SENYUMAN manis itu sentiasa terukir di wajah. Menghadiahkan sejalur kasih dan perhatian yang sentiasa ada untuk semua anak didiknya. Nuur Airis Zahirah sentiasa tenang mengorak langkah. Semangatnya sentiasa berkobar-kobar. Jiwanya selalu positif. Nalurinya selari dengan hembusan nafasnya untuk mendidik anak-anak di sekolah ini. Keluhuran yang tidak akan dipertikaikan oleh dirinya sendiri. Inilah nekad dirinya.
Lafaz Bismillah dia masuk ke dalam kelas Tingkatan 4 Ibnu Sina. Anak matanya memerhati sekali imbas pada wajah-wajah yang ada di dalam kelas itu. Senyuman manis masih di wajahnya. Menghampiri meja di hadapan kelas, suara lantang Syaril sebagai ketua kelas menerjah ketenangan ruang kelas. Nuur berdiri tegak dan kelam-kabut penghuni kelas itu bangun dan berdiri.
“Bangun…stand up. Assalammualaikum dan good morning teacher!!” laung Syaril. Serentak yang lain-lain ikut sama menyebut sapaan ‘rojak’ yang keluar dari mulut Syaril. Nuur menahan tawa. Sudah dipesan dan ditegur beberapa kali, namun masih juga begitu. Nuur hanya menggeleng kepala.
“Assalammualaikum dan good morning teacher!” Penuh semangat sapaan itu.
“Waalaikumsalam and good morning,” jawab Nuur perlahan.
Suasana senyap semula tetapi pelajar 4 Sina masih berdiri. Muaz pandang Aqil. Amir pandang Annaz. Razi mula kenyit-kenyit mata pada Hanafi. Situasi yang sama.
“Rashid, please recite doa,” arah Nuur sebagai menamatkan reaksi jeling-menjeling dan kenyit-mengenyit itu. Rashid mula garu kepala tetapi menadah tangan dan membaca doa. Yang lain ikut dan ucapan ‘Amin’ bersahutan. Bacaan doa Rashid yang tidak sampai 1 minit!
“Ok, thank you Rashid and sit down class,” ujar Nuur dan semua duduk.
“How are you today?” Ucapan yang sentiasa menjadi mukadimah Nuur.
“Ohh..fine. Fine..teacher,” sampuk Aqil mula nakal. Pelajar-pelajar perempuan seperti Afiqah, Adaweyah, Syafiqah, Adila dan Nabila mula mengangguk-angguk.
“Alhamdulillah. Do you…” Kata-kata Nuur terhenti. Matanya terpandang pada satu kerusi kosong. Keluhan yang berat dilepaskan. Seperti memahami maksud pandangan Nuur itu, Daniael tunduk kepala. Kerusi di sebelahnya sentiasa tidak bertuan. Sejak kebelakangan ini, kerusi itu semakin kerap kosong.
“Teacher, Jazman still absent..” suara Hafiszoul memecahkan pandangan Nuur.
“Teacher, Jazman tak datang hari ni,” sahut Firdaus seakan menterjemah kata-kata Hafiszoul tadi. Nuur hanya mengangguk tanda faham. Masih terbayang-bayang wajah polos dan redup Jazman. Masih menjadi tanda tanya pada tingkah dirinya itu.
“Ok, never mind. Ok, do you bring this book?” Nuur mematikan lamunan dan kembali ke situasi sebenar. Sebuah buku teks berjudul Literature Form 4 diangkat tinggi. Pelajar mula mengangguk-angguk dan segera mengeluarkan buku itu dari dalam beg dan laci. Ada juga yang terpinga-pinga dan mengeledah laci meja. Itu gaya konon-konon mencari buku yang sememangnya tidak di bawa ke sekolah.
“Who didn’t bring this book? Please raise you hand dan stand up,” Nuur membuat muka serius. Perlahan-lahan, Muaz, Razi dan Syaril mula bingkas bangun. Muaz buat muka bersalah yang amat sangat. Razi tersipu-sipu. Syaril pula sudah mula tergaru-garu kepala. Pelajar perempuan sudah ada yang ketawa kecil.
“Give me one good and relevant reason why you didn’t bring this book today. Start with Muaz,” Nuur mencerlung pandang pada Muaz.
“Err..cikgu..ehh..teacher..I forget,” Ini jawapan Muaz.
Nuur mengangguk. Alasan yang lapuk. Alasan yang tidak pernah jemu diguna pakai jika menghadapi masalah sebegini. Pandangan matanya dialihkan pada Syaril pula. “Syaril?”
“Same with Muaz,” Syaril laju menjawab. Anak muda itu sudah tersengih-sengih ala kerang busuk. Lebih teruk dari sengihan kerang sebenarnya.
“Razi!” Nuur memanggil nama Razi pula.
“Same..same..” Razi menjawab dan satu kelas mula ketawa geli hati. Nuur tidak mampu lagi untuk menahan tawa dan ikut ketawa. Ishh, ingatkan boleh untuk beraksi serius.
“Aduhai, lemah jantung saya hari ni,” rungut Nuur dan mendekati meja semula.
“Ok, guys, please sit down.” Cikgu Nuur mencapai semula buku itu dan serentak Muaz, Razi dan Syaril duduk. Malas mahu melayan kerenah pelajar-pelajar yang sudah menunjukkan muka ‘seposen’ dan bersahaja.
“Page 21, practice 2. I given all of you 10 minute to find the answer. After 10 minutes, I will ask anyone of you. Understand? You may discuss with your friend,” arah Cikgu Nuur tegas dan lancar. Sesi kelas minggu lepas sudah diingatkan pada Kelas 4 Ibnu Sina ini untuk mengadakan perbincangan dalam menjawab soalan di dalam buku ini. Menanti juga sekiranya ada suara-suara sungutan tetapi tiada.
“Ok teacher,” ucap Amir.
Seketika memandang jam tangan, dan Nuur terpandang lagi pada tempat duduk Jazman yang kosong. Hati kecilnya mula dipagut pilu mengenangkan pelajarnya yang satu itu. Nuur duduk di kerusi. Mencapai sebatang pen merah dan menyemak sebuah buku latihan. Pelajar-pelajar mula bercakap dan saling mengadap rakan-rakan. Berbincang mengenai soalan yang diminta untuk mencari jawapan tadi.
“Teacher…Jazman kirim salam,” Aizat bersuara amat perlahan tetapi didengari oleh Nuur. Sepantas itu tumpuan Nuur untuk menyemak buku latihan terhenti. Wajah Aizat yang duduk dekat dengan meja guru dipandang penuh makna.
“Awak jumpa dia ke Aizat?” soal Nuur. Aizat menggeleng kepala. Hafiszoul yang duduk di sebelah Aizat ikut sama menggeleng kepala.
“Pagi tadi Abang Izzrin yang bagi tau saya. Jazman tak sihat lagi teacher…” terang Aizat perlahan. Nuur bersandar pada kerusi. Kelu lidahnya untuk menjawab atau berkata-kata. Apa jadi pada diri kamu, Jazman?
Share this novel