Bab 9

Other Completed 16324

9

Selesai mandi, Eka keluar dari bilik air dan menuju ke dapur. Sempat dia mencubit cekodok pisang yang dimasak ibunya di atas meja. Sedang asyik mengunyah, tiba-tiba dia terdengar ayahnya memanggil namanya dari ruang tamu.

“Eka! Eka! Ada orang nak jumpa kau!” jerit ayahnya yang sedang menonton TV.

“Siapa ayah?” tanya Eka sambil mencuci tangannya di sinki dapur. Setelah mengeringkan kedua-dua tangannya, dia terus memanjat tangga naik ke atas. Menuju ke ruang tamu.

“Tengoklah sendiri,” Ayahnya menjuihkan bibirnya ke arah muka pintu.

“Eh, Rani. Kau apa khabar?” Dengan penuh gembira, dia terus memeluk erat kawannya itu.

“Aku baik saja. Wah dengar cerita dah kerja di KL. Mesti masyuk kan kerja di sana? Entah-entah dah dapat pakwe orang KL,” usik Rani.

“Mari kita berbual di luar. Ambil angin,” ajak Eka.

Mereka berdua duduk di sebuah bangku di bawah pohon kekabu. Di atas tanah, terdapat banyak biji-biji kekabu jatuh berguguran di sana-sini. Pohon ini memang banyak terdapat di Sabah. Buahnya berbentuk kelongsong bujur seakan buah koko, dan ia tumbuh segugus seperti timun kecil.

Masih dia ingat sewaktu kecil, Eka selalu ibunya selalu membantu ibunya mengutip buah kekabu untuk dijadikan isi bantal untuk mereka adik-beradik tidur. Bukan untuk tidur sahaja. Malah ibunya sanggup mencari wang lebih dengan menghasilkan beberapa bantal kekabu untuk dijual di pekan. Walaupun keuntungannya tidaklah seberapa, tetapi wang itu dapat juga meringankan suaminya yang bekerja menangkap ikan di sungai serta berkebun.

“Kau apa cerita Rani? Kau kerja di mana sekarang?” soal Eka sambil wajahnya tidak lekang daripada senyuman.

“Aku berniaga sendiri, buka butik pakaian di KK,” ujar Rani sambil membetul-betulkan cermin matanya.

“Wah, kaya kau ya berniaga sendiri,” usik Eka.

“Tak adalah kaya mana. Cukuplah sekadar dapat menyara diri aku dan kedua ibu dan bapa aku. Kau pula sekarang kerja apa di KL?” tanya Rani lagi.

“Aku kerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.”

“Kau tak nak kerja dengan aku ke? Butik aku sekarang nak pakai pekerja. Seorang pekerja aku dah berhenti minggu lepas.”

Eka agak terkejut sedikit dengan pelawaan kawannya untuk bekerja dengannya. Entah kenapa dia tiba-tiba mengajaknya bekerja dengannya. Tidak pula dia tahu niat Rani bertanya begitu.

“Erm, tapi aku dah ada kerjaya yang bagus di KL. Sayang juga nak berhenti,” jelas Eka sambil tertunduk ke bawah.

“Eka, kau kerjalah dengan aku. Aku boleh tawarkan gaji lebih sikit pada kau. Kesian aku tengok ibu dan ayah kau keseorangan di kampung. Ayah kau tu pun dah tua, asyik sakit-sakit je aku tengok kebelakangan ini. Kadang-kadang aku ada datang jenguk-jenguk ayah kau.”

“Baiklah, bagi aku fikir dulu ya,” balas Eka sambil melemparkan senyuman ke arah kawan baiknya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience