TELINGANYA masih mendengar perbincangan dari mulut Cikgu Alina dan Ustazah Suraya. Tidak menyampuk atau pun ikut sama pada isu itu walaupun hatinya teramat ingin ikut serta. Jemarinya yang memegang sebatang pen merah masih ligat menanda kesalahan ejaan dan tatabahasa pada karangan yang dibuat oleh Azwana. Pelajar ini masih suka benar mencampur-aduk bahasa. Siap buat kurungan pada perkataan Bahasa Melayu yang dicampur dalam ayat Bahasa Inggerisnya. Nuur segera membuat bulatan pada perkataan-perkataan itu.
“Kena bagi tahu pada Cikgu Talib. Ini dah kes HEM. Dah banyak hari dia tak datang ni. Kena panggil mak ayah sekali.” Suara Cikgu Alina sedikit tegas.
“Minggu lepas cuma dua hari je dia datang. Bila tanya kenapa tak datang tak jawab. Diam je,” Ustazah Suraya mula merungut.
“Mak ayah tak ambil berat. Sikap lepas tangan. Tak tahu ke anak sendiri dah lama tak datang sekolah?” ujar Cikgu Alina beremosi. Nuur berhenti menanda buku latihan karangan. Kata-kata Cikgu Alina itu seakan tidak dipersetujui. Bukan salah ibu bapa. Bukan salah anak didik itu. Pasti ada masalah yang berlaku. Ini kata hati Nuur.
“Jom pergi rumah dia!” sampuk Cikgu Jufri tiba-tiba. Entah bila pula cikgu yang berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang itu sudah tercongok di hadapan meja Nuur dan mencekak pinggang memandang Cikgu Alina dan Ustazah Suraya.
“Nak ikut,” Cikgu Zita sudah gelak-gelak.
“Nak buat rombongan Cik Kiah ke?” sampuk Nuur cuba berjenaka walaupun sedar usikan itu tidak kena di dalam situasi ini. Cikgu Jufri dan Cikgu Zita sudah ketawa kecil. Namun Cikgu Alina masih serius.
“Kena buat sesuatu. Tahun depan pelajar ni Tingkatan Lima. Kalau perangai masih suka ponteng macam ni, pening saya nanti. Kita dah bertungkus-lumus nak pastikan prestasi SPM lulus 100%. Apa jadi kalau ada yang asyik nak ponteng aje?” Cikgu Alina masih dengan pendiriannya. Ketawa Cikgu Zita mati. Nuur mengenyitkan mata pada Cikgu Jufri. Ustazah Suraya hanya mengangguk mungkin mengiyakan pendapat Cikgu Alina.
“InsyaAllah akan ada jalan penyelesaian,” luah Nuur dan bingkas bangun. Dia mencapai buku ringkasan mengajar, bekas alat tulis dan beberapa buah buku rujukan. Dia perlu masuk ke kelas Tingkatan 6 untuk mata pelajaran MUET.
Segera dilajukan langkah kaki keluar dari bilik guru. Entah kenapa hatinya tidak tegar untuk mendengar diri Jazman dipersalahkan kerana dia kerap ponteng sekolah. Pelajar itu amat menyenangkan hati. Tingkahnya sentiasa mendamaikan jiwa. Di dalam kelas 4 Sina, Jazman antara salah satu pelajar yang rajin dan tidak pernah menidakkan apa jua arahannya. Cuma kebelakangan ini, kekerapan dia ponteng sudah menarik perhatian ramai guru termasuk Nuur. Mulutnya seakan terkunci rapat untuk memberitahu sebab kenapa dia tidak hadir ke sekolah. Sudah puas guru kelas 4 Sina iaitu Cikgu Zikri merujuk Jazman pada guru kaunseling. Cikgu Lihana puas memberi nasihat dan sesi kaunseling pada Jazman. Namun, pelajar itu masih begitu. Semakin banyak persoalan masih masih belum terjawab.
Share this novel