“APA Nuur nak buat lagi?”
Nuur hanya terdiam. Pertanyaan dari mulut lelaki di hadapannya ini seakan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Fikirannya masih berpusat pada satu nama. Nama Jazman Al-Hafiz yang masih disebut-sebut dalam hati.
“Saya tanya ni awak dengar tak?” Zafran seakan hilang sabar melihat Nuur yang masih mendiamkan diri dan seakan berkhayal.
Nuur sedikit tersentak disergah begitu dan menyedari terlalu jauh dia mengelamun sehingga Zafran yang berada di hadapannya tidak wujud. Dipandang wajah Zafran yang sudah lain macam. Alahai, merajuk ke cik abang ni?
“Sorry…jangan marah…” pujuk Nuur tersenyum manis. Zafran masih serius.
“Apa sorry-sorry? Banyaklah sorry…saya tengah marah ni.” Zafran jegilkan mata.
Ligat otak Nuur mencari idea untuk memujuk si buah hati. Zafran sengaja mahu merajuk-rajuk. Umur sudah menjangkau 30 tahun tetapi masih mahu bersikap keanak-anakan. Ahh…Zafran Sulaiman tunangku…jaga nanti…gumam hati kecil Nuur.
“Awak marah-marah ni tak sayang kat saya ke?” Nuur guna kaedah psikologi.
“Marah dengan sayang tak ada kena-mengena.” Zafran menjawab bersahaja.
“Bukan ke bila ada orang tu marah-marah, tandanya sayang?” soal Nuur.
Zafran menahan senyum. Wanita di hadapanya ini sudah mula senyum manis. Mata bundarnya itu dikedip-kedipkan beberapa kali. Sengaja mahu memancing perasaan lelakinya. Nuur Airis Zahirah tidak pernah gagal memujuk jika dia berpura-pura merajuk.
“Itu pepatah orang zaman kuno. Tak valid diguna tahun 2012 ni.”
“Ehhh…bila masa pepatah atau perumpamaan melayu ada expire date?” duga Nuur.
Zafran mencebikkan wajah. “Selagi saya mengajar subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.”
Cikgu Nuur ketawa kecil. Zafran hanya mencerlung wajah mulus Nuur. Geram tetapi sayang. Mahu marah tetapi kasih tetap ada di dalam hati.
“Iyelah tu Cikgu Zafran Sulaiman Bin Abdul Hakim. Hamba menurut perintah.” Nuur mengenyitkan mata dan sempat mengelak apabila jemari lelaki itu mahu melancarkan cubitan di pipi atau hidung seperti kebiasaan.
Share this novel