Completed
15858
Bab 4
"Lan... Lan... Lan..." satu suara perempuan memanggil nama Razlan dengan lembut sambil ketawa kecil. Namun panggilan itu hanya sayup-sayup kedengaran di telinga Razlan.
Matanya sungguh berat untuk dibuka namun panggilan namanya itu membuatkan dirinya tertanya-tanya siapa yang memanggilnya ketika sedang lena. Dia terfikir mungkinkah dia hanya bermimpi atau sedang dipermainkan oleh Johari. Sudahlah Johari meninggalkannya petang tadi tanpa memberitahu terlebih dahulu.
Mahu atau tidak, Razlan nekad membuka mata untuk mengetahui siapakah yang memanggilnya.
Dengan perlahan, mata Razlan dibuka. Dalam keadaan mengantuk, Razlan lihat Johari tiada di katilnya yang terletak betul-betul di sebelah katilnya. Namun lampu di tepi katil Johari terpasang.
Razlan musykil. Siapa yang memanggil namanya sebentar tadi. Johari juga belum dilihatnya sejak dia terlena senja. Jam di tangannya dilihat. Baru jam 3.03 pagi.
Dek kerana terlalu mengantuk, Razlan mahu menyambung kembali tidurnya. Dia mengalihkan posisi tubuhnya. Dia mengiring ke kiri mengadap dinding dan memejamkan kembali matanya.
Namun, belum sempat tidurnya lena kembali, satu bunyi jatuh kedengaran. Bunyinya seperti gelas pecah. Dirinya terkejut.
Razlan bingkas bangun dan terduduk di atas katil. Matanya terus segar.
Sambil menggosok matanya, Razlan memanggil nama Johari beberapa kali tetapi panggilannya itu tidak disahut oleh Johari. Yang kedengaran adalah suara ketawa kecil seorang wanita.
Terus meremang Razlan dibuatnya. Hatinya berdebar-debar. Razlan bangun meninggalkan katilnya dan menuju ke arah kaunter mini yang dipenuhi gelas dan minuman. Dia meninjau sekeliling namun tiada gelasatau botol kaca yang pecah.
Razlan memanggil nama Johari sekali lagi. Namun, masih sunyi.
Razlan memberanikan diri untuk kembali semula ke katilnya. Di situ, dilihatnya Johari sedang duduk membatu di birai katil. Lega hati Razlan.
"Ke mana kau pergi Joe? Berkali-kali aku panggil, haram kau nak jawab. Kau ada dengar tak bunyi gelas jatuh tadi?" tanya Razlan.
Dia menghampiri Johari dan cuba menepuk bahu sahabatnya itu kerana Johari masih diam membatu walaupun dilemparkan soalan ringkas.
Apabila Razlan cukup hampir, Johari memandangnya dengan wajah dipenuhi darah dan daging di pipinya jatuh. Razlan menjerit.
Arrggggghhhhhhh!!!!!!
Share this novel