WAJAH cemberut Cikgu Alina dipandang sekilas. Rasa marah itu kembali muncul dengan mendadak dalam dirinya. Ke mana perginya sifat rasional Cikgu Alina yang amat disanjung oleh Nuur dan guru-guru lain? Bukankah Cikgu Alina begitu mengambil berat terhadap semua pelajarnya? Tapi kenapa anak didik yang seorang ini dicela, dicaci dan dimarah sehabisan? Wajah Jazman sudah mendung. Bergenang air mata di tubir matanya.
“Fikirkan masa hadapan kamu. Fikir!” lantang benar suara Cikgu Alina.
“Saya…saya…dah fikir…” terketar-ketar mulut Jazman bersuara.
Cikgu Alina mendengus marah. “Kamu tak fikir kan? Ikut suka hati je nak buat keputusan nak berhenti sekolah. Kamu ingat sekolah ni reban ayam? Ikut suka kamu nak berhenti sekolah macam tu je!”
Jazman hanya mampu menggeleng-gelang kepala. Nuur sudah panas hati mendengar setiap patah kata yang keluar dari mulut Cikgu Alina. Cukuplah membuat andaian wahai Cikgu Alina!
“Saya…suka belajar…cikgu…” tutur Jazman. Linangan air mata sudah perlahan menuruni pipinya. Nuur sebak. Runtun hatinya. Wajah Cikgu Alina tetap garang.
“Kalau dah suka kenapa nak berhenti pulak? Tahun depan kamu SPM. Cuba jadi pelajar yang tak menyusahkan guru!” Cikgu Alina menghamburkan kata-kata lagi.
“Saya minta maaf cikgu…”lirih suara Jazman menuturkan kata maaf. Nuur hanya menekur memandang buku latihan. Pandangan kosong. Hanya hati yang dilanda pilu.
“Tak perlu minta maaf. Kamu bukan sedar kesalahan kamu tu. Ikut suka kamu nak berhenti ke tidak. Daripada kamu menyusahkan saya nanti, elok juga kamu berhenti sekarang. Ikut suka kamu, Jazman.” Cikgu Alina menghentak beberapa buah buku di atas meja. Nuur tersentak, terpandang juga wajah Cikgu Zita yang terkebil-kebil memandang arah pada meja Cikgu Alina.
“Jazman, masuk kelas. Masa saya sekarang.” Nuur bingkas bangun, mengambil buku-buku yang telah disediakan dari tadi. Nuur masih tidak memandang langsung pada Cikgu Alina disebelahnya. Bengkak hati mendengar kata-kata Cikgu Alina yang begitu menyayat hati. Jika hatinya pilu sebegitu, bagaimana pula perasaan Jazman?
“Cikgu Alina….saya minta maaf….” suara Jazman kedengaran.
“Cepat Jazman,” gesa Nuur lalu memandang tubuh Jazman yang seakan tidak mahu meninggalkan meja Cikgu Alina. Cikgu Alina tidak bersuara apa-apa. Sekadar buat-buat menyelak helaian buku di atas meja.
Share this novel