Bab 3

Romance Series 10310

Hari ini secara rasminya, di hadapan hakim aku diceraikan dengan talak satu. Naufal bersama dua rakan, Puan Sri Mashitah juga Tan Sri Mukhriz, manakala aku hanya hadir bersendirian tanpa peneman. Aku tak kuat untuk memberitahu ibu dan ayah, bahawa menantu kesayangan mereka kini telah membuang aku dari hidupnya.

Setelah semua selesai aku mendapatkan Naufal dan kedua bekas mertuaku. "Daddy..mummy. Halalkan makan minum Aisya selama ini. Maafkan Aisya untuk segala salah dan silap, maafkan Aisya sebab tak jadi menantu yang baik dan maafkan Aisya sebab tak dapat bagi cucu.. Terima kasih kerana melayan Aisya dengan baik". Airmataku menitis dipipi.

"Aisya, maafkan daddy.. Sebab gagal didik Naufal untuk jadi suami yang baik". Aku menyalami tangan bekas mertuaku, buat kali terakhir. Puan Sri Mashitah pandangku dengan senyuman sinis, dia gembira kemenangan aku kini bukan isteri anaknya lagi.

Tan Sri Mukhriz menarik Puan Sri Mashitah berjalan ke kereta, memberi aku ruang bercakap dengan Naufal.

"Maafkan saya, buat awak jatuh cinta dan melamar awak". Naufal mulakan bicara.

"Hmm.. Terima kasih abang, kerana abang Aisya dapat rasai indahnya cinta. Terima kasih untuk segalanya, dan maafkan Aisya kerana tak sempurna. Pernikahan kita adalah kenangan indah buat Aisya.., Aisya tak pernah menyesal jadi isteri abang". Aku tersenyum dengan hati yang pilu, aku melangkah ke kereta meninggalkan insan yang amat aku cintai itu.

Kalau dulu, setiap butir kata yang keluar dari mulut Naufal pasti akan membuat hati aku berbunga seharian. Tetapi kini, yang keluar dari mulutnya hanyalah kata-kata yang cukup menghiris hati. Sekarang semua sudah berakhir, aku redha Ya Allah..mungkin inilah yang terbaik buat kami.

Kini telah hampir sebulan kami berpisah, aku masih disini dirumah yang pernah terlakarnya kenangan pahit manis antara kami. Rumah, kereta dan wang simpanan kami Naufal serahkan semua kepada aku. Katanya lagi, dia takkan abaikan aku walaupun kami sudah tiada apa-apa hubungan kerana suatu masa dulu aku juga pernah membahagiakan hidupnya.

Hari-hari aku sekarang tidak lagi bertemankan airmata, aku redha dan terima segala takdir ini. Semalam, Tan Sri Mukhriz ada hubungi aku untuk ajak berjumpa. Sepanjang perjumpaan, dia menyakinkan aku bahawa dia takkan benarkan perkahwinan antara Naufal dan Kamelia terjadi. Katanya lagi, dua hari lepas Naufal sudah dihantar ke Brunei untuk menguruskan company miliknya disana. Dan dia akan cuba sedaya upaya untuk memisahkan mereka berdua. Hmm, tetapi hati aku pula kuat mengatakan, yang hati aku sudah tak mampu untuk terima cinta Naufal lagi. Ya, aku sayang dia..aku cinta dia, tetapi hati aku sakit dan terluka dengan semua yang telah berlaku.

Esok aku akan pergi dari sini, aku mahu pulang..pulang kepada kedua orang tuaku. Ibu dan ayah amat rapat dengan Naufal dan Kamelia, sejak kami di universiti lagi mereka berdua selalu mengikutku pulang ke kampung.

Aku amat berharap, ibu dan ayah dapat terima hakikat yang menyakitkan ini bahawa Kamelia yang mereka anggap seperti anak kandung itu telah merobohkan masjid yang dibina anak kandung mereka ini. Aku tahu, ibu dan ayah begitu sayangkan Naufal dan Kamelia.


*******************

Hajah Kamariah kegelisahan, dari tadi cuba dilelapkan mata tetapi tetap tidak terlena. Sudah puas dia pusing ke kiri dan ke kanan, tidak berhasil juga. Sejak akhir-akhir ini, hatinya selalu gelisah seperti ada sesuatu yang tidak kena. Fikirannya makin bercelaru bila memikirkan tentang anak-anak yang berada di kejauhan. Terutama anak perempuan kesayangannya Hawa Nur Aisya, dia dapat merasakan bahawa anaknya itu sedang berduka. Setiap kali mereka bercakap melalui henfon, dia dapat dengar akan getaran di suara Aisya seperti menahan tangisan.

"Ya Allah, lindungilah anak-anakku". Bisik Hajah Kamariah.

