Nuur memaut lengan Zafran untuk mendapatkan semula kekuatan. Zafran juga seakan terkejut dan tergamam. Derapan langkah kaki yang perlahan membawa mata Nuur untuk melihat tubuh yang menghampiri mereka. Wanita yang memakai kain batik, baju kurung kedah dan tudung tersenyum hambar menerima kehadiran tetamu.
“Assalamualaikum, jemput masuk cikgu…jemput masuk…” ramah suara Kak Fizah menjemput Nuur dan Zafran yang tercegat di ambang pintu.
“Waalaikumsalam. Terima kasih kak,” tutur Nuur dan menyambut huluran tangan Kak Fizah. Gengaman erat jemari Kak Fizah berbalas dengan jemari Nuur. Pandangan mata Nuur bertatapan dengan anak mata Kak Fizah yang seakan pudar dan redup. Namun, rekahan senyuman hambar masih di wajah Kak Fizah.
“Jemput duduk cikgu,” ujar Kak Fizah menarik jemari Nuur untuk duduk berdekatan dengan tubuh yang masih terkedang di atas tilam.
“Akak ingat cikgu siapa tadi yang datang,” sambung Kak Fizah, ibu Jazman Al-Hafiz yang sudah terlantar, terkedang tidak bergerak di atas tilam nipis!
“Sejak bila ni kak? Saya tak tahu…” Nuur duduk bersimpuh di sebelah Zafran yang sudah selesa bersila. Kak Fizah mendekati tubuh yang terlantar itu dan masih senyum. Diusap perlahan rambut yang menipis dan mengelus-elus pipi cengkung itu.
“Bulan lepas…” jawab Kak Fizah perlahan. Sebulan Jazman terlantar begini?
“Akak tak bagi tahu saya.” Nuur menahan sebak.
“Jazman tak bagi akak bagi tahu cikgu.” Jawapan Kak Fizah semakin meruntunkan jiwa. Zafran menyentuh jemari Jazman yang sekejap bergerak-gerak.
Nuur memejamkan mata sekejap. Memandang semula tubuh kurus itu. Tubuh yang masih bernyawa tetapi tidak lagi mampu untuk bersuara mahu pun membuka mata. Hembusan nafas yang kelihatan amat sukar untuk dilepaskan. Kulit putih cerah milik Jazman semakin pucat. Permukaan bibir yang merah dahulu sudah merekah kering. Renungan mata yang agak galak dahulu juga sudah tersembunyi. Apa yang berlaku? Kenapa Jazman?
“Inilah sebabnya Jazman nak berhenti sekolah. Dia ingat boleh kerja untuk sara keluarga ni tapi penyakit ni lebih cepat menyerang. Kami tak mampu nak dapatkan rawatan kat hospital. Jadi akak rawat cara kampung je. Akak tahu rawatan ni tak mungkin dapat sembuhkan anak akak ni.” Kak Fizah bersuara dan air mata berlinangan menuruni pipi.
“Penyakit apa kak?” tanya Zafran mendahului Cikgu Nuur.
“Kanser tahap terakhir.”
Nuur menekur lantai dan menahan sendu. Empangan air mata tidak mampu lagi untuk ditahan. Air mata yang perlahan mengalir tanpa sendu, tubuh kurus dan wajah cengkung Jazman direnung lama-lama. Patutlah anak ini semakin hilang seri senyuman manisnya. Hilang segala kekuatan dan azam untuk menjadi insan yang berjaya di masa hadapan seperti yang pernah diangan-angankan oleh seorang lelaki yang bernama Jazman Al-Hafiz. Ya Allah…beratnya dugaanMu ini…
“Along…Cikgu Nuur datang ni…Cikgu Nuur…ada kat sebelah along….” Kak Fizah membisikkan kata-kata di telinga kiri Jazman. Seketika itu bibir kering itu bergerak-gerak seperti mahu menuturkan sesuatu. Payah benar Jazman mahu membuka mata. Air mata Nuur semakin deras mengalir. Ya Allah….Ya Allah…
Terketar-ketar tangan kurus itu mahu digerakkan dan sempat dipaut perlahan oleh Zafran. Tanpa disuruh, Zafran mendekatkan telinga pada bibir Jazman yang seakan mahu bercakap. Tanpa suara yang didengari namun Nuur yakin ada perkataan yang ingin disampaikan oleh anak muda ini. Seketika Zafran mendengar, Nuur memandang wajah Zafran dalam-dalam. Anak mata Zafran sudah merah. Tunangnya ini juga sudah sebak. Sudah pilu menghadapi semua keadaan ini.
“Jazman kata dia minta maaf.” Zafran bersuara dan melepaskan nafas.
Kak Fizah hanya bersandar di dinding rumah sambil memeluk si cilik yang entah bila muncul dan sudah dalam pelukan ibunya. Nuur menyeka air mata yang sudah deras mengalir. Mengengsot mendekati kepala Jazman, menundukkan wajah dan bertutur betul-betul di telinga kanan Jazman.
“Kamu tak ada salah dengan cikgu. Cikgu sayang kamu…ingat lagi Jazman…kamu suka benar dengan kalimah Bismillahir Rahmannirrahim…”
Share this novel