.
Dah satu hal pula dia perlu memujuk Elyas yang menangis hasil usikan Hazim tika itu. Kecil besar kecil besar je dia nampak Hazim tika itu. Rasa nak lenyek sampai penyek!
"Alah puan, sikit-sikit nak marah... Sikit-sikit nak potong gaji... Ini penindasan hak asasi manusia tahu tak?" decit Hazim lalu bergerak mendekati Taliya. Tangan dia hulurkan sebelum pipi gebu Elyas dicubit perlahan.
"Merajuk dengan uncle ke?" soal Hazim. Si kecil itu lantas memencilkan diri tanpa menoleh langsung ke arah lelaki itu.
"Eyash merajuk dengan uncle ke?" Sekali lagi soalan itu menerpa pendengaraan Elyas. Lantas dia menoleh perlahan-lahan lalu wajah Hazim memenuhi irisnya. Terkebil-kebil matanya melihat Hazim yang sudah menyebikkan bibir.
"Eyash?" panggil Hazim perlahan. Kepalanya ditelengkan untuk melihat wajah comel si kecil.
"Eyash tak nak bercakap dengan uncle? Hm, takpelah kalau macam tu..." Hazim bersuara pasrah, cuba memancing emosi si dia. Hazim terus menegakkan badan dan berura-ura untuk melangkah menjauhi mereka sebelum suara kecil itu menghentikan perbuatan dia.
"Ancel... Nak ikut ancel..." Elyas terus turun daripada pangkuan Taliya sebelum dengan laju menuju ke arah Hazim yang sudah mengulum senyum. Dia pantas menghulurkan tangannya untuk memimpin kanak-kanak itu berjalan.
"Eya nak ikut juga ancel!" Jemari kanannya pula di genggam erat oleh tangan kecil Elya. Pasangan kembar itu tersengih lebar dengan kepala yang mendongak memandang Hazim tika itu.
"Kita nak pergi mana ni?" tanya Hazim pada Elya dan Elyas.
"Nak pergi taman, ancel!"
"Eya nak aiskrim!"
Serentak dua beradik itu memberikan jawapan. Hazim terus melepaskan tawa kecilnya apabila kecomelan itu meresap masuk ke dalam jiwa sehingga dia terlupa akan rasa kecewa yang tadinya merajai hati.
"Puan, boleh ke?" Dia menoleh untuk mencari wajah Taliya yang memandang mereka tanpa mengeluarkan sepatah bicara. Sangat jarang hal ini berlaku tetapi Hazim sangat menghargai Taliya yang tidak menyerang diri yang sedang parah hatinya ketika itu.
"Pergilah, petang ni awak tak perlu masuk kerja. Pergilah hilangkan tekanan awak tu dengan budak-budak. Nanti ambil kunci kereta saya tu, Hazim."
"Terima kasih, puan," ucap Hazim apabila Taliya seakan-akan memahami dirinya tika itu.
"Sama-sama. Jangan stress sangat Hazim. Orang cakap kalau tekanan berlebihan boleh pendekkan umur. Kalau awak mati awal, kafe ni siapa yang nak handle?" kata Taliya dengan wajah toya.
Hazim terus berdecit kuat.
Baru je dia puji wanita itu kelihatan penuh rasional hari ini, rupa-rupanya pujian itu tidak bertahan lama.
"Menyampahlah saya dengan puan ni. Jom sayang-sayang uncle, kita tinggalkan mama korang yang mulut macam bontot ayam ni."
Hazim terus melangkah dengan dua anak kecil itu meninggalkan Taliya yang sudah terkekeh ketawa di belakang. Usik sikit pun tak boleh!
Share this novel