REDUP pandangan mata itu bertaut dengan mata Nuur. Terkesima dan tergamam dengan pertemuan ini. Wajah yang sedikit cengkung dan lesu itu akhirnya menguntum senyum. Senyuman tetap manis tetapi seakan tiada sinar bahagia dan ceria seperti dahulu. Nuur mendekati anak muda itu.
“Assalammualaikum Teacher Nuur. Teacher sihat?” suara itu amat perlahan.
“Jazman…Waalaikumsalam. Kamu sihat ke?” Nuur merenung tepat ke wajah anak muda yang tercegat berdiri di hadapannya ini.
Jazman senyum lagi. Wajah tenang guru yang masih merenung dirinya ditatap tanpa jemu. Teacher Nuur Airis Zahirah yang sentiasa membantunya. Guru ini juga yang sering menitipkan kata-kata dorongan dan semangat dalam menempuh segala dugaan dalam hidup. Nasihat itu masih kukuh di dalam kotak fikiran tetapi kian meniti hari, semangat dalam diri ini seakan goyah. Jazman Al-Hafiz tidak sekuat dahulu..
“Saya sihat teacher. Banyak teacher beli barang. Nak kenduri ke teacher?” usik Jazman sambil menunjukkan pada beberapa beg plastik yang terletak di atas tar jalan. Belum sempat Nuur mahu memasukkan ke dalam bonet kereta.
“Ishhh…kenduri mana pulak ni Jazman? Ada-ada je kamu ni. Kamu buat apa kat sini? Kamu tak ke se…” Cikgu Nuur terdiam. Tidak terluah pertanyaan itu apabila terpandangkan wajah redup Jazman yang mula menundukkan kepala.
“Saya nak…berhenti sekolah…teacher…”
Terbeliak mata Nuur mendengar sebaris ayat itu. Jazman masih menundukkan wajah. Apa yang berlaku Jazman? Kenapa terluah keputusan ini?
“Kenapa Jazman? Apa sebabnya?” Nuur bertanya dengan tenang.
Jazman mengangkat wajah dan memandang semula wajah gurunya yang sudah berubah riak. Terpamer riak terkejut dan tergamam. Reaksi ini sudah dijangka Jazman.
“Saya nak kerja teacher.” Jawapan ini keluar dari mulut Jazman.
“Kerja?” Nuur semakin keliru.
Jazman menganggukkan kepala. “Ayah saya dah tak lalu nak kerja.”
Nuur mengeluh. “Tak boleh ke tunggu sampai lepas SPM? Tahun depan kamu SPM. Lepas SPM tu bolehlah kamu nak kerja kat mana pun.”
“Tahun depan tu lama lagi teacher. Lagi pun saya dah kerja.”
“Kamu dah kerja?” suara Nuur agak kuat. Semakin terkejut.
Jazman menggangguk. Menunggu saja saat-saat Nuur menghamburkan kemarahan mendengar keputusan itu. Bukan dia tidak tahu, Nuur pantang mendengar jika dirinya mahu berhenti sekolah. Berhadapan dengan wanita ini, Jazman sudah bersiap sedia menghadapi apa jua teguran atau pun leteran.
“Saya minta maaf teacher…” ucap Jazman amat lirih suaranya. Senyuman manis tapi hambar diberikan untuk Nuur yang masih termanggu. Jazman menapak perlahan, tidak berpaling melihat guru itu. ‘Maafkan saya Teacher Nuur…maafkan saya…’
Share this novel