Bab 10

Romance Completed 24359

10

Mata Maya masih terkebil memandang syiling. Kedengaran dengkuran halus di sebelahnya. Lena betul Afiq tidur membelakanginya. Sakit pula hatinya. Tak ada keinginan langsungkah suaminya terhadapnya? Nanti, Afiq tidak jadi kucing, dia yang jadi harimau. Diterkam sahaja Afiq. Habis cerita.

Lamunan Maya terganggu dengan bunyi deringan telelefon milik Afiq. Awalnya dia hanya menanti Afiq terjaga sendiri namun lelaki ini tidak juga sedar-sedar.

“Tidur atau pengsan ni?” bisiknya keseorangan.

"Awak... Telefon..." Maya menggoncangkan sedikit bahu suaminya.

Afiq berkalih menghadapnya dengan wajah berkerut. Terganggu agaknya, namun mata lelaki itu masih terkatup rapat.

Maya putus asa. Lagipun telefon itu sudah berhenti berbunyi. Dia meneliti wajah Afiq yang begitu lena. Jarinya mula mengikuti setiap lekuk wajah Afiq tanpa menyentuhnya. Dari kening lelaki itu yang tebal, ke hidungnya yang sedikit mancung hinggalah ke bibir lelaki itu yang agak tebal. Bibir lelaki itu tidaklah merah mana. Tona warnanya lebih sesuai dengan kulit Afiq yang agak sawo matang. Yang paling Maya suka adalah lekuk di dagu Afiq. Entah mengapa, dia rasa sesuai lekuk itu dengan bibir Afiq yang agak tebal.

Tiba-tiba telefon Afiq berbunyi lagi. Akhirnya Maya sendiri yang menjawab panggilan itu. Entah siapalah yang sibuk mengganggu malam-malam buta begini. Tercebik-cebik bibir Maya mengomel sendirian. Namun bebelannya terhenti saat mendengar suara gemersik wanita di hujung talian.

"You! You janji nak call I. Puas I tunggu. You ni suka tahu buat I marah."

Aduhai.... Gedik sungguh perempuan di hujung talian itu.

Maya tidak menjawab. Dia memandang tajam ke arah Afiq. Betul tekaan Ira. Afiq ada perempuan lain.

"You..." rengek suara itu lagi. "You ni mesti mamai, kan? You tekan butang jawab dalam tidur? Tak apalah. Esok I call you balik." Talian diputuskan.

Maya mencampakkan telefon bimbit Afiq ke sebelah lelaki itu. Sakitnya hati dia, tuhan sahaja yang tahu. Betullah cintanya pada Adam selama setahun hanyalah cinta sebelah pihak.

Aduh... Bersabarlah hati...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience