Completed
24359
2
Maya menuang nasi yang baru digorengnya ke dalam bekas. Dicapai ulam yang memang telah siap dipotong dan dibasuh dari dalam peti. Sempat dia menilik Afiq yang sedang khusyuk menonton televisyen di ruang tamu. Dia memang tiada niat mahu menjemput suaminya itu makan. Pandai-pandailah kalau lelaki itu mahu makan. Dia masih ingat apa yang berlaku di awal perkahwinan mereka.
5 bulan sebelumnya....
"Err... Awak. Sarapan?" Maya mengajak Afiq yang kelihatannya sudah bersiap untuk ke kelas.
Suaranya perlahan sahaja. Itulah kelemahannya setiap kali berhadapan dengan Afiq. Dia terlalu menyukai Afiq hingga setiap kali lelaki itu ada dekat dengannya, jantungnya berdegup tidak sekata. Setiap kali mata mereka bertembung darahnya menyerbu ke muka. Dia jadi gugup sendiri.
Afiq memandang sekilas wajah Maya yang menunduk dari tadi. Sama sahaja waktu malam perkahwinan mereka semalam. Gadis itu hanya menunduk dan memeluk lutut di bucu katil. Dia tidak ambil pusing lalu terus merebahkan tubuhnya yang penat ke atas katil sebelum terlelap dalam masa yang singkat. Bangun-bangun sahaja, gadis itu sudah tiada di dalam bilik.
"Err... Papa, mama, ibu dengan ayah dah tunggu dekat dapur," tambah Maya perlahan.
Tanpa bicara, Afiq melangkah ke dapur dibontoti Maya.
Sampai sahaja di pintu dapur, langkah Afiq mati mendadak. Tubuh kecil Maya melanggar belakang tubuh Afiq. Maya panggung kepala.
Afiq berpaling menoleh ke arah Maya. Terus membulat mata Maya. Dia yakin wajahnya sedang memerah saat ini. Maya menundukkan wajahnya menekur lantai bermozek itu. Kedengaran suara Afiq berbisik di telinganya.
"Aku tahu kita sama-sama terpaksa dalam perkahwinan ni. Tapi jangan nak tunjuk sangat depan keluarga kita," tegas Afiq.
Maya agak terkejut.
'Terpaksa?' detik hati Maya.
Beberapa saat Maya terpempan di situ.
'Betul juga. Afiq memang selalu rasa terpaksa. Dia tak pernah mahukan perkahwinan ni. Aku sahaja yang gembira. Cinta aku bertepuk sebelah tangan,' bisik hati Maya.
Sedaya upaya dia menahan air matanya dari jatuh. Wajar sahaja Afiq tidak mempedulikannya semalam. Seperti dia tidak wujud di dalam kamar itu. Maya mengangguk perlahan. Dia mengikut sahaja rentak Afiq.
Share this novel