Dia bangun dari katil, melihat jam di henfon yang dihadiahkan oleh menantunya Naufal sempena hari lahir tahun lepas.

"Dah pukul 3 pagi, seeloknya buat solat tahajud". Hajah Kamariah mengejutkan Haji Zulkifli untuk menunaikan solat tahajud bersama.

Selesai solat berjemaah bersama suaminya, Hajah Kamariah mengaji pula hingga ke subuh. Sungguh hatinya gelisah, rasa tak sedap hati seperti ada perkara buruk yang akan berlaku.

Pukul 7 pagi ketika sedang bersarapan, Haji Zulkifli kehairanan melihat isterinya yang mundar mandir di meja makan seperti ada sesuatu yang tak kena.

"Yah.., kenapa dengan awak ni? Pening kepala abang ni tengok awak ke hulur ke hilir". Tegur Haji Zulkifli.

"Saya tak sedap hati bang, gelisah je hati saya ni lagi-lagi bila teringatkan Aisya".

"Cuba awak duduk Yah, tenangkan diri..istighfar banyak-banyak. Berdoa kepada Allah S.W.T supaya sentiasa melindungi anak-anak kita dari sebarang benda tidak elok. Itu yang sebaiknya Yah..".

"Allah.., maaf bang. Saya terikutkan sangat rasa gundah di hati ni..".

Setelah sedikit tenang, Hajah Kamariah mencapai henfon lalu mendail nombor Aisya. Dia perlu mendengar suara Aisya, untuk menenangkan lagi hatinya ini.

"Assalamualaikum ibu..". Aisya memberi salam.

"Waalaikumusalam anak ibu.., Aisya sehat?".

"Alhamdulillah ibu, Aisya sehat.. Ibu dan ayah macam mane?". Kedengaran getaran suara Aisya.

"Ibu dan ayah pun sehat, alhamdulillah.. Aisya.., Aisya okey ke sayang?".

"Okey.. Aisya okey. Kenapa ibu tanya macam tu? Ibu.., petang nanti lepas zohor Aisya balik kampung". Aisya menahan esakan, tapi airmatanya sudah jatuh ke pipi.

"Ohh, baguslah..ibu dah rindu sangat dengan kamu berdua. Aisya dan Naufal nak makan ape? Kejap lagi ibu dan ayah ke pasar, carikan lauk..nanti ibu masak makanan kegemaran kamu berdua ye". Hajah Kamariah teruja, sudah 4 bulan anak menantu tidak pulang ke kampung.

"Ibu.., takpe. Ibu masak je ape-ape, kami tak kisah. Aisya pun rindu sangat-sangat dengan ibu dan ayah. Ibu tunggu Aisya ye..". Akhirnya, esakan kecil bertukar menjadi tangisan kuat.

"Aisya.., kenapa ni? Aisya ade masalah ke sayang??". Kelam kabut Hajah Kamariah apabila terdengar akan tangisan kuat dari Aisya.

"Ibuu.. Doakan Aisya bu, doakan Aisya..".

"Ya Allah, anak ibu.. Kenapa sayang? Ade ape-ape yang terjadi ke? Ibu selalu doakan Aisya, doakan kebahagiaan dan kesejahteraan ke atas anak-anak ibu. Aisya ade masalah ke, cerita dekat ibu ye..".

"Tak bu, Aisya okeyy.. Aisya cuma terlalu rindukan ibu, nanti petang Aisya nak peluk ibu puas-puas tau. Hm maafkan Aisya bu, sebab lama tak balik jumpe ibu dan ayah". Ujar Aisya dengan airmata yang mengalir laju.

"Sayang.., anak ibu tak pernah buat salah dengan ibu. Okey kita jumpe petang nanti ye, dah jangan nangis-nangis..". Hajah Kamariah mulai sebak.

"Emm.. Okeylah bu, Aisya nak kemas beg ni. Kite jumpe nanti ye bu, ibu tunggu Aisya tau..".

"Okey sayang, pesan dekat Naufal nanti drive jangan laju-laju ye. Assalamualaikum".

"Baiklah bu, waalaikumsalam. Aisya sayang ibu..". Panggilan di tamatkan.

Hajah Kamariah makin yakin bahawa anaknya itu sedang mempunyai masalah, dia hanya mampu berdoa dari jauh semoga Aisya kuat untuk menghadapi sebarang ujian dari Allah.

"Yah.., awak fikirkan ape tu?". Tegur Haji Zulkifli kepada Hajah Kamariah yang sedang termenung di pankin.

"Abang, saya rasa Aisya ade masalah lah. Dia menangis teruk bang, bila saya tanya kenapa dia cakap takde ape. Tapi saya rasa dia ade masalah dengan Naufal lah bang".

"Hmm, adelah tu salah faham sikit. Biasalah orang muda Yah..".

"Saya pun harap gaduh kecik aje lah bang. Oh ye, abang jom kite ke pasar. Ni haa, Aisya kata nak balik petang nanti. Saya nak beli barang dapur, nak masak masakan kesukaan mereka berdua".

"Tak payah difikirkan sangat Yah, inshaAllah rumah tangga anak kita baik-baik saja. Em, awak pergilah bersiap, saya panaskan enjin kereta".


******************

Esakan tangisanku makin menjadi, pagi ini aku akan menangis semahu-mahunya. Sebaik aku melangkah keluar dari rumah ini nanti, aku akan tinggalkan segala kenangan pahit manis. Aku akan lupakan semua, nama Naufal juga akan aku buang dari hati dan akan padam segala memori bersama dia. Hari ini, akan jadi hari yang terakhir untuk airmata aku jatuh pada insan bernama Muhammad Harraz Naufal. Segala sakit ini, akan berakhir disini dirumah yang mana bermulanya sebuah kisah.

Setiap kali teringatkan perbuatan mereka, hati aku bagai dihiris berkali-kali tanpa henti. Hati aku cukup terseksa, bila terpaksa memendam segala duka ini sendirian. Tiada tempat untuk aku luah dan berkongsi segala rasa sakit ini, hanyalah kepada Maha Pencipta aku mengadu dan memohon kekuatan untuk bangkit.

Selama dua tahun aku bergelar menantu kepada Puan Sri Mashitah, aku cukup berusaha untuk mendapatkan tempat dihatinya. Segala usaha yang aku buat tidak berhasil, tetap tidak berjaya tetapi begitu mudah pula bagi Kamelia. Bukan hanya hati Puan Sri Mashitah Kamelia berjaya tawan, malahan hati Naufal juga dia berjaya merampasnya dari aku.

Tepat dua petang, aku melangkah keluar dari rumah yang pernah menjadi syurga terindah buat kami berdua. Sebak dan pilu sangat terasa dihati ini, kaki juga bagai berat untuk mengatur setiap langkah. Airmata pula tak henti-henti mengalir, aku berdiri dihadapan rumah dan merenung lama. Tak sanggup rasanya untuk meninggalkan semua kenangan yang pernah tercipta di sini. Pedih rasa hati..

"Kuatkan aku Ya Allah..". Aku harus pergi, aku tak boleh lagi meneruskan hidup disini. Setiap kenangan manis yang pernah tercipta dulu kini tidak lagi dapat membuatkan hati aku bahagia. Sekarang dengan hanya mengingati setiap kenangan itu sudah cukup menyiksakan hati ini.

Dengan bismillah aku memulakan perjalanan untuk pulang kepada ibu dan ayah, mulai sekarang hanya merekalah cinta hatiku. Aku hanya mampu berdoa, agar ibu dan ayah dapat terima dengan sepenuh hati tentang perpisahan kami.

Baki perjalanan tinggal 50km lagi, harini merupakan cuti umum jadi bilangan kenderaan dijalan raya banyak berbanding hari biasa. Dalam 45 minit aku akan sampai ke kampung halaman, akan aku peluk dan cium ibu dan ayah sepuas-puasnya. Anak manja mereka ini akan kembali hidup bersama mereka, setelah 4 bulan tidak bertemu mata. Mata aku rindu untuk menatap wajah tua mereka..

Tiba-tiba kedengaran deringan dari henfon, tangan kiriku pantas mencapai handbeg diseat sebelah. Tangan kiriku memegang henfon, aku mengalihkan mata ke arah skrin untuk melihat gerangan si pemanggil.

"Ohh ibu". Jariku pantas menekan answer.

"Pinggggg...pingggg...pinggggg...". Kedengaran hon yang panjang dibunyikan dari hadapan.

"Ya Allah...". Sebuah 4×4 yang gagal memotong memasuki laluanku, jelas kelihatan wajah kaget si pemandu. Saat 4×4 itu sedang meluncur laju ke arah kereta yang dipandu aku, badan ini bagai kaku diseat dan tanpa sempat mengelak.

"Duuummmmm!!!! Duuummmmm!!!!! ". Hentakkan yang kuat dari hadapan, kepalaku terhantuk di stering kereta kemudian kereta berpusing beberapa kali dan melanggar pula divider. Hantukkan dikepala buat kali kedua membuatkan aku separuh sedar, terasa kesakitan yang amat dibahagian kepala dan badan.

"Cik..., cik..". Pintu kereta dibuka dari luar, seorang pemuda memanggil-memanggilku kemudian pandangan mata aku mulai gelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience